Berita Harian: Hip |
Kebahagian daripada pengorbanan Posted: 16 Nov 2010 02:05 AM PST Hip RONA putih yang melambangkan kesucian menjadi tema fotografi sempena keluaran khas Aidiladha. Kali ini Hip memilih tiga personaliti wanita yang anggun bertudung sebagai penghias muka depan. Ini kali pertama tiga wanita dengan status serta latar seni berbeza digabungkan. Namun begitu, ia bukan masalah kepada Farah Diana Anuar, Rafidah Ibrahim dan Catriona Ross untuk mencipta keserasian. Mereka tidak menghampakan permintaan kami dengan memberikan 'pose' menarik sekalipun fotografi bermula agak lewat daripada dirancang berikutan beberapa masalah yang timbul. Selesai sesi fotografi, ketiga-tiga wanita ini tidak mahu ketinggalan mengabdikan kenangan pada telefon bimbit dan kamera peribadi masing-masing. Bersempena dengan keluaran khas ini, tiga wanita dengan dua daripadanya masih solo dan seorang lagi sudah bergelar ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin rancak bercerita mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha mereka. Tiga wanita yang sama cantik dan anggun ini turut berkongsi perkembangan terbaru masing-masing khusus untuk pembaca Hip.Catriona syukuri musibah tiga tahun lalu MUNGKIN ada yang beranggapan dia gila apabila Catriona atau Cat menyatakan kesyukuran ditimpa musibah yang hampir meragut nyawanya tiga tahun lalu. Tetapi itulah apa yang dirasakan mengenai kemalangan ngeri yang dilaluinya. Sekiranya tidak diduga dengan musibah sebegitu kata Cat, mungkin sehingga kini dia masih lagi Catriona Ross yang dulu. Seorang yang terlalu leka pada kerja hingga mengabaikan keluarga dan sahabat.
"Mungkin jika tidak ditimba kemalangan, saya masih lagi terkejar-kejar pada karier serta sibuk menghadiri pelbagai majlis bersangkutan dunia seni. Kalau dulu mahu bertemu dengan rakan-rakan lama pun susah kerana pelbagai alasan yang saya berikan kepada mereka hingga mereka berkecil hati kerana susah hendak keluar dengan saya. Gara-gara terlalu taksub pada kerja, saya terputus hubungan dengan sahabat kampung. "Bagaimanapun sejak kemalangan itu, hubungan saya dengan mereka bagaikan isi dengan kuku. Asal ada masa terluang, saya akan keluar berjalan dengan rakan-rakan. Hubungan dengan keluarga juga menjadi bertambah rapat, malah jika tiada sebarang kerja, saya akan kerap berkunjung ke rumah keluarga mentua. Jujur saya amat-amat bersyukur dengan musibah ini," katanya. Lebih istimewa lagi, di saat dia berada dalam keadaan kesakitan, Tuhan menemukannya dengan seorang lelaki yang baik. Perkenalan singkat itu juga membawa mereka ke jenjang perkahwinan hingga dikurniakan dengan seorang cahaya mata. "Kronologi hidup saya disusun dengan sungguh cantik sekali. Saya bertemu dengan suami ketika bertongkat. Dia menerima saya dengan ikhlas bukan atas dasar simpati. Saya percaya tiada orang yang mahu mendekati dengan keadaan saya yang cacat, tetapi suami tidak kisah dengan keadaan saya yang begitu. "Selepas kemalangan, kami berkahwin dan dikurniakan pula cahaya mata. Dan kini hati saya terbuka pula untuk bertudung tanpa paksaan sesiapa. Semua itu menyebabkan hidup saya terasa cukup bermakna dan disusun dengan cantik oleh Nya," kata Cat yang akan pulang ke Kota Bahru, Kelantan menyambut Aidiladha. Dia yang sudah terbiasa dengan kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan berasa tidak lengkap sekiranya tidak dapat pulang ke kampung halamannya untuk meraikan hari mulia itu. Menjadi kewajipan buat Cat menjalankan ibadah korban setiap tahun sejak lima tahun yang lalu. Memandangkan suaminya yang kini sibuk dengan program Mari Menari. Cat akan pulang ke kampung halamannya berdua dengan anak tersayang sebelum disusuli suaminya. Farah akan tamatkan zaman solo DALAM diam-diam anak dara kepada Anuar ini khabarnya kini sedang asyik dilamun cinta. Cinta yang disemai sejak beberapa tahun lalu itu semakin mekar sehingga Farah dan pasangannya yang seusia dengannya merancang untuk menamatkan hubungan mereka ke satu lagi ikatan yang sah iaitu perkahwinan. Gadis yang bakatnya lahir dari program Akademi Fantasia musim kedua ini agak kurang selesa apabila kisah cintanya mahu 'dikorek'. Dia bimbang kekasihnya yang juga seorang ahli perniagaan kurang selesa apabila kisah percintaan mereka dicanang. Namun, Farah menyedari sebagai selebriti, dia adalah hak masyarakat. Justeru, dia bersedia berkongsi sedikit cerita cintanya. "Memang kami mempunyai perancangan untuk bernikah tetapi belum tahu bila. Mungkin tahun depan atau mungkin dua tahun lagi. Khabar angin mengatakan Farah akan berkahwin hujung tahun ini adalah tidak benar sama sekali. "Keluarga kami pun tak pernah berjumpa lagi untuk berbincang mengenai perkara itu dengan lebih serius. Farah mengenali teman lelaki melalui bapa Farah. Dia yang mengenali teman lelaki Farah dan kemudian barulah kami saling berkenalan. "Dia mempunyai perniagaan di utara tanah air. Jadi kami memang agak sukar untuk berjumpa sekerap yang mungkin. Cara kami bercinta tidak seperti pasangan lain, kalau nak berjumpa, keluarga saya akan menemani," katanya yang akan meraikan Aidiladha di Putrajaya saja. Walaupun berbeza bidang, Farah berkata teman lelakinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima kerjayanya sebagai seorang penyanyi. Mereka sudah pun berbincang dan ternyata teman lelakinya seorang yang amat terbuka. Dengan kehadiran keluarga yang sentiasa berada di sisi menemani Farah ke mana saja menyebabkan teman lelakinya itu berasa lega. "Alhamdulillah dia tidak mengongkong. Dia akan rajin beritahu Farah apa yang dia suka dan tidak. Sekiranya Farah tersalah cakap terutama ketika mengendalikan program di televisyen, dia akan menegur dengan baik," kata penyanyi itu yang mempunyai perancangan untuk menerbitkan album sendiri. Sejak bergerak sendiri, Farah berkata dia mempunyai lebih kebebasan untuk menentukan hala tuju muziknya. Jika sebelum ini agak terkongkong kerana terikat dengan syarikat pengurusan dan rakaman tetapi dengan bajet sendiri, penyanyi lagu Antara Dua itu berkata, dia akan lebih teliti dalam soal pembikinan album. Fida kini sendiri TUMPUAN yang diberikan media terhadap dirinya ketika dia mula-mula menjengah ke dunia glamor tiga tahun lalu pernah membuatkan Rafidah Ibrahim lemas. Dia mengakui ketika itu, kurang selesa sehingga menyebabkan bersikap dingin terhadap media. Namun tahun demi tahun ternyata mematangkan gadis ini. Fida yang lahir daripada pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang mula sedar kesilapannya itu dan enggan mengulanginya kembali. Mujur ketika bernaung di bawah MIG, syarikat pengurusannya itu banyak membantu memperbaiki kembali namanya. Justeru, biarpun kini tidak lagi bersama, Fida berasa amat terhutang budi dengan syarikat berkenaan. "Waktu itu mungkin saya terlalu muda dan tidak tahu selok belok dunia seni. Saya tidak tahu macam mana mahu bercampur gaul dengan orang. Pengalaman jelas sekali mematangkan, saya tak mahu mengulangi kesilapan. Lebih-lebih sejak bergerak sendiri tanpa bantuan MIG, lagilah saya perlu mesra dengan semua orang. "Kalau dulu MIG yang akan bantu saya dalam lakonan tetapi kini semuanya saya perlu cari sendiri. Saya tak boleh malu lagi dan perlu bekerja keras untuk mencari tawaran lakonan," kata Fida yang akan meraikan Aidiladha di Kampung Baru, Kuala Lumpur saja. Katanya, setiap tahun Aidiladha hanya disambut sederhana saja oleh mereka sekeluarga. Biasanya dia dan keluarga tidak membuat sebarang persiapan, tetapi kata Fida disebabkan adik-beradiknya ramai iaitu 12 orang, ada kalanya persiapan dibuat pada saat akhir seperti memasak rendang dan ketupat.
|
Posted: 16 Nov 2010 02:01 AM PST Hip Filem berjudul Search: Meniti Titian bakal mulakan penggambaran awal tahun depanHANYA dengan satu keputusan nekad, lima minit sebelum bas bergerak menuju ke Kuala Lumpur, adalah menjadi titik terpenting di dalam lipatan sejarah buat kumpulan lagenda rock tanah air, Search. Pemain dram, Yazid Ahmad hampir bertindak mengoyakkan tiket Amy kerana yakin Amy tidak akan menaiki bas pada malam itu untuk menuju ke ibu negara bagi memulakan penghidupan baru mereka sebagai pemuzik. Amy pula yang sememangnya pemuda pendiam sejak remaja seperti berada di dalam dilema. Dia seperti tidak mampu untuk membuat keputusan, sama ada ingin terus mengikuti sahabat lain ke Kuala Lumpur atau mendengar cakap kedua orang tuanya supaya terus tinggal di Johor Bahru. Sedangkan pada waktu Hillary Ng, Nasir Daud dan Din memang sudah lama menunggu mereka (Yazid dan Amy) di Kuala Lumpur. Lima minit sebelum bas bergerak, kelibat Amy dalam keadaan termengah-mengah berlari menaiki anak tangga bas membuatkan Yazid tersenyum bangga.Bermulalah penghidupan baru lima anak muda di kota yang penuh dengan segala macam cabaran sebagai anak seni. Segala detik terpenting, semangat untuk berubah, kejujuran dalam persahabatan dan kehidupan sebenar kumpulan lagenda Search bakal dilayarkan ke layar perak sebagai sebuah filem cereka tidak lama lagi. Itulah antara babak dan cerita yang dipaparkan dalam filem yang mengangkat perjalanan hidup dan bermulanya kumpulan Search berjudul Search: Meniti Titian. Ketika ini perancangan untuk filem itu sudah dilakukan sejak setahun yang lalu dan kini proses menyiapkan skrip sedang berjalan rancak.
"Idea ini timbul setahun yang lalu di dalam bulan puasa. Saya dan rakan sekerja, Suhaimi berjumpa Amy pada satu majlis berbuka puasa dan menyatakan hasrat itu untuk menerbitkan filem yang mengisahkan kisah benar Search. "Idea saya memang diterima Amy, namun Amy menyoal saya semula, 'siapa yang nak buat? Katanya kalau betul nak buat, kenalah serius dan melakukan persediaan yang rapi. Memang dia tidak mahu cakap kosong. "Dari situ kami mula berbincang, merancang dan merangka sehinggalah hari ini. Bererti kini sudah setahun proses ini berjalan," katanya yang ditemui baru-baru ini. Kini proses menyiapkan skrip sedang rancak dijalankan dan dijangkakan akan melalui beberapa draf sebelum dipersetujui oleh setiap anggota Search sendiri. "Kami kini sedang mendapatkan kisah hidup setiap anggota Search dengan meluangkan masa menemubual mereka dan mengkaji latar kehidupan silam mereka. "Semua cerita di dalam filem ini adalah cerita benar. Beberapa peristiwa penting akan dikeluarkan di mana tanpa peristiwa itu maka tidak akan wujudlah Search hingga hari ini. Sebaik draf pertama siap, ia akan melalui proses penyaringan pertama daripada setiap anggota Search sehinggalah ke draf ketiga atau seterusnya. "Pada peringkat menyiapkan skrip ini, memang kami harus mendapatkan persetujuan daripada semua ahli Search, ini bagi mengelakkan daripada kesalahan fakta. Lebih lagi filem ini bukan sekadar filem cereka tetapi ia boleh dijadikan rujukan kepada peminat mengenai sejarah penubuhan kumpulan kesayangan mereka," katanya. Sebaik proses menghasilkan skrip siap sepenuhnya, proses uji bakat bagi mencari pelakon akan dimulakan di seluruh tanah air. "Mengikut perancangan, hujung tahun ini kami akan mengadakan sesi uji bakat mengikut zon di seluruh tanah air. Kami sangat memerlukan pelakon yang memenuhi kriteria seperti boleh menyanyi dan bermain alat muzik, memiliki muka yang iras anggota Search, bercakap dan bergaul seperti mana mereka (anggota Search). "Kami mengharapkan mereka yang ingin hadir pada sesi uji bakat itu membuat kajian terperinci mengenai karektor ahli Search. Kami juga akan maklumkan mengenai uji bakat ini pada bila dan tempat dalam masa terdekat atau mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut di dalam laman web www.searchthemovie.com.my. Menurut Marzunaidi, selepas memperoleh senarai pendek, mereka akan dinilai sendiri oleh setiap ahli Search sebelum terpilih memulakan penggambaran. Pelakon yang terpilih akan duduk bersama ahli Search dalam satu hingga dua minggu untuk mengenal karektor asal. Search sudah berusia 30 tahun VOKALIS utama Search, Amy berkata, sempena 30 tahun usia pembabitan Search di dalam industri hiburan, projek filem ini seharusnya ada bagi dokumentasi impian yang ingin digapai generasi baru. "Filem ini bukan sekadar menceritakan mengenai pembabitan awal Search di dalam industri seni tetapi semangat. Kerja kuat dan impian Search sehingga sampai ke tahap ini. "Bagaimana kami bermula dengan mimpi dan akhirnya menjadi realiti. Kami mahu memberi galakan kepada generasi akan datang walaupun kami semuanya bukan dari latar belakang berpendidikan tinggi," katanya yang ditemui baru-baru ini. Bagi Nasir Daud, sempena ulang tahun ke-30 pembabitan Search dalam industri seni tahun depan, pelbagai perancangan membabitkan jenama Search dirancang dan bakal diterbitkan. "Kini sudah sampai masanya untuk menunjukkan kemuncak karier Search di dalam industri terus disokong. Selain banyak syarikat penerbitan yang berminat untuk menerbitkan filem Search, kami juga merancang untuk menghasilkan buku berjudul 'Search Untold Story'. "Buka ini akan menceritakan kisah Search yang tidak pernah diketahui peminat. Sebagai contoh mengenai pembikinan lagu yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik kita iaitu Isabella dan apa cerita disebalik pembikinan lagu itu. "Selain itu, kami juga akan mengeluarkan replika patung Search dalam beberapa versi untuk cenderamata kepada peminat kami. Cenderamata ini akan ditempah di luar negara dan ia bakal diperkenalkan buat pertama kali di negara kita secara eksklusif," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |