Kosmo Online - Hiburan |
Tidak sorok majlis pertunangan Posted: Tidak sorok majlis pertunanganOleh HARYATI KARIM IMEJ vokalis kumpulan Hujan, Noh, sebagai lelaki nakal, yang kerap bertukar kekasih nampaknya bakal berubah apabila dia sendiri mengumumkan secara rasmi telah menjadi tunangan kepada Mizz Nina yang juga seorang penyanyi pada 6 November lalu. Majlis yang berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga Nina di Ampang, Kuala Lumpur itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Disoal mengapa menyembunyikan majlis pertunangan mereka, Nina menjawab: "Sebenarnya kami tidak ada sebarang benda yang ingin disorokkan cuma, kami menghormati permintaan kedua ibu bapa kami yang mahukan sebuah majlis kecil, sederhana serta diadakan penuh dengan privasi. "Sebagai anak kami mahukan mereka gembira dan menuruti permintaan mereka. Dalam majlis pertunangan itu, lebih 50 keluarga terdekat yang hadir termasuk ibu bapa serta keluarga Noh yang datang dari Miri, Sarawak." Nina yang ditemui pada sidang akhbar khas di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur semalam juga memberitahu, majlis pertunangan diadakan sedikit tergesa-gesa kerana kedua-dua ibu bapa mereka mempunyai jadual yang agak padat "Selepas majlis pertunangan ibu Noh pergi mengerjakan haji dan bapa saya pula pergi ke Jepun atas urusan kerja. Sebab itulah kami mengadakan majlis pertunangan dalam keadaan kecil dan privasi," ujar Nina yang secara terbuka meminta maaf kerana menyembunyikan pertunangan mereka. Tidak mahu bertunang dalam tempoh yang lama, mereka menetapkan 1 Julai tahun depan sebagai tarikh pernikahan sempena dengan tarikh hari lahir Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman.
Majlis tersebut akan berlangsung di kediaman keluarga Nina dan secara tertutup tanpa kehadiran pihak media. Tarikh 1 Julai 2011 dipilih sebagai tarikh pengikat kasih antara Nina dan Noh kerana tarikh tersebut dirasakan sesuai, memandangkan kini kedua-dua mereka sibuk dengan album baru. "Kalau diikutkan, kami mahu bernikah dalam tahun ini juga tetapi jadual pula tidak mengizinkan. "Hujan akan muncul dengan album baru hujung bulan ini, begitu juga dengan saya yang akan keluar dengan album baru tahun hadapan," ucap Nina yang akan mengadakan dua majlis resepsi selepas majlis pernikahan itu. Bakal bernikah dengan anak Tan Sri Azman Hashim iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad memberi sedikit tekanan kepada Noh. Dia mengakui agak gugup saat pertama kali bersua dengan bakal bapa mertuanya itu. "Sebelum bertunang, saya ada berjumpa bapa Nina pada hari raya kelima juga di Restoran Seri Melayu, mulanya memanglah berdebar-debar. Tetapi selepas berjumpa, dia buat saya rasa selesa, jurang yang saya sangka besar antara kami dihapuskan begitu sahaja. "Kami mempunyai fikiran yang sama dan dia menghormati kerjaya saya sebagai seorang pemuzik, alhamdulillah keluarga Nina menerima saya seadanya," luah Noh penuh serius. Bibit-bibit cinta Saat diminta mengimbas semula bagaimana perkenalan antara mereka boleh berlaku, Noh mahupun Nina hanya ketawa besar dan mengatakan mereka berdua tidak menyangka hubungan yang bermula sekitar Disember tahun lalu bakal berakhir dengan sebuah pernikahan. Lagu Kurnia duet mereka berdua, merupakan bukti cinta mereka yang mula mekar ketika itu. "Saya kenal Noh sejak tahun 2007 tetapi kenal macam itu sahaja dan mula rapat sekitar Disember tahun lalu ketika bekerjasama dengannya menerusi lagu Kurnia. "Kemudian pada Januari pula, hubungan kami mula serius. Tidak sangka selepas selesai rakaman, saya boleh jatuh cinta dengannya," tutur Nina. Noh pula membalas: "Sebenarnya kami mula serius selepas selesai rakaman lagu Kurnia dan memang tidak sangka hubungan kami boleh pergi sejauh ini. Rakaman lagu Kurnia yang merapatkan kami berdua." Sambung Noh lagi, sikap Nina yang tenang dan memahami dirinya merupakan faktor utama mengapa wanita itu disunting sebagai suri hidupnya. "Susah sebenarnya mahu mencari orang yang benar-benar faham diri dan kerjaya saya, mungkin kerana dia turut berada dalam bidang yang sama menyebabkan dia mudah memahami saya. "Saya memang jenis bising begitu juga dengan Nina tetapi dia lebih tenang dan faham tentang perangai baran saya. Paling penting dia menghormati kedua-dua ibu bapa saya," kata Noh. Nina yang tersipu malu di sebelah Noh pula tertarik dengan sikap gila-gila dan rendah diri yang dibawa Noh. "Noh menjadi dirinya tidak kira ke mana dia pergi dan sentiasa jujur dengan saya. Dia boleh jadi romantik bergantung kepada mood dia ketika itu dan boleh menjadi garang pada satu-satu waktu," jelas Nina mengenai tunangnya itu. Bercakap tentang lamaran, ujar Nohlagi lamaran kepada Nina terjadi dengan sendirinya tanpa perlu melakukan aksi romantik seperti di dalam filem. "Tidak ada adegan melutut, semunya berlaku secara semula jadi kerana, sejak kami mula serius, kami ada berbincang mengenai perkahwinan. Pada majlis Anugerah Juara Lagu awal tahun ini, saya telah membawa Nina berjumpa dengan ibu bapa saya. "Boleh dikatakan itulah masanya saya melamar dia. Menerusi perbincangan yang betul akhirnya kami memilih bulan Julai sebagai tarikh untuk bernikah," cerita Noh lagi mengenai rentetan percintaan mereka. Status suami isteri GAMBAR atas, kenangan bersama keluarga pihak perempuan manakala gambar bawah, bersama keluarga pihak lelaki ketika majlis pertunangan berlangsung. Walaupun baru memulakan persiapan perkahwinan, namun kedua-dua mereka sedar akan tanggungjawab yang bakal dipikul kelak. Banyak mengubah diri demi melengkapi Nina, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh kini lebih matang, berbeza dengan awal kemunculannya dalam dunia seni. Meskipun mengenali hati budi Nina dalam masa tidak sampai setahun, Noh yang kini berusia 26 tahun yakin bahawa pelantun lagu What You Waiting For merupakan wanita yang dicari-carinya selama ini. "Walaupun perkenalan dan percintaan kami agak singkat saya percaya dia (Nina) adalah untuk saya. Saya juga percaya lepas berkahwin kami masih dalam proses mengenali diri dan hati masing-masing. "Bagi saya apa yang penting adalah toleransi kepada pasangan, selain tahu tanggungjawab masing-masing. Kalau dia boleh berubah untuk saya, mengapa saya tidak boleh berubah untuk dia," kata Noh yang mengakui Nina banyak terlibat dalam perubahan diri dan perangainya. Nina yang duduk di sebelah Noh mencelah: "Sebagai wanita yang bakal bergelar isteri, saya banyak bertanya kepada ibu, kakak dan mak cik tentang tanggungjawab dan peranan isteri dalam sebuah rumah tangga. "Sekarang ini saya masih dalam proses mempelajari masakan makanan kegemaran Noh iaitu Laksa Sarawak." Mengenai kerjaya pula Noh tidak melihat perkahwinan akan menjatuhkan populariti kumpulan Hujan. Dia juga tidak pernah menghalang bakal isterinya itu untuk terus terlibat dalam dunia hiburan tetapi dengan syarat, Nina tidak boleh lagi berpakaian seksi. "Saya sentiasa sokong apa sahaja yang dilakukan Nina termasuk teruskan kerjaya nyanyian. Adanya saya adalah untuk menjadikan dia seorang yang lebih baik begitu juga sebaliknya. "Ramai yang tanya kenapa muda sangat nak kahwin sedangkan Hujan tengah popular, jawapan saya senang sahaja, ada juga orang kata rezeki lepas kahwin lebih banyak, jadi kita kena fikir positif," tutur Noh. Nina yang kini berusia 30 tahun menjelaskan, dia tidak akan membiarkan kerjayanya mengawal kehidupan peribadinya, "Saya tetap akan terus keluarkan album, tentang kahwin kita kena ikut hati," ucapnya. | ||
Nur Asiah di sebalik lagu Panggilan Kaabah Posted: Nur Asiah di sebalik lagu Panggilan KaabahOleh HARYATI KARIM NUR ASIAH (jubah biru) bersama para peminatnya ketika berkunjung ke Singapura baru-baru ini. SABAN tahun, setiap kali tibanya musim haji, pastinya lagu berjudul Panggilan Kaabah akan berkumandang di televisyen dan corong radio. Secara tidak rasmi lagu dendangan penyanyi Indonesia, Nur Asiah Jamil itu menjadi lagu wajib menjelangnya musim haji. Bagaimanapun, ramai yang tidak mengenali pelopor lagu-lagu nasyid di Indonesia itu terutamanya generasi muda, sementelah dia memulakan kerjaya seninya sejak tahun 1956. Kini, pada usia 63 tahun, Nur Asiah masih gagah dan aktif dalam bidang nyanyian. Baru-baru ini, ketika dia menjayakan program "Kahwin-kahwin, Makan-makan" yang berlangsung di Tanah Merah, Singapura, Kosmo! berpeluang menemu bual figura ini menerusi telefon. Meskipun suaranya hanya kedengaran di corong telefon, jelas sekali membuktikan Nur Asiah merupakan individu yang sangat merendah diri. Malah, butir-butir perkataan yang keluar daripada mulutnya juga disusun dengan rapi. Katanya lagi yang mempunyai empat orang anak dan lapan orang cucu itu, dia amat senang hati melihat karya yang dibikinnya sendiri pada tahun 1970 kekal diterima sehingga ke hari ini. "Sudah 40 tahun lagu tersebut berkumandang setiap kali tibanya musim haji. Sebagai penyanyinya saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana lagu ciptaan saya itu masih mendapat tempat di hati peminat," ungkapnya. Sebenarnya banyak cerita dan kenangan sebalik pembikinan lagu Panggilan Kaabah. Lagu tersebut dicipta bukannya untuk mengaut keuntungan sebaliknya dicipta berdasarkan pengalaman dan cintanya kepada Allah. "Saya memulakan kerjaya nyanyian pada hujung tahun 50-an di Medan bersama kumpulan Gambus Al-Suraya yang juga popular dengan lagu Selimut Putih. Selepas 10 tahun bersama kumpulan tersebut saya ambil keputusan untuk bersara pada tahun 1968. "Setelah mengerjakan haji pada tahun 1970, timbul pula idea untuk menghasilkan lagu Panggilan Kaabah secara tiba-tiba. Jadi, saya menyanyi semula sebagai penyanyi solo juga dalam genre nasyid," tuturnya. Pernah bergelar naib johan dalam pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan di Kuala Lumpur juga pada tahun 1970, Nur Asiah memberitahu, rutin hariannya kini selain memenuhi undangan nyanyian, dia juga sering berulang-alik dari Indonesia ke Kuala Lumpur untuk mengajar nasyid dan al-Quran. "Saya kerap ke Malaysia kerana ramai teman di sini. Jika, bukan undangan nyanyian pastinya undangan itu berbentuk kelas ibadah," ujarnya yang telah melahirkan 150 album yang mengumpulkan lebih 500 buah lagu. Terbaru, menerusi produksi miliknya, Nur Asiah telah menerbitkan sebuah album kelas bimbingan haji khas untuk mereka yang belum pernah menjejaki ke kota suci itu. "Album ini berbentuk pendidikan dalam lagu. Justeru, kepada mereka yang ada niat untuk pergi tetapi belum bersedia, album ini benar-benar sesuai buat mereka. "Namun, buat masa ini album tersebut hanya dipasarkan di Indonesia sahaja. Mungkin jika ada rezeki, album itu akan memasuki pasaran di Malaysia," luahnya yang memasang hasrat untuk berduet dengan mana-mana penyanyi nasyid dari Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |