Adsense

Isnin, 18 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Langkah pertama Nani

Posted: 17 Oct 2010 03:55 PM PDT

Hip

Sharifah Amani

Sharifah Amani

Pengalaman bintangi 15 filem jadi bekalan bergelar pengarah

DARI petak seorang pelakon, sekuntum bunga yang semakin mekar dalam industri perfileman tanah air ini melangkah ke petak lain yang lebih tinggi martabatnya.

Ya! bunga di taman milik pasangan Syed Zainal Rashid dan Fatimah Abu Bakar ini sudah menggalas tugas baru yang membawa gelaran sutradara. Selepas membintangi 15 filem, baru kini pelakon kecil molek, Sharifah Amani ada keyakinan untuk menjadi pengarah. Peluang yang diberi menerusi projek HerStory Malaysia bersama empat pengarah wanita berbakat besar termasuk Bernice Chauly, Mislina Mustaffa, Crystal Woo dan Mien Iy berjaya membuktikan bahawa Amani yang lebih akrab disapa Nani juga mempunyai sentuhan yang sama dengan gurunya, Allahyarham Yasmin Ahmad.
Ketika hadir di studio bagi menjalani sesi fotografi bersama Hip, Nani melahirkan perasaan teruja kerana impian untuk duduk di kerusi pengarah menjadi kenyataan.

"Mereka yang terbabit dalam pembikinan filem ini adalah orang yang pernah saya bekerja bersama sebelum ini. Bermula dengan filem Sepet hinggalah Mualaf.

Bayangkan sudah berapa lama kami tidak berjumpa dan filem Sangkar menemukan kembali saya dengan mereka. Disebabkan Sangkar adalah filem pendek dan bajetnya terhad, jadi kami perlu berhati-hati soal perbelanjaan.
"Apabila mereka tahu filem ini dibuat dengan bajet yang amat terhad, mereka tak kisah menawarkan untuk membuat kerja secara percuma. Malu pula rasanya apabila mereka yang saya tahu terlalu mementingkan kualiti dan sangat profesional sanggup melakukan kerja secara percuma dan tidak berkira semata-mata untuk membantu saya. Saya amat hargai apa yang mereka lakukan itu," cerita Amani yang kelihatan vogue dengan gaun singkat mendedahkan sebelah bahunya.

Berbekalkan pengalaman yang ada, Amani membuktikan dia mampu menjadi penulis skrip, pengarah dan pelakon utama pada masa sama.

"Namun harus saya akui, ia bukanlah perkara yang mudah. Mana hendak berlakon, mana hendak mengarah. Semua nak kena fikir. Dulu, bila saya berlakon dalam filem arahan orang lain, yang saya tahu hanya berikan hasil yang terbaik, selebihnya serahkan pada pengarah. Pandai-pandai merekalah nak perbetulkan apa-apa yang mereka tak puas hati.

"Sekarang, semua perkara kena ambil tahu. Soal skrip, lakonan, solekan, semuanya saya kena peka. Memang mencabar tapi puas hati," luah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-18 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-19 ini.

Mengulas maklum balas yang diterima sewaktu filem ini dipertontonkan kepada media baru-baru ini, Amani berkata rata-rata menyatakan, hasil kerjanya itu saling tak tumpah dengan apa yang pernah dilakukan Yasmin Ahmad.

"Memang tidak nafikan perkara itu kerana arwah adalah sifu saya. Pengalaman juga adalah guru saya. Saya mahu menjadi seorang tukang cerita sepertinya," katanya.

Begitulah sinonim Amani dengan arwah Yasmin sehinggakan ramai yang menganggap pemergian pengarah terkenal itu Ogos tahun lalu turut merentap semangatnya untuk terus bergiat cergas dalam bidang lakonan.

"Siapa kata saya tak minat berlakon? Saya minat, cuma tak ada tawaran. Tapi tak nafikan yang semangat saya pernah hilang sejak ketiadaan Yasmin. Mungkin sejak kebelakangan ini kelibat saya tidak kelihatan dalam mana-mana majlis ataupun cerita saya tidak dilapor media.

"Tidak ada cerita terbaru yang boleh dilaporkan. Macam hari ini, saya rasa saya bersedia untuk bertemu media kerana ada produk baru yang boleh berkongsi dengan mereka dan juga peminat saya," tegas Amani.

Belum bincang soal kahwin

RAMAI yang mengetahui bahawa Amani kini rapat dengan seorang jejaka Inggeris bernama Gavin Stenhouse selepas mengenalinya sewaktu sama-sama menjalani penggambaran filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa. Hubungan itu khabarnya bukan lagi rahsia apabila dia sering membawa lelaki kacak itu dalam beberapa majlis rasmi dan tidak rasmi sebelum ini.

Malah, Amani juga baru saja kembali dari Kota London untuk makan angin sambil ditemani kekasihnya itu. Berkongsi pengalaman berada di negara orang selama tiga bulan, Amani berkata pelbagai pengalaman dikutip.

"Memang seronok kerana selain bercuti, saya dapat belajar pelbagai perkara terutama yang berkaitan dengan seni.Di sana, mereka amat menghargai karya seni. Sempat jugalah Gavin memperkenalkan saya dengan teman-temannya yang mempunyai pendidikan profesional dalam bidang lakonan.

"Ternyata, peluang mereka untuk menempatkan diri dalam industri lakonan amat sukar kerana persaingan terlalu sengit berbanding kita yang sesiapa saja boleh berlakon di bawah pengarah yang ada nama pulak tu.

"Kami juga sempat menyaksikan teater yang diangkat dari naskhah Shakespeare. Gavin suka teater seperti itu dan amat menghargainya sedangkan bagi saya, teater itu amat berat sehinggakan banyak kali juga saya ajak dia balik," kata Amani sambil ketawa.

Disebabkan hubungan merpati dua sejoli ini sudah semakin rapat, Amani turut diajukan pertanyaan apakah mereka sudah merancang untuk ke fasa yang seterusnya.
"Oh! soal itu, kami masih belum berbincang apa-apa pun. Kami lebih selesa seperti ini. Lagipun, masing-masing masih mengejar impian untuk berjaya dalam bidang yang kami ceburi ini," kata Amani.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

'Jangan sampai tersepit'

Posted: 17 Oct 2010 03:51 PM PDT

Hip

KAK PAH, Ahmad Jais dan Syazliana pada sidang media Malam Juitaku Sayang di Hotel Seri Pacific, baru-baru ini.

KAK PAH, Ahmad Jais dan Syazliana pada sidang media Malam Juitaku Sayang di Hotel Seri Pacific, baru-baru ini.

Sharifah Aini sedia pakai tudung hanya kerana Allah

BEBERAPA kali Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau mesra dengan sapaan Kak Pah kelihatan bertudung litup ketika muncul di beberapa acara. Imej baru itu lantas menimbulkan tanda tanya, apakah Kak Pah mahu terus bertudung memandangkan dia bakal menunaikan Haji pada 3 November depan?

Penyanyi itu bagaimanapun menafikan akan mengekalkan imej begitu. Dia hanya bersedia untuk berubah dengan kerelaan hati bukan atas paksaan mahupun sekadar untuk memuaskan hati peminat. "Kak Pah tak pernah kata mahu bertudung dalam jangka waktu terdekat ini. Kak Pah hanya akan pakai apabila rasa nak pakai, jika Kak Pah tidak bertudung sekali pun, Kak Pah memakai rambut palsu dan masih lagi tidak mendedahkan rambut sebenar Kak Pah.

"Kak Pah hanya akan bertudung apabila Kak Pah bersedia dan Kak Pah buat hanya kerana Allah. Kak Pah bertudung bukan sebab nak pergi haji, Kak Pah tak mahu niat untuk mengerjakan haji menjadi bebanan kepada diri sendiri.

"Kak Pah lihat ramai rakan artis yang bertudung sebab tersepit. Kak Pah simpati dengan nasib mereka, kalau boleh Kak Pah tidak mahu perkara itu juga berlaku kepada Kak Pah," katanya ketika ditemui selepas sidang media Majlis Makan Malam Amal Malam Juitaku Sayang baru-baru ini.

Kata penyanyi itu lagi, masalah timbul kerana masyarakat kita gemar menentukan hala tuju hidup artis. Menurut penyanyi yang sudah lebih 40 tahun menceburi bidang seni, masyarakat tidak berhak sepenuhnya menentukan arah hidup orang lain.
"Itulah masalahnya dengan masyarakat kita. Mereka yang suka-suka nak tentukan hidup kita. Bagi Kak Pah, kalau belum bersedia untuk berubah apa gunanya? Takkanlah Kak Pah nak ikut cakap orang," katanya yang tidak sabar menjejakkan kaki ke tanah suci.

Dia yang bakal diiringi pembantunya Mus dan saudara mara terdekat tidak sabar mahu menjejakkan kaki buat ke sekalian kalinya di tanah suci. Bukan itu saja, kesempatan itu juga digunakan penyanyi itu untuk bertemu dengan anak bujangnya Aliff yang menuntut di Universiti Islam Madinah dalam bidang Perundangan Islam.

Penyanyi lagu Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung yang pernah mengerjakan umrah sebanyak 15 kali itu berkata, dia berasa terlambat kerana baru kini berkesempatan mengerjakan ibadat haji yang sepatutnya dikerjakan 10 tahun lalu.

Walaupun tinggal beberapa hari saja lagi Kak Pah bakal berangkat ke tanah air, namun dia masih lagi tidak mempunyai ruang waktu untuk berehat secukupnya.
Ini kerana Malam Amal Malam Juitaku Sayang bakal berlangsung pada 31 Oktober iaitu kurang tiga hari daripada tarikh dia akan ke tanah suci.

Selain malam amal berkenaan yang bertujuan mengutip derma bagi dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabah di Shah Alam dan Darul Uloom Islamiah, Seri Petaling, Kak Pah juga bakal terbabit dengan dua buah lagi persembahan majlis korporat.

"Kak Pah tak pernah rasa penat atau jemu menghiburkan peminat. Tahun ini memang Kak Pah sudah merancang untuk mengadakan lima buah persembahan, jadi masih ada tiga lagi yang perlu Kak Pah selesaikan. Sebelum berangkat, Kak Pah perlu selesaikan semuanya.

"Biarpun tak sempat nak berehat panjang, itu bukanlah masalah buat Kak Pah kerana semua ini dilakukan disebabkan oleh komitmen terhadap kerjaya nyanyian Kak Pah. Apa yang penting bagi Kak Pah hanyalah kepuasan peminat.

"Sebagai persediaan untuk ke Makkah, Kak Pah mengikuti kursus dan turut mengundang ustaz ke rumah. Maklumkan ini kerja haji, bukan main-main. Jadi Kak Pah perlu perbaiki apa yang patut terutamanya solat yang betul," katanya.

Tunda bukan kerana tak laku

SEBELUM ini pada sidang media terdahulu, penyanyi ini pernah mengumumkan majlis malam amalnya itu akan berlangsung pada 15 Oktober lalu. Bagaimanapun di saat akhir, persembahan itu ditunda ke 31 Oktober.

Bukan saja tarikh yang bertukar, lokasi persembahannya juga berubah dari Dewan Perdana Felda yang mampu boleh lebih 1,000 tetamu kepada Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur yang boleh menempatkan kira-kira 500 penonton.

Kata Kak Pah, perubahan lokasi dan tarikh tiada kena mengena dengan tiket. Pertukaran harus dilakukan berikutan terdapatnya kesilapan komunikasi dengan lokasi pertama.

"Penundaan majlis ini tidak ada kena mengena dengan penjualan tiket yang perlahan. Setakat ini, tiga suku daripada tiket sudah pun berjaya dijual. Daripada 50 buah meja, 38 buah sudah berjaya kami jual.

"Meja di bahagian depan juga sudah ditempah peminat Kak Pah dari Sabah, Sarawak dan Brunei. Bagaimanapun kami masih lagi ada kekosongan tempat, peminat yang nak menyaksikan Kak Pah menyanyi saja tanpa makan malam juga boleh mendapat tiket yang dijual pada harga RM 200," katanya.

Selain Sharifah Aini yang menjanjikan persembahan mantap, malam amal itu juga bakal diserikan dengan persembahan daripada Datuk Ahmad Jais dan Syazliana. Untuk tempahan menyaksikan Malam Amal Juitaku Sayang boleh hubungi Shameem di talian 0193488054.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.