Adsense

Selasa, 30 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Impikan belaian sejati

Posted: 29 Nov 2010 02:26 PM PST

Hip

Daphne Iking

Daphne Iking

Penat dengan pelbagai spekulasi, Daphne ingin jadi insan baru pada 2011

LUARANNYA saja nampak ceria dan 'gila-gila', hakikatnya ibu tunggal yang agak kelihatan seksi bernama Daphne Iking ini sendirian menelan kepahitan.

Dituduh berlaku curang oleh bekas suami nyata bukan sesuatu yang mudah buat pelakon dan pengacara ini, hatta bagi mana-mana wanita sekalipun. Akibat daripada pendedahan 'kecurangannya', Daphne menjadi mangsa kutukan yang hebat dalam forum di internet, terutama oleh mereka yang tidak mengetahui masalah sebenar rumah tangganya. Dari situ, dengan mudah mereka membuat pelbagai spekulasi.

Lebih sukar apabila wanita ini tidak memiliki 'perisai' untuk membela diri. Dia hanya mampu memekakkan telinga tatkala berdepan sebuah demi sebuah tohmahan menyakitkan.

Namun begitu, pada wajahnya langsung tidak terbias garis-garis kedukaan. Cukup bijak dia menyembunyikan segala tekanan dengan hilai tawa seakan-akan tiada apa yang berlaku dalam hidupnya.

Wanita opitimis berusia 32 tahun ini menaruh keyakinan, 2011 bakal menjadi tahun bertuah buatnya. Segala kekusutan yang pernah singgah di kamar hatinya mahu dibuang jauh-jauh. Dan kata si empunya diri, nama Daphne Iking bakal melalui episod 'penjenamaan' semula.
"Saya mahu menjadi Daphne yang baru pada tahun depan. Tahun 2010 ialah tahun yang cukup memenatkan buat saya kerana terlalu banyak spekulasi berlaku. Saya mahu menjenamakan semula diri ini.

"Banyak yang saya lalui tahun ini, terutamanya apabila dikritik dengan teruk oleh masyarakat melalui forum di internet. Sedangkan saya tidak mempunyai ruang dan peluang untuk membela diri.

"Saya juga mengalami tekanan kewangan kerana terpaksa menanggung yuran guaman yang tinggi akibat turun naik mahkamah. Semua itu menambahkan lagi kekusutan.

"Mujur sejak dulu saya sudah belajar menyimpan. Benarlah bagai dikata, walau sebanyak manapun wang yang kita ada, jika sentiasa digunakan, lama kelamaan simpanan akan berkurangan. Pening juga saya dibuatnya, maklumlah saya bekerja sendiri, jadi saya tidak tahu bila rezeki seterusnya akan masuk.

"Tapi tuhan itu berkuasa. Saya bukan nak bercakap besar, tetapi setiap kali saya berasa pening di mana hendak mencari duit, tawaran kerja tiba-tiba datang.
Saya anggap semua itu rezeki anak. Saya juga percaya kita kena reda, jika kita lapangkan fikiran, rezeki pasti akan datang," kata Daphne yang mula mengenali siapa rakan dan siapa lawan selepas peristiwa perceraiannya.

Malah dia juga tidak menyesal apabila membuat keputusan 'menyingkirkan' mereka yang tidak layak dipanggil sebagai sahabat dari hidupnya. Bagi Daphne, tindakan yang diambil bukanlah terburu-buru sebaliknya satu tindakan yang tepat.

Terima lelaki tanpa mengira bangsa

KETIKA ditanya mengenai lelaki yang bakal menjadi pilihannya selepas ini, Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-23 ini memaklumkan betapa dirinya tidak kisah andai jodohnya bersama lelaki Melayu mahupun India.

Dia pernah melalui kehidupan bersama jejaka berbangsa Cina selama setahun, jadi kata Daphne, tiada salahnya sekiranya dia menerima cinta lelaki berlainan bangsa. Apatah lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri sibuk melaungkan slogan 1 Malaysia.

Bagaimanapun teman-teman rapatnya pula berpendapat, wanita sepertinya sesuai berpacaran dengan jejaka kulit putih. Namun Daphne pula mendedahkan dia kurang berminat.

"Saya harap dipertemukan dengan lelaki yang baik. Kegagalan perkahwinan lalu menyedarkan saya bahawa suami isteri seharusnya bersatu. Susah sebenarnya menjalinkan hubungan jarak jauh, saya di sini sementara bekas suami pula di China. Walau macam mana kuat pun seseorang wanita itu, mereka tetap memerlukan suami di sisi.

"Setakat ini, saya belum lagi ditemukan dengan mana-mana lelaki yang sesuai. Satu perkara yang pasti, walaupun mulut saya bising, saya sukakan lelaki yang pendiam dan serius," katanya yang kini menumpukan sepenuh hidupnya kepada buah hatinya Isobel Daniella Iking-Chong, yang bakal menginjak usia tiga tahun tidak lama lagi.

Anak ikut pembantu rumah bersolat

SEMENTARA itu, ketika bercerita mengenai anak kecilnya, Daphne memberitahu, biarpun menyedari pembantu rumahnya bukanlah sempurna dalam hal ehwal pengurusan rumah tangga, dia amat bersyukur kerana selama tiga tahun, wanita Indonesia beragama Islam itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya.

Daphne memberitahu, dia amat menyayangi pembantu rumahnya itu kerana wanita berkenaan menjaga Isobel dengan baik. Malah dia juga tidak kisah apabila Isobel terikut-ikut pembantu rumahnya mengamalkan cara hidup Islam, termasuk bersembahyang. Malah anak kecil itu juga mempunyai sejadah sendiri.

Bukan sekadar bersolat, Isobel turut diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh pembantu rumahnya, malah dia juga pandai menyebut perkataan insya-Allah. Sekalipun beragama Kristian, bagi Daphne, semua itu bukanlah masalah besar buatnya.

"Saya tidak pernah kisah anak bersolat. Saya seorang yang terbuka, tak kira apa agama sekalipun, kita diajar supaya takut kepada tuhan. Bagi saya, apa yang penting Isobel kenal dan takut kepada tuhan. Ibu bapa saya juga tidak mempunyai masalah kerana sejak kecil, saya diajar mengenali agama lain.

"Saya sendiri pun mengambil peluang berpuasa pada Ramadan. Malah ada ketikanya saya akan meluangkan waktu untuk berbuka puasa dengan pembantu rumah dan anak di rumah. Ada juga yang mempertikaikan tindakan saya berpuasa. Bagi saya, kenapa perlu dipertikaikan kerana agama kami sendiri juga menyarankan penganutnya berpuasa. Cuma tempoh kami lebih lama iaitu 44 hari dan cara kami berpuasa juga berbeza," kata Daphne yang ditemui pada majlis anjuran A Look Eyewear yang bertujuan memungut derma untuk dana St John Ambulans.

Dinobatkan Pelakon Harapan pada ketika dia baru hendak bertatih dan berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Daphne ternyata tidak menyangka Belukar membawa satu dimensi baru kepada kerjayanya.

Namun kata wanita ini, dia tidak mahu serius dalam bidang lakonan kerana jiwanya lebih kepada pengacaraan dan kewartawanan. Kesibukan sebagai pengacara juga menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran berlakon. Apatah lagi, bidang pengacaraan turut menjamin rezeki yang lebih baik buatnya, berbanding lakonan.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tidak puas dalami Natrah

Posted: 29 Nov 2010 02:23 PM PST

Hip

Sofia simpati tekanan emosi dihadapi gadis Belanda yang penuh kontroversi

HELAIAN muka surat buku Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha: Cinta, Rusuhan, Air Mata yang berada di depannya diselak satu demi satu. Setiap baris ayat yang tertulis di helaian itu dibaca dengan penuh khusyuk.

Walaupun buku tulisan Datin Fatini Yaacob itu sudah dua kali habis dibaca, namun demi kerana watak Natrah yang dilakonkannya itu, dia tidak kisah mengulang baca walau untuk kesekian kalinya. Biarpun sekadar muncul dalam beberapa babak dan hanya bermonolog, namun tegas pemilik nama penuh Datin Sofia Jane Hisham ini, dia tidak pernah mengambil ringan atau memandang remeh tanggungjawab yang itu.

Selagi ada cara untuk mengenali dengan lebih dekat karakter serta perwatakan gadis Belanda, dia akan berusaha menggalinya.

"Masih banyak lagi mengenai Natrah yang saya perlu cari dan fahami. Walaupun sudah selesai membaca buku ini sebanyak dua kali, namun itu masih belum cukup. Buku ini adalah antara sumber rujukan saya dan selain itu, saya juga mencari bahan lain menerusi internet.

"Dari situ kita dapat lihat dan baca mengenai perwatakan Natrah dan apa yang membelenggu hidupnya selama ini. Membawakan watak Natrah maknanya saya harus selami emosinya yang terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik. Jujurnya, selepas membawakan watak Natrah untuk musim pertama dulu, saya menjadi begitu simpati dengannya.
"Dia menjadi mangsa orang di sekeliling yang memperjuangkan nasibnya atas dasar ada agenda di sebaliknya," ungkap Sofia ketika kami duduk bersembang di Kafe Istana Budaya.

Sambil menghirup minuman teh panas, pelakon yang mula menceburi bidang lakonan menerusi filem Mira Edora ini menyifatkan antara dia dan Natrah seolah-olah mempunyai persamaan. Malah setiap kali berada di pentas untuk menghidupkan kembali Natrah ketika berusia 70 tahun, dia seperti dapat merasakan roh wanita itu menjalar di setiap urat saraf dan nadinya.

"Banyak yang saya pelajari apabila membawakan wataknya. Saya dapat rasakan dia adalah sebahagian daripada diri ini. Kami sama-sama pernah kehilangan. Dia kehilangan suami, keluarga dan saya pernah kehilangan anak. Mengenangkan situasi itu, saya dapat merasakan kesedihan dan penderitaannya dan perasaan itulah yang dilontarkan dalam monolog saya," tuturnya sambil mengharapkan penonton juga dapat berkongsi rasa penderitaan yang di lalui oleh Natrah.

Diajak berbicara mengenai kontroversi yang melanda teater arahan Erma Fatima itu, Sofia berkata dia sebenarnya tidak begitu bersetuju apabila ada pihak yang menjadikan perkara itu sebagai isu besar.

"Kita kena lihat keseluruhan inti pati teater ini dan tidak hanya dari sudut tertentu saja. Soal agama atau akidahnya, hanya tuhan yang tahu. Apa yang di paparkan dalam teater ini, hanyalah mengenai perasaan seorang wanita bernama Natrah yang hidupnya tidak seindah yang diimpikan," tuturnya yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem Hanyut di bawah arahan U-Wei Shaari.

Masih ikuti kelas lakonan

TERKEJUT seketika apabila pelakon ini memberitahu yang dirinya masih lagi mengikuti kelas lakonan yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Tidak menyangka dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang lakonan, Sofia masih mahu meluangkan masa emasnya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.

"Kenapa terkejut? Robert De Niro masih mengikuti kelas lakonan," reaksi spontan Sofia apabila bercerita yang dia mengikuti kelas lakonan.

Menyambung bicara, tegas Sofia tidak rugi jika seorang pelakon itu menimba ilmu sebanyak mungkin demi untuk kemajuan diri sendiri.

"Saya bukan saja mengikuti kelas lakonan tetapi juga kursus penulisan yang dianjurkan FINAS. Tidak ada had usia untuk seseorang itu menuntut ilmu. Lagi banyak kita belajar lagi mantap lakonan kita," kata Sofia yang pernah mendapatkan khidmat daripada mendiang Krishen Jit, Datuk Faridah Merican dan Normah Nordin sebelum ini.

Biarpun mengakui masih aktif dalam bidang lakonan, namun disebabkan komitmen terhadap keluarga mengatasi segala-galanya, membuatkan Sofia terpaksa mengehadkan pembabitannya.

"Saya masih aktif berlakon cuma tidak serancak dulu. Tahun ini saya terbabit dalam filem Hanyut, teater Natrah 2 dan juga telefilem Karma Salina. Walaupun cuma tiga, saya rasa itu sudah cukup memenatkan. Mungkin disebabkan watak saya dalam ketiga-tiga itu memerlukan saya bermain dengan emosi. Itu membuatkan saya penat," kata Sofia yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2007.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.