Adsense

Rabu, 5 Disember 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Along, Yana tutur bahasa Jepun

Posted: 04 Dec 2012 05:58 AM PST

BERTUTUR dalam bahasa Jepun pada waktu yang singkat mungkin perkara sukar dilakukan, namun atas dasar tanggungjawab, Yana Samsudin berjaya melaksanakannya seperti yang diminta pengarah.

Malah sesi pembelajarannya lebih mudah apabila guru bahasa Jepun turut disediakan demi menjayakan watak Ichigo Yamada di dalam filem terbarunya, Strawberi Cinta yang bakal menemui penonton di pawagam mulai esok.

Untuk kali kedua, Yana digandingkan bersama Pierre Andre selepas disatukan dalam filem 3 Temu Janji juga terbitan Metrowealth Pictures (MIG).

Berkongsi perasaan digandingkan bersama lelaki yang pernah menjadi kekasih hati sedikit masa lalu, Yana berkata, tiada rasa kekok antara dia dan Pierre disebabkan masing-masing profesional ketika bekerja.


Perpisahan yang berlaku secara baik juga membuatkan perhubungan mereka terjalin baik sehingga kini di samping memudahkan segala urusan kerja membabitkan mereka berdua.


"Tiada masalah pada saya dan Pierre dalam mencari keserasian ketika menjalani penggambaran filem ini, masing-masing profesional dan bijak menyesuaikan diri, malah kami senang bekerjasama," kata Yana.

Tambah Yana, walaupun kerap kali filem lakonannya muncul di layar perak, ia bukan bermakna Yana sapu bersih setiap tawaran yang diberikan sebaliknya dia sentiasa meneliti watak yang diberikan supaya tidak sama dengan wataknya di dalam filem lain.

"Saya tertarik dengan skrip filem ini. Diberi peluang menjadi gadis Jepun, ia satu cabaran untuk saya menguasai bahasa ini tambahan pula saya kerap terdedah dengan filem-filem Jepun membuatkan saya senang untuk mendalaminya.

"Mungkin orang lain akan menolak atau susah hati apabila ditawarkan watak gadis yang perlu sentiasa bertutur bahasa Jepun, namun tidak bagi saya kerana inilah peluang untuk saya mencuba satu lagi watak baru yang jarang dilakonkan pelakon di Malaysia.

"Lebih menarik lagi, bukan sekadar pertuturan, saya juga perlu bergaya seperti gadis Jepun. Justeru gaya Lolita diwujudkan di dalam watak Ichigo yang turut mendapat idea saya di samping karakter diri yang menurut pengarah melihat saya sesuai dengan watak itu," katanya.

Bukan saja Yana, watak Along Eyzendy sebagai Naru Hudo juga memerlukan lelaki hitam manis ini banyak bertutur di dalam bahasa Jepun. Namun berbeza dengan Yana, Along mempunyai kesukaran menguasai bahasa berkenaan disebabkan tidak biasa dan kurang terdedah.

"Pada awal mendapat skrip memang agak terkejut apabila saya diminta bertutur dalam dialog bahasa Jepun, memang sukar tetapi guru bahasa yang dibekalkan membuatkan saya berjaya menguasai bahasa itu.

"Pernah juga saya ketawa sendiri dan berkata dalam hati, kulit hitam macam saya bolehkah cakap dan jadi orang Jepun. Memang satu pengalaman kelakar tetapi dalam masa sama memberi peluang baru untuk saya meluaskan lagi bidang lakonan.

"Walaupun ada kala kurang yakin setiap kali melontarkan ayat Jepun, saya tidak pernah berasa tertekan kerana pengarah dan kru lain banyak memberi sokongan moral," kata Along.

Jika dilihat pada tajuk filem, ramai tidak menyangka ini adalah buah tangan terbaru MIG yang memberi kelainan pada jalan cerita mengisahkan seorang gadis Jepun yang datang ke Malaysia.

Bergenre romantik, filem arahan Mohd Rusli Khadri ini turut membariskan pelakon lain seperti Diana Amir, Fifi Natasya, Gbob Raja Lawak, Siti Aziz, Dian P Ramlee dan Liza Abdullah.

Teruja dengan watak dan jalan cerita, Yana dan Along juga berfikiran sama apabila melihat tajuk filem dengan kisah yang dipaparkan seperti tiada kaitan.

"Saya sendiri pada mulanya keliru selepas melihat skrip hairan apakah kaitan tajuk dengan filem, namun jika dilihat semula tajuk filem ini diambil sempena dengan pusat pelancongan yang digunakan Ichigo sepanjang berada di Malaysia.

"Strawberry Vanilla Travel & Tours yang diterajui oleh Hakimie lakonan Pierre adalah permulaan di mana Ichigo memulakan misinya mencari seseorang di Malaysia.

"Walaupun jalan cerita yang ringan, saya tertarik kerana memperoleh pengalaman baru dapat belajar bahasa Jepun dan berjaya mencipta identiti Ichigo tanpa meniru mana-mana gaya pelakon Jepun," kata Yana yang bakal sibuk promosi dua filem lakonannya pada Januari depan iaitu Minyak Dagu dan Wawa Semput.

Sementara itu, Along pula mengakui kini dia lebih banyak ditawarkan berlakon filem berbanding drama. Bukan memilih untuk beraksi di layar perak sebaliknya semua itu datang daripada pihak yang menawarkan.

"Saya tidak pernah meletakkan diri untuk berlakon filem semata-semata, sebagai pelakon saya berharap dapat berlakon kedua-duanya, namun sehingga ke hari ini saya lihat rezeki berlakon filem lebih berpihak kepada saya.

"Jika sebelum ini drama lakonan saya kerap ditayangkan di Astro sehinggalah saya sibuk dengan filem, saya terasa seperti tiada pihak yang sudi mengambil saya untuk berlakon di stesen televisyen lain.

"Pernah juga tertanya apakah sebenarnya yang terjadi tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya dan lebih baik fokus saja terhadap filem lakonan saya yang baru selesai menjalani penggambaran Lagenda Budak Hostel dan Bro Nampak Motor Gua," katanya yang menghasilkan sendiri skrip filem Lagenda Budak Hostel.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04



Kumpul RM20,000

Posted: 04 Dec 2012 05:17 AM PST

"SAYA ucapkan terima kasih dan memuji produksi ini. Walaupun ia satu acara hiburan, namun tidak lupa untuk beramal dan meringankan penderitaan masyarakat di Gaza," ujar mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang ditemui di Istana Budaya pada malam terakhir pementasan Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan, kelmarin, hadir bersama isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Kehadiran mereka, bagi memenuhi undangan penerbit pementasan itu, Datin Paduka Umie Aida dan suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, yang menyerahkan sumbangan RM20,000 untuk disalurkan ke tabung 'Save For Gaza'.

Umie, menerusi kenyataan sebaik usai pementasan berkata, pada hari ketiga 're-run' pementasan teater itu, pihaknya melancarkan malam amal 'Save For Gaza'.


"Saya harus mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada penonton kerana sumbangan RM20,000 itu adalah hasil daripada keikhlasan mereka termasuk sebahagiannya adalah daripada penjualan tiket Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan.


"Saya terpanggil untuk memperkenalkan malam amal itu, ketika sedang saya membelek akhbar dan terbaca kisah penderitaan masyarakat Gaza di mana foto-foto yang dilampirkan sungguh menyayat hati.

"Sebelum ini saya bukan tidak mengetahui isu berkenaan tetapi kerana sibuk berlakon dan teater, saya terlepas pandang banyak perkembangan isu di Gaza.
Artikel itu menyentuh perasaan saya dan membuatkan saya nekad untuk mengadakan malam amal pementasan Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan.

"Menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik lebih-lebih lagi membabitkan keganasan yang berlaku terhadap wanita serta kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya.

Sepanjang pementasan Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan blok pertama dan kedua yang bermula 9 hingga 19 November diikuti 28 November hingga 3 Disember lalu, 'Save For Gaza' bukanlah sumbangan amal pertama dilakukan produksi berkenaan. Sebaliknya sebelum ini, sumbangan turut di berikan kepada Yayasan Tun Siti Hasmah.

Pada temubual itu, Umie memaklumkan, dia sedang berbincang dengan Tun Dr Mahathir untuk terbabit dalam Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF).

"Saya menawarkan diri untuk terbabit dalam yayasan itu bagi membolehkan saya ke Gaza, melihat sendiri keadaan yang berlaku di sana.

"Saya tahu saya tidak boleh memainkan peranan seorang doktor untuk membantu mangsa kerana saya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu. Tetapi saya sudah cukup bersyukur sekiranya dapat menjadi pembantu kepada doktor atau sesiapa saja yang berpengalaman dalam bidang bantuan kemanusiaan seperti ini.

"Saya mahu menimba pengalaman sendiri kerana pengalaman tidak boleh dijual beli. Pengalaman itu, mana tahu boleh saya kongsikan bersama rakyat di negara ini. Dulu sewaktu penggambaran Qaisy & Laila di Kandahar, Afghanistan, meskipun kawasan penggambaran kami di zon selamat namun kami boleh mendengar apa yang berlaku di sempadan.

"Malam-malam dengar bunyi bom dan semua orang tidak boleh berada dalam keadaan selesa. Biar tidak nampak kekejaman yang berlaku depan mata, namun itu sudah cukup menginsafkan. Kali ini saya mahu melihat sendiri senario sebenar di Gaza,
"Saya pasti 60 peratus suami saya tidak akan memberi keizinan namun saya harus memanfaatkan 40 peratus lagi secara bijaksana supaya saya dapat merealisasikan impian saya untuk ke Gaza," katanya.

Beralih fokus kepada pementasan blok kedua pementasan Teater Tun Siti Hasmah - 'Dari Hati Seorang Perempuan', terdapat beberapa babak dirombak, antaranya babak Siti Hasmah mengunjungi Iraq.

Difahamkan, babak itu diperbetulkan situasinya atas permintaan Dr Mahathir sendiri yang memberi komen sewaktu hadir menyaksikan malam penutup pementasan blok pertama pada 19 November lalu.

"Erma Fatima sebagai pengarah teater ini mempunyai imaginasi sendiri. Apabila babak Siti Hasmah mengunjungi Iraq untuk memberi bantuan dimasukkan, Erma membayangkan keadaan Iraq sedang dalam perang.

"Justeru, Dr Mahathir memaklumkan supaya babak itu diperbetulkan kerana saat beliau meminta Siti Hasmah ke Iraq, keadaan masa itu sudah reda dan disebabkan itu dia membenarkan isterinya ke sana untuk menghulurkan bantuan.

"Dr Mahathir tidak mahu penonton salah faham apabila meminta isterinya ke Iraq dalam keadaan perang. Sebagai penerbit kami menghormati permintaan Tun dan berterima kasih kerana beliau sentiasa memberikan input terbaik untuk pementasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04