Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Legasi pencinta haiwan ganas
- Selebriti penakluk haiwan
- Vakum dan rebus, makanan lebih sihat
- Misi 2020 delegasi PBB
- Enjin lebih berkuasa
- MTUC Tolak Dana Pencen Swasta
- Tak kisah jadi model tua
- Gadis diganggu jin ilmu hitam
- Mangsa langgar lari terlantar
- Legenda bola ke golf
- Panasonic tawar CCTV definisi tinggi
- Kanak-kanak banyak berimaginasi
- Nasha Aziz Tangguh Kahwin & Umrah
- Farahdhiya Jauh Hati Dengan Zizie Izette?
- Lan Jelaskan Salah Faham Dengan Kristal
- Zizie Izette Sibuk Berniaga Di Perhimpunan Agung Umno
- Nazim Othman Sukar Dapat Kepercayaan Pengarah
- Minka Kelly Terpilih Sebagai Wanita Terseksi Di Dunia
- 'Crayon' Filem Pertama Tempatan Diedar Di Los Angeles
Posted: 20 Oct 2010 08:25 PM PDT APABILA lelaki bernama Dr. Brady Barr memutuskan untuk menyarungkan 'kostum' buaya bagi mendekati, mengenali dan memahami realiti kehidupan sebuah koloni buaya yang diketahui merupakan haiwan pemangsa yang ganas di sebatang sungai di Tanzania pada tahun 2007, ramai yang melihat tindakannya itu sebagai sama ada bodoh, gila atau sengaja mencari nahas. Kumpulan buaya itu bukan calang-calang buaya tetapi merupakan daripada jenis Nile yang boleh membesar sehingga 6.1 meter (20 kaki) panjang. Pakar zoologi itu sebenarnya sedang merealisasikan 'lakonannya' sebagai seorang selebriti iaitu hos program dokumentari Dangerous Encounters with Brady Barr yang disiarkan di saluran National Geographic atau kini dikenali sebagai Net Geo. Bukan sekadar buaya, malah sudah menjadi tugas rasmi Brady untuk mencari dan mendekati haiwan-haiwan liar dan eksotik yang berbahaya di seluruh pelusuk dunia. Pemilik nama penuh Brady Robert Barr itu pernah masuk jauh ke dalam gua untuk mencari ular sawa, malah dia pernah berenang jauh ke dalam lautan bersama ikan jerung. Sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada mengalami kecederaan akibat berdepan dengan haiwan-haiwan berbahaya itu. Pengalaman dipatuk ular sebagai contohnya sedikit pun tidak melenturkan semangatnya dalam meneruskan usahanya menjejak reptilia ganas terutamanya buaya. Bapa kepada dua anak yang menginjak usia 47 tahun itu menganggap tugasan yang digalasnya itu kini adalah satu kerjaya yang sangat menarik walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko yang boleh mengancam nyawanya sendiri. Segala pengorbanannya berbaloi apabila Brady berjaya menempa nama sebagai saintis pertama berjaya menangkap dan mengkaji sebanyak 23 spesies buaya termasuk satu pertiga daripadanya yang diancam kepupusan.Sehubungan itu dia dinobatkan sebagai herpetologis pertama dunia! Herpetoligis sebenarnya merujuk kepada zoologis yang mengkhusus kepada kajian mengenai reptilia dan amfibia. Menurut Brady, dia sememangnya gemar mengembara ke seluruh dunia dunia untuk mengkaji reptilia dan makhluk-makhluk lain dalam habitat semulajadi mereka. Katanya, usaha-usaha meraih pengetahuan mengenai haiwan-haiwan itu adalah kunci kepada sokongan terhadap usaha-usaha perlindungan, pendidikan dan pemuliharaan hidupan liar. "Kami telah mengumpul dan mendokumentasikan pelbagai data dan penemuan-penemuan yang menyebabkan saya takjub terutamanya tentang data kuasa gigitan daripada pelbagai jenis haiwan pemangsa. "Sekarang, maklumat sedemikian tidak banyak wujud atau mudah diperolehi tetapi ia adalah satu pembelajaran yang bernilai bagi membantu memastikan kesinambungan hidup mereka. "Kesinambungan hidup mereka adalah kritikal dalam meminimumkan kesan ke atas hubungan ekologi semula jadi yang boleh mencetuskan impak besar kepada manusia," jelasnya. Turut dikenali sebagai pakar reptilia dan pakar buaya terkemuka dunia, menerusi musim kelima Dangerous Encounters with Brady Barr, dia kini berkerja dengan bantuan teknologi canggih bagi menggali pengetahuan baru tentang haiwan-haiwan paling berbahaya di dunia. "Antara ujian yang dijalankan seperti mendapatkan tindak balas serangan ular orok-orok, kamera laut bagi mengintip sotong gergasi dan menangkap secara hendap buaya raksaksa yang pernah memakan manusia," katanya. Brady yang memiliki ijazah Pendidikan Sains dari Universiti Indiana pernah menjadi guru sekolah yang mengajar mata pelajaran sains hayat dan bumi, zoologi dan biologi, sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Of Miami. Ketika menuntut di situlah, dia telah berpeluang belajar mengenai kehidupan liar buaya dengan manjadi Everglades National Park sebagai pusat kajian. Dalam pengembaraan untuk menjejak reptilia seekor biawak gergasi pula, Brady telah pergi ke beberapa destinasi seperti Australia, India dan China yang memberi peluang kepadanya bertemu cicak gergasi atau giant Salamanders dan buaya air masin. Diserang badak air Baru-baru ini, Brady telah melawat beberapa buah sekolah di Malaysia dalam rangka siri ceramah mengenai pemuliharaan hidupan liar. Dia telah memilih Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Petaling Jaya, Selangor dan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Hasil kunjungannya ke sekolah-sekolah tersebut telah membuka peluang kepada pelajar untuk memahami lagi usaha perlindungan terhadap kebanyakan haiwan berbisa dan liar secara langsung. Menurut Pengarah dan Ketua Wilayah Fox International Channels di Malaysia, Basil Chua, inisiatif yang dibuat itu adalah bersempena dengan pelancaran program Nat Geo Wild di negara ini menerusi Astro (saluran 550). Katanya, selama bertahun-tahun penonton telah meraih manfaat yang besar hasil daripada kandungan fakta hiburan pintar yang ditawarkan menerusi rangkaian saluran-saluran yang termasuklah National Geographic dan National Geographic dalam definasi tinggi (HD). "Dari sains dan teknologi kepada sejarah semula jadi, arkeologi dan misteri-misteri, matlamat kami adalah untuk memberi inspirasi dan menggalakkan orang ramai supaya prihatin kepada alam sekitar. "Tayangan sulung Nat Geo Wild yang memberi tumpuan kepada program hidupan liar dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin mengukuhkan komitmen berterusan kami untuk menjadikan saluran-saluran kami lebih diterima ramai," ujarnya ketika ditemui semasa kunjungannya di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana. Di sekolah tersebut, lebih daripada 900 pelajar berpeluang melihat secara dekat dan berkomunikasi dengan Brady bersama hidupan liar termasuk ular sawa Albino Burmese. "Brady turut ditemani pelawak, pelakon dan pengacara, Nabil (Raja Lawak) bagi menceriakan suasana khususnya semasa sesi ceramah dan pertunjukan. "Lawatan pertamanya di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana mendapat sambutan daripada para pelajar kerana mereka mendengar dengan penuh minat mengenai kisah di sebalik pengalaman Brady bersama reptilia," katanya. Hadir dengan tangan kanannya berbalut kain putih, Brady sebenarnya semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya selepas diserang buaya ketika kunjungannya ke Afrika Selatan sebelum ini, namun dia tidak pernah membayangkan akan membatalkan kunjungan ke Malaysia buat kali keduanya. Mengimbas kembali memori empat tahun lalu ketika pertama kali berkunjung di negara ini, kejadian ngeri yang dialaminya diserang badak air di Zoo Negara, Hulu Klang masih terkesan di lubuk sanubarinya.
"Kali pertama saya berkunjung ke Malaysia iaitu di Zoo Negara, saya diserang oleh badak air, tetapi baru-baru ini saya mendapat tahu badak air itu bunting dan telah melahirkan anak. Saya berbangga apabila anak badak air itu dinamakan sempena nama saya iaitu Brady," ujarnya. Bercerita tentang kerjayanya, dia mengakui begitu menikmati apa yang dilakukannya sekarang ini. "Bekerja dengan Nat Geo merupakan impian yang menjadi kenyataan bagi saintis seperti saya. Sebelum ini saya mempunyai sumber yang sedikit dalam melakukan penyelidikan, namun dengan Nat Geo, tetapi kini satu dunia telah menjadi makmal saya untuk membuat kajian," ungkapnya. Bagi Brady, tujuannya berkunjung ke sekolah adalah untuk menggalakkan pelajar supaya memiliki kesedaran yang lebih lagi terhadap alam sekitar. "Lawatan ini adalah cara terbaik untuk mencetuskan perasaan ingin tahu dan semangat penerokaan dalam minda dan hati pelajar-pelajar. "Menjadi perkara penting untuk untuk mendidik generasi muda di peringkat awal dan memberi inspirasi kepada mereka untuk berfikir dan bertindak melindungi dunia haiwan yang mempersonakan itu," jelasnya. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 08:25 PM PDT
JIKA industri hiburan dimeriahkan oleh selebriti-selebriti glamor yang digelar penyanyi pengacara dan pelakon, figura juga bertaraf selebriti yang menjadi hos program dokumentari mengenai kehidupan haiwan liar nyata kelihatan lebih mencabar dengan menghadapi halangan yang tidak kurang hebatnya. Pelbagai risiko besar terpaksa ditempuhi oleh mereka yang sering terlibat dalam mengacarakan program misi pencarian haiwan berbahaya seperti digigit dan dipatuk oleh haiwan-haiwan itu.
Selain Dr. Brady Barr terdapat beberapa insan lain yang turut mempunyai semangat dalam menyahut cabaran mencari dan 'memburu' 'haiwan yang boleh dikategorikan sebagai amat berbahaya itu. Mereka termasuklah Paul Sereno, Andrew Ucles, Mendiang Steve Irwin dan Jeremy Wade. | ||||
Vakum dan rebus, makanan lebih sihat Posted: 20 Oct 2010 08:24 PM PDT PERNAHKAN anda membayangkan memasak rendang ayam dengan kaedah baru iaitu memasukkan kesemua bahan-bahan di dalam plastik khas, divakum dan direbus? Barangkali ada yang ragu-ragu sama ada rendang ayam itu akan masak dengan sempurna atau sebaliknya. Jangan terkejut jika anda bukan sahaja mendapat sajian yang masak sempurna dan menyihatkan, bahkan lebih lazat berbanding kaedah masakan biasa. Ini kerana menerusi kaedah itu nutrien yang ada pada bahan-bahan mentah dikekalkan melalui masakan pada suhu rendah. Ramai yang tidak tahu bahawa makanan yang divakum sebelum dimasak lebih sihat untuk seisi keluarga kerana ia berada dalam persekitaran oksigen yang minimum sekali gus menghalang pembiakan bakteria. Sekiranya bahan-bahan yang divakum dibekukan, ia mampu bertahan dalam tempoh sebulan tanpa kehilangan kualiti kesegarannya. Justeru, bagi mereka yang sibuk bekerja tetapi mahukan gaya hidup sihat, Orved Italy memperkenalkan Cuission SV-41 iaitu mesin vakum yang perlu ada di setiap ruang dapur rumah atau digunakan dalam perniagaan makanan industri kecil dan sederhana (IKS). Pilih sahaja masakan kegemaran sama ada kari, rendang atau masak lemak, ia boleh disediakan dengan kaedah masakan yang dinamakan Sous Vide. Mesin vakum makanan itu boleh dibeli pada harga RM16,000. Sous Vide adalah perkataan dalam bahasa Perancis yang bermaksud telah divakum. Ia merupakan kaedah masakan yang bertujuan mengekalkan integriti kandungan makanan menerusi mekanisme vakum dan memanaskannya untuk satu tempoh masa tertentu pada suhu di bawah 70 darjah Celsius. Dua kali ganda masa Bagaimanapun, untuk kaedah ini makanan yang divakumkan dalam tempoh tidak sampai seminit, perlu dimasak dalam air panas untuk tempoh kira-kira dua kali lebih lama berbanding kaedah masakan biasa menggunakan api. Walaupun lebih banyak masa diperlukan, namun kaedah itu dianggap berbaloi kerana ia mengekalkan kesegaran dan nutrien makanan. Jurucakap Orved Italy, Chef Azura Othman memberitahu, Cuission SV-41 dapat mengekalkan kesegaran makanan kerana makanan yang divakum berada dalam persekitaran oksigen yang minimum. "Makanan yang divakum tahan lebih lama kerana bakteria tidak mudah merebak berbanding makanan yang terdedah dan diletakkan terlalu lama di dalam peti ais," jelas beliau. Menurut Azura, dengan menggunakan Cuission SV-41, hasil akhir masakan mempunyai tekstur yang terbaik, rasa yang segar dan kuantiti yang tidak terjejas. "Apabila makanan divakum dan dimasak dengan mekanisme melalui air panas, secara tidak langsung ia meminimumkan pembaziran. Makanan yang sudah dimasak boleh dibungkus semula dan disimpan di dalam peti ais.
"Makanan yang berlainan sama ada pembuka selera sehingga ke pencuci mulut dapat divakum dan dimasak dalam air panas secara serentak, sekali gus mengurangkan tempoh masa penyediaan serta mengurangkan penggunakaan barangan dapur," katanya pada demonstrasi masakan menggunakan Cuission SV-41 di Hotel Equatorial Kuala Lumpur baru-baru ini. Kegunaan seisi keluarga Usah bimbang untuk meninggalkan keluarga di rumah dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan. Ini kerana kaedah masakan Sous Vide adalah penyelesaian terbaik biarpun anda tidak ada kemahiran dan pengalaman memasak. Azura memberitahu, semua bahan masakan dimasukkan ke dalam beg vakum dan boleh terus dimasak atau disimpan di dalam peti ais. Jika disimpan dalam peti ais, anak-anak hanya perlu merebusnya di dalam air panas mengikut tempoh tertentu tanpa sebarang masalah. "Malah, sekiranya tidak dimasukkan ke dalam peti ais sekalipun, makanan divakum masih boleh tahan sehingga lima kali ganda berbanding makanan terdedah. "Kerana itu menerusi kaedah ini juga anda boleh membawa makanan yang sudah divakum ke tempat kerja. Vakum makanan di rumah dan masak dalam air panas di tempat kerja," katanya. Azura menekankan, dalam kehidupan moden hari ini teknik masakan Sous Vide menjadi pilihan terbaik untuk seisi keluarga kerana ia mengekalkan 85 peratus khasiat makanan berbanding kaedah masakan biasa. "Semakin tinggi suhu memasak makanan, kualiti dan kuantitinya semakin berkurang. Suhu terbaik untuk memasak makanan ialah di bawah 70 darjah Celsius. Walaupun suhu rendah, makanan akan masak dengan baik tetapi memerlukan tempoh masa lebih lama.
"Berbanding kaedah masakan biasa, pendedahan pada api boleh mengurangkan kualiti produk sehingga 37 peratus, manakala melalui kaedah vakum menggunakan Cuission SV-41 dan teknik masakan Sous Vide, ia hanya menjejaskan kualiti sajian sekitar lapan peratus," katanya. Ia berdasarkan satu ujian masakan daging yang pernah dilakukan di Itali. Azura memberitahu berat permulaan daging yang dikaji ialah empat kilogram (kg) yang dibeli pada berharga 80 euro (RM370). "Selepas dimasak, teknik masakan tradisional mengalami penyusutan produk sehingga 37 peratus, masakan menggunakan ketuhar gelombang mikro moden kehilangan 25 peratus, manakala teknik masakan vakum dan Sous Vide kehilangan hanya lapan peratus. "Nilai yang hilang selepas memasak berdasarkan penyusutan produk ialah RM136 bagi teknik masakan tradisional, RM92 bagi masakan ketuhar gelombang mikro dan hanya RM29 bagi teknik masakan vakum dan Sous Vide. Ini bermakna nilai tahunan yang dapat dijimatkan untuk menu itu menggunakan Cuission SV-41 berjumlah RM3,249. Justeru itu, mekanisme masakan baru tersebut dilihat sebagai satu teknik penjimatan untuk jangka masa panjang. Untuk maklumat lanjut layari laman web www.orved.com.it. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 08:23 PM PDT DELEGASI dari lebih 190 negara telah menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tokyo, Jepun minggu lalu. Ia antara lain mengetengahkan isu berkaitan pelestarian spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta ekosistem yang terancam akibat pencemaran, eksploitasi dan pemusnahan habitat. Selama ini, para saintis telah banyak kali memberi peringatan bahawa manusia semakin banyak menyebabkan spesies lain pupus. Atas sebab itulah alam semula jadi mengalami kemusnahan berterusan. Persidangan berkenaan berhasrat menetapkan 20 sasaran daripada para delegasi sehingga tahun 2020. Selepas tempoh 17 tahun selepas Konvensyen Diversiti Biologikal PBB diwujudkan, ia masih belum mencapai sebarang inisiatif besar untuk melambatkan proses kepupusan spesies dan kemusnahan ekosistem. Menurut konvensyen berkenaan, katak dan amfibia lain adalah yang paling terancam untuk pupus manakala terumbu karang pula adalah elemen alam yang menyusut paling cepat. Lebih menyedihkan, dunia hampir kehilangan satu pertiga bagi semua spesiesnya yang terancam. Para saintis memberi amaran bahawa kadar kemusnahan akan meningkat dan habitat semula jadi akan turut musnah. Keadaan ini akan menyumbang kepada perubahan cuaca dan mengancam produksi pertanian, stok ikan di lautan dan capaian kepada sumber air bersih. Pakar Biologi Serangga, E.O. Wilson dari Universiti Harvard memberitahu bahawa krisis persekitaran akibat aktiviti manusia menolak bumi ke fasa keenam terbesar iaitu yang terhebat selepas dinosaur pupus 65 juta tahun dulu. Ambil tindakan Bagaimanapun, beberapa garis panduan telah ditetapkan antara negara maju dan membangun berhubung kenyataan misi strategik konvensyen berkenaan. Antara lain, mereka membincangkan sama ada untuk mengambil tindakan menghenti atau melambatkan kehilangan biodiversiti sehingga tahun 2020. Seterusnya adalah bagi mencari jalan untuk secara adil berkongsi manfaat sumber daya genetik. Misalnya mengenai isu tanaman asli di negara-negara miskin yang diproses menjadi produk ubat yang menguntungkan di Barat. Ia sepatutnya menguntungkan kedua-dua belah pihak secara bertimbal-balik, dan bukannya memberi kelebihan kepada satu-satu negara. Dalam pada itu, banyak kumpulan pemuliharaan mendedahkan bahawa kebanyakan sasaran yang ditetapkan selama ini terlalu kabur hinggakan tiada siapa yang berani bertanggungjawab ataupun mengambil tindakan yang tepat. Kebergantungan biodiversiti "Kita belum berjaya menyampaikan mesej bahawa masyarakat dan ekonomi dunia bergantung kepada biodiversiti," kata Bill Jackson, Timbalan Ketua Pengarah Pertubuhan Kebangsaan Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN). "Kita perlu mengatasi masalah ini dalam tempoh sepuluh tahun akan datang," katanya yang mengulas mengenai intipati persidangan tersebut. Bagi Jepun yang menjadi tuan rumah, persidangan tersebut dijadikan sebagai peluang menggambarkan negaranya sebagai pelindung diversiti melalui undang-undang membataskan perdagangan tuna, jerung dan spesies marin lain. Dalam mewujudkan sinergi persefahaman dan kerjasama, jurang pemisahan di antara negara kaya dan miskin ke atas perkongsian sumber genetik yang adil boleh merosakkan inspirasi persidangan tersebut. Contohnya, tumbuhan rosy periwinkle yang merupakan tumbuhan asal Madagascar, mengandungi dua zat yang dapat melawan penyakit kanser. Syarikat perubatan telah menanam tumbuhan itu dan telah mendapat keuntungan daripadanya, tetapi hanya sedikit manfaat dipulangkan ke negara asalnya, Madagascar.
Negara membangun mengatakan mereka patut menerima royalti atau berkongsi manfaat daripada sumber semula jadi itu. "Negara membangun meletakkan tekanan ke atas negara maju dan mengatakan sekiranya kami tidak mencapai persetujuan dalam isu ini, mereka tidak akan memberikan apa yang kami mahu dalam pelan strategik itu," kata Patricia Yakabe Malentaqui, pengurus media antarabangsa pada kumpulan pemuliharaan persekitaran antarabangsa. Antara sasaran lain yang akan ditetapkan adalah peratusan tanah bumi dan lautan yang harus dilindungi menjelang 2020. Ketika ini, 13 peratus tanah dan kurang satu peratus laut terbuka disenarai sebagai kawasan yang dilindungi. Ia terdiri daripada kawasan simpanan dan juga kawasan yang diuruskan untuk pelestarian sumber alam semula jadi. Bagi Organisasi Pemuliharaan Kebangsaan Amerika Syarikat, peratusan berkenaan perlu dinaikkan kepada 25 peratus dengan seberapa segera. Walaupun para delegasi bersetuju dengan sasaran tersebut, mekanisma pelaksanaannya adalah satu perkara berbeza. Para pelabur dan usahawan pasti menolak untuk mengehadkan aktiviti mereka manakala faktor pertumbuhan populasi dan permintaan menyukarkan lagi agenda perlindungan berkenaan. Walau bagaimanapaun, kumpulan pencinta alam menafikan andaian tersebut. Mereka mengeluarkan hujah bahawa dengan mencipta kawasan yang dilindungi, pulangan manfaat ekonomi akan berganda. Contohnya, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa kaedah perikanan yang selamat menjadikan populasinya akan pulih dengan lebih cepat. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 08:16 PM PDT KADAR dan kos penggunaan minyak yang semakin meningkat cukup membebankan pengguna kenderaan masa kini. Beban berkenaan lebih dirasakan oleh pengguna kenderaan komersial dan individu yang banyak bergerak untuk tujuan perniagaan atau berulang-alik ke pejabat. Bagaimanapun, perkembangan teknologi automotif masa kini memberi ruang kepada syarikat pengeluar minyak menghasilkan produk yang menjimatkan dan mampu meningkatkan prestasi enjin. Antaranya ialah penggunaan bahan aditif. Aditif diperlukan untuk menyempurnakan pembakaran di samping membuang segala enapan pada komponen-komponen sistem intake enjin yang berlaku dari semasa ke semasa. Pembakaran yang tidak sempurna akan menyebabkan berlakunya engine knocking (perlagaan enjin). Impak negatif itu juga boleh mengakibatkan penurunan prestasi kenderaan, pembaziran bahan bakar dan peningkatan ORI (Octan Recurement Increase). Biarpun terdapat pelbagai produk penjimatan minyak di pasaran, namun secara tidak langsung ia memaksa pengguna berbelanja lebih semata-mata mahu mendapatkan penjimatan yang belum dapat dipastikan kesahihannya. Menyedari dilema yang dihadapi pengguna, Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) baru-baru ini telah memperkenalkan jenama minyak petrol tanpa plumbum terbaru iaitu BHPetrol Infiniti Advanced 2x dengan formula khas Sebatian Aditif Termaju (AAC) dari Jerman. Minyak tanpa plumbum Formula tersebut yang merupakan aditif sintetik penuh pelbagai fungsi dalam Infiniti Advanced 2x RON95 dan RON97. Penambahan jumlah aditif memberikan kelebihan maksimum kepada pengguna berbanding minyak-minyak lain yang terdapat di pasaran. Formulasi itu mengandungi komponen pembersih kotoran enjin dan friction modifier yang mengurangkan geseran bahagian enjin untuk lebih perlindungan dan penjimatan minyak. Pada masa yang sama, ia menawarkan prestasi pembakaran yang lebih berkesan, sekali gus memberikan kuasa dan jarak perjalanan lebih jauh. "Enjin kereta cenderung untuk kehilangan kuasa secara berperingkat apabila dipandu. Salah satu puncanya adalah enapan atau hidro karbon yang wujud dalam enjin, blok dan injap masuk. "Bahan ini akan menyerap minyak dan menyebabkan pembakaran di ruang enjin tidak sempurna sekali gus mengurangkan prestasi kenderaan serta meningkatkan penggunaan bahan api," kata Pengurus Besar Peruncitan BHPetrol, James Khoo. Beliau berkata, pihaknya mencampurkan kandungan AAC melebihi kadar maksimum yang disarankan iaitu sebanyak sebanyak 800 bahagian per juta (ppm) untuk memberikan kekuatan berganda selain menjimatkan bahan api. "Dengan daya pembersihan yang lebih besar dalam petrol, kami menawarkan prestasi yang memberikan kuasa yang memberangsangkan. Pada masa yang sama, ia juga dapat memastikan ketahanan enjin," ujarnya. James berkata, AAC yang digunakan dalam BHPetrol Infiniti Advanced 2x adalah aditif sintetik sepenuhnya bagi petrol pelbagai fungsi yang dihasilkan menerusi kajian mendalam oleh kejuruteraan Jerman. Bagi memastikan keberkesanan formula itu, badan tersebut turut melakukan beberapa ujian di sebuah badan bebas pengujian petrol di Jerman. "Ujian itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis Penyelarasan Eropah (CEC) dan diguna pakai dalam industri automotif di seluruh dunia. "Perbandingan penggunaan petrol tanpa aditif menunjukkan BHPetrol Infiniti Advanced 2x yang dicampur dengan aditif AAC mampu mengurangkan sisa karbon pada injap kemasukan udara akibat pembakaran dalam enjin sebanyak 94 peratus atau kira-kira tiga miligram bagi setiap injap," jelasnya. BHPetrol Infiniti Advanced 2x ditawarkan pada harga RM1.85 seliter bagi RON95, manakala RON97 dijual RM2.10 seliter sejak 16 Ogos lalu di lebih 300 stesen minyak BHPetrol di seluruh negara. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 01:29 AM PDT PETALING JAYA, 20 Okt -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya tidak menyertai cadangan penubuhan Dana Pencen Swasta tahun depan kerana mendakwa pulangan terhadap pelaburan mereka itu kelak tidak dapat dijamin. "Hasil pulangannya bergantung kepada kuasa pasaran dan ini adalah sangat berisiko untuk pencarum kerana mungkin mereka kehilangan semua simpanan mereka," kata Setiausaha Agung MTUC, G Rajasegaran. Beliau berkata syarikat insurans telah melobi penubuhan dana tersebut sejak sekian lama dan MTUC telah menolaknya dengan disokong oleh Lembaga KWSP. "Namun kini ia muncul kembali dengan pelobi insurans telah berjaya, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa kerajaan bersetuju untuk melantik syarikat-syarikat insurans mengurus dana berkenaan," katanya. Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah telah mengeluarkan kenyataan bahawa dividen KWSP akan dikurangkan secara beransur-ansur bagi menggalakkan pencarum melabur di dalam Dana Pencen Swasta. Dalam Bajet 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta tahun depan bagi memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri. Beliau turut mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada dana itu termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri. Rajasegaran berkata berikutan perkembangan terbaru berkenaan, MTUC akan melancarkan kempen secara agresif tidak lama lagi bagi menggalakkan pekerja supaya menolak dana pencen tersebut. Sementara itu MTUC akan meminta untuk bertemu dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan soal dana tersebut dan kesan jangka panjangnya terhadap pekerja terutama tentang kebajikan masa tua mereka, katanya. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 01:16 AM PDT SETIAP kali diajak berbicara soal cinta dan rumah tangga, model dan pelakon terkenal Nasha Aziz nampaknya masih belum bersedia untuk berkongsi isu serius seperti itu. Malah, dia akan beralih ke topik lain untuk mengelak dari bercerita lebih lanjut.
Ramai yang tertanya-tanya kenapa agaknya pelakon cantik ini masih berahsia? Justeru, pada majlis sidang media sempena Festival Filem Malaysia ke- 23 (FFM23) yang berlangsung di butik Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, Nasha dengan gaun petang menawan berona cili rekaan DNL, terus dikerumuni pihak media.Soalan yang sama juga ditanya bila Nasha dan Iman akan mengakhiri hubungan itu dengan perkahwinan?. Seperti biasa jawapannya masih lagi bersifat 'selamat' dan masih mengundang persoalan di hati pihak media.
Namun, Nasha akui wanita yang hampir usia 40 tahun sepertinya sudah pasti ingin hidup bahagia dan membina keluarga seperti wanita lain.
Pada petang itu juga, Nasha memberitahu, hasratnya dan Iman untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah bersama-sama dengan rakan lain selama dua minggu, bermula 10 Mei lalu, nampaknya tidak menjadi kenyataan seperti yang diberitahu kepada pihak media sebelum ini. "Terus-terang, saya tidak boleh memaksa dia (Iman) untuk ke sana kerana seperti yang kita tahu dia saudara baru. Biarlah dia ke sana dengan kerelaan hatinya dan dengan niat yang ikhlas.
Ditanya adakah dia dan Iman tidak kisah berjauhan apabila dia menjayakan pertunjukan fesyen di luar negara, Nasha berkata, dia sanggup berkorban meninggalkan kerjaya peragaan jika calon suaminya memintanya untuk berbuat demikian.
"Saya ini berehat seketika dari aktiviti lakonan kerana ingin memberi tumpuan pada bidang peragaan. Saya juga lebih selektif dan hanya mencari skrip yang bagus selepas ini. "Apapun, saya bertuah kerana diberi peluang pengarah untuk memilih watak yang saya suka sekarang. Contohnya, watak dalam drama Dendam Maya, saya bawa watak wanita yang tertekan dan psiko," katanya. Baru kembali dari Shanghai
"Memang saya yang paling berusia dalam bidang ini kerana model berusia 20-an dan yang paling tua pun baru 30 dan 32 tahun di pentas peragaan sekarang. "Saya akan teruskan bidang ini selagi masih diperlukan. Saya juga tidak berasa dipinggirkan kerana model yang jauh lebih muda ramai yang meminta tip peragaan dari saya mengenai bidang ini," katanya.
"Saya juga menurunkan berat badan kepada 50 kilogram dengan ketinggian 173 sm semata-mata untuk memenuhi tuntutan bidang peragaan ini. Kalau di pentas lakonan saya tidak boleh nampak terlalu kurus sangat dan ia berbeza dengan bidang fesyen. "Seperti mana yang kita tahu kalau di lokasi penggambaran, berat badan saya memang cepat naik kerana kami makan tiga kali sehari.
| ||||
Posted: 20 Oct 2010 01:13 AM PDT MANDI...Abu Samah memandikan Ila kerana mendakwa jin yang berada dalam badannya enggan keluar meninggalkan badan. KULAIJAYA: Seorang gadis sengsara akibat gangguan histeria yang dikatakan berpunca daripada tindakannya menggunakan jin dan amalan ilmu hitam bagi menundukkan lelaki supaya memenuhi kemahuannya memiliki barangan berjenama. Gangguan histeria dialami gadis berusia 18 tahun itu berlaku jam 10.30 malam pada 14 Oktober lalu memaksa keluarga remaja berkenaan memanggil pengamal perubatan tradisional bagi memulihkan keadaan. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 01:11 AM PDT RAWAT...Syaril Amirul dirawat di ICU HTAR selepas patah tulang rusuk dan tulang belakang. KLANG: "Sudah 10 hari anak saya berada di sini. Harap dia cepat sembuh," kata Rosidah Yaakub, 37, ibu kepada Muhammad Syaril Amirul Che Hamid, 17, yang menjadi mangsa langgar lari, kira-kira satu kilometer dari Tol Bukit Raja, 10 Oktober lalu. Mangsa menunggang motosikal Honda EX5 hitam bersama rakan kritikal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini selepas cedera dalaman yang teruk, termasuk patah tulang rusuk dan tulang belakang. Bagaimanapun rakannya cedera ringan.Dalam kemalangan jam 12.50 tengah hari, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang Baru, Batu Caves, itu menunggang motosikal bersama rakan sekolahnya ke Telok Gong untuk menghadiri majlis perkahwinan ibu saudara rakan sebelum dilanggar Proton Waja berwarna kuning.Rosidah berkata, anak sulungnya daripada empat beradik dijangka menjalani rawatan susulan, pembedahan tulang belakang membabitkan kos RM10,000. | ||||
Posted: 20 Oct 2010 01:09 AM PDT DAVID Ginola berdepan tujuh tahun untuk meraih sasaran berikut dalam kehidupannya, menjadi ahli Jelajah Senior Eropah. Bekas bintang antarabangsa Perancis itu berada di Celtic Manor bagi menyaksikan Piala Ryder awal bulan ini bagi melancarkan bidaan Golf National Paris untuk menganjurkan kejohanan edisi 2018.
Namun membawa acara berpasukan terulung sukan golf ke Perancis buat kali pertama bukanlah satu-satunya impian golf Ginola.
Pengalaman menyaksikan drama Piala Ryder di Wales menambah minatnya untuk melihat impiannya menjadi kenyataan, malah dia bergelut untuk memahami tekanan dihadapai pemain seperti Rory McIlroy dan Graham McDowell, berbanding kariernya sendiri.
| ||||
Panasonic tawar CCTV definisi tinggi Posted: 20 Oct 2010 01:07 AM PDT LANCAR...Rusli (kiri) pada pelancaran sistem CCTV IP i-Pro Smart HD di Petaling Jaya, semalam. PANASONIC Malaysia Sdn Bhd, mahu berbincang dengan kerajaan bagi menghasilkan idea kamera keselamatan litar tertutup definisi tinggi (CCTVHD) berasaskan protokol Internet sebagai salah satu usaha memantapkan peruntukan RM4.4 bilion yang dibentangkan ketika Bajet 2011 baru-baru ini. Pengurus Besarnya, Rusli Baba berkata, syarikatnya memiliki keupayaan menghasilkan produk berkualiti tinggi yang berupaya memenuhi hasrat kerajaan memulihkan sistem keselamatan negara.
| ||||
Kanak-kanak banyak berimaginasi Posted: 20 Oct 2010 01:01 AM PDT AKTIF...setiap pendedahan beri pengalaman baru kepada si kecil. KANAK-KANAK dilahirkan dengan potensi untuk menjadi lebih kreatif. Mereka berhak diberi peluang untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka serta menggunakan sepenuhnya potensi mereka. Apatah lagi menariknya, kanak-kanak memiliki rasa ingin tahu yang membuak-buak serta sikap suka belajar mengenai sesuatu yang baru. Menurut pakar psikologi yang juga Naib Presiden Kolej Universiti Help, Dr Goh Chee Leong, pembabitan kanak-kanak dalam aktiviti lasak untuk menguji minda adalah antara usaha terbaik untuk membantu perkembangan diri mereka.
"Penerokaan menerusi permainan dan soalan yang menguji keupayaan berfikir itu amat baik untuk membantu kanak-kanak mencapai potensi diri," katanya.
"Kanak-kanak lebih banyak menggunakan imaginasi, bersedia untuk mencuba perkara yang berlainan dan berani memperlihatkan ekspresi diri dengan berfikiran terbuka."Di samping itu, mereka dapat membina ketabahan, keyakinan dan keupayaan diri untuk berdikari serta toleransi," katanya.
Ini sekali gus membentuk persekitaran yang membantu merangsang kanak-kanak ke arah hidup lebih sihat demi kecemerlangan masa depan mereka.
"Apabila melihat kelakuan anak-anak, ia lazimnya dikaitkan dengan cara didikan ibu bapa.
| ||||
Nasha Aziz Tangguh Kahwin & Umrah Posted: 20 Oct 2010 01:00 AM PDT KUALA LUMPUR: Perancangan pelakon dan model, Nasha Aziz, (gambar) untuk melangsungkan majlis perkahwinannya dengan Nur Iman Tang pada Jun lalu terpaksa ditangguhkan. Hasrat kedua mereka yang turut merancang untuk mengerjakan umrah sebelum pernikahan mereka juga tidak menjadi. Nasha berkata, dia agak sukar untuk membicarakan hal berkaitan peribadinya dengan pihak media. Bagaimanapun, selepas dipujuk untuk memberi komen mengenai status hubungannya dengan lelaki yang merupakan mualaf itu, kata Nasha, mereka masih lagi menjadi pasangan kekasih. "Alhamdulillah, hubungan kami masih lagi baik. Saya memerlukan seseorang untuk menyokong saya dalam segala hal. Dia (Iman) menjadikan saya seorang manusia yang tahu memilih mana baik dan mana buruk. "Tahun depan, umur saya dah nak masuk 40 tahun. Siapa yang tak nak kahwin? Mungkin Allah belum membuka jalan untuk saya kahwin lagi. "Andaikan satu hari nanti saya perlu berhenti daripada karier demi seseorang, saya akan lakukan perkara itu. Saya sanggup berkorban demi suami," katanya ketika ditemui, di Hotel Park Royal di sini, Selasa. Nasha menghadiri majlis sidang media anjuran Rafflesia yang turut menjadi penaja aksesori artis wanita untuk Festival Filem Malaysia ke-23 Mengenai perancangan menunaikan Umrah seperti yang dijanjikan sebelum ini, kata Nasha, kekasihnya itu mungkin belum lagi bersedia. "Awal-awal, memang dia teruja untuk melakukannya (umrah) tapi bila masanya hampir tiba, dia senyap. Bagi saya, sebagai seorang manusia biasa, terpulang pada seseorang itu untuk membuat keputusan. "Saya memang ingin membantu orang yang ingin tahu tentang Islam tapi kalau seseorang itu belum bersedia, saya tak boleh nak paksa. Pada awal tahun depan saya bercadang akan menunaikan umrah dan terpulanglah sama ada dia mahu ikut atau tidak," katanya yang banyak melakukan aktiviti peragaan di Shah Hai, China. | ||||
Farahdhiya Jauh Hati Dengan Zizie Izette? Posted: 20 Oct 2010 01:00 AM PDT PETALING JAYA:Pelakon jelita, Farahdhiya (gambar) mengakui sudah lama tidak berhubung dengan rakan baiknya Zizie Izette sejak pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan Datuk Bung Mokhtar. Menurut Farahdhiya, dia tidak tahu di mana silapnya sehingga persahabatan baik mereka tiba-tiba renggang sehingga tiada tanpa sebarang khabar berita. "Kami memang kawan rapat, masa awal-awal pembabitan saya dalam dunia lakonan dia orang pertama yang beri sokongan. Watak-watak yang sukar saya bawa, saya akan rujuk dan minta pendapatnya terlebih dahulu. "Tapi sejak kebelakangan ini selepas dia berkahwin kami seperti terputus hubungan. Saya sendiri tidak tahu apakah silapnya sehingga hubungan kami tidak seperti dahulu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisihan faham," katanya. Jelas Farah, kali terakhir dia berhubung dengan isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu pada majlis rumah terbuka yang dianjurkan pasangan suami isteri tersebut pada 25 September lalu. "Lama kami tidak berhubung, tapi semasa majlis rumah terbuka mereka itu dia ada mengirim Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menjemput saya hadir. saya tidak pergi sebab ketika itu saya sudah ada program lain," jelasnya. Farah akui sebagai seorang sahabat baik, dia begitu merindui persahabatan mereka, namun dia faham tanggungjawab Zizie kini lebih tertumpu kepada keluarga yang baru dibinanya. "Jauh di sudut hati saya memang saya rindukan dia. Tapi saya faham dia mempunyai tanggungjawab dan komitmen terhadap keluarganya," ujarnya. Dalam pada itu, ketika ditanya tentang hubungannya dengan pelakon Norish Karman yang sebelum ini dikatakan dingin kerana kontroversi mengenai gosip percintaan pelakon wanita itu dengan abangnya Mohamed Luqman berkata, dia tiada masalah mengenai perkara itu. "Saya tidak ada masalah dengan Norish, saya tahu dia berkawan dengan abang saya. Itu adalah hal peribadi mereka dan saya tidak masuk campur. "Memang dahulu kami ada perselisihan faham tapi bukan disebabkan saya tidak senang dia berkawan dengan abang saya. Tapi sekarang kami sudah berbaik dan sering ke majlis-majlis hiburan bersama," katanya. | ||||
Lan Jelaskan Salah Faham Dengan Kristal Posted: 20 Oct 2010 12:58 AM PDT PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Kristal, Mohd. Razlan Mohamed Yusof atau Lan menafikan dakwaan dia mengabaikan tanggungjawab sebagai penyanyi kumpulan tersebut dengan tidak menyertai beberapa persembahan pentas bersama Kristal baru-baru ini. Katanya, perkara tersebut timbul pada satu majlis yang mana dia tidak dapat hadir bersama Kristal kerana terikat dengan sebuah majlis lain. "Saya tidak pernah mengabaikan Kristal, cuma beberapa minggu lalu, saya tidak dapat bersama Kristal kerana kami mendapat dua undangan nyanyian pada tarikh yang sama. "Kedua-dua majlis tersebut mengharapkan kami untuk buat persembahan, jadi saya terpaksa ambil keputusan yang tidak menghampakan mereka. Kami terpaksa berpecah. Lagi pula, majlis lagi satu itu mempunyai ramai penyanyi dan hanya memerlukan muzik latar dari Kristal," katanya ketika dihubungi mStar Online. Dalam pada itu, Lan turut menafikan dakwaan bahawa campur tangan isterinya, Nur Sheila Hassim yang tidak membenarkan dia untuk bergiat aktif dalam bidang muzik. "Isteri saya tidak pernah melarang saya untuk terus menyanyi, malah dialah yang memberi sokongan kepada saya selama ini. Ini ialah punca pendapatan utama saya untuk menyara keluarga," ujarnya. Selain itu, Lan yang baru dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Amna Qaleesya, 3 bulan, mengakui rezekinya semakin murah. Dia telah ditawarkan menjadi jurucakap kepada perniagaan AC Konsortium milik pengacara AC Mizal bersama beberapa artis lain seperti Khai dan Rosma. "Alhamdulillahlah, sejak dikurniakan cahaya mata rezeki saya semakin murah. Saya mula aktif dengan perniagaan milik AC Mizal. Memang kini ia menampakkan hasil biarpun baru tiga bulan menyertainya. "Dari hari Isnin hingga Jumaat saya akan sibuk dengan bisnes ini, manakala hujung minggu saya akan tetap ikut Kristal buat persembahan. Setakat ini, Insya-Allah tiada masalah dengan jadual Kristal," jelasnya. Sementara itu, album terbaru Kristal sudah siap sepenuhnya dan bersedia untuk berada di pasaran pada bulan hadapan. Album yang berjudul Satu Untukmu memuatkan 10 buah lagu yang terdiri daripada beberapa lagu baru dan kompilasi dari single terdahulu. | ||||
Zizie Izette Sibuk Berniaga Di Perhimpunan Agung Umno Posted: 20 Oct 2010 12:57 AM PDT KUALA LUMPUR: Meskipun berstatus selebriti serta isteri kepada Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, ia tidak menghalang kepada pelakon terkenal Zizie Izette A. Samad (gambar) untuk turut berniaga di Perhimpunan Agung Umno 2010. Gerai di Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu kelihatan dikerumuni ramai pengunjung termasuk peminat yang mahu bergambar bersama Zizie selain membeli barangan jualannya antara lain seperti busana muslimah, gaun serta aksesori wanita. Zizie berkata idea untuk berniaga pada perhimpunan agung Umno kali ini timbul kerana minatnya yang suka berniaga di samping mendapat sokongan penuh daripada suami tersayang. "Kakak ipar saya berniaga di Uptown. Rakan perniagaan dia (kakak ipar) pernah terlibat dengan buka gerai jualan di perhimpunan Umno. Dia tanya saya tak mahu buka gerai di sini ke (PWTC) dan apabila tanya suami, beliau beri sepenuhsokongan, itu yang timbulnya idea untuk berniaga di sini. Zizie menegaskan bahawa beliau tidak mendapat sebarang layanan istimewa untuk mendapat unit ruang niaga berkenaan. Terdapat sebanyak 320 tapak ruang niaga disediakan sempena perhimpunan agung kali ini. "Ingin saya tegaskan yang saya dapat ruang niaga ini sama seperti orang lain dan tidak timbul menggunakan jalan mudah (Bung Mokhtar) untuk dapatkan ruang niaga ini," katanya. Zizie berkata setiap hari beliau akan turun padang dan memantau hasil jualannya, sekaligus mengambil kesempatan untuk merapatkan hubungan dengan peminat. "Saya akan sentiasa berada di situ dan kalau tiada pun mungkin saya pergi makan atau ada janji temu tetapi saya akan berada di situ setiap hari sehinggalah habis perhimpunan Umno ini dari pagi hingga malam," katanya. Jika sambutan jualannya pada perhimpunan kali ini memberangsangkan, beliau berminat untuk terus berniaga pada perhimpunan Umno yang akan datang. | ||||
Nazim Othman Sukar Dapat Kepercayaan Pengarah Posted: 20 Oct 2010 12:56 AM PDT PETALING JAYA: Biarpun sudah membintangi puluhan drama yang disiarkan di setiap stesen televisyen tempatan, pelakon Nazim Othman, 26, (gambar) mengakui namanya masih belum mendapat kepercayaan pengarah untuk diberikan watak penting. Malah, menurut Nazim, dia sukar untuk menonjolkan kemampuannya kerana watak-watak yang diberikan tidak mencabar bakat lakonannya. "Saya akui sudah banyak drama saya berlakon tetapi belum ada yang betul-betul melekat di hati penonton. Setakat ini drama Awan Dania sahaja yang buat orang kenal saya, itu pun watak saya tidak kuat, hanya sekadar watak sokongan sahaja. "Saya akui pengarah drama tempatan belum berani untuk beri watak berat kepada saya. Saya faham bahawa saya perlu buktikan kerja saya terlebih dahulu untuk mendapat kepercayaan dan itu bukan sesuatu yang mudah. Sesetengah pelakon mengambil masa berpuluh tahun untuk pegang watak utama," katanya. Dalam pada itu, bekas pramugara MAS ini turut mengakui lebih senang bercerita tentang perkembangan kerjaya berbanding hal peribadi yang sering mendapat perhatian media massa. "Saya kurang mendapat publisiti dari media. Saya sedar publisiti itu penting untuk meningkatkan kerjaya. Tapi saya tidak mahu kontroversi yang melibatkan hal peribadi melebihi kerjaya. "Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai artis kontroversi tetapi tiada produk dikeluarkan. Lebih baik saya melangkah secara perlahan sehingga mencapai tahap yang tertinggi," katanya. Setelah dua tahun berkecimpung dalam industri hiburan, Nazim sedar strategi baru harus dijalankan bagi menaikkan nama sebaris dengan pelakon-pelakon seangkatan dengannya. "Tahun depan saya perlu ubah strategi untuk naikkan nama. Strategi tersebut bukanlah dengan mencipta kontroversi tetapi memberi kepercayaan kepada pengarah untuk beri watak yang berat kepada saya. "Setakat ini bukan tidak pernah memegang watak utama tetapi watak tersebut kurang mencabar lakonan saya," jelasnya yang bakal keluar dengan drama Trilogi Cinta terbitan Suhan Movie. | ||||
Minka Kelly Terpilih Sebagai Wanita Terseksi Di Dunia Posted: 20 Oct 2010 12:56 AM PDT PELAKON Minka Kelly (gambar) terpilih sebagai wanita terseksi di dunia oleh majalah Esquire mengalahkan nama-nama besar Hollywood yang terkenal dengan imej seksi seperti Jassica Bell atau Scarlett Johansson. Ramai yang terkejut dengan keputusan tersebut memandangkan nama artis drama siri Friday Night Light itu tidak sehebat Megan Fox atau Kim Kardashian yang selama ini disebut-sebut bakal terpilih. Malah Kelly sendiri terkejut dengan keputusan itu kerana selama ini dia tidak pernah menyangka akan mendapat gelaran yang semamngnya diimpikan oleh seluruh wanita di Hollywood itu. "Saya rasa bangga dengan gelaran tersebut lantas melupakan segala kekurangan yang ada pada tubuh saya. Saya rasa seperti wanita paling sempurna," katanya. Wanita ini juga mengakui apa yang terdapat pada tubuhnya meyakinkan dia layak memenangi gelaran tersebut. Dia juga mengakui mempunyai kulit yang cantik. | ||||
'Crayon' Filem Pertama Tempatan Diedar Di Los Angeles Posted: 20 Oct 2010 12:53 AM PDT KUALA LUMPUR: Filem 'Crayon', sebuah filem drama tempatan pertama akan diedarkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 4 November ini, kata penerbit, pengarah dan penulis skripnya, Dean A.Burhanuddin. Katanya beliau bangga dapat menghasilkan filem pertamanya yang agak berbeza dengan filem keluaran tempatan lain yang mengisahkan realiti kehidupan rakyat Malaysia. "Ini adalah kali pertama saya menerbitkan sebuah filem. Sebelum ini, saya bekerja sebagai penulis skrip untuk sebuah studio Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana di sini Selasa. Katanya filem tersebut dihasilkan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin, dan bukan merupakan filem komersial untuk membuat keuntungan. Katanya filem itu mengisahkan tentang dua sahabat baik dan pelajar dari sebuah universiti di Singapura, Adam dan Rafaat yang menghabiskan masa cuti semester mereka dengan melibatkan diri dalam kerja sosial sebagai sukarelawan di rumah anak yatim di Malaysia. Di rumah anak yatim itu, mereka berjumpa dengan Mak Engku dan Afiq serta menyelami kehidupan anak yatim. Filem berharga RM500,000 itu mengambil masa setahun untuk disiapkan dan lokasi penggambarannya adalah di sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura. Filem selama 83 minit itu dilakonkan oleh empat watak utama iaitu Hon Kahoe (Adam Wan), Faisal Abdullah (Rafaat), Adibah Noor (Mak Engku) dan Joshry Adamme (Afiq). Selain Dean, filem terbitan Zioss Films Sdn Bhd itu turut diterbitkan oleh penerbit Linda Ziegler dan Elise A. Hamid. Dean berkata 20 peratus daripada hasil jualan tiket akan didermakan kepada tiga buah rumah anak yatim iaitu Rumah Ozanam Petaling Jaya, Rumah Kasih Harmoni Sungai Buloh dan Nur Hikmah, Selayang. Filem 'Crayon' akan mula ditayangkan di pawagam tempatan (GSC, TGV, Cathay dan Star) mulai 11 November ini. Butiran lanjut mengenai filem itu boleh didapati dengan melayari laman web www.crayonthemovie.com. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |