Utusan Online - Hiburan |
Posted: Masih kental seperti duluJudul Album: Bleeding Through KOMEN: Bagi yang mengikuti perkembangan Bleeding Through, album ini masih sama kental seperti lima album terdahulu mereka. Elemen muzik hardcore dan metal yang digabungkan hingga munculnya konsep metalcore, tidak asing buat para peminat kumpulan ini. Kekuatan lagu-lagu Bleeding Through bukan sahaja pada ketukan drum yang padu, selari dan berganda bunyinya. Malah, kombinasi dua vokalis mereka iaitu Brandan Schieppati dan Ryan Wombacher menjadikan setiap lagu dalam album ini amat bertenaga. Biarpun, setiap lagu menampilkan gaya vokalis yang garau dan ketukan dram yang ekstrim tetapi terdapat melodi indah di sebaliknya. Ia menerusi petikan keyboard Marta Peterson yang kedengaran pada rangkap-rangkap tertentu terutamanya korus. Pemain keyboards dan satu-satunya anggota wanita dalam Bleeding Through ini menampilkan skil dan melodi yang tersendiri di sebalik lagu-lagu mereka yang ekstrim. Terdapat 12 lagu dalam album ini yang memperdengarkan jalur dan konsep muzik yang sama dari trek pertama hingga yang terakhir. Antara lagu yang dimuatkan berjudul Anti-Hero, Light My Eyes dan Salvation Never Found. | ||
Posted: Maureen bahagia di ASOleh MUZLINA ABU BAKAR
MAHU menjejaki artis-artis yang pernah masyhur di sekitar era 1980-an bukan mudah. Apa lagi mereka yang terdiri di kalangan bukan Melayu. Sudahlah senarai artis bukan Melayu yang pernah berjaya di gelanggang seni amat terhad, ada pula di kalangan mereka yang memilih berhijrah ke luar negara. Maureen Santiago yang suatu ketika dulu pernah mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan antara yang pernah cuba dijejaki oleh penulis. Sayang sekali, khabar yang sampai ke telinga, dia sudah berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) sejak 12 tahun lalu. Maureen yang kini berusia 46 tahun membuat keputusan itu kerana mengikut suaminya, Gregg Cherne, 44. Biar berada di rantau, namun minat Maureen dalam seni tidak pernah pudar. Dia yang dicungkil bakatnya menerusi Bintang RTM pada tahun 1986 meneruskan minatnya di negara itu. Ibu kepada Devan yang berusia 11 tahun itu juga pulang ke Malaysia baru-baru ini untuk mempromosikan album singlenya di samping menyambung perjalanan seninya yang terhenti seketika. "Saya amat bertuah mendapat seorang suami yang begitu memahami minat dan impian saya. Gregg bukan sahaja memberi semangat dan dorongan pada saya malah dia sanggup keluarkan duit untuk terbitkan album single saya. "Tanpa sokongannya saya mungkin sudah lama melupakan bidang nyanyian dan menjadi suri rumah sepenuh masa. "Kesediaan Gregg menjaga Devan sewaktu kecil ketika saya keluar menyanyi merupakan pengorbanan yang tiada nilainya," Maureen berkongsi kisah hidupnya pada satu pertemuan dengan Hits di rumah adiknya, Jackie di Klang, Selangor minggu lalu. Maureen berkahwin dengan Gregg, seorang arkitek rangkaian komputer pada Mac 1998 dan berhijrah ke negara Uncle Sam itu. Dia kini memegang status penduduk tetap di sana. "Sembilan bulan setelah melahirkan Devan, Gregg membenarkan saya menyanyi dan saya amat bertuah kerana sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu saya mendapat undangan menyanyi di kelab-kelab atau majlis makan malam. "Bukan itu sahaja, malah apa yang membuatkan saya bangga melalui AVIMA 2010 iaitu Online Award, saya yang menyanyikan lagu Believe In Yourself telah memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik Asia," kata Maureen penuh bangga. Selain menyanyi di kelab-kelab malam, Maureen juga turut diundang menyanyi pada Festival Jazz, dan jamuan makan malam syarikat-syarikat korporat di sana. Walaupun namanya tidak segah penyanyi terkenal di sana, namun sesuatu yang membanggakan persembahannya bersama kumpulannya Classic telah menarik minat penerbit di sebuah stesen kabel TV di AS, Jose Maria. "Selain kejayaan saya dalam pertandingan Online Award, persembahan saya bersama Classic telah menarik minat Jose dan selepas Krismas saya akan kembali ke AS untuk menyertai rancangan No Limits terbitannya. "Dalam rancangan itu yang dijangka akan ditonton oleh 90 juta penonton, saya akan menyanyikan salah satu lagu daripada album single terbaru saya," kata Maureen yang kini menetap di Minneapolis bersama keluarganya. Album single terbaru Maureen yang diberi judul Maureen Santiago mengandungi tiga buah lagu Save Memories, Believe In Yourself dan When You Look At My Face diterbikan oleh Kazual. Sementara lirik ditulis sendiri oleh Maureen dengan lagu dicipta oleh Kazual, Maureen dan Craig Damon. Menurut Maureen, walaupun kehadirannya di negara itu tidak dikenali oleh para peminat seni di sana namun usahanya mengambil Mike Mac Ken sebagai agennya memberi banyak manfaat. "Dengan usaha, Mike, saya meneruskan kerjaya seni saya bersama Midnight Express selama lapan tahun sebelum menyertai Classics," cerita Maureen mengenai kerjaya seninya. Benarlah kata pepatah, sekali kita melangkah memang sukar untuk berpatah balik. Itu yang terjadi pada Maureen yang cukup sebati dengan dunia seni. Di sana, Maureen bukan setakat menyanyi, malah anak sulung daripada tiga beradik, Jackie, 44, dan Gregory, 40, tahun ini turut berlakon teater muzikal di sana. Muzikal The Mystery of Destiny ilham David Young yang dipentaskan selama tiga tahun bermula Oktober 2007 di kawasan kediamannya. Dalam muzikal yang memaparkan kisah cinta seorang lelaki dalam mencari teman hidupnya berpandukan loket peninggalan mendiang ibunya, meletakkan Maureen sebagai pelakon utama berpasangan dengan David Young. Maureen memberitahu, walaupun bakat seninya berkembang di sana namun rasa rindunya terhadap Malaysia tidak boleh dilupakan. "Sebab itu setelah 10 tahun tidak kembali ke Malaysia dan setelah mempunyai single sendiri, akhirnya suami saya membenarkan saya pulang ke Malaysia untuk tempoh tiga bulan. "Sejak sampai ke Malaysia akhir September lalu saya diundang ke beberapa program TV dan kini saya juga mencari peluang untuk muncul dalam rancangan-rancangan hiburan di TV," kata Maureen yang pernah menjadi Residen Artis RTM pada tahun 1988 bersama Rohana Jalil, Juliza Adlizan dan Raisuddin Hamzah. Menyentuh mengenai rancangannya, Maureen yang merupakan finalis Bintang RTM '86 berkata: "Kepulangan saya ke Malaysia selain melawat ibu Ivy, 68, juga mahu mengembalikan nostalgia para peminat saya. "Walaupun saya sedar kehadiran saya hanya seketika tetapi apa yang saya harapkan saya dapat berjumpa dengan komposer S. Atan yang bertanggungjawab menerbitkan album pertama saya edaran NSR. "Tujuan saya hanya satu ialah untuk membawa pulang minus one lagu-lagu joget, asli dan zapin untuk diperkenalkan di sana setiap kali saya membuat persembahan nanti. "Bagi saya, walau di mana saya berada saya masih rakyat Malaysia dan saya mahu memperkenalkan Malaysia dengan lagu-lagu joget, zapin dan asli," kata Maureen yang pernah muncul dengan sebuah album Perasaan dan lagu hitnya Aku Sayang Kau Pun Sayang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |