Berita Harian: Hip |
Posted: 24 Nov 2010 02:59 PM PST Hip Bintang Appalam perbaiki penguasaan bahasa Tamil selepas dikritikPADA awal pembabitannya dalam industri drama Tamil, Raja Ilya dapat berasakan dia berdepan cabaran yang bukan kecil. Dirinya bukan sekadar pelakon yang pada dasarnya berbangsa Melayu, malah penguasaannya terhadap bahasa Tamil itu sendiri membuatkan wanita cantik ini dikritik. Namun, sudah menjadi sifat semula jadi Ilya untuk bingkas bangkit sebaik saja cabaran diterima, terutama dalam soal kerja. Menyedari kejanggalan yang dirasakan rakan seperjuangan dalam industri seni Tamil negara ini, dia cuba memperbaiki situasi terbabit dengan mendalami bahasa berkenaan, demi membolehkan dirinya diterima lebih baik lagi di kalangan penggiat seni India. "Pada mulanya, tentulah agak janggal untuk mereka melihat seorang pelakon Melayu melakonkan watak gadis India. Kejanggalan itu sendiri dapat saya rasakan sama. Namun, syukurlah selepas beberapa ketika, mereka mula menerima saya seadanya. "Saya sendiri mula mengikuti kelas bahasa Tamil, sebaik saja selesai menjalani penggambaran filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Selama sebulan lebih saya menajamkan penguasaan saya terhadap bahasa berkenaan. Saya beruntung kerana selain menghadiri kelas, saya mempunyai rakan India yang sudi menghulurkan bantuan dalam proses berkenaan," katanya.Appalam ialah filem bahasa Tamil keluaran Tayangan Unggul yang dihasilkan berdasarkan filem Melayu popular arahan pengarah sama, Papadom (2009). Selain Ilya, turut menjayakan filem terbabit ialah Jaclyn Victor, Gana, Sharifah Amani dan Afdlin sendiri. Ia menemui penonton seluruh negara mulai hari ini. Filem terbabit dikatakan filem bahasa Tamil pertama dihasilkan dalam bentuk 35 mm selepas 24 tahun, menggunakan belanja sekitar RM1.5 juta. Menurut bekas pramugari Penerbangan Malaysia ini, dia dapat berasakan adanya peningkatan dalam penguasaan bahasa Tamilnya selepas mengikuti kelas terbabit. "Paling tidak, kini saya lebih yakin untuk terus beraksi dalam drama mahupun filem bahasa Tamil," katanya yang tidak lekang dengan senyuman, sewaktu berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini. Wanita berdarah campuran Melayu-Malayalam ini mengaku, tekadnya untuk menguasai bahasa itu timbul setelah dirinya dikritik. Ilya nekad membuktikan, dirinya setanding pelakon India yang lain. Nyata sekali, sikap pantang dicabar memberikan impak positif pada pelakon berusia 25 tahun ini. Berasa cukup bertuah apabila diterima beraksi dalam Appalam, bagaimanapun Ilya mendedahkan, seperti mana pelakon lain, dia juga menghadiri sesi uji bakat sebelum ditawarkan watak utama yang pernah dilakonkan Liyana Jasmay, dalam filem terbabit. Nyata, segala ciri yang diingini Afdlin untuk watak utama filem itu ada pada diri wanita ini. "Walaupun saya melakonkan watak yang pernah dipegang oleh Liyana dalam versi Melayunya, namun saya tidak menjadikan watak lakonannya dulu sebagai rujukan untuk filem ini. Afdlin sendiri tidak mahu saya berbuat demikian, kerana Appalam ialah filem Tamil. Sebagai Shruti, saya ialah gadis India yang mempunyai perwatakannya sendiri. Kedua-duanya mempunyai budaya hidup yang berbeza. "Untungnya, apabila saya mempunyai ramai kawan keturunan India. Justeru, saya banyak memerhati dan mempelajari cara dan gaya mereka, demi menjayakan watak Shruti," ujarnya yang mengaku seronok bekerja bersama Afdlin. Kata pelakon yang tidak berniat untuk bersaing, sebaliknya ingin berkongsi bakat dimiliki, Appalam juga dianggap Afdlin sebagai produk yang lebih baik. Bakal gegar Bollywood LANGKAH Raja Ilya dalam lakonan semakin panjang apabila dia menerima tawaran membintangi sebuah filem usaha sama Malaysia-India berjudul Love Is Blind. Ketika ini, projek yang bakal menggandingkannya dengan Ravi Kishen sebagai teraju utama itu hanya menunggu waktu untuk memulakan penggambaran. "Antara lain, filem ini berkisar kepada pertemuan dua insan cacat penglihatan. Seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari India. Walaupun tidak mempunyai daya penglihatan, namun ia tidak menghalang kedua-dua insan istimewa ini untuk saling jatuh cinta," kata Ilya sememangnya menggemari filem dari Mumbai dan Kolkata. Katanya, sebanyak 40 peratus daripada penggambaran filem itu akan dilakukan di negara ini, manakala selebihnya di India. "Dengar khabar, babak nyanyian pula akan dilakukan Moscow, Russia," katanya sambil menghadiahkan senyuman penuh bermakna. Pelakon yang terpilih sebagai penceramah pada sebuah simposium antarabangsa remaja anjuran United Nation Tedx Youth pada 20 November lalu di ibu kota turut mendedahkan, dia cukup mengagumi pelakon berasal dari Ipoh, Datuk Michelle Yeoh. Jika rezeki menyebelahi dirinya, dia juga ingin muncul sebagai bintang antarabangsa disegani sebagaimana bekas ratu cantik terbabit. Baginya, Michelle mewakili wanita moden yang cekal, berbakat, serta mampu mengharumkan nama negara. Begitupun, sebagai penggemar filem Hindi, dia juga mengaku amat menggemari pelakon India bernama Shriya Saran, yang bukan saja dikenali di India Utara, malah turut dihormati peminat di kawasan selatan negara itu. |
Posted: 24 Nov 2010 02:51 PM PST Hip Pempamer tarik balik tayangan sebelum tempoh Wajib TayangPENERIMAAN penonton tempatan terhadap filem berunsur 'art' ternyata masih belum cukup terbuka jika dibandingkan dengan filem komersial. Ini terbukti apabila filem Crayon, terbitan pertama Zioss Films Production, kurang mendapat sambutan sejak ditayangkan 11 November lalu. Selepas 12 hari menjengah pawagam, syarikat pengeluar filem itu sendiri masih belum dapat memberikan anggaran kutipan filem arahan Dean A Burhanuddin yang membariskan Hon Kahoe, Ariff Faisal Abdullah, Adibah Noor, Joey serta beberapa pelakon kanak-kanak. Lebih mengecewakan Zioss Films apabila ada pihak pempamer yang tidak memberikan sokongan kepada produksi baru seperti mereka dengan menggugurkan filem berkenaan daripada tayangan atas alasan Crayon tidak memberi pulangan. Penerbitnya Elise Anum Abdul Hamid, ketika dihubungi berkata mereka masih belum mendapat jumlah kutipan sebenar kerana pihaknya baru menerima kutipan untuk dua dan tiga pawagam saja daripada 25 panggung.Apa yang dimaklumkan kepada mereka, Crayon hanya mengutip sebanyak 35 peratus daripada jumlah kerusi penonton. Sebagai penggiat filem baru, nasib yang menimpa filem itu tentunya cukup mengejutkan buat dia serta rakan kongsi, Linda Ziegler. Katanya, dia tidak mampu menyorokkan rasa sedih di atas kegagalan buah tangan sulung mereka itu. Namun perkara berkenaan tidak sesekali mematahkan semangat mereka menghasilkan filem lain pada masa depan sekiranya ada rezeki.
"Kami berusaha keras memastikan filem ini dihasilkan dengan baik. Kami seboleh-bolehnya memastikan tiada unsur yang boleh mengundang kontroversi dan juga memastikan filem ini sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga. Malangnya filem ini tidak kena dengan selera penonton tempatan. Mungkin kesilapan itu datang dari kami kerana ramai memberitahu, mereka (penonton) tidak tahu mengenai kewujudan filem ini berikutan kurangnya promosi. "Kami hanyalah sebuah syarikat baru dan bukannya ada bajet besar untuk mempromosikan filem ini menerusi iklan di kaca televisyen. Bagaimanapun kami tetap berusaha mengadakan promosi sejak Ogos lalu dengan meletakkan kain rentang filem Crayon selama empat bulan di beberapa buah pasar raya besar tetapi masih gagal menarik penonton ke pawagam. "Cuma kami juga sedikit kecewa apabila pihak pempamer mengambil tindakan menarik balik tayangan sebelum habis tempoh wajib tayang dengan alasan filem itu tidak mendapat sambutan memberangsangkan. Sepatutnya memberi orang baru seperti kami peluang. Walaupun Crayon sudah tiada lagi di pawagam, kami akan tetap memikirkan usaha untuk meneruskan promosi untuk filem ini," kata Elise. Menurut Elise, mereka akan berbincang dengan beberapa buah pawagam untuk mendapatkan kebenaran menayangkan lagi Crayon walaupun setelah tamat tempoh wajib tayang. Antaranya seperti Big Cinema dan Star Cinema. Elise menyangkal barisan artis yang disandarkan dalam filem ini menjadi salah satu punca kenapa penonton tidak berminat ke pawagam. Katanya, mungkin jalan cerita Crayon yang mengangkat kisah mengenai anak yatim tidak begitu menarik minat penonton. "Walaupun Crayon tidak berjaya di pawagam, namun itu tidak akan menghentikan usaha kami terus mempromosikan Crayon. Kami merancang mahu menghasilkan Crayon pula supaya apabila penonton menontonnya nanti, mereka akan mengaitkan sitkom ini dengan filem," katanya. Sementara itu ketika ditanya bagaimana pula sambutan filem itu ketika ditayangkan di Laemmle Theatres, Amerika Syarikat selama tujuh hari bermula 4 November yang lalu, Elise berkata jumlah kutipannya juga masih belum diperoleh. Pada tiga hari pertama, kehadiran penonton memang agak kurang tetapi semakin meningkat memasuki hari keempat. Katanya Crayon juga berjaya mendapat kritikan daripada seorang penulis blog terkenal yang banyak mengkritik filem di Amerika Syarikat. Pengkritik berkenaan hanya akan mengkritik filem yang dirasakan berbaloi untuk ditonton, justeru itu cukup membanggakan buatnya apabila Crayon mendapat kritikan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |