Adsense

Selasa, 24 Mei 2011

borak kosong

Ringkasan ini tidak tersedia. Sila klik di sini untuk melihat siaran.

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Dejavu Breakerz kecewa komen juri

Posted:

Dejavu Breakerz kecewa komen juri

Dejavu Breakerz kecewa komen juri

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD. SHAHARANI SAIBI


SALAH satu aksi akrobatik yang dipersembahkan oleh kumpulan Dejavu Breakerz pada Konsert Minggu ke-3 Showdown 2011 di i-City Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


KUMPULAN penari Dejavu Breakerz merupakan peserta yang ketiga tersingkir daripada pertandingan tarian Showdown 2011. Kumpulan berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu bukan sahaja kecewa dengan penyingkiran tersebut.

Malah, kumpulan yang dianggotai oleh enam penari remaja itu turut kecewa dengan kritikan pengkritik tetap terutamanya Maple Loo dan Joe Flizzow yang teruk menghentam gaya tarian mereka sebelum ini.

Salah seorang anggota Dejavu Breakerz, Dexston Alinton berkata, dia dan anggota kumpulannya berasa kecewa dengan kritikan dua pengkritik itu yang seolah-olah tidak menyedari perubahan persembahan mereka pada minggu ini.

"Mereka (pengkritik) komen dan suruh kami berubah. Kami sudahpun melakukannya dengan mengubah gaya koreografer kami pada minggu ini. Sayangnya, kami terus dihentam. Mereka kata persembahan kami masih tidak banyak berubah.

"Pada konsert minggu lepas misalnya, Joe Flizzow dan Maple Loo mengkritik kami dengan teruk sekali. Bagaimanapun kami tidak patah semangat dan terus cuba melakukan yang terbaik termasuklah persembahan malam ini. Tetapi mereka seakan-akan tidak nampak.

"Komen-komen seperti itu banyak mempengaruhi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton terhadap kami. Apa boleh buat setakat ini sahaja rezeki kami dalam Showdown. Kami tidak mahu putus asa dan akan terus menari selepas ini," katanya.

Hadir sama pada sidang akhbar selepas penyingkiran Dejavu Breakerz ialah lima lagi anggota kumpulan tersebut iaitu Hanston Alinton, Mohd. Najib Yosong, Ibrin Anisto, Salimujid Salvadur dan Arnydin Tony yang turut kecewa dengan keputusan yang mereka terima itu.

Dejavu Breakerz merupakan peserta Showdown 2011 ketiga selepas kumpulan Soulution dan E.G.S. yang disingkirkan kerana menerima undian SMS paling rendah daripada para penonton selepas berakhirnya konsert mingguan tersebut.

Dengan penyingkiran itu, Showdown 2011 akan diteruskan oleh sembilan lagi kumpulan iaitu HMC Phlow, Rokusteps, Stepholic, Force 136, Panic, Blazin Squad, Elecoldxhot, Borneo Crew dan Bounce Stepperz pada konsert minggu keempatnya Rabu ini (25 Mei).

Pada minggu ketiga itu, dua pengkritik tetap Showdown 2011 dan juri undangannya, Joe Lee seakan-akan mempunyai peserta pilihan masing-masing di mana ia dapat dilihat berdasarkan kritikan yang diberikan sewaktu konsert itu berlangsung.

Joe Flizzow puji melangit kumpulan Elecoldxhot yang ketika itu menarikan tarian sambil diiringi oleh lagu nyanyian Jay Chou berjudul Tian Di Yi Dou, manakala Maple Loo pula begitu tertarik dengan persembahan Panic yang dianggotai semua wanita.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

DBP, Karyawan hidupkan lagu sastera

Posted:

DBP, Karyawan hidupkan lagu sastera

DBP, Karyawan hidupkan lagu sastera

KESUSASTERAAN dan muzik dua bidang yang saling kait mengait satu sama lain. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan agensi yang memperjuangkan Bahasa Kebangsaan, manakala Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pula aktif dalam bidang seni termasuklah muzik.

Bidang muzik dan kesusasteraan yang mempunyai pertalian yang erat itu menyebabkan DBP dan Karyawan mengambil langkah bekerjasama bagi memperbanyakkan lagi aktiviti berkaitan bahasa serta kesusasteraan Melayu sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya dan Karyawan misalnya mengadakan program Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera, baru-baru ini.

"Ia merupakan program kerjasama antara DBP dan Karyawan yang akan diadakan secara bersiri di mana pengisiannya dalam pelbagai bentuk kegiatan seperti deklamasi puisi, persembahan lagu puisi, teater, dialog dan forum yang berkaitan sastera serta muzik.

"Gabungan DBP dan Karyawan dalam program seperti ini diharap dapat mempertingkatkan lagi mutu sastera termasuklah lirik lagu-lagu para penyanyi di negara ini pada masa depan," katanya pada sidang akhbar di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program itu menyelitkan dialog bertajuk Peranan Karyawan Seni Dalam Memperkasakan Bahasa dan Sastera Tanah Air yang diadakan secara percuma kepada orang ramai.

Barisan panel pula terdiri daripada penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, AD Samad, Hairul Anuar Harun dan dipengerusikan oleh pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin pada sesi yang akan berlangsung selama dua jam.

Jelas Termuzi, idea kerjasama antara DBP dan Karyawan itu mula tercetus pada Februari lalu dan ia merupakan yang julung-julung kalinya diadakan dalam usaha mereka untuk memartabatkan lagi dunia kesusasteraan Melayu di kalangan pencinta muzik.

"Selain projek Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera, kami juga telah bersetuju bekerjasama dalam Sayembara Menulis Karya Adaptasi Drama Pentas Ke TV bagi mempromosikan karya-karya sastera ke medium elektronik yang lebih luas khalayaknya.

"Malah, pada Julai ini kami akan melancarkan Sayembara Menulis Karya Adaptasi Novel Ke Filem, Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas dan Sayembara Menulis Skrip Drama Pendek. Ia terbuka kepada orang ramai terutamanya ahli-ahli Karyawan," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Saya bukan perampas!

Posted: 23 May 2011 05:00 PM PDT

Hip

pix_gal0
Faezah akan dedahkan kekasih apabila tiba waktu

KETIKA gosip yang menuduh dirinya sebagai perosak rumah tangga orang bertebaran dan terus menjadi bualan, tiba-tiba si empunya diri membuat pengakuan bahawa dia sudah pun bertemu arjuna hati dan bakal menamatkan zaman gadisnya secepat mungkin.

Sebuah kenyataan yang dikira berani, tulus lagi ikhlas, lahir daripada bibir bentuk limau seulas milik pelakon jelita Faezah Elai walaupun mengetahui pengakuannya itu bakal mengundang kontroversi yang mungkin tiada penghujungnya.

Kahwin 9 September TERLANJUR berani meluahkan isi hati, tertanya-tanya juga siapakah jejaka yang berjaya merebut cinta pelakon Senjakala ini? Apakah bakal suaminya itu lelaki yang sering digosipkan dengannya, ataupun jejaka lain yang selama ini memang bertakhta di hati Faezah. tetapi tidak diperkenalkan kepada mana-mana pihak?

Namun, sejak mengumumkan berita baik itu, persoalan siapakah jejaka yang bertuah itu masih dibiarkan tanpa jawapan pasti. Tiada sebarang pengesahan yang dibuat pelakon berasal dari Pulau Mutiara ini. Sebaliknya dia terus mengunci mulut rapat-rapat apabila ditanya identiti sebenar lelaki yang bakal menjadi suaminya.

"Tunggulah, bila tiba hari yang sesuai nanti saya akan umumkan siapakah lelaki yang bakal menjadi suami saya itu. Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, saya tak kisah untuk mendedahkan siapakah lelaki itu. Namun sebagai menghormati permintaan keluarga pihak lelaki, biarlah identitinya didedahkan apabila tiba waktunya nanti," kata Faezah sambil mengukir senyuman manis.

Tambahnya, sebagai seorang wanita adalah tidak manis untuknya menggembar-gemburkan perkara yang belum ada kesahihannya. Atas alasan itu jugalah dia lebih selesa berdiam diri dan tidak terlalu menghebohkan kisah perkahwinan berkenaan.
Teguh sungguh pendirian gadis berusia 29 tahun ini. Walaupun cuba dikorek siapakah lelaki yang berjaya menawan hatinya itu, namun dia tetap mempertahankan amanah yang diberikan. Begitupun, apabila terlalu berahsia sangat, timbul pula rasa sangsi, apakah lelaki itu ialah pengarah yang pernah dikaitkan dengannya, sehingga Faezah tidak mahu berkongsi identiti lelaki pilihannya bersama peminat.

Apa pun, jika benar bakal suaminya itu ialah Heykal Hanafiah, seorang duda dan juga pengarah drama bersiri Asmara 2, tentunya Faezah bakal berdepan dengan cacian dan cemuhan kerana pilihannya itu seolah-olah mengesahkan semua gosip yang tersebar.

"Tidak ada apa yang perlu saya risaukan. Saya bukan perampas dan saya sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang timbul. Seperti yang saya katakan tadi, tunggu saja bila tiba waktunya. Apa yang boleh saya katakan, saya memilih dia sebagai calon suami kerana dia amat memahami diri saya.

"Malah dia juga tidak pernah menyekat keinginan saya untuk terus aktif dalam bidang seni," ujar pelakon filem Cun ini penuh yakin.

Bakal disatukan pada 9 September depan, Faezah berkata, untuk majlis belah keluarga lelaki, mereka memilih untuk mengadakan keraian di tepi pantai.

"Sebenarnya, majlis berkonsepkan persandingan pantai ini adalah atas kehendak saya, tetapi apabila mengenangkan jumlah saudara mara saya yang ramai, saya rasakan tidak sesuai untuk sebelah perempuan meneruskan hasrat itu. Jadi, untuk sebelah lelaki, konsepnya adalah pantai, manakala sebelah perempuan adalah berkonsepkan tradisional," katanya yang akan mengenakan rekaan Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat untuk hari bersejarahnya itu.

Hampir mahu berhenti berlakon

SUATU waktu dulu, dia teruk dihentam media gara-gara lakonan kayunya dalam filem Otai. Disebabkan itu, Faezah cukup trauma untuk kembali berlakon dek bimbangkan kritikan pedas yang bakal dilemparkan kepadanya.

Namun, menyedari bakat seni kurniaan Tuhan itu tidak seharusnya dipersiakan, Faezah kembali memulakan langkahnya dengan aktif di layar kaca.

Pengalaman sebagai dramatis ternyata memberikan kelebihan kepada Faezah untuk mempamerkan lakonan memberangsangkan dalam filem Cun arahan Osman Ali. Watak Kuntom yang dilakonnya dalam filem itu cukup menyerlah dan mendapat pujian ramai.

"Saya akui sedikit trauma apabila lakonan saya pernah dihentam teruk oleh media. Walaupun hampir mematahkan semangat dan terasa seperti mahu berhenti berlakon, namun nasihat daripada kedua-dua orang tua saya membuatkan saya kembali bersemangat untuk meneruskan kerjaya saya dalam bidang lakonan," katanya.

Dalam pada sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya, Faezah juga kini giat menjalani latihan sebelum turun ke lokasi penggambaran sebuah filem epik arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

"Dalam filem ini, saya memegang watak isteri kepada seorang tokoh terkenal tanah air. Watak ini memang cukup mencabar kerana tidak banyak sumber yang saya dapat mengenai watak isteri kepada seorang tokoh ini. Kalau ada sekali pun, footage yang ada tidak banyak membantu saya untuk mengenali wanita berkenaan.

"Jadi, selain daripada pembacaan, saya cuba merealisasikan watak itu menerusi imaginasi saya," ujarnya yang mengakui teruja kerana pertama kali diberi peluang berlakon dalam sebuah filem bergenre seperti itu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Tak adil jika kami saja dihentam’

Posted: 23 May 2011 04:52 PM PDT

Hip

pix_gal0
Laman sosial jadi medan luah amarah untuk legakan hati

SUDAH beberapa kali pelakon Scha Alyahya menjadikan laman Twitter sebagai tempat untuknya melancarkan serangan peribadi terhadap media. Sebelum ini dia pernah melabelkan wartawan sebagai monyet, tetapi kemudian disangkal pelakon itu. Kononnya ayat berkenaan ditujukan kepada sebuah produksi.

Baru-baru ini, dia sekali lagi menjadikan medium itu untuk meluahkan rasa amarahnya sehingga sebuah akhbar dikatakan enggan memberi sebarang publisiti kerana kecabulan ayat digunakan. Kekasihnya, Awal Ashaari, juga dikatakan sama naik menjadikan ruangan itu untuk membelasah sesiapa saja termasuk media.

Keberanian mereka menyebabkan timbulnya tanda tanya, adakah mereka berdua terlalu sensitif sehingga langsung tidak boleh ditegur? Scha ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Dunia Kita terbitan Michael Ang yang akan bersiaran di Astro Ria bermula Jumaat ini bagaimanapun menafikan perkara berkenaan. Kata Scha ketika mempertahankan dirinya, Twitter ialah laman bebas yang tidak mempunyai proses suntingan. Justeru, senang untuk dia meluahkan rasa yang terbuku di hati. Namun dia tidak pernah mempunyai sebarang niat untuk memusuhi media.

Siapa dirinya, kata wanita jelita itu, kalau hendak dibandingkan dengan wartawan? Dia hanyalah seorang insan kerdil. Bagaimanapun sebagai insan biasa, dia mempunyai hati dan perasaan. Ada ketika, rasa amarah itu perlu diluahkan untuk melegakan hatinya sendiri.

"Saya mengaku ada ketika terlalu mengikut rasa. Bila semuanya sudah diluahkan di laman Twitter, barulah timbulnya penyesalan. Jangan salah anggap, saya dan Awal bukan tidak boleh ditegur, tetapi ada ketikanya kami rasa tidak adil jika kami saja yang dihentam walaupun perkara itu tidak betul. Jadi, hanya melalui Twitter saja kami dapat meluahkan perasaan kerana laman itu tidak mempunyai sebarang tapisan.

"Selalunya selepas meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati, baru kami tersedar yang kami tidak seharusnya melakukan perkara itu. Tetapi menyesal pun tidak berguna kerana perkara itu sudah dilakukan. Antara saya dan Awal, kami memang saling ingat mengingati. Ada kala Awal akan menasihatkan saya supaya bersabar, tetapi hendak buat macam mana apabila saya sudah pun meluahkan perasaan di laman itu terlebih, begitu juga dengan Awal.
"Kami tidak pernah berniat untuk memusuhi wartawan, kami terlalu kerdil jika dibandingkan dengan media. Cuma kami juga perlu meluahkan isi hati kami, barangkali kerana terlalu mengikut emosi menyebabkan apa yang kami tulis berbaur kasar, tetapi jangan salah anggap dengan kami," kata Scha cuba membela dirinya.

Petang itu sepatutnya Awal turut serta kerana dia turut membintangi drama lapan episod yang menemui penonton jam 7.30 malam, namun pada saat akhir, jejaka berkenaan tidak dapat hadir kerana terpaksa terbang ke Jakarta, Indonesia, atas tuntutan tugas.

Drama terbabit bukanlah gandingan pertama Scha bersama kekasihnya kerana mereka pernah disatukan dalam telefilem Prebet Jamilah terbitan Box Lite Filem. Bagaimanapun, mereka akan mengelak daripada kerap digandingkan berdua kerana tidak mahu peminat meluat.

Berlakon disamping Awal dalam Dunia Kita memberi kelebihan kepada Scha kerana dapat menghayati watak sebagai Rania dengan lebih baik berikutan adanya rasa cinta antara dia dan Awal.

Namun Scha tidak suka menggunakan kesempatan itu untuk memadu cinta di lokasi kerana dia mempunyai prinsip sendiri.

"Memanglah lebih mudah untuk saya menghayati watak dalam drama ini kerana berlakon dengan kekasih sendiri. Tetapi apabila berada di set, saya seorang yang sangat serius hingga Awal sendiri agak terkejut pada mulanya. Saya memang begitu walau dengan sesiapa pun. Bagi saya apabila di set, saya perlu serius kerana ia membabitkan kerjaya saya.

"Bila tiba di lokasi, saya tak suka main-main. Saya akan terus baca skrip untuk melihat sekali lalu apa yang harus saya lakukan. Pada mulanya Awal agak terkejut dengan sikap saya tetapi lama kelamaan dia mula faham. Pernah selepas kami pulang dari penggambaran, Awal berkata, dia sudah dapat kembali diri saya yang sebenar," kata Scha yang berterima kasih kepada Michael kerana berjaya membawanya keluar dari kepompong Dania.

Dibayangi watak Dania

WATAK Dania dalam drama bersiri Awan Dania, akui Scha, cukup besar pengaruhnya terhadap dirinya. Bukan tiada keinginan untuk membawakan watak berbeza bagi mencabar kredibilitinya sebagai pelakon serba boleh, tetapi tawaran yang datang kepadanya kebanyakannya sama saja.

Wanita berusia 28 tahun ini melihat ada baik dan buruknya apabila ditawarkan watak yang hampir sama. Pertama, produser melihat dia mempunyai kelebihan dalam membawakan watak kasar dan agak gila-gila tetapi pada sudut lain pula, dia tidak melihat perkembangan dalam kerjayanya.

"Bukan saya tidak berani mencuba watak berbeza, malah saya teringin mencuba watak lain. Tetapi apabila tiga tahun membawakan watak Dania, secara tidak langsung produser lain melihat kekuatan saya adalah untuk watak sebegitu. Manakala penulis skrip pula biasanya akan tulis skrip dengan membayangkan siapa pelakonnya. Mungkin untuk cerita yang lebih serius, wajah saya tiada dalam bayangan mereka. Tetapi Michael pula berfikir di luar kotak.

"Saya sebenarnya seorang wanita yang dominan dan tegas. Memang timbulnya keinginan untuk membawakan watak yang sebegitu, tetapi nampaknya masih belum berpeluang. Cuma dalam Dunia Kita ini watak saya agak berbeza daripada Dania kerana saya memiliki lebih banyak sifat kewanitaan dan manja," kata Scha lagi.

Selain lakonan, Scha yang turut bergelar pengacara bakal muncul di dalam sebuah program baru Impian Bapa. Program khas sebanyak empat episod itu akan menemui penonton sempena hari bapa menerusi Astro Ceria, program itu akan menunaikan impian peserta yang tergolong dalam golongan bapa.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Akui selesa bersama Zizan

Posted:

Akui selesa bersama Zizan

Akui selesa bersama Zizan



SAAT ini, kelibat Natasha Liana Hudson, 29, sering kelihatan di di mana-mana majlis yang melibatkan Zizan Raja lawak atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abd. Razak . Terbaru, Natasha dikatakan membuat kemunculan pada siaran langsung program Maharaja Lawak di atas pelawaan pengurus Zizan, Marina Juki.

Atas sebab itu, ramai yang membuat andaian yang sebenarnya Natasha dijemput Zizan sendiri ke program itu. Mereka juga dikatakan menjalinkan hubungan cinta dalam diam.

Tiada halangan dan tiada sebab mengapa mereka tidak boleh bercinta. Natasha sudah menjanda hampir dua tahun manakala Zizan pula sehingga kini tiada hubungan istimewa dengan sesiapa.

Berpeluang bersua empat mata dengan pelakon utama filem Chermin itu semasa majlis ramah mesra drama TV9, Bait Cinta yang bersiaran setiap Isnin dan Selasa pada pukul 8.30 malam di Sri Pentas, Petaling Jaya baru-baru ini, peluang untuk mencungkil tentang khabar angin yang sedang hangat diperkatakan itu tidak dilepaskan begitu sahaja.

Mengenakan blaus putih bercorak, dengan senyuman lebar pada wajahnya Natasha mengaku rapat dengan Zizan.

Katanya, mereka rapat bukan kerana bercinta tetapi sekadar teman sahaja.

"Saya dengan Zizan cuma kawan biasa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Kami sering bersama di majlis-majlis disebabkan kami diuruskan oleh pengurus yang sama iaitu Marina Juki," katanya.

Namun, ibu jelita kepada Neesa Helena, 3, itu juga mengaku yang dia begitu selesa berkawan dengan Zizan.

"Sebagai seorang kawan saya lihat Zizan seorang yang berbakat besar. Dia tidak kisah apa yang orang kata. Dia juga seorang yang humble dan sering memberi saya nasihat," katanya mengenai Zizan tanpa berselindung.

Ditebak dengan persoalan sampai bila dia ingin menjanda selepas perkahwinan keduanya gagal pada tahun 2009, Natasha yang mesra dipanggil Tasha memberitahu, fokusnya kini hanya kariernya sebagai pelakon dan menyanyi selain membesarkan anak perempuannya.

Duit bukan masalah

Ditanya tentang kriteria lelaki idaman, Tasha memberitahu, duit bukan menjadi kriteria utama untuk dia memilih lelaki.

"Money not a big thing. Apa yang penting, dia hormat perempuan. Tasha akan tengok bagaimana dia layan mak dia. Dari situ, Tasha akan tahu lelaki itu orangnya bagaimana.

"Saya juga suka pada lelaki yang berdikari, kerja keras, ada agama dan bertanggungjawab," katanya mengenai kriteria bakal suaminya itu nanti.

Sentiasa tidak betah duduk diam. Pelakon kacukan Australia-Melayu ini masih mahu menggali bakatnya dalam bidang penulisan puisi yang memang sudah sebati dengan dirinya.

Menurut Tasha, dia sememangnya minat menulis sejak di bangku sekolah lagi. Hanya kini, dia memberanikan diri menghasilkan dua buah buku yang turut mengandungi puisi serta cerita pendek mengenai kanak-kanak.

"Saya telah menghasilkan dua buah buku iaitu My Heart My Soul My Passion dan Puisi Indah Si Pari-Pari. Menerusi buku My Heart My Soul My Passion, saya telah mengumpul puisi-puisi yang saya hasilkan sejak umur 12 tahun lagi.

"Bagi Puisi Indah Si Pari-Pari pula, ia memuatkan puisi serta cerita pendek kanak-kanak," katanya yang meminati hasil penulisan Tim Burton, Dewi Lestari dan Pablo Ne ruda.


BERKAWAN rapat dengan Zizan, pelakon ini menyenangi sikap rendah diri pelawak dan hos tersebut.


Menyentuh mengenai penulisan Puisi Indah Si Pari-Pari, katanya, ia memuatkan 20 buah cerita dan puisi antaranya yang berjudul Kepadamu dan Ratuku.

Kepadamu dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan Tasha terutamanya perjalanan hidup serta liku-liku ke hidupan yang dia sudah lalui.

Tasha yang juga merupakan graduan jurusan Rekaan Grafik di Univesity Of Chicago itu kini sedang merangka puisi yang seterusnya.

"Buat masa ini saya sedang menulis puisi yang berikutnya. Ia merupakan puisi yang merangkumi pelbagai perkara di sekeliling saya," katanya yang baru sahaja selesai penggambaran telefilem dan drama iaitu Seindah Namamu, Bait Cinta, Antara Keju dan Belacan serta Cinta Celop-Celop.

Penerima Anugerah Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin itu bersyukur kerana tawaran lakonan datang mencurah-curah.

Selepas tamat penggambaran telefilem dan drama, kakak kepada pelakon Tania Hudson ini bakal ke lokasi penggambaran drama rantaian Hilang dan Deru Ombak serta filem Pintu Neraka.

Ditebak sama ada dia berasa tercabar dengan kehadiran adiknya, Tania dalam industri hiburan, Tasha memberitahu, dia tidak langsung merasakan sedemikian.

"Saya tidak rasa tercabar dengan kehadiran dia. Sebabnya, kami mempunyai karakter yang sangat berbeza. Dia lebih lembut manakala Tasha lebih agresif.

"Watak-watak lakonannya juga lebih kepada remaja dan saya pula lebih sukakan watak-watak yang lebih mencabar," katanya mengulas mengenai Tania.

Jika ku Ubah Dunia

Biarpun ramai yang mengecamnya tidak boleh menyanyi, pelakon berbintang Virgo ini tetap meneruskan minatnya dalam nyanyian selain komited dalam bidang lakonan. Terbaru, dia bakal muncul dengan dengan tiga buah single lagu iaitu Jika Ku Ubah Dunia, Destiny Bersiri dan Selamanya.

"Untuk lagu Jika Ku Ubah Dunia, saya akan berduet bersama Carleed Khaza daripada kumpulan Phlowtron, manakala lagu Selamanya pula saya akan berduet bersama kumpulan Phloetron dan juga Adib, Fabulous Cats," katanya mengenai lagu yang bakal dikeluarkan pada bulan Jun itu.

Menyentuh mengenai single ketiganya pula, kata Tasha, ia merupakan lagu solo nyanyiannya yang berjudul Destiny Bersiri.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara kerjaya dan kehidupannya sebagai ibu, kata Tasha, dia akan sedaya upaya meluangkan masa bersama anaknya.

"Kalau ada masa saya akan berkepit dengan dia sepanjang masa. Pernah juga saya bawa Neesa ke lokasi penggambaran tetapi kini tidak lagi. Saya tidak mahu dia rasa tidak selesa dan penat," katanya mengenai anak kesayanganya itu Neesa yang bakal menyambut ulang tahun ketiganya pada 4 Jun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perginya seniwati Mahyon Ismail

Posted:

Perginya seniwati Mahyon Ismail

Perginya seniwati Mahyon Ismail

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com


MAHYON pernah membintangi produksi filem Hong Kong, The Red Spells.


HILANG lagi sebutir bintang yang pernah menghiasi dunia seni suatu ketika dahulu, saat dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Ismail, 69, yang kembali ke rahmatullah pada pukul 1 tengah hari, Jumaat lalu di Hospital Pakar Ampang Putri, Kuala Lumpur.

Suatu ketika dahulu bukan sahaja bakat lakonannya berjaya menarik perhatian tetapi kejelitaannya juga berjaya memukau pelakon hebat Hussein Abu Hassan sehingga dia disunting menjadi isteri.

Darah seni yang mengalir pekat dalam diri kedua artis ini diwarisi pula oleh tiga orang anaknya iaitu Faizal Hussein, 44, Fairuz Hussein, 46 dan Fadilla atau Dilla Hussein, 47.

Menurut Dilla, kepergian ibunya itu tidak dijangka kerana tidak mempunyai sebarang masalah serius berhubung kesihatan kecuali menghidap penyakit kencing manis sejak 1999.

"Cuma, dia ada mengalami demam panas dan batuk selama tiga minggu," kata Dilla yang kemudiannya membawa ibunya itu ke klinik sebelum doktor kemudiannya menyarankan ibunya itu dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Menyingkap kembali penglibatannya dalam dunia seni, seniwati yang mempunyai lima orang cucu ini mula dikenali menerusi filem Abu Nawas dan Tun Teja pada tahun 1961. Ketika itu dia hanya berperanan sebagai pelakon tambahan.

Antara filem yang pernah membawa namanya ke puncak ialah Bunga Padi Berdaun Lalang (1975), Tiada Esok Bagimu (1978), Dia Ibuku (1980), Senja Merah (1982), Gila-Gila Remaja (1986) dan Pemburu Bayang (1991).

Mengulas lanjut mengenai perjalanan seni Mahyon, dia meletakkan intipati gigih, sabar dan bersungguh dalam membina kerjaya seninya agar tidak pudar sinarnya biarpun dirinya semakin dimamah usia.

Disebabkan itu, Allahyarhamah juga pernah ditawarkan berlakon filem-filem sekitar tahun 2000 dan 2002 iaitu filem Syukur 21 dan Cinta 200 Ela.

Malah, Allahyarhamah baru sahaja selesai penggambaran drama Terapah Bulan Madu di bawah Skop Production minggu lepas.

Bukan itu sahaja, pada era 1960-an, Allahyarhamah sempat berkongsi pentas seni bersama seniman agung Tan Sri P. Ramlee dalam filem Nasib Do Re Mi.

Bakat lakonan Allahyarhamah juga melangkaui sempadan apabila terlibat dalam sebuah filem seram iaitu The Red Spells yang menjalani pengambaran di Sarawak. Filem itu merupakan keluaran penerbitan sebuah produksi Hong Kong.

Sudah lumrah menjadi artis. Allahyarhamah juga pernah dilanda kontroversi apabila sebuah artikel berjudul Mahyon Naik Risau Hussein Kahwin Lagi menyebabkan mahligai indah yang dibina bersama suami tercinta bergolak seketika.

Namun, Allahyarhamah yang sememangnya terkenal dengan diri yang bersifat tenang membiarkan sahaja gosip tersebut berlalu begitu sahaja.

Kehadiran Allahyarhamah sedikit sebanyak memeriahkan industri hiburan tanah air suatu ketika dahulu.

Sesungguhnya selepas kira-kira empat tahun selepas kepergian Hussein pada 26 November 2007 di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit buah pinggang dan beberapa komplikasi penyakit lain, akhirnya Mahyon pula menyusul dan suami isteri itu dikebumikan di tanah perkuburan yang sama di Taman Ibu Kota Muslim di Setapak, Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Zarine cium lelaki misteri

Posted:

Zarine cium lelaki misteri

Zarine cium lelaki misteri



NAMPAKNYA gadis yang dikatakan begitu istimewa di hati Salman Khan rupa-rupanya ada teman lelaki lain. Ketika menyambut hari jadinya yang ke-23 di sebuah kelab malam di Mumbai minggu lalu, Zarine Khan dilihat cukup mesra dengan seorang tetamu yang tidak dikenali.

"Zarine memasuki kelab malam tersebut sekitar pukul 1 pagi dengan rakan-rakannya. Abangnya juga turut bersama," ujar sumber kepada Mid Day.

Tambah sumber: "Namun, Zarine dilihat cukup mesra dengan salah seorang pemuda yang datang bersamanya. Mereka saling bersentuhan dan kemudian saling bercium pipi antara satu sama lain. Lelaki misteri itu lebih rendah berbanding Zarine."

Zarine dalam pada itu mengakui kesahihan laporan tersebut tetapi dia menafikan lelaki itu adalah teman lelakinya. Katanya: "Memang saya meraikan hari jadi saya di kelab malam tersebut pada minggu lalu.

"Pemuda itu adalah rakan baik saya. Kenapa saya agak mesra dengan dia adalah kerana dia yang membuat kejutan majlis hari jadi untuk saya. Saya masih solo."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.