Adsense

Sabtu, 20 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mempelai jalanan

Posted: 19 Nov 2010 04:41 PM PST

Hip

Konsep tarian jalanan, hip hop jadi konsep persandingan unik pasangan Saiful Nizam-Nadia

DALAM masyarakat Melayu, majlis persandingan bertemakan tradisional sudah menjadi sebahagian daripada identiti bangsa yang diwarisi turun-temurun. Bermula dengan persalinan busana raja sehari, konsep hantaran, pelamin, menu hinggalah bunga telur, semuanya bercirikan budaya Melayu yang kaya dengan kelembutan dan kesopanan.

Sesuai dengan peredaran semasa, ada pasangan mempelai memilih kelainan dengan menyuntik elemen moden dalam majlis persandingan. Ini boleh dilihat melalui rekaan pelamin, gubahan hantaran atau persandingan berkonsep taman. Namun, bagaimana pula andai majlis persandingan yang dianjurkan berkonsep gaya hidup muda-mudi masa kini iaitu tarian jalanan? Bukan lagi mustahil kerana pasangan mempelai, Saiful Nizam Aziz, 32, dan Nadia Mohd Khalil, 25, baru-baru ini mencipta sejarah dengan menerapkan elemen muzik hip hop dan tarian jalanan pada majlis persandingan mereka yang penuh warna-warni.

Detik persandingan Saiful Nizam-Nadia yang berlangsung di Indoor Skate Park Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur, mendapat sambutan di luar jangkaan. Malah, perkahwinan mereka mendapat tajaan luar biasa daripada pelbagai pihak dek kelainan konsep persandingan yang ditampilkan.

Ketika sisipan Sabtu menjejaki pusat aktiviti ekstrem itu, suasana berubah umpama karnival dengan sebahagian besar tetamu tampil sporting dengan busana jalanan dan ceria sepanjang majlis berlangsung.

Mengulas idea konsep street wedding yang ditampilkan, Saiful Nizam yang juga Presiden Persatuan Sukan Bboy Malaysia, berkata idea spontan itu tercetus awal tahun ini. Tambahan pula, beliau sendiri cukup meminati aktiviti sukan ekstrem dan tarian jalanan.
Saiful Nizam berkata, beliau bagaimanapun berdepan cabaran kerana perlu meyakinkan Nadia yang cukup meminati konsep persandingan dalam taman agar memilih tarian jalanan sebagai tema majlis persandingan mereka.

"Nadia seorang jurumekap. Jadi, Nadia lebih cenderung menganjurkan majlis perkahwinan bertemakan bunga-bungaan dan konsep persandingan dalam taman. Sedangkan, saya pula jenis yang suka dengan sesuatu yang berbeza untuk dikenang sepanjang hayat.

"Bukan tidak boleh bersanding dalam taman, tapi bagi saya ia sudah biasa dilakukan. Disebabkan itulah, Nadia dan saya sepakat menampilkan konsep persandingan street wedding yang pertama di Malaysia," kata Saiful Nizam yang mendapat tajaan dari Redbull, Adidas dan Orion Motor untuk majlis persandingan mereka.

Selain tiga tajaan besar, pasangan mempelai itu juga diberi lampu hijau menganjurkan majlis bersejarah itu di pusat Indoor Skate Park Rakan Muda Bukit Kiara dengan mendapat tajaan penuh pengurusan kompleks.

Ditanya pandangan keluarga dan rakan-rakan tatkala Saiful Nizam mengusulkan idea persandingan street wedding, dalam nada ketawa, anak muda kreatif ini berkata, pada mulanya keluarga terkejut dengan konsep persandingan itu kerana tidak pernah dilakukan.

Namun, akhirnya keluarga menerima malah memberi sokongan kerana menyedari minat Saiful Nizam dalam sukan ekstrem termasuk tarian breakdance dan hip hop. Saiful Nizam tambah teruja kerana keluarga Nadia dari Australia juga sporting dengan idea persandingan itu.

"Rakan-rakan dan peminat sukan ekstrem dari seluruh negara turut teruja dan mula mencanang lebih awal tarikh persandingan saya. Melihat kepada kesungguhan itu, semua urusan berjalan lancar hingga ke akhir majlis persandingan," katanya.

Sementara itu, Nadia berkata, beliau dan Saiful Nizam memperuntukkan tempoh seminggu bagi merealisasikan keseluruhan konsep persandingan meliputi konsep pelamin, barang hantaran dan mengubah indoor skatepark itu.

Sambil mengakui dirinya cukup berdebar menanti detik persandingan dengan idea luar biasa Saiful Nizam, Nadia bagaimanapun gembira dengan hasil serta reaksi tetamu pada malam bersejarah itu.

"Adatlah dalam setiap majlis, tentu ada lebih dan kurangnya. Namun, saya memang tidak sangka Saiful Nizam benar-benar mahukan konsep persandingan street wedding kerana saya fikir, beliau main-main. Tidak sangka rupanya beliau serius membuatkan saya akur dan memberi sokongan.

"Jika hendak diikutkan secara keseluruhan, memang Saiful Nizam mahu keseluruhan konsep perkahwinan ini beridentiti gaya hip hop. Ini termasuklah dari aspek pakaian sukan, pelamin dibina daripada batu-bata dengan basikal sebagai props.

"Namun, bagi mengimbangi minat saya, akhirnya kami sepakat memasukkan unsur moden kontemporari pada pelamin, hantaran dan persalinan kami," katanya.

Nadia yang anggun mengenakan gaun hitam merah manakala Saiful lengkap dengan sut hitam dan merah mencuri perhatian tetamu pada malam itu. Pasangan pengantin sporting apabila Saiful Nizam mempersembahkan tarian breakdance sambil Nadia setia di sisi melihat gelagat suami tersayang.

Selepas sering disajikan dengan pelbagai konsep persandingan tradisional serta moden kontemporari, rasanya tidak salah andai sesekali berfantasi pada hari bersejarah untuk dikenang sampai bila-bila.

Terlepas peluang lakukan sky dive

JIKA mengikut idea asal Saiful Nizam dan Nadia, mereka sebenarnya mahu melakukan terjunan udara pada majlis persandingan mereka sebelum diarak melalui konvoi motosikal scrambler ke dewan.

Namun, hasrat itu dilupakan selepas insiden kemalangan terjunan udara di Alor Star, Kedah, beberapa bulan lalu menyebabkan Saiful Nizam dan Nadia terfikir ia mungkin tidak sesuai diadakan.

"Saya akui agak kecewa kerana mengikut idea asal, memang cukup hebat bagi saya jika dapat melakukan terjunan udara. Bukan saja helikopter sudah ditempah, malah laluan ke Indoor Skate Park juga ditutup untuk dijadikan tapak kami mendarat.

"Namun, saya percaya pasti ada hikmah di sebalik kejadian di Alor Star hingga kami membatalkan hasrat itu," kata Saiful Nizam.

Mengiringi ketibaan konvoi bermotor, kumpulan genderang memecah kesunyian melalui persembahan muzik menggantikan upacara kompang yang sering ditampilkan pada majlis persandingan.

Menambah warna acara persandingan, tetamu juga diberi kebebasan bergaya tanpa segan silu menggayakan persalinan santai serta berimejkan hip hop.

Biarpun menu hidangan masih mengekalkan nasi beriani sebagai juadah utama, tetamu juga diberi minuman bertenaga Red Bull yang menjadi penaja utama majlis. Adidas juga bermurah hati memberi cenderahati kepada setiap tetamu.

Menggantikan kugiran pada segmen hiburan, Saiful Nizam dan Nadia menampilkan persembahan tarian breakdance dan hip hop. Kumpulan muzik hip hop, One Nation Emcees pula menghangatkan suasana dengan persembahan memikat.

Antara keunikan persandingan Street Wedding

  • Mempelai tiba konvoi motosikal scrambler seramai 20 orang. Motosikal Orion 250cc yang ditunggang Saiful Nizam yang ditaja Orion Motor bernilai lebih RM15,000.
  • Paluan kompang digantikan dengan alat muzik percussion ketika menyambut ketibaan pengantin.
  • Pencak silat digantikan dengan persembahan tarian breakdance.
  • Persembahan hebat kumpulan hip hop terkenal, One Nation Emcees menghangatkan malam.
  • Persembahan tarian kumpulan penari seperti Wakaka, Floor Fever dan HMC Phlow menghidupkan tema konsep tarian jalanan pada majlis persandingan.
  • Bunga telur digantikan dengan pemberian cenderahati dari Adidas serta minuman bertenaga Redbull.
  • Kek perkahwinan menampilkan reka bentuk tin minuman Redbull.
  • Pakaian sukan dan kasut sukan menjadi antara hantaran pasangan mempelai.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Si jelita yang terbuang

    Posted: 19 Nov 2010 04:19 PM PST

    Hip

    pix_gal0
    Animasi berdasarkan cerita dongeng rakyat diangkat dalam bentuk tiga dimensi

    KISAH dongeng gadis jelita yang berambut panjang dan tinggal bersama nenek kebayan di sebuah menara antara cerita pilihan kanak-kanak sejak dulu.

    Watak Rapunzel jarang menjadi bualan berbeza dengan watak sezamannya seperti Snow White dan Cinderella. Walaupun cerita Rapunzel tidak gah seperti cerita dongeng lain, namun kehidupan watak ini jauh lebih gigih. Kehidupannya sejak bayi hingga meningkat dewasa tidak seperti remaja lain.
    Rapunzel tidak pernah mengenali siapa diri dan keturunannya, namun lebih malang tidak mampu untuk berbuat apa-apa disebabkan terputus dengan dunia luar. Angan-angannya tinggi untuk mengecapi dunia sebenar di luar tetapi dihalang oleh Gothel iaitu nenek kebayan yang mengaku ibu kandungnya.

    Sejak bayi hingga berusia 18 tahun, kehidupan Rapunzel hanya di atas menara, namun kehidupannya tidak menunjukkan tekanan hidup yang dihadapi. Di usia remaja, Rapunzel masih seceria remaja lain dan ada kalanya kecewa dengan Gothel.

    Bayangkanlah apakah perasaan yang wujud sekiranya dia mengetahui yang dirinya adalah seorang puteri dan terpisah kasih sayang daripada ibu serta bapa kandungnya.
    Perwatakan yang dilahirkan itu mampu mengalirkan air mata lebih lagi adegan pertemuan bersama ibu dan bapanya. Karektor Rapunzel juga kuat dengan pelbagai permainan emosi termasuklah ceria, kecewa, marah, sedih dan romantik.

    Filem animasi yang ditayangkan sempena musim cuti sekolah ini dilihat sempurna dari segala aspek termasuklah jalan cerita, lagu, emosi dan karektor yang tidak terlalu sarat.

    Jalan ceritanya tidak banyak menyimpang dan teratur melengkapkan dari satu plot ke plot yang lain. Bagi mereka yang pertama kali menonton kisah Rapunzel tidak sukar memahaminya kerana dimulai dengan pengenalan watak daripada pencerita.

    Karektor Rapunzel yang pernah diilhamkan sebelum ini dari cerita klasik Jerman adalah seorang gadis jelita yang baik, bersopan dan tinggi penderia hidupnya, namun Rapunzel dilahirkan kembali ketika ini masih mengekalkan sifat yang sama tetapi dilihat lebih agresif dan berkeyakinan tinggi dalam menempuh cabaran di luar.

    Walaupun Rapunzel (menggunakan suara Mandy Moore) tidak pernah mengenali persekitaran kehidupannya sejak kecil sehingga dia berusia 18 tahun, namun kali ini dia dipadankan dengan karektor baru yang juga menjadi temannya sejak kecil iaitu seekor sesumpah yang taat dengannya.

    Karektor ini juga menarik dari segi kemunculannya biarpun tanpa dialog. Begitu juga dengan karektor kuda yang lincah dan sering menimbulkan masalah. Walaupun dia seekor kuda namun dia menganggap dirinya sebagai seekor anjing yang boleh menghidu di mana musuhnya berada.

    Tidak lengkap setiap cerita tanpa elemen cinta, lebih lagi Rapunzel yang juga sebenarnya adalah puteri jelita. Pertemuan pertama kali Rapunzel bersama seorang perompak yang cuba melarikan diri dan menceroboh ke kediaman Rapunzel melahirkan putik-putik cinta.

    Jejaka bernama Flynn Rider (Zachary Levi) sebenarnya bukanlah lelaki yang jahat tetapi terperangkap dengan tipu helah dua penjahat kembar.

    Pertemuan pertama Rapunzel dan Flynn Rider sudah menonjolkan sifat keberanian Rapunzel. Biarpun selama ini tidak pernah mengenali lelaki tetapi sifat keberanian dan keterbukaannya adalah karektor yang baik.

    Sifat keberanian dan keterbukaan yang cuba dipaparkan itu jugalah antara sifat dan kehidupan sebenar remaja hari ini.

    Menariknya filem yang dihasilkan dengan teknik tiga dimensi ini penuh dengan babak melucukan biarpun tanpa dialog yang cuba dicipta.

    Filem muzikal ini menyelitkan 11 lagu yang digubah kembali daripada lagu asalnya ciptaan Alan Menken dan lirik oleh Glenn Slater sekitar tahun 1960 dan digubah mengikut era kini.

    Sinopsis

    Rapunzel adalah puteri tunggal kepada pasangan diraja yang diculik oleh nenek kebayan bernama Gothel. Sejak kecil Rapunzel tinggi di kediaman Gothel yang terletak di atas sebuah menara yang tinggi. Dia tidak sebebas remaja lain kerana Gothel tidak pernah mengizinkan dia berhubungan dengan dunia luar.

    Rapunzel tidak pernah mengenali siapakah dirinya yang sebenarnya dan hanya mengetahui bahawa Gothel adalah ibu kandungnya.

    Sehinggalah dia berusia 18 tahun dan pertemuan dengan seorang jejaka yang tersalah memasuki menara yang didiaminya bernama Flynn Rider, Rapunzel mula mencurigai Gothel.

    Dengan memiliki keistimewaan iaitu rambut yang panjang melebihi 50 meter dan mampu membantunya di masa kesulitan, Rapunzel akhirnya berjaya menumpaskan Gothel yang cuba berniat jahat sejak menculik dirinya ketika bayi.

    Akhirnya dengan bantuan Flynn Rider dan seekor kuda, Rapunzel akhirnya dipertemukan dengan kedua ibu bapanya yang juga Raja di daerah yang didiaminya.

    Filem: Rapunzel: A Tangled Tale
    Terbitan: Walt Disney Pictures
    Pengarah: Byron Howard dan Nathan Greno
    Suara Karektor: Mandy Moore, Zachary Levi, Donna Murphy
    Genre: Animasi
    Durasi: 1 jam 20 minit
    Tarikh Tayangan: 25 November 2010


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.