Adsense

Khamis, 25 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak merajuk hilangkan diri

Posted: 24 Nov 2010 07:40 AM PST

BERALIH karier nyanyian kepada lakonan mahupun sebaliknya bukan senario baru berlaku pada kehidupan artis masa kini. Sama ada industri hiburan tempatan mahupun antarabangsa, artis yang melakukan dua kerja serentak menjadi trend dan kebiasaan.

Ini didorong faktor peluang mengasah bakat yang terbuka luas dan cabaran bergantung pada satu bidang belum tentu menjamin pendapatan lumayan.

Merasai pahit dan getir sebagai penyanyi, Siti Khatijah Hassan atau Kat, bertuah kerana bakatnya dicungkil menerusi program realiti, Mentor musim kedua.

Ketika itu, kehadirannya menjadi tumpuan apatah lagi menjadi protege kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Namun, impak program realiti turut menimpa Kat apabila populariti yang dibina hanya sementara.

Selepas empat tahun program itu berlalu, namanya juga seakan tenggelam dan hilang entah ke mana.


Status sebagai adik ipar penyanyi rock terkenal, Amy Search juga bukan jalan mudah untuknya.

Katanya, dia sebenarnya bukanlah merajuk mahupun menghilangkan diri seperti mana yang disangka peminat.


Sebaliknya, Kat masih aktif meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan memberi pengalaman baru, dia juga meluaskan pengalaman dalam bidang lakonan.

"Mungkin kelibat saya jarang nampak di TV membuatkan ada bertanya ke mana saya menghilang.

Sebenarnya, saya masih menyanyi cuma lebih kepada persembahan seperti majlis makan malam dan korporat.

"Walaupun perjalanan karier saya agak suram sejak Mentor 2 berakhir, saya tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk jadi penyanyi.

Saya menyanyi kerana minat sejak kecil.

Gagal ketika bersama Mentor 2 tidak bererti perjalanan karier saya juga berakhir.

"Apapun, saya masih bersyukur kerana sampai sekarang masih menerima jemputan mengadakan persembahan.

Ketika mula menyertai bidang ini, matlamat saya bukanlah mahu bergelar juara atau popular.

"Namun, saya mahu terus menyanyi kerana minat.

Jika menang dalam pertandingan nyanyian ia adalah rezeki masing-masing," katanya.

Kata Kat, dalam meneruskan kelangsungannya dalam dunia seni, dunia lakonan turut dicuba apabila dilamar pengarah Martias Mohd Ali untuk membintangi filem pendek, Anak yang selesai menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya, baru-baru ini.

Kata Kat, dia gembira dan tidak menyangka mendapat peluang keemasan ini yang dianggap satu kepercayaan pada bakat lakonannya selepas muncul menerusi drama Sayang Cendana di TV3 pada Mei lalu "Mulanya, saya juga tertanya sama ada saya boleh berlakon dalam filem pendek ini.

Memberi cabaran, lakonan saya memerlukan emosi tinggi walaupun tanpa dialog.

"Bayangkan pada hari pertama penggambaran, saya diminta menggambarkan emosi sedih hingga menitiskan air mata.

Menariknya, Martias berkata tidak perlu berlatih banyak kali dan terus berlakon.

"Selepas tiga hari penggambaran, saya berasakan berlakon bukan kerja mudah.

Lakonan memberi pengalaman baru pada diri saya.

"Namun, nyanyian masih menjadi keutamaan dan lakonan sekadar hobi.

Saya berminat terus berlakon dan jika ada tawaran lain, saya ingin mencuba," katanya.

Selepas berlakon filem pendek, Kat menyatakan dia mula rindu dengan suasana di set penggambaran.

Seperti Anak, dia juga terkenang arwah jurusolek Arman Simin yang meninggal dunia dua hari selepas penggambaran selesai akibat serangan jantung.

Katanya, hubungan yang baru terjalin itu cukup mesra apatah lagi dia mendapat sentuhan solekan arwah sepanjang penggambaran filem pendek itu.

"Saya seperti kaku bila mendengar berita sedih mengenainya.

Ketika penggambaran, dia banyak memuji saya dan meyakinkan saya boleh berlakon.

"Dia yang membahasakan diri sebagai mummy ada mengadu sakit dada ketika penggambaran dan saya tidak sangka filem ini adalah pertemuan terakhir kami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Mengenai nyanyian, kata Kat, undangan memenuhi persembahan pentas tetap diterima dan peminat masih ingat dengan kemunculannya ketika bersama Mentor 2 lalu.

Dalam mencuri semula perhatian peminat, Kat kembali dengan single kedua, Hilang, ciptaan Edrie Hashim.

Lagu ini sudah dirakam termasuk klip video yang turut memaparkan kisah perjalanan karier seninya selama ini.

"Selepas hampir empat tahun single pertama, Chiki dihasilkan selepas Mentor 2 berakhir, baru kini saya kembali dengan single kedua.

Saya menganggap apa yang berlaku untuk menunggu single kedua adalah masalah peribadi.

"Walaupun menunggu masa lama, saya tetap bersyukur dan lega dengan hasil lagu baru kali ini.

Lagu ini membawa kelainan dari aspek rentak yang lebih sentimental dan balada berbanding Chiki membawa pop dan berentak rancak.

"Respons awal yang saya terima, ramai yang suka dengan kelainan saya dalam lagu ini.

Ada antara mereka juga tidak percaya saya menyanyikan lagu rentak sebegini dan ada berpandangan suara saya bertambah matang.

"Lagu ini juga satu kejutan pada karya Edrie yang mendapat ilham spontan selepas saya meminta dia menghasilkan lagu baru untuk saya.

"Adanya lagu ini, saya berharap diri saya tidak lagi menghilang daripada peminat.

Buat masa ini, saya mencari lagu baru lain dan mini album ini dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini," katanya.

>PROFIL:
NAMA: Siti Khatijah Hassan
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1987
USIA: 23 tahun
ASAL: Pulau Pinang
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon.
STATUS: Bujang
FILEM: Anak
DRAMA: Sayang Cendana
SINGLE: Chiki dan Hilang
PENCAPAIAN: Tempat ketiga Mentor 2

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

2 juta atau 2 ratus ribu?

Posted: 24 Nov 2010 07:23 AM PST

SAINGAN filem Melayu di pawagam kembali rancak apabila sepanjang November dan Disember ini, satu filem tempatan ditayangkan dalam tempoh seminggu berbanding dua minggu pada bulan-bulan lain.

Persaingan yang dianggap sengit ini sudah tentu memberi cabaran pada produser merancang strategi teliti dan berkesan untuk memancing penonton ke pawagam menyaksikan filem mereka. Filem Estet yang membuka tirai tayangan pada 4 November lalu diikuti Krayon pada 11 November mencatat kutipan kurang memuaskan jauh dari jumlah RM1 juta. Ini berbeza dengan 2 Alam yang diterbitkan dR Movies Productions yang ditayangkan pada 18 November lalu dikatakan mencatat RM2 juta pada hari pertama tayangan.


Jika benar bagai didakwa sebagaimana diiklankan dalam satu akhbar, ini barulah benar-benar pecah panggung apabila rakyat Malaysia menderu ke panggung di seluruh negara dan pastinya suasananya benar-benar haru biru mengalahkan filem blockbuster Hollywood seperti Transformer's atau Spider-Man.

Hakikatnya, berdasarkan kutipan terkini filem tempatan yang dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Estet mencatat kutipan sebanyak RM350,000, Krayon (RM30,000) manakala 2 Alam (RM230,000).


Sudah tentu angka dipaparkan cukup mengelirukan hingga dipersoalkan bagaimana angka RM2 juta pada hari pertama tayangan didakwa penerbitnya yang juga usahawan produk kesihatan, Datuk Dr Rozmey Che Din.


Apabila ditanya perkara ini kepada Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, beliau enggan mengulas perkara ini. Katanya, apa yang dia tahu kutipan 2 Alam sebagaimana dikeluarkan Finas ialah RM230,000 dan enggan mengulas kutipan filem terbitan produksi lain.

Ahmad Puad yang juga Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios berkata, persaingan filem Melayu sepanjang dua bulan ini seharusnya dilihat sebagai suatu yang positif pada perkembangan filem tempatan.


"Apa jua persaingan yang ada, produser kena hadapi dan tahu bagaimana merancang strategi promosi yang lebih baik untuk menarik minat penonton.

"Apa yang penting, produser seharusnya pada peringkat awal pembikinan, peka apa kehendak penonton pada sesuatu filem yang ingin dihasilkan dan bukannya disandarkan pada apa yang produser mahu.


"Sebagai pembikin filem, risiko memang tetap ada sama ada filem itu berjaya atau gagal mendapat sambutan. Situasi ini tidak dapat dielakkan apatah lagi tahun depan, cabarannya lebih besar.


"Dijangka 50 filem baru melalui pelbagai fasa seperti baru hendak mula penggambaran, masih dalam pembikinan dan siap sepenuhnya, menunggu masa tayangan pada tahun depan," katanya.


Menurutnya, dalam hal ini filem Primeworks Studios juga menyahut cabaran ini apabila mempertaruhkan filem Aku Tak Bodoh arahan Boris Boo untuk tayangan pada 2 Disember nanti selepas tayangan Ngangkung pada 25 November.


Katanya, seperti kebiasaan, promosi sebelum tayangan dimulakan dengan tayangan kepada media diikuti tayangan perdana karyawan filem serta digiatkan lagi dengan kehadiran barisan pelakonnya bertemu peminat di panggung-panggung.


"Sebanyak RM300,000 dibelanjakan untuk promosi filem ini termasuk di TV dan akhbar. Jika sebelum ini filem tempatan lebih terarah pada kisah cinta dan remaja, filem kali ini pula memberi penekanan pada kisah keluarga.


"Ia membawa mesej pengajaran pada merapatkan hubungan dan peranan ibu bapa dan anak yang berdepan pelbagai masalah," katanya.


Selepas Aku Tak Bodoh, kata Ahmad Puad, filem baru lain yang menunggu tayangan ialah Hantu Kak Limah Balik Rumah pada 9 Disember, Aku Masih Dara (16 Disember), Janin (23 Disember) dan Damping Malam (25 Disember).


"Kehadiran satu filem selang seminggu bersama saingan filem baru dari Hollywood dijangka memberi saingan sengit hingga jumlah penonton berpecah.


"Namun, filem tempatan masih mempunyai kelompok peminat sendiri. Seperti filem Aku Tak Bodoh, saya percaya ia menarik perhatian anggota keluarga untuk hadir menonton.


"Skim Wajib Tayang masih membantu penggiat filem untuk mendapatkan tempoh tayangan selama 14 hari tayangan dan ini juga peluang untuk meraih sambutan penonton," katanya.


Sementara itu produser David Teo yang mempertaruhkan Ngangkung mulai hari ini mengakui sudah bersedia dengan strategi promosi sebagaimana dilakukan MIG Productions Sdn Bhd untuk filem-filemnya sebelum ini.


"Saya yakin filem dijayakan Shaheizy Sam, Putri Mardiana, Eira Syazira dan Azad Jazmin ini mampu mencuit hati penonton sebagaimana filem Adnan Sempit. Kalau Adnan Sempit genre aksi komedi, Ngangkung pula komedi seram.


"Kalau Adnan Sempit yang mencatat RM7.8 juta ketika ditayangkan Januari lalu menambat penonton dengan dialog, 'di mana ada jalan di situ ada highway'. Kali ini kata-kata 'tok...anak cucu mintak nombor' pasti mencuit hati," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.