Harian Metro: Rap |
Cerita raya korban 3 superstar Posted: 16 Nov 2010 05:30 AM PST SEBAIK laungan takbir bergema, itu menandakan Aidiladha 1431 H dirai. Justeru, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia kini berkumpul di Tanah Suci Makkah mengerjakan haji. Apapun, tidak semua manusia bertuah melaksanakan rukun Islam kelima itu. Hanya insan terpilih dan mendapat seruan yang berpeluang merasai pengalamannya. Oleh itu, pastinya ketenangan jiwa dirasai tatkala kalimah keramat memuji Tuhan tidak putus-putus dizahirkan. Bahkan, di kala itu juga diri terasa dekat dengan-Nya. Sehubungan itu, sempena meraikan Aidiladha yang mulia ini, tiga artis popular tanah air iaitu Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, Fahrin Ahmad dan Lisa Surihani Mohamed berkongsi pengertian Aidiladha mereka selain hasrat untuk mengerjakan haji pada usia muda. Fahrin teringin ke Makkah bersama isteri EMPAT kali melakukan umrah, Fahrin menyimpan impian mengerjakan haji selepas dia mendirikan rumah tangga. Katanya ia perkara pertama akan lakukan sebaik hajat membina keluarga dimakbulkan Tuhan. Katanya dia mahu buat haji bersama isteri. "Tiada lagi spekulasi, malah kisah dengan siapa saya berkawan. Jujurnya, saya tidak mahu lagi diri dikaitkan dengan gosip peribadi walaupun ia adalah lumrah kehidupan seorang artis. Sebagai manusia biasa, saya mengharapkan diberi ruang untuk itu," katanya. Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Fahrin berkata dia kini dalam proses menukar karier demi jaminan masa depannya. Ujarnya dia merancang untuk terbabit dalam bidang perniagaan dan jika tiada aral, ia akan diumum tidak lama lagi. "Sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan, saya akan mengumumkannya. Ditambah lagi, pada usia yang kini sudah mencecah 30-an, sudah sampai masanya saya merancang karier baru. Lagipun, selama menjadi artis terlalu banyak menyakitkan hati. "Begitu juga dengan harga pengorbanan yang tinggi perlu saya bayar. Jadi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya perlahankan sedikit aktiviti seni," katanya kini terbabit menjayakan drama Dia Bukan Maria arahan sutradara hebat, Erma Fatima. Menyentuh soal kerinduannya terhadap Tanah Suci, Fahrin berkata dia mahu memandang Kaabah dan berdoa di hadapannya. Kata Fahrin, jiwa dan perasaan sangat tenang sepanjang beribadat kerana segala urusan duniawi dilupakan. Bagaimanapun, Fahrin sangat bersyukur dapat mengerjakan umrah 10 hari sebelum kedatangan Aidilfitri lalu dan turut meraikannya di Tanah Suci. Kini, Fahrin turut memaklumkan dia mempersiapkan diri untuk mengerjakan haji pula sementara masih muda dan bertenaga. Erra sudah daftar untuk tunaikan haji ERRA yang sudah beberapa kali menjejakkan kaki di Tanah Suci mengerjakan umrah, tidak berselindung memberitahu dia sudah pun mendaftar untuk haji. Bagaimanapun, kini dia perlu menunggu giliran. "Selain merindui Kaabah, saya juga rindu pada perasaan yang tenang dan damai. Terutama apabila sepenuh masa terisi dengan ibadat dan berdoa kepada-Nya. Jadi, jiwa sangat tenang dan kesepian amat dirasai sepanjang bertawakal. "Perasaan seperti itu memang tak pernah dirasakan di rumah. Oleh itu, saya sangat berharap ketika usia masih muda ini dapat mengerjakan haji. Itu doa saya dan semoga ia dimakbulkan suatu hari nanti," kata pelakon yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu ini. Ditanya mengenai sambutannya, Erra berkata dia dan keluarga meraikan Aidiladha secara sederhana dengan berkumpul bersama. Malah, tak ketinggalan melakukan ibadah korban. Menyentuh soal kariernya, Erra berkata dia kini selesa kerana masa lebih ditumpukan kepada keluarga. Ujarnya, walaupun sudah tidak sesibuk dulu, tetapi Erra bersyukur kerjaya seninya masih berjalan lancar. Bagi Erra, keluarga adalah keutamaan. "Pada usia sekarang, saya memang menitik beratkan kebahagiaan keluarga. Bahkan, saya juga dalam perancangan menubuhkan kelab seni untuk ibu bapa dan anak. Penubuhan kelab ini untuk memberi ruang kepada seisi keluarga menceburi seni. "Menerusi kelab ini, anak-anak didedahkan dengan aktiviti seni seperti mewarna dan ibu bapa pula menjurus kepada kraftangan," katanya memaklumkan sanggup menunggu dua atau tiga tahun untuk berlakon filem semula demi watak yang sesuai. Menyentuh soal Lisa yang kini dilabel sebagai 'primadona filem Melayu' yang terbaru menggantikannya, Erra berkata dia sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang memberikan gelaran itu. Ujarnya dalam soal ini sesiapa saja boleh melabelkan seseorang pelakon. "Sebagai artis, saya melayan saja setiap gelaran diberikan itu selagi ia tidak mengaibkan. Apapun, saya melihat Lisa sebagai pelakon yang berbakat kerana dia berjaya merealisasikan setiap watak dengan baik. Bagi saya, sekarang adalah rezeki Lisa. "Ditambah pakej lengkap yang ada pada dirinya seperti cantik dan berbakat, ia juga tuah buat Lisa. Jadi, saya rasa Lisa pelakon yang baik. Berbanding pada kemunculan saya dulu, watak yang diterima tak banyak beza dan hampir sama saja," katanya. Turut menjadi penasihat dalam program Mari Menari terbitan Astro, Erra berkata jadualnya kini sangat padat. Bahkan, dia sangat berpuas hati dengan komitmen diberikan peserta. Katanya peserta bersaing secara sihat dan mereka cukup bersemangat. Lisa idam buat umrah BERBICARA mengenai haji, Lisa berkata dia masih belum berpeluang menjejakkan kaki di Tanah Suci. Katanya dia memang menyimpan impian untuk mengerjakan umrah lebih dulu sebelum haji. Ujar Lisa, barangkali seruan untuknya belum sampai. "Mengikut kata orang tua dulu, untuk ke Tanah Suci ini bersandarkan seruan. Jadi, mungkin seruan untuk saya mengerjakan rukun Islam kelima ini belum menjelma. Apapun, saya harap dapat mengerjakan haji pada usia muda kerana masih kuat. "Mendengar cerita ibu dan arwah bapa yang pernah mengerjakan haji, saya memang teringin sangat untuk ke Tanah Suci. Saya ingin merasai ketenangan dan kedamaian mereka beribadat kepada Allah. Saya juga ingin menjadi tetamu Allah suatu hari nanti," katanya. Ditanya mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Lisa berkata dia sekeluarga meraikannya secara sederhana. Katanya seperti biasa, dia juga melakukan ibadah korban. Baru dua tahun aktif sebagai pelakon, Lisa Surihani sudah membintangi tujuh filem. Bahkan, baru-baru ini dia meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang sekali gus meletakkan dirinya sebagai primadona filem Melayu alaf baru. Ditanya mengenai gelaran itu, Lisa nyata tersentak dan memaklumkan dia masih terlalu baru dalam industri seni tanah air. Katanya banyak teknik lakonan perlu dipelajarinya untuk menjadi pelakon yang baik. Bahkan, mampu berlakon dengan berkesan. "Siapa saya untuk dianggap sebagai primadona. Bagi saya, gelaran itu masih terlalu awal untuk digalas kerana banyak yang perlu diperbaiki dalam lakonan. Apapun, jika itulah yang diberikan peminat, saya menerima dengan perasaan rendah diri. "Saya menghargainya sebagai anak seni. Bagaimanapun, saya tidak pernah tahu diri ini sudah layak untuk menerima gelaran primadona itu. Semuanya daripada peminat dan penonton yang menilai lakonan saya. Namun, saya sendiri tak anggap diri primadona. "Gelaran itu terlalu besar bagi saya," katanya yang kini sibuk menjayakan penggambaran drama bersiri Jangan Pandang Belakang Congkak untuk Astro Warna (saluran 132). Malah, dalam masa sama turut menjadi pengacara program Mari Menari di Astro Ria (saluran 104), setiap Sabtu, jam 9 malam. Penghargaan: |
Posted: 16 Nov 2010 05:28 AM PST MENERUSKAN tradisi mereka setiap dua tahun, Persatuan Chopin Malaysia akan menganjurkan Pertandingan Piano Chopin Antarabangsa Asean 2010 Ke-4 (4th Asean International Chopin Piano Competition 2010) yang bakal berlangsung selama seminggu bermula 22 November hingga 28 November ini di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Pertandingan itu akan dibuka dengan persembahan khas Konsert Gala Pembukaan (Gala Opening Concert) di tempat berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada 23 November, jam 8.30 malam. Ia turut menampilkan persembahan dari pemenang pertandingan terdahulu.
Disusuli selepas itu, Konsert Gala Penutup (Gala Closing Concert) yang akan diadakan di Hotel Maya pada 28 November, jam 8 malam. Presiden Persatuan Chopin Malaysia, Tunku Munirah Tunku Mustapha berkata, objektif pertandingan itu untuk mengetengahkan dan menggalakkan bakat-bakat pemain piano muda dari negara Asean membuktikan keupayaan mereka di pentas dan melahirkan pemain piano profesional taraf antarabangsa.
"Ini adalah kali keempat Kua Lumpur menjadi tuan rumah acara yang paling berprestij ini. Isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali menjadi penaung untuk pertandingan ini. Ia juga menyokong wawasan kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hub untuk kesenian, artistik dan pembangunan muzik. "Menerusi penganjuran ini juga, kami berharap dapat mengenal pasti dan mencungkil bakat muda pemain piano dan membantu mereka bergelar pemain piano profesional sebagai karier. "Inilah peluang dan kesempatan terbaik untuk bakat muda ini menunjukkan kebolehan bermain piano dalam kelas antarabangsa dan seterusnya membanggakan negara," katanya pada sidang akhbar di Hotel Maya, Kuala Lumpur. Sidang media ini juga dihadiri Naib Presiden Persatuan Chopin Malaysia, Datin Alissa Fitri Hisham dan Pengarah Music Persatuan Chopin Malaysia, Profesor Snezana Panovska dan Penaung Pertandingan, Tun Dr. Siti Hasmah. Beliau turut menerima cek berjumlah RM10,000 sumbangan Ahli Lembaga Pengarah Bangkok Bank, Datuk Ruslan Khalid bagi menjayakan pertandingan ini. Pertandingan ini juga berjaya menarik penyertaan 96 peserta dari Ukraine, Jepun, China, Australia, Hong Kong, Taiwan dan Kuwait. Malaysia akan diwakili oleh 3 peserta iaitu Chiew Zhi Hong, Clara Gan dan Brian Ting. Kata Tunku Munirah, kesempatan ini juga perlu diambil oleh peserta muda negara bagi mempelajari teknik-teknik yang baik daripada mentor berlainan negara. Malah mereka juga dapat berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan peserta dari negara lain dan merancang kerjasama untuk mempromosi muzik ke peringkat global. "Dalam pertandingan kali ini, 7 panel juri terdiri dari pemain piano profesional dan profesor piano dari Malaysia, Poland, Korea, Singapura, Russia, Amerika Syarikat dan Vietnam akan menilai peserta yang bertanding," katanya. Sementara itu, ketiga-tiga bakat muda ini memberitahu sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melakukan yang terbaik bagi menaikkan nama negara. Mereka juga akan menggunakan peluang menyertai pertandingan ini untuk menimba pengalaman bagi memantapkan skil masing-masing. Kenneth Teh Kien Huat, 24, gembira berpeluang mengadakan persembahan dalam Konsert Gala Pembukaan pada 23 November di Dewan Filharmonik Petronas. Dia mula bermain piano sejak berusia enam tahun dan pernah berguru dengan Profesor Snezana Panovska selama dua tahun sebelum mengambil Ijazah Sarjana dalam jurusan muzik di Tchaikovski Konservatori Music, Russia. "Saya baru tiga bulan balik ke Malaysia dan mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas adalah satu peluang yang sangat bernilai. Semua orang teringin beraksi di sini. "Persembahan saya akan diiringi oleh quartet dari Poland seramai 4 orang. Kami akan mempersembahkan lagu-lagu Chopin. Saya berjanji akan buat yang terbaik," katanya yang banyak menimba pengalaman ketika belajar. Mereka yang berminat menyaksikan kehebatan bakat-bakat muda ini boleh berkunjung ke Panggung Bandaraya kerana tiada tiket masuk dikenakan. Bagaimanapun tiket untuk menonton Konsert Gala Pembukaan boleh didapati
Bagi yang berminat menonton Konsert Gala Penutup pada 28 November, boleh mendapatkannya dari Symphonia Academy of Music di talian 03-90580104/ 03-90561912, Allegro Music & Arts Sdn. Bhd. (03-42515780) dan Twinkle Piano Sdn. Bhd. (016-2522855/ 03-78763244). Sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi Felicia Chen di talian 012-665 7863 ataupun emel kepada chopinmalaysia@yahoo.com. Maklumat mengenai pertandingan ini juga boleh didapati menerusi laman web www.chopinsociety.com.my |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |