Oscar makin hampiri Colin FirthOscar makin hampiri Colin Firth
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
MEMANG tidak dapat dinafikan, kategori Pelakon Lelaki Terbaik merupakan salah satu kategori yang paling mendapat perhatian setiap kali menjelangnya Anugerah Academy atau nama glamornya, Oscar.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1929, Oscar telah mengiktiraf 74 aktor yang menyaksikan pemenang pertamanya menjadi milik Emil Jannings yang menerima pengiktirafan berdasarkan lakonannya untuk dua buah filem iaitu The Last Command dan The Way of All Flesh.
Sepanjang 83 tahun Oscar dianjurkan, pelbagai sejarah sudah tercatat dalam direktori penganjuran anugerah yang paling mendapat perhatian di seluruh dunia itu.
Rekod demi rekod telah dicipta oleh aktor yang dicalonkan mahupun yang berjaya menjulang trofi idaman setiap pelakon bukan hanya di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia.
Dua pelakon veteran, Spencer Tracy dan Laurence Olivier telah mencipta rekod sebagai pelakon lelaki yang paling kerap menerima pencalonan Oscar bagi Pelakon Lelaki Terbaik.
Daripada jumlah itu, Tracy memenanginya sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1937 dan 1938 masing-masing menerusi filem Captains Courageous dan Boys Town. Sementara Olivier pula hanya menang sekali sahaja untuk filem Hamlet pada tahun 1948.
Selepas Tracy mencipta rekod cemerlangnya itu, hanya lapan aktor sahaja yang telah memenangi dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik iaitu Fredric March, Gary Cooper, Marlon Brando, Dustin Hoffman, Tom Hanks, Jack Nicholson, Daniel Day-Lewis dan Sean Penn.
Seorang lagi aktor ternama, Peter O'Toole juga mencatatkan rekod tersendiri apabila dicalonkan sebanyak lapan kali sepanjang bergelar anak seni.
Tetapi, malang sungguh untuk O'Toole kerana nasib tidak pernah menyebelahinya apabila gagal memenangi sebarang trofi.
Hanya pada tahun 2003, pelakon yang dikenali menerusi filem klasik, Lawrence of Arabia itu diiktiraf oleh pihak akademi apabila dipilih sebagai penerima anugerah sepanjang hayat.
Sementara itu, Adrien Brody pula masih lagi kekal sebagai aktor yang paling muda memenangi Oscar untuk Pelakon Lelaki Terbaik apabila memenanginya untuk filem The Pianist pada tahun 2003.
Pelakon Jackie Cooper pula mengekalkan rekod sebagai pelakon paling muda yang pernah dicalonkan dalam sejarah penganjuran Oscar pada usia sembilan tahun.
Ketika itu, dia menerima pencalonan bagi filem Skippy untuk acara yang dianjurkan pada tahun 1932.
Pada tahun 1958, Oscar mencatatkan satu lagi rekod tersendiri apabila buat pertama kalinya mencalonkan aktor kulit hitam, Sidney Poitier untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem The Defiant Ones.
Meskipun tewas, kekecewaan Poitier terubat apabila menjadi pelakon kulit hitam pertama yang memenangi Oscar bagi filem Lilies of the Field pada tahun 1964.
Selepas kejayaan Poitier, hanya tiga pelakon kulit hitam yang berjaya menjejaki langkahnya untuk memenangi kategori tersebut iaitu Denzel Washington bagi filem Training Day pada tahun 2002, Jamie Foxx (Ray - 2005) dan Forest Whitaker (The Last King of Scotland - 2007).
Siapa pula yang bakal menempatkan diri dalam senarai Pelakon Lelaki Terbaik untuk edisi ke-83 ini? Memang tidak dapat dinafikan lagi, saingan tahun ini bukan calang-calang kerana lima calon yang tersenarai semuanya hebat-hebat belaka.
Lima calon yang bertanding tahun ini ialah Javier Bardem bagi filem Biutiful, Jeff Bridges (True Grit), Jesse Eisenberg (The Social Network), Colin Firth (The King's Speech) dan James Franco (127 Hours).
Daripada senarai ini, hanya Bardem dan Bridges sahaja yang pernah memenangi Oscar sebelum ini. Firth pula menerima pencalonan keduanya selepas dicalonkan tahun lalu dalam kategori sama bagi filem A Single Man.
Manakala Eisenberg dan Franco pula masing-masing kali pertama dicalonkan untuk anugerah berprestij itu.
Untuk kali kedua, Firth dan Bridges bertemu dalam pertandingan yang cukup sengit ini. Tahun lalu, Bridges telah mengecewakan Firth untuk dijulang sebagai pemenang.
Tetapi tahun ini, Bridges harus akur dan reda seandainya bukan dia menjadi pilihan juri dan sekali gus pulang dengan perasaan hampa untuk mencipta rekod sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik bagi dua tahun berturut-turut.
Sedari awal sejak bermulanya musim anugerah di Hollywood, nama Firth menjadi sebutan ramai pihak untuk menggondol pelbagai pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.
Sememangnya Firth kini merupakan calon pilihan dan menduduki tangga teratas untuk dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik berdasarkan lakonan hebatnya dalam filem The King's Speech.
Memberikan lakonan yang menyakinkan sebagai Putera Albert yang kemudiannya ditabalkan sebagai Raja George VI dalam filem The King's Speech, ia sebenarnya bukan sembarangan watak yang boleh dibawakan oleh mana-mana aktor.
Jika ditanya kepada penulis, Firth sepatutnya membawa pulang gelaran ini tahun lalu kerana lakonannya dalam A Single Man cukup beremosi dan berat untuk dibawakan dan memang merupakan material terbaik untuk diangkat sebagai pemenang Oscar.
Tetapi, Firth harus akur bahawa tahun lalu sememangnya merupakan tahun bertuah buat Bridges yang menjadi pilihan majoriti pengkritik filem dan juri akademi.
Selepas memenangi Golden Globe, Screen Actors Guild dan BAFTA, memang tidak syak lagi Oscar dengan mudah pasti akan menjadi milik Firth.
Dengan koleksi anugerah yang diterimanya daripada badan pengkritik filem yang lain, telah memudahkan laluan Firth untuk bersiap-sedia dengan ucapan kemenangannya nanti.
Bagi Bridges pula, lakonannya dalam filem True Grit memang bagus dan mendapat pujian tetapi untuk memenangi Oscar sekali lagi, agak sukar buat pelakon berusia 61 tahun itu.
Apatah lagi, watak Rooster Cogburn yang dijayakan Bridges itu merupakan watak yang sama pernah dibawakan oleh pelakon legenda, John Wayne menerusi filem True Grit versi tahun 1969.
Jika Bridges menang, satu lagi rekod akan tercipta apabila watak yang sama dimenangi oleh dua aktor yang berlainan.
Kejutan kategori ini juga tercipta daripada pencalonan Bardem yang dicalonkan menerusi filem Biutiful.
Mana tidaknya, dalam dua anugerah penting sebelum ini, namanya langsung tidak tersangkut sebagai salah seorang calon.
Itulah magisnya tentang Oscar. Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan pastinya lakonan Bardem memiliki keistimewaan tersendiri sehingga membolehkannya tersenarai sebagai salah seorang calon tahun ini.
Watak yang dibawakannya memang merupakan material terbaik bagi membolehkannya dijulang sebagai pemenang.
Bardem membawakan watak Uxbal, seorang bapa tunggal yang menghidap kanser dan hanya menunggu hari untuk maut menjemputnya.
Sepanjang tempoh itu, dia bergelut dan berhadapan dengan pelbagai masalah hidup dalam dunia yang penuh pancaroba di Barcelona, Sepanyol.
Watak Uxbal itu juga telah mendapat pujian karyawan seni Hollywood seperti Sean Penn, Julia Roberts, Michael Mann dan Werner Herzog.
Seandainya rezeki berpihak kepada Bardem, dia akan menjadi aktor kedua selepas Roberto Benigni untuk memenangi Oscar sebagai Pelakon Lelaki Terbaik bagi sebuah filem yang menggunakan bahasa asing sepenuhnya.
Bagi Eisenberg dan Franco pula, peluang agak tipis buat mereka untuk memenangi kategori ini.
Sudah menjadi resmi Oscar, jarang sekali untuk pelakon baru seperti mereka diangkat sebagai pemenang.
Pada pandangan juri, mereka masih muda untuk terus mencari peluang yang lebih baik bagi meneroka bakat mereka dalam mencuba watak-watak yang lain yang mencabar.
Pilihan Hits: Colin Firth - The King's Speech