Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sam tidak menduakan BunkfaceBAND Bunkface tidak ada kurangnya. Popular, meraih pelbagai anugerah dan menerima tawaran persembahan sehingga ke luar negara, tetapi nampaknya itu semua tidak mencukupi buat vokalis Bunkface, Sam. Baru melahirkan sebuah album berjudul Phobia Phoney, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd. Baharom 'meninggalkan' teman-teman seperjuangannya dalam Bunkface, Youk (pemain gitar bass) dan Paan (pemain gitar utama) dengan menubuhkan band baru, The Azenders. Malah, lagu single pertama The Azenders berjudul Ladies And Gentlemen telah pun berkumandang di corong-corong radio dan tidak lama lagi bakal menyusul single kedua berjudul Peribadi. Tidak melatah apatah lagi menyalurkan tanda amarah, Sam yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini hanya tertawa apabila disoal tentang berita dia meninggalkan Bunkface. Katanya dalam senyuman meleret: "Mana ada tinggalkan Bunkface. Bunkface tetap ada, The Azenders adalah projek solo saya bersama beberapa teman yang lain. "Rasanya ramai juga pemuzik membikin projek seperti ini walaupun mereka telah mempunyai sebuah band yang dikenali." Tambah Sam yang berusia 23 tahun, tujuannya melahirkan The Azenders bukanlah untuk mencari keuntungan atau populariti yang lebih daripada Bunkface tetapi demi kepuasannya berkarya dalam muzik. BELUM benar-benar menandatangani sebarang tawaran syarikat rakaman dari luar negara, Bunkface menunggu surat hitam putih agar perjalanan grup ini di luar kelak tidak diperlekehkan. "Semuanya perlu diteliti," ujar mereka. Baginya Bunkface tiada gantinya begitu juga dengan teman-teman di dalam band itu, cuma mindanya memerlukan ruang yang lebih luas untuk melampiaskan idea kreatifnya itu. "The Azenders wujud kerana saya hanya ingin kepuasan dalam membikin muzik. Bunkface mempunyai imej dan bunyinya yang tersendiri, sangat berbeza dengan The Azenders. "Meskipun The Azenders masih menyalurkan irama rock, kepada mereka yang telah mendengar lagu pertama kami, akan tahu perbezaannya," jelas Sam tentang band yang ditubuhkan 3 bulan lalu itu. Sungguhpun masih baru, semua ahli di dalam The Azenders, Kudut (dram), Izal (bass) dan Ajam (strings) yang juga mempunyai band mereka sendiri selain The Azenders sudah lama mengenali antara satu sama lain. "The Azenders merupakan band kedua setiap ahli, jadi rasanya tidak ada isu yang harus diperbesarkan kerana kami bersatu hanya kerana muzik," tutur Sam. Disoal tidakkah sukar untuk mengimbangi masa antara Bunkface dan The Azenders, jawab Sam: "Saya memang kena pandai membahagikan masa antara dua band tetapi saya akan memberi keutamaan pada Bunkface kerana ia adalah band saya manakala The Azenders merupakan projek solo. "Setakat hari ini semuanya berjalan lancar dan saya masih sibuk bersama Bunkface, apa-apa pun kami akan berbincang," katanya. Youk dan Paan yang berada duduk di sebelah Sam juga menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang diperkatakan Sam, malah tiada rasa cemburu bersarang di hati. "Tiada halangan daripada kami, selagi dia boleh bahagikan komitmen kami beri sokongan seratus peratus. Kami tidak cemburu dan mendoakan kejayaan The Azenders. "Mungkin pada masa depan kami juga akan membikin projek solo seperti ini, jadi kami tidak boleh menghalang Sam untuk berkarya," luah Youk. Andai pada masa depan The Azenders menjadi pesaing terdekat Bunkface, bagaimana pula kedudukan Sam ketika itu? HUJAN dan Bunkface, dua grup yang bakal menghangatkan Anugerah Shout! malam ini. Balas Sam: "Sekarang ini saya tidak boleh cakap apa-apa kerana ramai lagi yang tidak kenal The Azenders. Popular atau jadi pesaing, itu terletak di tangan peminat." Lebar sayap ke Eropah Saat temu bual dijalankan mereka bertiga baru sahaja pulang dari United Kingdom, England kerana mengadakan persembahan di O2 Academy Music Festival anjuran Jar Music Group. Selama sembilan hari di sana, mereka sempat meraih pengalaman dengan melihat cara kerja band-band antarabangsa yang lain. Malah, kehadiran pemuzik dari Klang, Selangor itu juga menjadi perhatian banyak syarikat rakaman di sana. "Kami ada menerima tawaran daripada beberapa syarikat rakaman di sana yang berminat dengan muzik kami tetapi setakat ini belum ada surat hitam putih, jadi kami tidak boleh cakap lebih-lebih.
"Ikut hati mahu tandatangan sahaja kontrak di sana tetapi banyak perkara yang perlu diambil kira dan diteliti sebelum menandatangani sebarang kontrak. Kalau ada rezeki, syukur alhamdulillah," ujar Sam. Bercerita lanjut tentang kunjungan mereka ke United Kingdom, masing-masing menunjukkan kasut yang di sarung mereka. "Kasut ini kami beli di sana, rekaannya unik dan harganya agak mahal sebab duit mereka tinggi lima kali ganda daripada duit Malaysia. "Selain itu, kami juga ada beli baju dan purata seorang menghabiskan wang sebanyak RM4,000. Jumlah itu termasuk semua perbelanjaan kami di sana," kata Paan. | ||
Separuh akhir Bintang Klasik Nasional Posted: Separuh akhir Bintang Klasik NasionalOleh HARYATI KARIM INILAH 12 daripada 24 peserta separuh akhir pertandingan Bintang Klasik Nasional. IRAMA klasik tidak lapuk ditelan waktu. Meskipun irama klasik sering dikaitkan dengan mereka yang mencecah usia emas, namun, kini semakin ramai anak muda yang tertarik dengan keindahan irama yang cukup popular sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an. Nama-nama penyanyi seperti Puan Sri Saloma, Fazidah Jonet, Sanisah Huri, Datuk Sharifah Aini, Datuk Ahmad Jais dan Tan Sri P. Ramlee antara nama penyanyi yang cukup popular ketika era kegemilangan mereka dan lagu-lagu dendangan mereka sering menjadi pilihan dalam pertandingan Bintang Klasik Nasional yang diadakan setiap tahun. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang mana hanya peserta peringkat akhir akan muncul di kaca televisyen, kali ini peringkat separuh akhir juga disiarkan ditelevisyen. Seramai 24 peserta yang bersaing dalam peringkat akhir tetapi cuma 12 orang sahaja yang telah dipilih untuk ke peringkat akhir. Menemubual 12 orang daripada 24 orang peserta yang layak ke peringkat akhir benar-benar membuktikan irama klasik juga begitu mekar dalam jiwa orang muda. Buktinya Danie Hasbullah Mohd. Razi berusia 16 tahun merupakan peserta paling muda yang menyertai pertandingan ini. Remaja yang berasal dari Klang, Selangor itu menyifatkan pertandingan seperti ini sesuatu yang cukup bermanafaat. "Selain ia sebuah pertandingan untuk merebut hadiah utama, pertandingan ini juga dapat memartabatkan lagi lagu-lagu lama yang semakin dilupakan. Saya sendiri amat meminati irama klasik walaupun saya seorang remaja," tuturnya. Dibahagikan kepada enam zon berlainan iaitu Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sabah dan Sarawak, dua wakil setiap zon iaitu juara dan naib juara kategori lelaki dan kategori wanita bakal beraksi di peringkat separuh akhir. Selain Danie, peserta lain yang turut bertanding adalah Hasfareza Harun (Kedah), Nur Syazwani Abu Zarin (Negeri Sembilan), Nur Idayu Mohd. Sopiee (Johor), Norakmazulaika Abd. Khalid (Pahang), Masitah Mohd. Airani (Sarawak), Siti Naqiah Mohd. Abdul Tahar (Sabah), Fitri Hakim Omar Walid (Perak), Muhammad Fadzli Abdul Wahab (Melaka), Syamsul Nizam Ali (Pahang), Merazan Mechang (Sarawak) dan Fazrul Misran (Sabah). Bagi Nur Idayu dari Johor yang merupakan pemenang naib johan Idola P. Ramlee dan Saloma 2007 serta naib johan Lagu Melayu Asli 2009, penyertaannya dalam pertandingan Bintang Klasik Nasional bukanlah yang pertama. Pernah mencuba nasib pada tahun 2008, dia bagaimanapun gagal meraih sebarang tempat tiga teratas. Tidak berputus asa dan mahu mencuba nasib lagi pada tahun ini, Nur Idayu mengharapkan nasib akan menyebelahinya tahun ini. "Saya memang minat irama asli dan klasik kerana kebanyakan pertandingan nyanyian yang saya sertai adalah pertandingan lagu-lagu klasik dan asli. Sebenarnya bukan mudah untuk bawakan lagu-lagu lama berbanding lagu moden kerana ia banyak lenggok. "Dalam pertandingan ini saya lihat kesemua peserta mempunyai kelebihan tersendiri dan kebanyakan mereka merupakan juara di negeri masing-masing. "Jadi, saya cuma mengharapkan kepada rezeki dan nasib, andai tahun ini bukan rezeki saya, saya pasti akan cuba lagi pada tahun hadapan," kata pemilik Sarjana Muda Pengurusan itu lagi.
Peringkat separuh akhir yang telah dirakamkan pada 6 November lalu, akan ditayangkan buat tontonan penonton pada hari ini di TV2, manakala, peringkat akhir pula akan disiarkan secara langsung di TV1 pada 28 November ini. Pertandingan akhir akan berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sg. Gadut, Seremban, Negeri Sembilan bermula pukul 8.30 malam. Bagi penduduk di kawasan sekitar yang berminat memeriahkan lagi pertandingan ini, mereka dialu-alukan untuk melihat pertandingan ini secara langsung di auditorium. Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang pada peringkat akhir ialah wang tunai RM15,000 kepada juara, manakala naib johan menerima wang tunai RM10,000 dan pemenang ketiga memperolehi wang tunai RM5,000 selain masing-masing akan menerima trofi dan sijil penghargaan. Bagaimanapun, peserta yang gagal mendapat tempat pertama hingga ketiga, mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong sebaliknya akan menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |