Adsense

Rabu, 20 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Terima kritikan

Posted: 19 Oct 2010 04:49 PM PDT

Hip

Hazlin anggap teguran bina semangat jadi pengacara berkaliber

LAGI teruk komen yang diterima, lagi bersemangat gadis manis bekas peserta Gadis Melayu musim kedua ini ingin membuktikan kemampuannya. Dengan dorongan keluarga serta pengacara senior di TV3, Hazlin Hussain, 26, meneruskan langkah sebagai pengacara rancangan 999.

Pada awal penampilannya Januari tahun ini, sudah tentu pelbagai ulasan diterima. Saat itu, pedih juga telinga mendengarnya. Apatah lagi dia mampu melihat setiap komen terbabit dengan mata sendiri, di internet. Namun, hatinya tidak mudah patah dengan kata-kata penonton rancangan terbabit, sebaliknya menggunakan teguran mereka sebagai pembakar semangat untuk terus mempertingkatkan persembahan. Selepas enam bulan mengacarakan program berbentuk fail jenayah yang popular itu, dia mengaku dapat melihat peningkatan pada dirinya. Malah, komen yang pedih dulu pun makin bertukar rupa. Kini, hampir setahun mengendalikan rancangan itu, semakin ramai pengikut setia program berkenaan yang mengesan kebolehannya.

"Bahkan, sebahagian peminat tidak lokek untuk berkongsi idea mereka bersama saya, bagaimana untuk mempertingkatkan lagi persembahan. Contohnya, mereka mahu saya memberikan sedikit senyuman ketika mengacara. Semua itu saya baca dan tentunya saya gunakan, jika bersesuaian dengan konsep rancangan," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Akui Hazlin, dia tidak boleh mudah melatah dengan segala teguran yang dihulur penonton. Lebih-lebih lagi, dia bukannya orang lama dalam bidang berkenaan.

"Saya mengaku, ketika menyertai Gadis Melayu tidak lama dulu, saya ingin menjadikannya platform untuk terjun ke dunia lakonan. Justeru, apabila ditawarkan untuk muncul sebagai pengacara 999, saya terpaksa memikirkannya beratus kali. Karakter saya dan program terbabit nyata berbeza.
"Kerana sukakan cabaran, saya bersetuju dengan peluang diberikan. Saya tidak mahu berada di zon selesa buat selama-lama. Lagi pun, kita pun bukannya sempurna dalam segala-gala. Jadi, segala kritikan harus diterima, baik atau sebaliknya. Semua kesilapan yang dilakukan ialah proses pembelajaran yang sebenarnya amat berguna," ujar Hazlin.

Walaupun tidak lama dulu sedikit pun dia tidak terfikir untuk bergelar pengacara, tetapi demi menyahut cabaran, semuanya kini sudah berubah. Daripada langsung tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan, Hazlin merangkak sedikit demi sedikit untuk bertatih sebagai hos program popular.
Tegasnya, dia cukup bertuah apabila disokong pasukan penerbitan yang saling menghulurkan bantuan. Merekalah pada hakikatnya tulang belakang yang kuat memberikan perangsang.

"Bukanlah kini saya dalam keadaan selesa sebagai hos, tetapi rasanya saya berada di landasan yang betul. Sekarang, saya boleh melihat karier pengacaraan sebagai kerjaya. Ia karier yang sebenarnya boleh membawa saya jauh ke depan. Keadaan ini tentunya sangat berbeza 10 bulan yang lalu. Justeru, saya bersyukur apabila ada pihak yang dapat menghidu bakat yang ada pada diri saya," katanya yang cukup berterima kasih kepada pengacara senior seperti Mazidul Akmal Sidik, Ally Iskandar dan Nurfarahin Jamsari atas segala tunjuk ajar diberikan.

Elak dicop Zakiah Anas kedua

SEMEMANGNYA diketahui umum, 999 begitu sinonim dengan seorang lagi personaliti TV3, Zakiah Anas. Bertahun-tahun, wanita terbabit membina nama dan karier bersama program yang mendapat tempat di hati peminat. Lalu, apabila dia meninggalkan program berkenaan, tentunya penonton masih terbayangkan Zakiah di depan kamera, walaupun insan lain kini menggantikan tempatnya.

Paling tidak, mereka mungkin mahukan seorang lagi 'Zakiah' mengacarakan program berkenaan. Cukup menyedari hakikat itu, Hazlin sebaliknya tidak cepat panik atau menggelabah.

"Pastinya saya inginkan gaya pengacaraan sendiri apabila mengendalikan 999. Seboleh-bolehnya saya mahu mengelak daripada disamakan dengan gaya Zakiah. Menerusi tunjuk ajar senior, saya ketengahkan gaya saya sendiri. Saya ingat pesan Ally supaya melakukannya dengan cara yang saya selesa, tanpa perlu mengikut mana-mana pengacara sedia ada. Dia banyak perturunkan petua kepada saya," kata gadis peramah ini.

Program pertama yang pernah dikendalikannya, 999 juga kini menjadi tumpuan utama Hazlin, walaupun minatnya terhadap lakonan tidak pernah padam.

Diajukan pertanyaan apakah dia akan menerima tawaran berlakon jika ada penerbit yang berkenan padanya, wanita muda ini menguntumkan senyuman sambil memaklumkan, kesibukannya bersama program terbabit tentu sekali membataskan sedikit waktu untuk dia melakukan dua perkara pada masa yang sama. Maklum saja, bukan sekadar mengacara, malah dia juga turun padang sebagai wartawan penyiaran.

"Jika ada tawaran sekalipun, saya tidak boleh menerimanya begitu saja. Banyak aspek yang perlu diambil kira, supaya imej saya sebagai pengacara rancangan ini tidak bertentangan dengan watak dalam filem berkenaan," katanya yang bercita-cita bergelar produser rancangan pula, pada masa depan.

Hazlin Hussain

  • Tarikh Lahir: 16 Disember 1983
  • Profesion: Wartawan Penyiaran dan Pengacara 999
  • Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perbankan, UUM
  • Pencapaian: Finalis Gadis Melayu musim kedua (kontemporari).
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Jawablah! Filem Zaiton akan dibuat semula

    Posted: 19 Oct 2010 04:35 PM PDT

    Hip

    Burhanuddin Radzi dan Ainon Ariff.

    Burhanuddin Radzi dan Ainon Ariff.

    HASRAT untuk mengadakan temubual menerusi telefon mengenai kontroversi yang melanda filem Zaiton Ceritaku ditolak Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi. Sebaliknya penerbit siri animasi Upin & Ipin ini lebih selesa jika wartawan bertentang mata dengannya. Bukan bersikap sombong, tetapi ada sebab tertentu mengapa dia bertindak sedemikian.

    Selepas mengatur temu janji sejak minggu lalu, pagi kelmarin Hip menemui lelaki ini dan isterinya, Ainon Ariff, yang juga penerbit bersama filem berkenaan, bagi mendapatkan penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku ke atas filem arahan Fauziah Nawi itu. Sebelum meneruskan cerita, dia terlebih dulu meminta penulis melihat sendiri hasil kerja dilakukan Fauziah. Dia mahu wartawan sendiri menjadi saksi mengapa dia tidak berpuas hati dengan hasil kerja aktivis teater berkenaan.

    Sambil ditemani penyunting merangkap penolong pengarah filem terbabit, Nazrul Jamil, satu demi satu babak dipertontonkan dan dijelaskan apakah kesalahan setiap babak ditunjukkan. Tegas Burhanudin dan Ainon, sebagai penerbit mereka amat kecewa dengan buah tangan Fauziah dan tidak mustahil baginya untuk tidak menayangkan filem ini, walaupun pengarah itu berjanji untuk menyudahkan hasil kerjanya. Hip: Ramai yang tertanya-tanya, mengapa memilih Fauziah jika penerbit tidak mempercayai hasil kerjanya?

    Ainon: Saya memilih Fauziah sebagai pengarah kerana percaya dengan bakat yang dia ada. Melihat hasil kerjanya sebelum ini, terutama dari segi pengarahan teater dan drama juga lakonannya, membuatkan saya tertarik untuk memberikannya peluang. Malangnya peluang yang kami berikan itu ternyata sia-sia. Sebagai penerbit, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk filem ini. Namun dia tidak pernah mahu mendengar kata-kata kami. Setiap kali kami memberikan idea atau apa yang kami mahukan, semua itu dibalas dengan kata-kata kesat.

    Tidak mahu mengeruhkan keadaan, kami biarkan saja dia meneruskan kerjanya walaupun dalam hati saya mengatakan filem ini akan hancur kalau begitulah cara dia bekerja. Sebelum ini, saya sendiri memang sudah terkilan apabila membaca kenyataannya di akhbar yang seolah-olah tidak yakin dengan filem berkenaan. Kalau pengarah sendiri tidak yakin dengan filemnya, bagaimana kita mahu yakinkan penonton di luar sana. Sebelum dia memulakan pengarahan pun, dia sudah berani mengeluarkan kenyataan seperti itu.

    Hip: Apa reaksi anda berdua sebaik saja melihat hasil kerja Fauziah?
    Burhanudin:
    Saya tengok sampai habis cerita itu dan kesimpulannya, saya jadi menyampah menontonnya. Dia tidak mengikuti apa yang ada dalam skrip. Lapan bulan kami buat kajian mengenai Zaiton - jalankan temu bual dengan Zaiton dan adiknya, Shahril. Kita sediakan banyak bahan untuk dia buat penyelidikan, tetapi nampaknya semua yang kita buat sia-sia. Kami terbuka dengan perbincangan dan jika dia tidak suka dengan apa yang kami cadangkan, kita boleh bertolak ansur. Malangnya dia degil.

    Saya boleh katakan yang dia ini pemalas. Kami sudah sediakan bahan, cuma tinggal untuk dia olah saja skrip itu. Tetapi dia tidak ikut seperti yang dikehendaki kami. Ini adalah sebuah filem autobiografi dan kita membikin filem seorang legenda yang masih hidup. Jadi semua perkara kena tepat termasuk gaya Zaiton menyanyi dan sebagainya. Apa yang saya lihat, sangat bertentangan dengan sifat Zaiton sendiri. Mungkin ramai yang akan anggap kami tak tahu apa-apa fasal filem. Perkara ini mudah sebenarnya. Dalam hal ini saya meletakkan diri saya sebagai penonton, jika saya sendiri tak suka tengok filem ini, bagaimana pula dengan penonton lain? Pastinya mereka juga mempunyai perasaan sama.

    Hip: Khabarnya Fauziah juga lepas tangan untuk sesi suntingan?

    Burhanudin: emang benar, dia hanya datang untuk 10 minit yang pertama sewaktu filem ini mula-mula menjalani proses suntingan. Selepas itu, bayangnya langsung tidak kelihatan. Sebagai pengarah, sudah tentu dia kena jaga kerjanya sehingga selesai. Tapi kami tak kisah, kami biarkan saja. Hanya selepas perkara ini heboh, baru dia datang ke pejabat dan berjanji akan menyelesaikan kerjanya. Secara jujur, saya tahu usaha itu takkan merubah apa-apa. Masalahnya sekarang, filem itu kekurangan syot. Pengarah perlu kreatif untuk mengambil pelbagai syot bagi memudahkan kerja-kerja penyuntingan. Malangnya ia tidak berlaku dalam filem ini.

    Dia bukan saja lepas tangan sewaktu sesi suntingan tetapi juga sewaktu berada di lokasi. Pernah suatu hari, saya datang ke lokasi penggambaran. Sampai di sana, saya cukup terkejut apabila mendapati, anak lelakinya yang menjalankan kerja pengarahan, bukannya dia. Dari situ saya sudah dapat mengagak filem ini tidak akan menjadi. Memandangkan dia berkeras juga untuk menyiapkannya, saya beri dia peluang. Saya beri tempoh sehingga 21 Oktober ini untuk dia selesaikan semuanya. Apa yang berlaku selepas itu, sama ada saya nak tayang atau tidak, terpulang pada hasilnya. Tapi ingin saya tegaskan di sini, filem itu akan dibikin semula. Bila saya akan buat, akan saya umumkan kemudian nanti.

    Hip: Tak bimbang pasal kerugian jika filem ini tidak ditayangkan?

    Ainon: Biar rugi asalkan kita tak tayang cerita yang tidak berkualiti. Apabila kami memilih untuk terjun dalam perniagaan ini, apa yang kami mahukan adalah untuk menghasilkan filem Melayu yang berkualiti. Takkanlah kita nak tengok filem Melayu yang masih pada takuk lama. Lagipun kami mempunyai cita-cita untuk memasarkan filem terbitan kami di luar negara iaitu Indonesia. Memandangkan kami ada rakan perniagaan di sana, jadi ia memudahkan lagi urusan. Tetapi, kalau beginilah hasilnya, nampaknya terpaksalah kami melupakan hasrat itu. Tak mahu pula filem ini mengesahkan lagi pandangan skeptikal mereka terhadap filem Melayu.

    Hip: Apakah selepas ini nama Fauziah Nawi akan terpadam dalam senarai Bruang Filem Sdn Bhd?

    Burhanudin: Terus terang, kami memang kecewa dengan semua kenyataannya di media. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik tetapi dia tidak mahu menerima idea kami. Malah, kami pula dihambur dengan kata-kata kesat. Selepas ini, kalau saya dengar lagi dia memberikan kenyataan di media yang menyalahkan kami, saya akan tayang filem ini kepada umum. Saya akan jadikan filem itu seperti dokumentari mengenai sebuah filem yang gagal. Biar orang tahu mengapa saya tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.