Adsense

Jumaat, 12 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kenapa peminat marahkan Vee?

Posted: 11 Nov 2010 06:30 AM PST

MESKIPUN dia antara pelakon yang sedang laris membintangi drama, filem dan teater, Vanidah Imran, 39, tidak pernah menganggap dirinya popular atau perlu besar kepala dengan apa yang dinikmatinya sekarang.

Heboh digosip akan menggantikan Maya Karin sebagai pengacara baru Nona di TV3, Vanidah terus menjadi pilihan butik barang kemas terkemuka, Rafflesia The Pearl CeVee juga sedang menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan.
Disebabkan itulah dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon yang menarik.


Bagi Vanidah atau Vee, apa yang diraihnya selama ini berkat usaha dan doa suami, anak dan peminatnya.

"Saya percaya apa yang kita kena buat mestilah atas kejujuran dan berusaha. Jika berlakon, saya akan berlakon dengan sepenuh hati dan tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan atau anugerah.

"Jika saya dapat sesuatu di sebalik kerja saya, ia adalah bonus. Saya berlakon kerana minat dan bakat yang dikurniakan Allah. Alhamdulillah selepas berkahwin dan ada anak, rezeki saya dalam bidang seni semakin baik.
Saya anggap semua ini rezeki," katanya.

Kata Vee, walaupun sibuk di lokasi penggambaran dia akan tetap mencuri masa untuk menguruskan rumah tangga.

"Saya tetap memasak dan mengemas rumah. Ada masa saya akan menghantar dan mengambil anak dari sekolah," katanya.

Ironinya, dek kesibukannya di lokasi penggambaran dan menguruskan rumah tangga, dia selalu terlepas peluang menonton drama sendiri di rumah!

"Selalunya keluarga atau kawan-kawan yang beritahu drama saya sedang ditayangkan. Kemudian mereka akan memberi komen mengenai corak lakonan saya. Kalau orang suka menonton lakonan saya, alhamdulillah. Kalau ada yang memberi komen negatif, saya tetap terima dan akan memperbaiki lakonan.

"Mengenai watak pula, sebagai isteri dan ibu, saya perlu memilih yang sesuai saja. Tidak bolehlah peranan yang melampau sangat.

"Dalam kebanyakan drama dan filem, saya lebih banyak melakonkan watak baik dan peminat nampaknya suka. Pun begitu saya perlu melakukan perubahan dengan mengambil watak yang lebih agresif, antagonis kerana bagi membuktikan lagi kebolehan berlakon.

"Saya tak mahu jadi pelakon stereotaip. Saya amat menghargai sokongan peminat tetapi saya perlu buat perkara baru. Takkan selamanya saya hanya pegang watak wanita yang baik-baik saja," katanya.

Sebagai langkah ke arah perubahan itu, Vee pernah tampil dalam telefilem Keranda Kayu, pegang watak antagonis yang dipaksa berkahwin oleh ibunya dengan lelaki berusia kerana harta.

"Pada masa sama saya ada teman lelaki dan kami sepakat untuk membunuh suami saya itu untuk mendapatkan hartanya. Kesudahan cerita saya menerima padahnya.

"Lucunya ada peminat sampai marahkan saya selepas tengok drama itu. Kata mereka watak hitam macam tak sesuai dengan saya. Selepas saya jelaskan sebab berlakon watak itu, barulah mereka faham.

"Bagaimanapun, kalau orang benci dengan watak jahat yang kita lakonkan, maknanya lakonan kita itu berkesan. Saya juga teringin hendak berlakon filem 'action-packed' dan harap ada pengarah yang sudi mengambil saya untuk mencuba watak lasak pula," katanya.

Terkini, Vee baru saja selesai penggambaran filem Dari Kerana Mata, arahan Melissa Saila. Kali ini dia digandingkan dengan Afdlin Shauki sebagai pasangan suami isteri. Ia berupa cerita komedi yang mengisahkan sikap lelaki mata keranjang.

Ana (Vee) berkahwin dengan Ramzi (Awie). Di luar rumah Ramzi memang pantang tengok perempuan berdahi licin.

"Ini lakonan kedua saya bersama Awie selepas kami muncul bersama dalam muzikal Cuci di Istana Budaya. Bagaimanapun, dalam teater itu kami tidak ada babak bersama. Namun sejak berlakon Cuci kami jadi kawan rapat.

"Awie badan saja besar dan nampak garang tapi sebenarnya dia seorang yang kelakar. Senang bekerja dengan Awie. Oleh itu tiada masalah apabila kami memegang peranan sebagai suami isteri dalam filem itu.

"Dari Kerana Mata tidak memaparkan komedi yang sengaja dibuat-buat atau slapstik. Kelucuan dalam filem itu dipaparkan secara spontan menerusi dialog dan aksi Awie selaku pelakon utama," katanya.

Barisan pelakon lain yang turut menggamatkan filem menarik itu ialah Fasha Sandha, Sazzy Falak dan Rozita Che Wan.

Melissa juga menampilkan kemunculan istimewa bintang veteran seperti Neng Yatimah, Hashimah Yon, Ruminah Sidek dan Norlia Ghani.

Vee juga kini dalam rundingan untuk membintangi sebuah filem terbaru arahan Afdlin yang diadaptasikan daripada sebuah novel popular.

Dalam perkembangan lain, Vee juga sedang menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan. Disebabkan itulah dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon yang menarik.

"Baru-baru ini ada tawaran berlakon satu cerita hantu tapi saya bimbang penggambarannya akan berlarutan sampai ke awal pagi. Jadi saya terpaksa menolaknya.

"Bukan apa, takut tak terpikul beban kerja dan tugas belajar. Saya kena berikan tumpuan untuk belajar dan menghadapi peperiksaan. Saya tidak mahu terkandas lagi dalam pelajaran," katanya.

Mengenai desas-desus mengatakan Vee akan menggantikan Maya Karin untuk Nona, dia enggan memberikan sebarang komen lanjut.

"Lebih baik bertanya sendiri kepada pihak TV3 kerana mereka yang membuat segala keputusan," katanya.

>PROFIL:
NAMA: Vanidah Imran
TEMPAT LAHIR: Pulau Pinang
TARIKH LAHIR: 1 Oktober 1971
BANGSA: Melayu-India
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Rashidi Ishak
ANAK: Mikail Aimran, 7 dan Mariyam Rashika, 6
KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model
TV/DRAMA: Salam Taj Mahal, Meena Minaci, Athirah, Arca Buat Maria, Balqis, Puding Roti Kari Ayam, Doaku Di Hari Raya, Hanya Satu, Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Doa Imran, Isabella
FILEM: Dari Kerana Mata, Akhirat, Sepi, Histeria, Papadom, Budak Lapok, Cinta, The Red Kebaya, Main-Main Cinta, 7 Perhentian, Makar, Hingga Hujung Nyawa, Mami Jarum Junior, Mami Jarum, KL Menjerit, Perempuan Melayu Terakhir, Badai Mentera, Cinta Metropolitan. Putera.
TEATER: Megat Terawis, Anak Tanjung, Selendang Umi, Laila Majnun, Keris Sang Puteri, Tun Perak, Lantai T Pinkie, Anugerah, Merdeka, Merdeka, Merdeka, Visits, Moh Ho Huan, Lantai T.Pinkie KL, Wangi Jadi Saksi, Lantai T.Pinkie, Ipoh
PENGACARA: Salem Cool Planet Tour (19954/1995), Pujaan10 Nescafe Road Tour & Final (1995/1996), VJ Rim Chart Show (1997), Kenali Pasangan Anda, Famili Game Show (2002), You Asked For It (2003, 2004, 2005), Bank Islam Mastercard Baru Aku Tahu (2005), Kuiz Siapa Boleh ( 2006)
GELARAN: Miss Selangor/Malaysia 1993/1994, Miss Selangor Photogenic 1993/1994, Miss Malaysia/World Photogenic 1993/1994, tempat kedua Miss Malaysia/World 1993/1994

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Puas hati garapan baru muzik P Ramlee

Posted: 11 Nov 2010 06:19 AM PST

"SAYA terasa seperti berjiwa muda semula. Susunan baru terhadap lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee boleh diterima," kata Datuk Rosnani Jamil mengenai usaha artis Indie melakukan eksperimentasi menggubah lagu Seniman Agung itu.

Bagaimanapun, Rosnani yang mesra dengan panggilan Mak Nani berharap melodinya tidak lari dan tidak merosakkan lagu terutama Getaran Jiwa yang dianggap sangat klasik dan menyentuh perasaan.


Rosnani turut hadir pada majlis showcase Di Mana Kan Kucari Ganti: Satu Indiepretasi di Hard Rock Cafe, baru-baru ini bersama suaminya, pelakon, pengarah dan penulis lirik 40 lagu P Ramlee, Datuk Jamil Sulong. Kata Rosnani, jika Allahyarham masih ada, dia pasti tidak menyangka lagu ciptaannya kini lebih pantas berikutan sentuhan baru tersendiri stail alternatif rock dan rap.

"Saya dapat bayangkan reaksi Ramlee jika mendengar lagunya diperbaharui seperti ini. Apapun, saya dan suami berpuas hati terhadap garapan baru muziknya. Asalkan tidak rosak, masih ada melodi dan dapat dijiwai, itu sudah OK. Yang lain, saya serah sendiri kepada pendengar menilainya," katanya.


Menerusi kompilasi hasil cetusan inspirasi bakat emas penghormatan terhadap nyanyian beliau, 18 lagu P Ramlee disusun semula mengikut interpretasi aliran masa kini oleh artis indie solo dan berkumpulan. Kebanyakannya lagu nyanyian popular beliau dalam pelbagai filem lakonannya antara 1952 hingga 1967. Lima lagu dipersembahkan Awanband bersama penyanyi veteran, Che Mat iaitu Malam Bulan Dipagar Bintang daripada filem Bujang Lapok (1959), Monoloque (Tiada Kata Secantik Bahasa/Anakku Sazali), Altimet dan Imran Ajmain (Maafkan Kami/Pendekar Bujang Lapok) dengan stail rap.


Gandingan The Ramlees menampilkan kuartet Yuna, Liyana Fizi, Amirah Tilu dan Najwa Mahiaddin mendendangkan lagu Itulah Sayang sementara Sevencollar T-Shirts dengan Jangan Tinggal Daku.

Idea memberi gubahan baru kepada lagu Allahyarham dicetuskan Pengurus Rancangan XFM, Adly Syairi Ramly nyata mendapat sambutan baik artis Indie. "Penghormatan terhadap Seniman Agung ini bermula dengan usaha santai XFM bagi menyokong kempen Di Mana Ku Cari Ganti oleh Astro sepanjang Oktober lalu dengan merakamkan interpretasi gurindam P Ramlee pilihan mereka untuk diputarkan di stesen berkenaan.


"Dengan akarnya dibentuk Allahyarham, kami mahu memberi kesinambungan terhadap khazanah muzik Melayu yang diminati pelbagai golongan, peringkat umur dan bangsa. Lagipun, inisiatif ini memberi dimensi baru terhadap lagunya sejak Datuk Sheila Majid memberi warna dengan stail jaz pada 1990," katanya. Turut menyaksikan persembahan berkenaan, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh. Sebanyak 13 lagu digubah semula artis Indie dengan stail masing-masing iaitu Jeritan Batinku (Azlan & Typewriter dan AG & Co), One Buck Short (Pok Pok Bujang Lapok), Yuna (Gelora Jiwa), Couple (Menche Che Bujang Lapok), They Will Kill Us All (Sepanjang Riwayatku), Subculture ( Bunyi Gitar), Hujan (Tunggu Sekejab), Meet Uncle Hussain (MUH) dan Hazama ( Ya Habibi Ali Baba), Kugiran Tepi Pantai ( Nujum Pa' Belalang), Pesawat (Ai Ai Twist), Pop Shuvit dan Dina Nadzir (Aci Aci Buka Pintu) dan Grey Sky Morning (Malam Pesta Muda Mudi).

Rancangan asal adalah sekadar memutarkan 18 lagu yang dirakam di stesen radio Bahasa Malaysia AMP iaitu XFM, Era Fm, Sinar Fm dan THR Gegar.


Namun kini, projek kini mencipta sejarah dengan menerbitkan album kompilasi pertama di Malaysia yang hanya boleh didapati secara digital. Gitaris MUH, Taja berkata, beliau tidak menafikan lagu sentuhan baru P Ramlee menerima pelbagai reaksi daripada pendengar dan peminatnya.


"Saya dengar ada yang suka dan sebaliknya. Kami cuba memberi kelainan dengan kreativiti masing-masing. Bagi saya, banyak lagu beliau sangat unik dan tidak sama dengan lagu zaman sekarang. "Saya ibarat lagu beliau dua elemen dengan sekali lalu, tetapi menarik terutama pemilihan kord. Tidak sukar, tetapi memang kena dengan setiap lagu," katanya.


Pengarah projek kompilasi Indiepretasi, AG Coco yang juga gitaris kumpulan Hujan enggan mengulas mengenai ada mengatakan gubahan baru merosakkan melodi atau lagu Allahyarham. "Saya memberi panduan dan mereka (setiap artis indie) juga disarankan menjaga 'signature' masing-masing. Bagi saya, kami bangga kerana peminatnya memang ramai dan semuanya mahu memberikan lagu gubahan semula terbaik. "Setakat ini, maklum balas melalui nada panggil balik sangat baik. Apapun, inilah warisan P Ramlee yang sangat bernilai dan kami berbesar hati dapat mempelbagaikannya untuk pendengar," katanya.


Bagi pemuzik dan peminat ingin mendapatkan lagu kompilasi P Ramlee Di Mana Kan Kucari Ganti: Satu Indiepretasi boleh membelinya dengan memuat turun melalui laman sesawang, www.xfm.com.my pada harga RM5 untuk lagu penuh, untuk nada sebenar RM4 dan RM3 bagi nada pemanggil. Sebahagian hasil jualan album kompilasi akan disalurkan ke Tabung Pustaka Peringatan P Ramlee. Semua lagu berkenaan sudah diputarkan secara eksklusif di XFM, Era FM, Sinar FM dan THR Gegar sejak 25 Oktober lalu. Terdapat blog khas di laman sesawang www.xfm.com.my yang memberi dedikasi terhadap projek ini mengandungi perkembangan baru, klip sebalik tabir dan temu bual bersama pemuzik terbabit.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.