Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kahwin tidak gugat kerjayaLAMA memburu bintang lepasan One In A Million (OIAM) musim pertama ini. Akhirnya kami dipertemukan dalam sebuah sesi fotografi yang dirancang khas bersama pemilik nama Suki Low di sebuah hotel yang terletak di jantung ibu kota Kuala Lumpur pada minggu lalu. Enam tahun bergelar penyanyi, Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee, 22, kelihatan lebih matang dan tegas meluahkan butir bicara. Tidak dinafikan, pengalaman yang ditempuhi oleh si gadis genit yang memulakan kariernya pada usia 16 tahun itu telah banyak mendidik dirinya. "Perjalanan karier saya merupakan satu proses. Biarpun ia tidak 'meletup' tetapi saya bersyukur masih dapat menyanyi sampai sekarang dan saya tidak akan pernah berhenti menyanyi," tegasnya tentang prinsip karier seninya. Tidak pernah rasa tersisih biarpun dia merupakan seorang penyanyi berketurunan Cina, kata Suki, dia melihat perspektif kerjayanya lebih luas berbanding penyanyi tempatan yang lain. "Platform nyanyian saya bermula dengan pasaran berganda iaitu muzik saya merangkumi kaum Melayu dan Cina sekali gus. Biar pada mulanya saya tidak dikenali ramai, yang penting saya kekal. "Sepanjang membesar dalam masyarakat majmuk di Malaysia, saya tidak pernah rasa prejudis atau orang bukan kaum Cina menolak muzik saya. "Hakikatnya, saya diterima ramai dan seni telah menyatu serta memperkenalkan saya kepada masyarakat yang lebih pelbagai," luah Suki. Mengenai perancangan masa depannya, dia mahu mengeluarkan album berbahasa Melayu dan Mandarin namun, fokusnya kini lebih kepada menyiapkan album pertama berbahasa Melayu untuk pasaran tempatan. "Muzik tak perlu ada sempadan dan tidak kira apa-apa bahasa sekali pun. Malaysia ada pelbagai bahasa dan bahasa Melayu penyatu kita. Jadi saya merancang untuk muncul dengan album berbahasa Melayu terlebih dulu," ujarnya. Lebar sayap Ungkap Suki, dia kini sedang dalam rangka proses menyiapkan album keduanya yang mengandungi lapan buah lagu termasuk lagu hit Terlalu Mencintaimu. Jika tiada aral, album tersebut akan memasuki pasaran pada pertengahan tahun 2013.
Sebenarnya, penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu baru selesai merakamkan single terbaharu berjudul Untuk Kamu yang dicipta oleh komposer Indonesia, Irang Arkad dan Ering Arkad. Memilih untuk berkolaborasi dengan pemuzik dari Indonesia, kata Suki ia memberi peluang kepadanya untuk bereksperimentasi. Dalam masa yang sama, dia turut mengintai peluang untuk menembusi industri muzik di sana. "Kalau ada rezeki saya mahu mencuba nasib di sana. Semua orang sedar bahawa industri muzik di sana lebih besar dan sudah pasti memberikan pengalaman baharu bagi saya jika dapat menembusi pasaran Indonesia," ujar Suki penuh harapan. Suki mengakui dia seorang penyanyi yang cerewet berhubung pemilihan lagu kerana baginya biar mengambil masa yang panjang, asalkan hasilnya memuaskan hati. Katanya: "Saya pentingkan kualiti. Kalau boleh saya mahu semua lagu yang saya rakamkan orang suka. Muzik sudah menjalani fasa revolusi dan pendengar sekarang sudah bijak membuat pilihan. Muzik juga melibatkan perkongsian dan kerana itulah saya mengharapkan agar orang luar menerima muzik saya." Gagal mencorakkan perjalanan kerjayanya dengan berkesan selepas menjuarai 0IAM pada tahun 2006, Suki menghela nafas lega setelah memenangi kes tuntutan saman terhadap syarikat pengurusannya, Galaxy Music Sdn. Bhd. bulan Ogos lepas. Menerusi tuntutannya, Suki mencari keadilan di Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan syarikat pengurusan Galaxy Music supaya membatalkan perjanjian yang ditandatanganinya dengan mereka. Dia juga memohon supaya dipulangkan semula wang berjumlah RM367,575.17 yang sudah pun dibayar kepada Galaxy Music selepas dijanjikan bahawa syarikat tersebut mampu untuk merakam, menerbit, memasar, mempromosi dan mengedarkan sebuah album antarabangsa berbahasa Cina di Taiwan, China dan Hong Kong untuknya. Galaxy Music merakamkan sebuah album Mandarin berjudul, Ladies' Night, tetapi selepas dipasarkan di Malaysia pada 2009, album itu tidak dipasarkan di Taiwan, China atau Hong Kong seperti yang dijanjikan. Wang itu adalah sebahagian daripada hadiah yang diterimanya selepas menjuarai OIAM.
Bangkit daripada kekecewaan tersebut, Suki menjelaskan dia bakal memulakan kariernya di Hong Kong bermula pada tahun depan. Ujar Suki, dia telah menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Skyco Asia Ltd. dan bakal mengeluarkan sebuah album berbahasa Mandarin untuk pasaran Hong Kong, China dan Taiwan. Kahwin Pertama kali membuka mulut berkongsi cerita mengenai hubungannya dengan Pengarah A&R (Artist & Repertoire) syarikat rakaman Infl8dreams, Jeremy Chong, keceriaan jelas terpancar pada wajah Suki. "Kami akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh 12.12.12 (12 Disember 2012), sehari selepas sambutan hari ulang tahun saya. Majlis tertutup sebelah lelaki akan diadakan di Pulau Pinang, berkonsepkan perkahwinan dalam taman serta di atas kapal Star Cruise," dedah Suki. Perkenalannya dengan Jeremy bermula sejak empat tahun lalu dan menjadi lebih rapat setahun kemudian. Kata Suki, Jeremy menepati kriteria lelaki idamannya dan mereka memahami antara satu sama lain. "Dia (Jeremy) selalu bersama saya termasuk berulang-alik dari Malaysia ke Taiwan dan Hong Kong sebelum ini. Saya rasa selamat apabila bersamanya. Dia juga tidak pernah mengongkong saya. "Kami tidak berselindung antara satu sama lain. Dia seorang pendengar yang setia, malah memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi. Dia sentiasa mahukan yang terbaik buat saya dan kami saling mempercayai," katanya memuji Jeremy. Bersedia untuk bergelar seorang isteri pada usia yang masih muda, kata Suki tiada apa yang berubah melainkan status dan limpahan kasih sayang daripada bakal suaminya. "Soal anak, kami belum terfikir lagi. Tunggulah dua atau tiga tahun sebab buat masa sekarang kami mahu stabilkan kewangan dan kehidupan berkeluarga terlebih dulu," ujar Suki yang tidak melihat perkahwinan sebagai penentu jatuh bangun kerjayanya. | ||
Posted: Nad Zainal tidak berahsiaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
MENYERLAH sepanjang tahun 2012, Nad Zainal, 22, merupakan salah seorang bintang baharu yang paling mencuri perhatian ramai menerusi kualiti lakonannya. Bermula dengan slot sitkom bersiri khas TV3, Memberku Hawa yang menggandingkannya dengan pelakon Faezah Elai, Nad semakin dikenali menerusi drama Bukan Bidadari. Terkini, dia muncul dalam telefilem sedang hangat ditayangkan di TV3, Putera Rayyan. Seiring dengan kerjayanya yang meningkat naik, Nad tidak terlepas diburu dengan kisah peribadi. Sementelah dia sendiri sudah beberapa kali dilihat membawa kekasihnya yang hanya dikenali dengan nama Azwan ke majlis-majlis yang dihadirinya. Kosmo! yang berkesempatan bersua muka dengan pasangan itu pada majlis resepsi Diana Danielle dan Farid Kamil di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lalu mendapatkan kenyataannya berhubung status mereka. Kosmo!: Nad nampak tidak kekok membawa teman lelaki ke beberapa acara sejak kebelakangan ini. Tidakkah anda takut ditohmah oleh orang sekeliling mahupun peminat? NAD: Saya dan Azwan (teman lelaki) berkenalan sudah hampir dua tahun dan diakui saya bukan jenis orang yang suka berahsia. Bagi saya, tidak ada yang perlu disorok. Lagipun kami hadir ke majlis terbuka. Kalau kami dilihat bersama selalu ke kelab malam atau menghadiri parti sosial, barulah boleh dikatakan kontroversi. Emak saya percayakan dia dan saya rasa selamat bersama dia. Ada perancangan untuk ke langkah seterusnya? Mungkin mengikat tali pertunangan terlebih dulu? Buat masa sekarang belum ada sebarang perancangan lagi. Perjalanan kami masih jauh dan mahu fokuskan kerjaya terlebih dulu. Dia banyak membuat kerja-kerja di belakang tabir dan secara tidak langsung kami pun lebih kerap berjumpa. NAD bersama kekasihnya, Azman. Mereka telah bercinta selama dua tahun tetapi belum mempunyai perancangan untuk berkahwin. Bagaimanakah anda melihat perkembangan kerjaya pada tahun ini? Adakah anda sudah berpuas hati? Saya tidak pernah berpuas hati dan mahukan lebih daripada apa yang sedang saya lakukan sekarang. Saya sudah berada dalam industri ini sejak tahun 2007 dan ketika itu tiada siapa perasan saya pun. Bagaimanapun, situasinya mula berbeza kini. Alhamdulillah, apabila rajin berusaha insya-Allah pintu rezeki kita akan dipermudahkan. Apakah watak idaman anda yang masih belum tercapai sehingga sekarang? Kebanyakannya saya sudah dapat peranan yang diimpikan. Cuma saya teringin berlakon drama atau filem epik dan perang yang memerlukan saya memakai kostum lama. Bagaimanakah pula dengan watak air mata? Adakah anda selesa sekiranya suatu hari nanti sentiasa ditawarkan watak berat? Jujurnya, saya lebih senang sebenarnya menjadi diri sendiri. Saya seorang yang periang dan untuk menggalas watak-watak berat, sebenarnya agak susah sedikit buat saya. Bagaimanapun saya tidak kisah sekiranya ditawarkan watak air mata, cuma nanti perlu ada fasa keseimbangan untuk menerima watak-watak ringan sekali sekala. Selain drama bersiri Putera Rayyan yang sedang ditayangkan di TV3 sekarang, apakah perkembangan terkini anda? Saya baru habis penggambaran filem Kami Histeria bersama Fazura dan Diana Danielle. Kini saya baru memulakan penggambaran telefilem Cinta bersama Zahiril Adzim. Selain itu, sitkom Memberku Hawa musim kedua juga akan muncul. | ||
Sajian ‘cinta’ Izyan pikat juri Posted: Sajian 'cinta' Izyan pikat juriOleh ZULHILMI JALIL IZYAN HANI MOHD. IZHAM atau Izyan berbangga dengan kemenangannya sebagai juara musim kedua Masterchef Malaysia. SETELAH bersiaran sebanyak 70 episod, akhirnya, program realiti masakan paling popular, MasterChef Malaysia musim kedua melabuhkan tirainya hujung minggu lalu. Lebih menarik, buat julung-julung kalinya dalam sejarah MasterChef Malaysia, penonton setia rancangan itu dapat menyaksikannya secara langsung di kaca televisyen menerusi saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134). Apa yang pasti, kemenangan pada musim kali ini masih lagi berpihak kepada kaum Hawa apabila Izyan Hani Mohd. Izham dinobatkan sebagai juara program yang pada musim pertamanya pada tahun lalu dimenangi oleh Dr. Ezani Farhana Md. Monoto. Izyan sekali gus mengenepikan dua lagi peserta yang berentap pada episod final iaitu Ng Yeong Hong (Ah Hong) dan Muhd. Fazrul Nizam Anas Anizan (Along). Kemenangan itu juga membolehkan Izyan membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta trofi dan hadiah peralatan memasak tajaan Panasonic Malaysia berjumlah hampir RM10,000. "Saya memang tidak sangka dapat pergi sejauh ini hingga dinobatkan sebagai juara. "Rasa macam bermimpi sahaja sebab peserta-peserta yang lain memang semuanya hebat belaka," kata Izyan ketika ditemui pada sidang akhbar selepas berlangsungnya Finale MasterChef yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Gadis berusia 25 tahun kelahiran Selangor yang juga merupakan graduan dalam bidang Geologi itu berjaya memikat hati juri dengan dua hidangan ciptaannya yang diberi nama Suria Kasih dan Bulan Merindu. Menerusi menu Suria Kasih, Izyan menampilkan hidangan daging tenderlion, kek lapis bersama pucuk paku bersos kari hijau serta sari buah delima dan salad segar. Izyan juga menyediakan pencuci mulut yang diberi nama Bulan Merindu iaitu kek kukus coklat bersama crumble dan strawberi serai yang dihidang bersama gramita tembikai berpudina. IZYAN diapit Muhd. Fazrul Nizam (kanan) dan Yeong Hong sebaik berakhirnya episod Finale MasterChef yang berlangsung pada hujung minggu lalu. Dalam edisi peringkat akhir itu, tiga peserta berhadapan dengan cabaran untuk menyediakan satu hidangan utama dan satu hidangan pemanis mulut. Lebih mencabar lagi, tempoh tiga jam diberikan bagi menyiapkan kesemua hidangan untuk dinilai oleh 15 juri profesional termasuk juri tetap iaitu Chef Joe, Chef Adu dan Chef Zubir. Menurut Izyan, menu yang dihasilkan pada peringkat akhir itu merupakan hasil gabungan ilmu dan tunjuk ajar yang dikutip sepanjang dia berada dalam program tersebut. Ketika ditanya mengenai perancangannya pada masa depan, Izyan memberitahu dia mahu memiliki restoran sendiri yang mengetengahkan masakan Malaysia. "Saya juga bercita-cita untuk mencipta food trend iaitu makanan yang saya cipta sendiri. "Justeru apabila orang lain makan, mereka akan tahu makanan itu saya yang cipta," ujarnya yang pernah bekerja di pelantar minyak. Sementara itu, Pengurus Saluran Asto Ria, Raqim Ahmad melahirkan rasa syukurnya dengan sambutan dan sokongan yang diberikan penonton sepanjang program tersebut berlangsung. "Dengan berakhirnya MasterChef Malaysia musim kedua, terbukti Astro mampu melahirkan seorang lagi juara yang akan menyinari industri kulinari tanah air bahkan ke persada dunia," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |