Adsense

Sabtu, 20 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Sedia berlakon filem Bollywood

Posted: 19 Nov 2010 06:27 AM PST

SELAIN aktor Daniel Radcliffe dan Rupert Grint, trio bintang utama filem Harry Potter tak lengkap tanpa aktres jelita, Emma Watson. Bahkan, bagi peminat setia filem ahli sihir muda ini pastinya sudah sinonim dengan tiga nama itu sejak 2001.

Malah, setiap tahun fenomena Harry Potter akan melanda seluruh dunia dengan kesinambungan sirinya yang cukup menarik dan hebat. Lebih membanggakan Hollywood apabila filem pengembaraan ini mencatat kutipan 'pecah panggung'.


Hanya bersandarkan satu filem juga, pelakon Harry Potter tersenarai dalam kelompok remaja terkaya Hollywood. Malah, pendapatan Emma atau nama sebenarnya, Emma Charlotte Duerre Watson tahun ini saja sebanyak RM105.4 juta ($AS34 juta).

Apapun, seiring dengan peningkatan usianya Emma muncul dengan gaya berbeza dan unik setiap tahun. Bahkan, pada tayangan perdana filem baru Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 1 di New York, baru-baru ini, Emma tampil berambut pendek.


Menerusi penampilan baru itu juga, Emma dilabelkan 'ikon fesyen' Hollywood. Bagaimanapun, pelakon kelahiran Britain ini memaklumkan dia berasa gementar dengan jolokan diterima. Ujarnya dia sekadar bergaya seperti gadis kolej.


"Apa yang saya gayakan ini biasa saja, sama sebagaimana di kolej. Saya memang tak suka mengambil masa lama untuk berhias. Saya seorang yang sangat malas bersolek. Asalkan ia ringkas dan selesa, saya pakai saja.

"Saya tak sangka pula dengan bergaya seperti ini boleh dilabel sebagai 'ikon fesyen'. Bagi saya, fesyen ini sesuai dengan usia. Pada usia 20 tahun sekarang, saya fikir dipilih tidaklah keterlaluan dan paling penting menyerlahkan penampilan.


"Padanan gaun yang digayakan ini sangat tepat untuk saya muncul pada majlis tayangan perdana filem. Ini kerana, saya sedaya-upaya berusaha tidak mahu mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk bergaya. Tak perlu boros untuk kelihatan cantik.

"Perkara penting dan utama bagi saya adalah perasaan gembira hadir pada majlis itu. Justeru, tolong jangan labelkan saya sebagai 'ikon fesyen' kerana gelaran itu terlalu besar dan bermakna. Malah, saya sangat gementar dengan jolokan ini," katanya.


Emma berumur 11 tahun ketika dia mula membintangi filem pertama Harry Potter And The Sorcerer's Stone, sembilan tahun lalu. Katanya dia membesar dengan filem itu dan wajar baginya mempelbagaikan penampilan untuk tonjolkan kematangan.


"Saya tidak boleh terus bergaya seperti kanak-kanak kerana zaman itu sudah lama berlalu. Malah, peminat Harry Potter sendiri pun sudah sedia maklum watak Hermione Granger semakin meningkat dewasa. Saya perlu ambil kira banyak sudut.


"Oleh itu, saya seronok dengan proses kematangan dilalui sekarang. Bahkan, saya tidak nafikan tahap keyakinan diri juga kian meningkat. Saya tahu apa yang diinginkan dalam hidup ini dan diharap semoga berjalan dengan lancar.


"Bagaimanapun, penampilan ini juga adalah kejutan saya buat peminat. Melihatkan ramai yang teruja, saya berasakan sudah berjaya tampil dengan imej baru. Emma Watson mampu bergaya ringkas dan serba sederhana," katanya.

Tersenarai dalam kelompok salah seorang aktres seksi United Kingdom (UK), Emma berkata dia menyimpan impian untuk menyambung pelajarannya di kolej semula. Katanya, belajar di kampus dan berbasikal bersama rakan sekelas sangat menyeronokkan.


"Ia pengalaman yang sangat bermakna. Suasana berbasikal bersama rakan ke kampus ini pernah saya tonton dalam beberapa filem Bollywood. Oleh itu, jujurnya saya tidak malu mengaku kagum dengan industri perfileman Bollywood yang ceria.

"Biarpun garapan babak nampak ringkas seperti mengayuh basikal, ia sebenarnya begitu menyentuh perasaan. Bagi saya, ia sangat seni termasuk aksi tariannya. Pergerakan kaki yang nampak cantik itu bukanlah mudah dan perlu dipelajari," katanya.


Apakah dia mahu berlakon di Bollywood? Emma berkata, sehingga kini tiada tawaran diterimanya. Apapun, seandainya peluang itu datang, dia takkan menolak dan sedia untuk mencuba. Jelasnya, manalah tahu ada rezeki suatu hari nanti. Menurut Emma, jika dia berpeluang bekerja dengan produksi India, sudah pasti dia mengharapkan karakter yang benar-benar menguji kemampuan. Namun, yang penting dia perlu yakin dengan apa dilakukannya.


Mengenai filem Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 1 yang kini sudah menjengah pawagam tanah air adalah siri kemuncak pertama sebelum bahagian keduanya ditayangkan 15 Julai 2011 di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan UK.


Dalam filem arahan David Yates ini juga banyak aksi, drama dan ilmu sihir dipaparkan untuk tatapan penonton. Kisah penuh debaran bermula apabila Harry dan rakannya berdepan situasi bahaya dalam hutan yang menyimpan 1,001 rahsia dan misteri.


Selain itu, tiga ahli sihir muda terbabit perlu berdepan dengan musuh tradisi mereka, Lord Valdermont yang bermaharajalela melebarkan kekejamannya. Bukan itu saja, pengajian Harry bersama Hermione dan Ron juga terkandas di Hogwarts.


Semuanya berpunca disebabkan kejatuhan Kementerian Magik dan kebangkitan kuasa jahat Lord Valdermont. Mampukah Harry mengubahnya? Apakah yang berlaku seterusnya dalam filem aksi yang diadaptasi dari buku tulisan JK Rowling ini?

>PROFIL:
NAMA: Emma Charlotte Duerre Watson
PANGGILAN KOMERSIAL: Emma Watson
TARIKH LAHIR: 15 April 1990
UMUR: 20 tahun
TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis
KARIER: Aktres, model
AKTIF BERLAKON: Pada 2001
JUMLAH PENDAPATAN 2010: RM105. 4 juta (AS 34 juta)
FILEM: Harry Potter And The Philosopher's Stone (2001), Harry Potter And The Chamber Of Secrets (2002), Harry Potter And The Prisoner Of Azkaban (2004), Harry Potter And The Goblet Of Fire (2005) Harry Potter And The Order Of The Phoenix (2007), Ballet Shoe (2007) The Tale Of Despereaux (2008), Harry Potter And The Half-Blood (2009), Harry Potter And The Deathly Hallows : Part 1 (2010), Harry Potter And The Deathly Hallows : Part 2 (2011) dan My Week With Marilyn (2011)
PENCAPAIAN: Young Artist Awards (2002), Otto Awards (2003, 2004), Total Film (2004), ITV National Film Awards (2007), UK Nickelodeon Kids' Choice Awards (2007), Constellation Award (2008), Otto Awards (2008) dan SyFy Genre Awards (2008)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

32 ilham terbaik Kak Chah

Posted: 19 Nov 2010 06:26 AM PST

BAGI pencinta dunia seni tanah air nama penulis lirik, Habsah Hassan, 61, tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan hanya berbakat dalam penulis lirik malah Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah pernah menulis beberapa karya skrip drama televisyen dan filem menarik seperti Hati Bukan Kristal, Soal Hati, Soalnya Siapa serta menghasilkan cerita dan lakonan layar untuk filem Qaisy & Laila.

Sentuhannya dalam penghasilan lirik juga terbukti apabila kebanyakan lagu ciptaannya mencatat sejarah dan menerima anugerah. Kerjasama Kak Chah bersama beberapa komposer terkenal tanah air juga mendapat maklum balas pelbagai daripada pendengar. Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian Alyah yang dihasilkan dengan kerjasama Ajai turut mencatat sejarah tersendiri.


Pembabitan dalam penulisan lirik sejak lebih tiga dekad lalu membuatkan wanita yang mencatat sejarah sebagai penulis lirik lagu pertama yang dianugerahkan Piring Emas (Gold Disc) oleh Syarikat Rakaman WEA di Kuala Lumpur pada 1984 kerana berjaya menghasilkan paling banyak lirik lagu kesukaan ramai. Lirik lagu yang dihasilkan bukan hanya menyentuh perasaan dan berbekas di hati pendengar. Menurut Kak Chah dalam penghasilan lirik yang baik dia tidak mempunyai petua atau rahsia untuk menghasilkannya memandangkan ia antara kegiatan yang diceburi sejak sekian lama. Malah menganggap bidang seni diceburi itu sentiasa berkaitan dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan kaum.

"Pokok pangkal perasaan. Saya memang tidak ada rahsia dalam menghasilkan karya. Setiap karya yang saya hasilkan membabitkan perasaan seperti kisah dikhianati, suka, marah, berani dan sedih. Begitu juga apabila menyebut soal cinta kerana cinta cukup meluas membabitkan semua pihak. Cinta bukan hanya pada seseorang malah pada Yang Maha Esa, alam dan sebagainya.


"Apa yang lebih penting seseorang yang mahu menceburi bidang ini perlu ada bakat menulis. Bakat juga satu kelebihan. Bakat dalam penulisan juga perlu diasah. Seseorang itu perlu mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi. Suka mendengar dan rajin membaca. Apa yang saya sering lakukan ketika menghasilkan karya adalah mengikut naluri perasaan. Ada juga kisah yang ditulis dalam karya lagu membabitkan kisah dan pengalaman hidup saya sendiri serta kenalan," katanya.


Menyorot pembabitan Kak Chah dalam penulisan lirik dia menjelaskan peluang untuk mencuba bakat dalam penulisan lirik datang daripada komposer terkenal, Din Osman. Pada mulanya dia agak keberatan, namun dengan bakat dan pengalaman menulis skrip drama yang ada padanya, dia akhirnya bersetuju menerima pelawaan Din Osman. Maka, terhasillah lirik Terkenang nyanyian Zulkiflee Ahmad (juara bintang RTM 1975) manakala melodinya dicipta Ooi Eow Jin pada 1976. Kak Chah kemudian menghasilkan lirik untuk Allahyarham Sudirman Arshad, Salamiah Hassan dan Dahlan Zainuddin yang bernaung di bawah label Warnada. Antara lirik terawalnya adalah Teriring Doa dan Suratku Yang Ini (Sudirman), Tak Guna Dikesalkan (Salamiah Hassan) dan Ditinggalkan (Dahlan Zainuddin).

Ditanya mengenai perbezaan lirik karya dulu dan sekarang, Kak Chah mengakui terdapat perbezaan termasuk daripada segi bahasa dan pendekatan. Mungkin disebabkan zaman. Berbanding pendekatan karya dulu kebanyakan membabitkan bahasa kiasan manakala sekarang yang kebanyakan lirik atau bahasa yang digunakan lebih jelas. Situasi itu mungkin disebabkan peredaran zaman. Muzik dan lirik bagaimana fesyen dengan pelbagai rentak serta melodi.


Baginya ia adalah lumrah, tinggal lagi cabaran yang perlu diharungi karyawan seni ialah memastikan lirik lagu yang dihasilkan benar-benar bertahan lama.

"Untuk menghasilkan lagu yang bagus dan sedap didengar mungkin tidak sukar. Namun, untuk memastikan lagu itu bertahan dan terus terpahat di hati pendengar cukup sukar. Sejauh mana lagu itu dapat diterima pendengar dalam jangka masa yang lama," kata kak Chah ketika ditemui pada majlis sidang media dan pelancaran album Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.


Hadir sama pada majlis itu komposer terkenal, Adnan Abu Hasan; penyanyi, Francisca Peter; Erra Fazira dan Razis Ismail. Album diedarkan syarikat rakaman Warner Music memuatkan 32 lagu popular lirik karya Kak Chah. Lagu dalam album itu dipilih berdasarkan koleksi lagu yang dipegang hak ciptanya oleh Warner Chappell Malaysia. Lagu yang dimuatkan dalam album ini antaranya Merisik Khabar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Aku Hanya Pendatang (Francisca Peter), Wajah Rahsia Hati (Fauziah Ahmad Daud), Kau Yang Tersendiri (Jay Jay), Sendiri (Jamal Abdillah) dan Suratan Atau Kebetulan (Kenny Remy & Martin). Album yang dijual pada harga RM26.90 seunit yang mengandungi dua cakera padat (CD) sudah berada di pasaran sejak dua bulan lalu. Kak Chah turut tampil bersama album kompilasi Sudirman - Jauh Di Sudut Hati pada 1992 dan Coretan Habsah Hassan 1994.


Sementara itu, Pengurus Strategik Domestik Warner Music Malaysia, Larry Yusof berkata usaha menghasilkan album itu sudah dirancang sejak empat tahun lalu, tetapi hanya terlaksana pada tahun ini. Pemilihan Habsah Hassan pula kerana karyanya yang menarik selain lagunya juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.


"Daripada ratusan lagu Kak Chah, hanya 32 lagu dipilih kerana kami melihat kepada nilai komersial terhadap lagu itu yang mempunyai daya penariknya sebagai sebuah karya 'evergreen'. "Walaupun dia ada banyak lagu popular, buat masa ini kami hanya memilih rangkaian lagu yang dimiliki Warner Chappell Malaysia terlebih dulu. Tidak mustahil jika dapat sambutan, lagu Kak Chah yang dimiliki syarikat lain juga akan diterbitkan," katanya.


Walaupun sambutan masyarakat terhadap pembelian album tidak menentu, pihaknya menaruh keyakinan tinggi album berkenaan akan mendapat maklum balas positif daripada peminat berdasarkan senarai nama besar dalam dunia seni suara serta judul lagu yang dinyanyikan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.