Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Permintaan baru Sari YantiDI sebalik bundar matanya, ada kerdipan baru yang enggan pergi jauh. Seraya itu juga, kelopak senyumnya lebar menandakan tiada sekelumit resah yang ditanggung. Dia cukup bahagia, persis segala permintaan tentang hidup sudah dikabulkan Sang Pencipta. Tidak banyak juga impian tentang karier yang mahu dikejarnya. Di depannya sudah ada matlamat jitu yang sedang menanti, untuk dibelai mahupun dirapi. "Hala tuju karier saya, mestilah saya mahu terus (berada) dalam dunia seni dan ingin sampai ke satu tahap yang paling bagus. "Tetapi untuk beria-ria sangat itu, tidak. Dalam situasi ketika ini, fokus saya adalah kepada keluarga. "Keluarga sudah jadi perkara nombor satu dalam hidup," enak bibirnya melantunkan ayat tentang hidup dan masa depan. Sari Yanti, pengacara dan pelakon genit yang saya temui ini bukanlah anak remaja yang bercanda ria dalam siri televisyen Kisah Kaisara . Bukan juga seorang pelakon yang sedang galak mencelah mencari peluang atau merebut pantas setiap tawaran yang datang. Tuturnya penuh berhemah, dia bukan menyepikan diri daripada dunia lakonan. Bukan juga terlalu memilih atau hanya menetapkan banyak syarat untuk terlibat dalam produksi lain selain daripada Chopp!! yang bersiaran menerusi TV9. Barangkali, disebabkan rentetan itulah, ada bisik pernah berdesir, kononnya Sari Yanti sekarang sudah terlalu memilih, harga khidmat yang diletakkan juga tinggi, hingga ada jurang yang besar berbanding detik awal dia menceburi seni lakonan sekitar tahun 2007. "Sebenarnya, banyak juga tawaran yang datang, tapi banyak saya tolak. Sebabnya saya masih sesuaikan diri dengan fasa baru saya ketika ini. Anak saya masih kecil, jadi kalau tak berlakon pun okey," katanya optimis.
'Harga' Penulis sogokkan si cantik 26 tahun itu dengan satu pertanyaan, tentang 'naik harga' yang ada diperkatakan. "Kalau hendak dikatakan menaikkan harga, rasanya saya macam biasa sahaja. Lagipun, macam manalah saya hendak menaikkan harga, sedangkan sudah lebih setahun saya tidak terlibat dengan mana-mana produksi, kecuali Chopp!! dan episod penyudah Kisah Kaisara, itu pun sejak akhir Oktober 2009. "Termasuklah juga telefilem Keabadian Cinta yang baru disiarkan di Astro Prima, ketika penggambaran drama itu, saya belum tahu bahawa kandungan saya sedang berusia dua minggu. Itulah drama terakhir saya," luahnya tanpa secalit kesal. Menyelongkar diari seni wajah jenama Kotex itu juga, Sari hanya boleh menetapkan November ini sebagai tarikh untuknya kembali ke lokasi penggambaran. "Saya tak berani beri nama judulnya, sebab tak pasti sama ada boleh sertai atau tidak. "Terbaru, saya baru tamat penggambaran untuk iklan Kotex. Ia belum disiarkan," katanya yang laris sebagai model iklan sebelum mula bergelar pelakon. Aksinya bersama Bront Palare untuk iklan Hotlink paling berkesan dan menjadi buah mulut sehingga dia disunting untuk berlakon dalam filem Impak Maksima arahan Ahmad Idham. Keibuan Bernikah dengan Mohd. Eddy Casmady Che Hussin pada 17 Januari 2009, Sari kini melengkapi fasa hidupnya sebagai wanita dan isteri dengan kehadiran Barr Al Aliy, yang lahir 10 Julai lalu. Bukan sesuatu yang luar biasa buat kebanyakan ibu di luar sana, tetapi peribadinya kepada Sari, syukur dan bahagia tidak tergambar untuk diluahkan. Daripada seorang yang tidak disangka-sangka akan berkahwin, dia kini sudah menimang cahaya mata sendiri. "Ramai juga yang tak sedar bila masa saya hamil dan bila masa saya bersalin. Mungkin ramai yang tak perasan sebab sepanjang mengacarakan Chopp!!, saya asyik peluk bantal. "Sampai sekarang saya masih peluk bantal dalam Chopp!!" usulnya sambil menceritakan pengalaman pertama bergelar ibu. Hampir-hampir juga dia berputus asa untuk meneruskan penyusuan badan terhadap putera sulungnya, Barr yang kini menjangkau usia tiga bulan. Jika tidak kerana dipaksa jururawat dan doktor yang merawatnya, pasti anak kecil itu sudah membesar dengan susu formula. "Syukurlah, sehingga sekarang bayi saya masih mendapat penyusuan badan sepenuhnya," ujar Sari.
Dalam banyak faktor yang harus diambil kira untuk sesuatu tawaran kerja yang diterima, Sari menetapkan lokasi sebagai syarat pertama untuk kembali aktif dengan lakonan. Jika di luar Lembah Klang, mungkin payah untuk sesuatu tawaran berkenan di hati. Agak sulit untuk dia dan anak kecilnya dipisahkan. Mengisi bicara soal wanita dan kewanitaan, ibu dan keibuan, ibu muda itu meletuskan beberapa pertimbangan yang baru melintas tiba di minda. Apa yang nyata, tamatnya tempoh berpantang 45 hari, Sari memulakan langkah dengan banyak visi yang baru. "Kini saya semakin matang. Sekarang ada kemahuan yang baru, tentang masa depan anak dan jika diberi rezeki akan ada anak yang seterusnya. "Jika sebelum bergelar ibu, saya masih boleh keluar dengan teman-teman dan membeli-belah untuk diri sendiri tetapi sekarang semuanya terfikir tentang anak. "Ke mana-mana pun harus bersama anak," riang Sari bila soal anak yang meluncur di bibir. Tidak mahu leka bercanda ria, Sari mohon pulang awal. Ada 'isyarat' sedang berdenyut, menandakan si kecil, Barr sedang menunggu untuk dahaganya reda di pangkuan ibu. | ||||||
Posted: Bayar RM200,000 saya!
PELANGGARAN kontrak atau penipuan pembayaran membabitkan artis dengan pihak penganjur konsert, syarikat rakaman, penerbit mahupun pihak korporat seakan menjadi isu wajib dalam senario hiburan tanah air. Julai lalu, kita pernah mendengar keluh resah sekumpulan pemuzik indie dan penyanyi solo membabitkan artis terkenal termasuk Ella, Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussain (MUH), May, Amuk, Radhi OAG dan Pesawat yang mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjur konsert KL Music Fest 2010 yang berlangsung di pekarangan Menara Kuala Lumpur. Itu berhubung kisah penyanyi dengan penganjur konsert. Lain pula halnya antara artis yang memeterai kontrak jurucakap produk atau duta barangan. Tidak terkecuali dalam kemelut ini ialah penyampai popular, Salih Yaacob. Dakwa penyampai Sinar.FM itu, dia pernah mengikat kontrak sebagai jurucakap sebuah syarikat ais krim jenama tempatan, dari tahun 2008 hingga 2009. Malangnya, sejak tamat kontrak pada Ogos 2009, sehingga kini, bayaran berjumlah RM200,000 berupa baki kontrak itu masih belum dilunaskan syarikat terbabit. Puas merayu disusuli banyak panggilan telefon berbalas pelbagai alasan, Salih tekad menuntut haknya diadili di mahkamah. Dia kesal dan kecewa kerana penganjur gagal memenuhi semua janji yang dipersetujui sebelum ini. Pihak syarikat itu yang dihubungi Sensasi Bintang bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Salih. Kenapa sekarang baru mahu bertindak?
Tujuh bulan lepas saya pernah merayu dengan pihak syarikat terbabit. Ketika itu, tujuan saya bukan untuk bermewah-mewahan tetapi untuk meringankan bayaran perubatan rawatan penyakit kronik yang dihidapi anak bongsu saya. Farah Aqeesa menghidap leukemia yang memerlukan kos perubatan puluhan ribu ringgit. Saya bertindak bukan untuk diri sendiri memandangkan bayaran kos rawatan anak sudah dilangsaikan. Saya mahu membuka mata pihak lain, rasanya ramai lagi yang tertipu, bukan saya seorang. Kenapa tidak bersemuka dengan pihak syarikat itu? Saya dah hubungi mereka tetapi macam-macam hal. Dulu masa mahukan saya terima tawaran, mereka sanggup datang ke muka pintu rumah saya. Pujuk-rayu supaya terima tawaran tapi bila sudah habis kontrak, senyap. Dulu mereka kata mahu tolong orang Melayu untuk sama-sama berjaya, tapi begini jadinya. Tindakan bagaimana hendak diambil, adakah saman? Itu terpulang kepada peguam saya, ia masih dalam perbincangan. Kalau tidak tuntut bayaran itu, silap saya sebab termaktub dalam kontrak. Saya cuma mahu bertegas untuk dapatkan hak saya, tetapi bukan menagih simpati. Duit itu bukan lagi untuk saya tetapi saya ada kesedaran baru. Kesedaran bagaimana?
Tiga bulan keluar masuk hospital, saya dan isteri yang semakin sakit tengok penderitaan anak dan kanak-kanak lain yang terlantar di hospital. Saya mahu duit RM200,000 itu untuk disumbangkan sebagai dana hospital untuk membiayai rawatan perubatan kanak-kanak yang datangnya daripada keluarga miskin, yang tak mampu membayar kos perubatan puluhan ribu ringgit. Saya terpanggil untuk beri sumbangan, sumbangan cara lain saya tak mampu, itu sahaja yang saya boleh buat. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |