Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Saham tinggi Shahz JaszleUSIANYA baru menjangkau 23 tahun tetapi gaya pertuturannya lebih matang daripada usia sebenar. Itu pandangan pertama saat bertemu dengan aktor Shahz Jaszle atau mesra disapa sebagai Shahz, satu nama yang semakin ranum dan harum dalam dunia seni. Sungguh namanya semakin mekar di hati peminat drama tempatan, namun dia tidak terkecuali menjadi mangsa kontroversi dunia siber. Gara-gara meletakkan gambarnya yang dirakam bersama aktres jelita Maria Farida sebagai gambar utama di laman sosial Facebook miliknya, Shahz dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan janda berusia 40 tahun itu. Meskipun tersentak sebentar dengan kontroversi tersebut, Shahz percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan ternyata terdapat arus positif sebalik kontroversi tersebut. Bukan sahaja namanya semakin popular dan dikenali ramai, malah dek kontroversi tersebut kehadirannya dalam dunia seni semakin dirasai, malah tawaran lakonan juga mulai semakin lebat. "Hanya kerana sekeping gambar yang saya letak sebagai gambar profil di BlackBerry Messenger (BBM) umum kecoh dan beri persepsi yang bukan-bukan. Walaupun gambar itu hanyalah satu gambar yang biasa, orang mula kecoh mungkin kerana usianya, sedangkan sebelum itu sudah banyak kali saya letak gambar saya bersama teman artis wanita yang lain tidak pula menjadi isu. "Sebenarnya ketika itu saya tidak sedar apa yang berlaku sehingga seorang teman saya beritahu yang gambar saya yang dirakam bersama Maria Farida bersepah di laman Internet. Saya terkejut kerana tidak sangka gambar sedemikian pun boleh jadi satu isu dan lama kelamaan saya rasa ia satu hal yang lucu kerana kami hanyalah teman artis bukannya ada sebarang hubungan istimewa,"tuturnya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena Pertandingan Kek Coklat di Hotel Crowne Plaza Mutiara, baru-baru ini. Aktres jelita yang turut terlibat dalam drama lakonan Shahz iaitu Asmara, turut terkejut apabila kontroversi gambar itu semakin besar. "Saya ada hubungi dia beritahu hal gambar itu dan dia pun terkejut apabila ia menjadi satu isu. Jalan yang terbaik ialah jangan beri sebarang komen, jika tidak hal yang kecil semakin diperbesarkan," luahnya yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tidak tertekan dengan kontroversi gambar itu atau mengambil pusing mengenai kata-kata berbaur negatif kepadanya, Shahz menjelaskan selepas apa yang berlaku baru dia sedar dan tahu asam garam bergelar artis. "Saya tidak rasa apa cuma banyak belajar cara-cara untuk mengelakkan sesuatu kontroversi daripada berlaku. Saya harus berjaga-jaga dengan setiap apa yang saya lakukan, ke mana kaki saya melangkah. Satu kesilapan sahaja, orang akan mula menjadikan ia satu isu besar. "Sejak itu, setiap gambar yang ingin saya letak di laman Facebook atau di mana-mana laman sosial, saya akan fikir dua, tiga kali. Teman-teman saya juga menasihati saya supaya jangan meletakkan gambar yang bukan-bukan takut hal yang sama akan berulang,"kata anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu lagi. Sungguhpun begitu, Shahz atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin tidak menafikan yang dia lebih mudah tertarik kepada wanita yang lebih usia daripanya, malah akuinya dia kini telah bercinta hampir setahun dengan kekasihnya yang juga lebih tua daripadanya. "Sebelum bercinta dengan kekasih saya sekarang, bekas kekasih saya juga lebih tua daripada saya. Bagi saya, bercinta dengan orang yang lebih tua lagi seronok sebab mereka lebih matang dan berfikiran luas.
"Saya jatuh cinta dengan orang yang lebih tua kerana personaliti dan cara dia membawa diri. Wanita yang lebih usianya tahu bagaimana mahu selesaikan sesuatu masalah kerana mereka berfikiran jauh serta senang diajak berbincang. "Pengalaman bercinta dengan kekasih yang lebih muda lebih susah, sebab pada usia begitu, mereka baru nak belajar pelbagai perkara dan adakalanya mereka sukar dan tidak faham situasi. Saya tidak kata semua wanita yang muda begitu, kerana ada juga yang berfikiran matang, apa yang saya ceritakan hanyalah daripada pengalaman saya sendiri," balasnya yang tidak kisah andai jodohnya tiba awal. Chef ke aktor Ramai yang tidak sedar, Shahz telah berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 2006 iaitu pada usia 19 tahun. Bermula dengan program Naratif Remaja terbitan RTM sehinggalah drama bersiri Tari Tirana yang benar-benar melonjakkan namanya, Shahz telah melalui pelbagai cabaran sebelum namanya dikenali. Cita-cita asalnya adalah untuk bergelar seorang Chef. Malah Shahz berpeluang mengambil sijil kursus hotel dan katering di Kolej Komuniti, Selangor, sebelum terjun ke dunia lakonan. "Tidak pernah terlintas untuk jadi pelakon sebelum ini. Mulanya saya hanya menemani seorang teman untuk sesi uji bakat program Naratif Remaja. Krew produksi meminta saya cuba sekali, kemudian saya terpilih. Jadi, sejak itu saya mula terlibat dengan dunia lakonan dan dalam masa yang sama mendapat tawaran peragaan. "Sambil saya belajar, berlakon sikit-sikit, saya juga pernah kerja sebagai pelayan di restoran TGI Friday. Selepas mendapat tawaran berlakon drama Luna Fantasiku, baru kerjaya lakonan saya semakin stabil dan mendapat tawaran drama Tari Tirana," katanya yang turut berlakon dalam drama Bionik. Andai kata, dia tidak bergelar seorang pelakon pada hari ini, jelas Shahz berkemungkinan besar dia telah bergelar seorang chef. Namun, dia bersyukur rezeki seninya memberinya satu petanda yang dia harus kekal sebagai pelakon. Bagaimanapun terdapat harga yang harus dibayarnya, privasi dirinya semakin hilang. Ke mana sahaja dia pergi, pasti diperhatikan. Malah, masa remajanya juga dihabiskan dengan bekerja keras. "Bila saya mula meraih pendapatan sendiri menerusi lakonan, privasi saya hilang. Kewujudan saya dalam masyarakat disedari tetapi pandangan mereka tidak sama seperti dulu. Jika dulu saya bebas ke mana-mana tanpa ada orang hiraukan saya tetapi sekarang sedikit berbeza. "Masa bersama teman-teman juga semakin kurang, saya sudah jarang keluar dengan mereka. Waktu kerja tidak menentu, tiada istilah cuti dalam kamus kerja saya hari ini. Waktu tidur memang lari, jadi saya akan tidur jika terdapat waktu terluang. Sebagai orang baru, saya berpijak di bumi yang nyata, rezeki saya hari ini tidak datang bergolek tanpa usaha keras dan restu kedua ibu bapa saya kerana mereka sering berpesan setinggi mana kejayaan saya, jangan lupa asal usul," ucapnya yang meminati lakonan Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi. Hasrat berlakon ditentang ayah Penglibatannya dalam dunia seni mencambahkan minatnya dalam bidang pembikinan drama dan filem. Mahu terus kekal dalam dunia seni, Shahz telah membuat perancangan untuk menambahkan ilmu di dada dan bergelar seorang pengarah satu hari nanti walaupun pada peringkat awal keluarga terutama ayahnya menentang keras hasratnya bergelar seorang pelakon.
"Saya mahu buktikan kepada ayah saya yang keputusan memilih bidang seni sebagai rezeki tidak salah. Saya boleh lakukannya dan akan menjadi seseorang yang mempunyai nama serta ilmu. Jadi, saya akan cuba yang terbaik kerana keluarga saya beranggapan bidang seni tiada masa depan. "Tetapi selepas melihat rezeki yang datang, mereka memberi sokongan. Apa yang harus saya lakukan adalah menimba sebanyak ilmu yang boleh dan saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang perfileman sama ada di Indonesia atau di Australia," ujarnya penuh semangat. Meminati filem aksi dan berharap akan terlibat dalam sebuah filem sedemikian, Shahz dilihat membina profil kerjayanya dengan baik. Tidak menerima banyak tawaran sekali gus dan pernah menolak tawaran yang dirasakan tidak sesuai, Shahz menegaskan dia bukanlah seorang aktor yang menerima apa sahaja tawaran yang datang. "Saya tidak mahu profil yang saya bina jatuh kerana saya berlakon dalam sebuah drama atau filem yang tidak sesuai dengan saya. Sebagai aktor saya tahu had diri saya sendiri. Jika watak itu terlalu berat dan tidak mampu saya bawa, saya akan tolak tawaran tersebut, begitu juga jika watak yang diberikan memang tidak kena langsung dengan saya. "Perkara pertama yang akan teliti adalah jalan cerita apabila dapat skrip, kalau ceritanya bagus, memang saya akan buat. Saya bukan demand tetapi penapisan itu perlu untuk profil kerjaya. Sebenarnya saya langsung tidak menyangka akan diberi watak utama dalam beberapa buah drama, jadi tugas saya adalah menjaga kualiti lakonan dan belajar," balasnya yang banyak menerima nasihat daripada pelakon senior. | ||||
Hrithik Roshan promosi diri sendiri Posted: Hrithik Roshan promosi diri sendiriANTARA adegan lakonan Hrithik Roshan dan Aishwarya Rai dalam filem The Guzaarish BINTANG filem The Guzaarish membelanjakan wang sakunya sendiri membeli iklan muka penuh di beberapa akhbar apabila penerbit filem berkenaan membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan wang bagi sesi promosi filem tersebut. Jika penerbitnya enggan mengeluarkan wang, pelakonnya bersedia mengambil alih tanggungjawab itu. Buktinya, Hrithik telah membelanjakan wang sebanyak RM3 juta hanya untuk promosikan filem itu. Dalam iklan itu turut memuatkan kata-kata daripada peminat yang telah menonton filem tersebut dan menyukai karakternya sebagai Ethan. Ramai penggiat seni melahirkan rasa kagum mereka terhadap Hrithik, selain lakonan hebatnya dalam The Guzaarish dia juga tidak lokek mengeluarkan wang sakunya sendiri. Banyak iklan lagi dijangka dikeluarkan sepanjang minggu ini. Nampaknya, bintang itu sangat terdesak untuk memberitahu dunia, walaupun filem itu berjaya tetapi orang ramai menyukai lakonannya dalam The Guzaarish. "Isnin lalu telah dibentangkan jumlah kutipan setiap filem yang ditayangkan sepanjang minggu lepas dan filem tersebut tidak mendapat kutipan pecah panggung. Salah satu faktor adalah tiada promosi," kata sumber. Disebabkan hal itu Hrithik bertekad untuk membayar sesi promosi memandangkan dia dibayar dalam jumlah yang agak besar iaitu RM9 juta lebih untuk berlakon dalam filem itu. Setelah membayar RM3 juta untuk promosi, Hrithik masih mempunyai baki RM6 juta. "Orang awam ingatkan iklan tersebut daripada syarikat produksi, bagaimanapun apabila melihat iklan tersebut menjurus hanya kepada Hrithik seorang, mereka mula sedar yang aktor itu membayar iklan tersebut," kata sumber itu lagi. Hrithik yang ditemubual pula menafikan dia membayar untuk semua iklan tersebut untuk mempromosikan dirinya. Pihak penerbitan pula mendakwa, tujuan Hrithik berbuat demikian setelah lakonannya dalam filem tersebut dikritik hebat oleh pengkritik filem dan peminatnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |