Adsense

Selasa, 30 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Farid pegang pesanan sifu

Posted: 29 Nov 2010 06:12 AM PST

PASTI ramai terkejut melihat penampilan pelakon muda ini yang agak ranggi dengan rambut pendek dan mekap tebal kerana dirinya tidak pernah tampil begini.

Sejak dikenali melalui siri Impian, Nurdiyana Amir Hashim atau Diana Amir, 24, lebih dikenali dengan imej feminin. Malah, gadis kelahiran Birmingham, England pada 22 Jun 1986 ini tidak pernah memotong pendek rambut yang disifatkan mahkota bagi wanita.

Namun semua itu terpaksa dikorbankan demi wataknya sebagai Sam dalam filem 321 Cinta.

Dalam filem arahan Azahari Zain ini, Diana berpasangan dengan Farid Kamil dan juga kali pertama memegang watak utama.


Bagi Diana, dia mahu terus melangkah ke depan dalam lakonan dengan memegang watak utama pula selepas diberi kepercayaan menjayakan watak pembantu dalam V3: Samseng Jalanan, Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot dan Sekali Lagi.


Katanya, dia mendapat keberanian untuk berterus terang dengan pengarah kerana sangat menginginkan watak itu dan meyakinkan Azahari dia memang layak memegang watak itu. Diana pernah bekerja dengan Azahari melalui drama Jalan Pinang Sebatang dan berjanji akan melakukan yang terbaik jika diberi peluang.

"Saya suka sangat dengan watak ini dan tidak mahu ia terlepas ke tangan orang lain. Apabila pengarah mengatakan saya perlu memotong pendek rambut saya sesuai dengan watak gadis tomboi, saya terkedu seketika kerana selama ini selesa berambut panjang.

"Tapi demi komitmen saya pada filem ini, saya sedia korbankan rambut. Bagi saya, rambut akan panjang, tapi peluang keemasan tidak datang selalu.

"Saya tidak mahu lepaskan peluang ini," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem itu.

Anak keempat daripada tujuh beradik ini mengaku menangis apabila melihat rambutnya gugur ke lantai ketika di salon untuk memotong rambutnya.

Apatah lagi sebaik saja selesai dan melihat cermin, hatinya sedih melihat rambutnya yang sangat pendek.

"Apabila pulang ke rumah, ibu mengatakan saya nampak teruk dengan rambut pendek.

"Malah, adik perempuan saya sendiri tidak selesa tidur sebilik dengan saya kerana rasa saya seperti orang asing. Tapi semua itu saya lalui dengan sabar untuk filem ini,

"Saya juga membuat persediaan selama dua minggu untuk menjayakan watak dengan belajar cara berjalan dan bercakap gadis tomboi daripada kawan baik saya.

"Bagaimanapun, saya memotong pendek rambut hanya tiga hari sebelum penggambaran bermula. Ternyata selepas berambut pendek, perasaan itu terus berubah seolah-olah saya kini budak tomboi yang kasar," katanya.

Kata Diana, penampilannya berskirt dan mekap tebal disesuaikan dengan babak pada hari itu apabila Sam mengikut Nazril (Farid) ke rumahnya untuk satu majlis dan diperkenalkan dengan keluarga Nazril.

"Mereka sama-sama belajar satu kolej. Sam tertarik dengan Nazril dan berazam menjadi teman wanitanya. Nazril pula bukan sebarang lelaki kerana menjadi pujaan ramai pelajar wanita di kolej.

"Untuk menambat hati Nazril, Sam bermekap dan pakai skirt. Tapi dia tidak biasa hingga nampak janggal dan turut ditegur Nazril, tetapi Sam tidak peduli.

"Istimewanya filem ini, kalau biasanya dalam filem romantik komedi lelaki yang memikat gadis idamannya, tetapi kali ini wanita yang cuba memikat lelaki disukainya.

"Namun, dalam mengejar cinta Nazril, Sam tidak tahu ada pemuda lain yang begitu sayang dan setia menemaninya selama ini," katanya.

Diana yang dikatakan menjalin cinta dengan Zizan Raja Lawak ini mengakui bangga dapat berganding dengan aktor yang begitu laris di pasaran, Farid Kamil dan juga Pierre Andre yang dikaguminya.

Kedua-dua mereka bukan saja pelakon hebat, malah anak muda bergelar pengarah.
Filem ini juga menyaksikan kembalinya Pierre bekerjasama dengan MIG Productions selepas berlaku sedikit masalah tidak lama dulu.

Dalam filem ini, Diana berada dalam persimpangan antara dua jejaka kacak, Farid dan Pierre.

"Saya suka bekerja dengan Farid kerana dia sporting dan tidak lokek ilmu serta nasihat. Pierre pula agak mengejutkan kerana dia nampak serius, tapi sebenarnya apabila di lokasi orangnya kelakar dan suka buat lawak," katanya.

Selesai penggambaran filem ini, Diana masih tampil rambut pendek kerana perlu memotong semula bahagian bawah rambutnya yang rosak.

Filem terbarunya, Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham akan ditayangkan pada 16 Disember ini.

Filem berkisar kepada isu kerosakan akhlak dan amalan hidup bebas di kalangan remaja hari ini menampilkan Diana menjadi gadis yang terjerumus dalam kancah kehidupan penuh noda ekoran kesukaran hidup yang dilaluinya.

Turut berlakon, Yana Samsudin, Raja Farah, Farid Kamil dan Ashraf Muslim.

Farid mahu jadi versatil

SUDAH bergelar pengarah apabila diberi kepercayaan mengarahkan filem V3: Samseng Jalanan dan Kongsi, waktu sama nama Farid Kamil, 29, tetap laris sebagai hero layar perak.

Buktinya, sepanjang 2010, enam filem lakonannya ditayangkan di pawagam bermula V3: Samseng Jalanan, Evolusi KL Drift 2, Semerah Cinta Stilleto, Lagenda Budak Setan, Cuti-cuti Cinta dan Estet.

Apakah pemegang Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini tidak bimbang peminat jemu dengan lakonannya.

Sepatutnya anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah pada 5 Mei 1981ini bersikap selektif dengan watak dijayakan selepas mula menceburi lakonan pada 2003 melalui filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yakni Mistik, Potret Mistik, Cinta Fotokopi dan 7 Perhentian.

"Saya ingin menjadi pelakon versatil dan mahu mencuba pelbagai watak. Saya sudah mencuba filem aksi dan juga romantik.

"Bagi saya, tidak perlu terlalu selektif dengan skrip kerana berpegang kepada pesanan sifu saya, Ahmad Yatim.

"Katanya, jangan salahkan skrip kalau berlakon tak bagus kerana kalau pelakon memberikan yang terbaik, skrip yang buruk boleh jadikan wataknya bagus.

"Alhamdulillah, buat masa ini tawaran tetap ada untuk saya dan ini memberi peluang kepada saya untuk mencuba pelbagai watak diberikan dan cuba mewarnainya sebaik mungkin," katanya.

Pasangannya dalam filem juga cuba dipelbagaikan kini selepas dikatakan sering digandingkan dengan Lisa Surihani bermula dengan I'm Not Single, Semerah Cinta Stilleto dan Lagenda Budak Setan sehingga pernah digosipkan ada hubungan istimewa.

Sebagai percubaan, Farid yang pernah putus cinta dengan pelakon Irma Hasmie dan kini rapat dengan pelakon remaja, Diana Danielle, digandingkan kali pertama dengan Nora Danish melalui filem Cuti-cuti Cinta arahan Ahmad Idham yang ditayangkan di pawagam pada 21 Oktober lalu.

Terbaru, Farid digandingkan pula dengan Diana Amir dalam filem 321 Cinta dan ini juga gandingan pertama mereka sebagai pasangan, tetapi pernah bekerja dengan Diana melalui V3: Samseng Jalanan yang juga arahan Farid serta Aku Masih Dara.

"Saya pernah bekerja dengan Diana dalam V3 dan sebagai pengarah, saya lihat dia pelakon baru yang boleh mencipta nama dalam lakonan seperti Lisa. Dia mudah dibentuk dan cepat tukar karakter," katanya.

Langkah pertamanya bergelar pengarah juga memberi pencalonan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) baru-baru ini manakala dalam lakonan, pernah dicalonkan Pelakon Lelaki Terbaik melalui Anak Halal dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui Kala Malam Bulan Mengambang.

PROFIL
NAMA SEBENAR: Farid Kamil Zahari
TARIKH LAHIR: 5 Mei 1981
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
BAPA: Datuk Dr Zahari Che
IBU: Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM)
FILEM: Estet, Cuti-cuti Cinta, Lagenda Budak Setan, Semerah Cinta Stilleto, Evolusi KL Drift 2, V3: Samseng Jalanan, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, I'm Not Single, Evolusi KL Drift, Kala Malam Bulan Mengambang, Anak Halal, Remp-It, 7 Perhentian, Cinta Fotokopi, Potret Mistik, Mistik

PROFIL
NAMA SEBENAR: Nurdiyana Amir Hashim
TARIKH LAHIR: 22 Jun 1986
TEMPAT LAHIR: Birmingham, England
ASAL: Johor Bahru, Johor
KELUARGA: Anak keempat daripada tujuh beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
DRAMA: Impian, Impian 2, Sari Maya, Adam Maya, Laila Asyikin dan Jalan Pinang Sebatang
TELEFILEM: Aloy dan Lu'Lu
FILEM: V3: Samseng Jalanan, Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot dan Sekali Lagi.
PENGACARA: Life Can't Wait (TV8)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Majlis korban IKIMfm

Posted: 29 Nov 2010 05:52 AM PST

BUKAN semua orang dapat menikmati juadah yang lazat dan enak setiap hari. Ada yang terpaksa makan nasi berlaukkan garam dan kicap saja. Oleh itu, amat besar erti ibadah korban kepada mereka yang hanya dapat makan daging setahun sekali.

Justeru, mengambil iktibar pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan sanggup menyembelih anakandanya sendiri, Nabi Ismail a.s atas perintah Allah s.w.t yang kemudian digantikan dengan seekor kibas, maka pada sambutan Aidiladha lalu, radio IKIMfm menganjurkan Majlis Korban Perdana di Maahad Tahfiz, Kompleks Anak-Anak Yatim Darul Fuqaha di Sungai Merab, Bangi, Selangor.

Majlis itu diadakan bertujuan meraikan anak yatim Darul Fuqaha, saudara baru daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Persatuan Orang Kerdil, ibu tunggal dan semua pendengar IKIMfm.

Hadir sama, Ketua Pengarah Ikim (Institut Kefahaman Islam Malaysia), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan; Pengarah IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad; Pengerusi Darul Fuqaha, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at Takiri; Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia, Zairul Shahfudin Zainal Abidin dan penyampai IKIMfm.


Menurut Nik Roskiman, korban perdana itu julung kali diadakan dan dia sendiri tidak menyangka mendapat sambutan yang sangat baik.


"Semuanya ada 20 ekor lembu yang dikorbankan pada hari itu. IKIMfm sendiri menyediakan dua ekor lembu, yang lainnya sumbangan Islamic Relief Malaysia dan pendengar IKIMfm yang membeli bahagian korban mereka seperti diiklankan IKIMfm.

"Setiap tahun kita merayakan ibadah korban tetapi yang lebih penting, menghayati hikmah di sebalik ibadah ini yang sepatutnya sama-sama kita terapkan dalam kehidupan seharian kita.

"Dalam ibadah korban ini terkandung teladan yang menyeluruh, komprehensif dan lengkap bermula daripada ketaatan seorang bapa (Nabi Ibrahim) dan kesabaran seorang anak (Nabi Ismail) dan kepatuhan seorang isteri (Siti Hajar).

"Jika masyarakat menghayati dengan sesungguhnya semangat ibadah korban ini, nescaya keruntuhan rumah tangga seperti perceraian, anak yang derhaka kepada ibu bapa dan isteri curang dapat diatasi. Hakikatnya, segala permasalahan dalam masyarakat kita sebenarnya berpunca daripada sikap kita yang kurang menghayati ajaran Islam khususnya dalam institusi kekeluargaan.

"Saya amat terharu dengan kehadiran anak yatim, ibu tunggal, saudara baru dan mereka yang tidak berkemampuan kerana mereka inilah yang patut kita dekati agar mereka berasakan diri mereka dikasihi dan disayangi," katanya.

Nik Roskiman menambah melihatkan sambutan yang menggalakkan itu, IKIMfm bercadang mengadakan Korban Perdana ini setiap tahun. Untuk tahun ini, IKIMfm mahu berkongsi kegembiraan dengan anak yatim Darul Fuqaha dan Insya-Allah pada tahun berikutnya, kita akan melakukan ibadah korban ini di tempat lain pula.

"Korban Perdana ini juga antara langkah untuk mendekatkan IKIMfm dengan pendengar di luar sana," katanya.

Di samping melakukan aktiviti korban, turut diadakan Ceramah Perdana Aidladha serta jamuan tengah hari untuk semua yang hadir.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.