Kosmo Online - Hiburan |
- Pecah panggung, pecah rekod
- Tolak label artis bermasalah
- Saya tidak suntik, bedah hidung - Lydiawati
Posted: Pecah panggung, pecah rekod"NAMA saya Bond, James Bond!" Itu merupakan dialog yang cukup sinonim dengan watak perisik British yang cukup dikenali dengan nombor kod 007 dan mula diperkenalkan kepada penonton di layar perak pada 5 Oktober, 1962 menerusi siri filem sulungnya berjudul, Dr. No. Watak James Bond yang pertama itu dilakonkan oleh aktor Sean Connery. Sejak itu sehingga tahun lepas, sejumlah 22 buah filem James Bond muncul membina francais dengan keuntungan keseluruhan terkumpul hasil kutipan tiket tayangan di pawagam yang cukup hebat - mencecah AS$5 bilion (RM15.5 bilion). Meneruskan legasi filem-filem James Bond yang muncul sebelumnya, tayangan perdana Skyfall diadakan pada 26 Oktober tahun ini di Eropah sebelum ia menjengah pawagam di lebih 20 buah negara termasuk Malaysia. Ia bagaimanapun hanya mula ditayangkan di Amerika Utara (menerusi rangkaian pawagam meliputi Amerika Syarikat dan Kanada) pada Jumaat, 9 November lalu dengan hasil kutipan selama tiga hari sepanjang hujung minggu lalu iaitu sehingga Ahad, 11 November mencecah AS$88.4 juta (RM266 juta). Kutipan itu bukan sahaja meletakkan Skyfall sebagai juara carta Top 10 Filem Pecah Panggung Amerika Syarikat tetapi juga memecah rekod sebagai filem James Bond dengan kutipan minggu pembukaan tertinggi berbanding 22 filem James Bond yang muncul sebelum ini. Sehubungan itu, menurut studio penerbitan Skyfall, Sony Pictures, kutipan terkumpul filem itu di seluruh dunia sejak mula ditayangkan pada 26 Oktober lalu kini terkumpul mencecah RM1.56 bilion - suatu pencapaian yang amat memberangsangkan berbanding kos pembikinannya yang cuma RM602 juta. Apa yang pasti, sejak pertama kali filem ini ditayangkan, yang menjadi tumpuan impak kejayaan Skyfall sudah tentu Daniel Craig selaku wajah dan aura utama Bond. Craig, 44, sememangnya mantap sebagai Bond. Sementelah dia bikin gempar apabila pertama kali muncul sebagai Bond menerusi Casino Royale (2006) dengan mendedahkan tubuh sasanya dalam satu adegan dia muncul dari dalam laut. Kelangsungan Craig untuk watak Bond diteruskan menerusi Quantum Of Solace (2008). Namun tutur Craig, setelah tiga kali memegang watak sebagai Bond, kini tiba masanya untuk mengundur diri dan katanya, Skyfall bakal menjadi filem terakhir Bond lakonannya. Semasa ditemu ramah dalam program temu bual The Tonight Show with Jay Leno, Craig pernah menyatakan tentang keputusannya untuk bersara daripada dunia Bond. "Saya pernah mencuba untuk keluar daripada dunia Bond sejak dari mula pembabitan saya menjadi perisik rahsia British ini. "Mereka bagaimanapun tidak benarkan saya pergi dan saya pula telah bersetuju untuk terlibat dalam beberapa sekuel lagi, mungkin dua. Tengok nanti sejauh mana perkara ini akan berlanjutan," jelasnya. KEUNGGULAN Bond yang dihidupkan Daniel Craig juga hasil aura fizikal tubuh sasanya. Siri ke-24 Ujar Craig lagi, dia sendiri berasa bangga dan bertuah menjadi Bond. Setelah mendapat skrip Skyfall, dia seolah-olah telah bersedia untuk melakukannya lagi untuk sekuel Bond yang ke-24 dan seterusnya. Dia menegaskan watak Bond lakonannya kali ini dalam Skyfall banyak bermain dengan emosi dan tidak dinafikan tenaga fizikal yang banyak perlu digunakan. Sebagai latihan fizikal, Craig telah menjalani beberapa latihan seni mempertahankan diri. Pada babak awal Skyfall, Bond digambarkan sebagai jatuh dari jambatan dan perlu berada di dalam air untuk beberapa ketika. Bagaimanapun, walaupun ketika penggambaran babak dalam air, jurulatih skuba menyatakan Craig kelihatan seronok melakukannya. Craig bagaimanapun mengakui dia tidak berapa menggemari adegan berlari yang perlu dilakukannya. "Saya perlu banyak berlari dalam filem ini, yang mana sememangnya saya tidak suka untuk melakukannya. Bond pada kebiasaannya akan berlari apabila memasuki sebuah bilik atau sebagainya," tuturnya. Dalam pada itu, penerbit filem-filem Bond, Barbara Broccoli sememangnya mahu Bond sentiasa dalam keadaan basah. Katanya, Bond dan elemen air tidak boleh dipisahkan. "Itu (dibasahi air) merupakan perkara yang pasti yang akan dilakukan oleh Craig sebagai Bond," ujarnya. Bagi Craig pula, watak Bond kali ini sangat berbeza berbanding Bond 50 tahun sebelumnya. "Ini kerana kali ini Bond perlu mengalami kesakitan yang agak ekstrem. Dia juga turut berhadapan dengan persoalan tentang karier dan yang dipilihnya dan skilnya sebagai sebagai perisik rahsia," jelasnya. Pilih Rihanna Selain Bond, daya tarikan filem ini sudah tentu karakter gadis Bond yang akan tampil silih berganti dalam setiap sekuelnya. Kali ini, dalam Skyfall, Naomie Harris dan Bérénice Marlohe diberi kepercayaan memegang watak tersebut. Bagi Craig sendiri, semasa ditemu ramah oleh Global Grind, dia menyuarakan pendapatnya tentang gadis Bond pilihan yang mungkin akan bergandingan dengannya pada sekuel akan datang. Pilihannya tidak lain dan tidak bukan, figura seksi dan sensasi Rihanna. "Saya rasa Rihanna lebih sesuai menjadi gadis Bond pada sekuel hadapan kelak. Ini kerana saya percaya Rihanna akan berjaya membawa watak wanita tersebut berbanding Beyonce. Mungkin bagi saya, memandangkan karakter dan rupa Rihanna yang lebih 'nakal' berbanding Beyonce," tegas Craig tentang pilihannya antara Rihanna dan Beyonce sebagai calon gadis Bond pada masa hadapan. Mengenai filem James Bond yang ke-24, ia dikatakan bakal muncul lagi dengan misi yang lebih mencabar dalam masa dua tahun lagi. Biarpun sebelum ini dia mengatakan Skyfall merupakan filem Bond terakhir lakonannya, namun Craig dikatakan telah termakan pujukan penerbit. Maka, peminat setianya bakal menyaksikan semula aksi aktor sasa itu dalam naskhah Bond ke-24 yang dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun 2014 kelak. Ini kerana menurut penerbit bersama filem James Bond, Barbara Broccoli dan Michael G. Wilson, wajah Craig masih lagi diperlukan untuk menyambung legasi watak perisik 007 itu. Ia disebabkan impak keterampilan dan aura perwatakannya yang amat sesuai selain sambutan memberangsangkan terhadap filem-filem lakonannya sebagai Bond. | ||
Posted: Tolak label artis bermasalahOleh KHAIRUL AMRI HASSAN EMI SUFFIAN (lima dari kiri) bersama barisan pelakon drama bersiri arahannya, Cinta Itu Milikku. MENYUSULI perjalanan tragis kisah Julia menerusi drama rantaian menerusi slot Akasia TV3, buah tangan terbaharu arahan Emi Suffian Sabhe, Cinta Itu Milikku mengisi ruang waktu pukul 7 malam setiap hari Isnin hingga Khamis. Drama yang telah mula disiarkan di kaca televisyen sejak 12 November lalu itu membariskan bintang-bintang baharu tempatan Emma Maembong, Fazreen Rafi, Erry Putra, Ana Dahlia dan Karl Shafek sebagai teraju utama. Selaku pengarah drama 24 episod, cabaran utama selain menggalas tanggungjawab rating slot Akasia yang sentiasa mendapat jumlah penonton paling tinggi, dia mengakui berdepan cabaran daripada segi kreativiti lokasi. "Drama ini banyak tertumpu di latar tempat yang sama dalam banyak plot iaitu di sebuah kediaman mewah dan faktor itu yang sebenarnya banyak menguji keupayaan kami mencari sudut pandangan berbeza agar tidak membosankan. "Sampai ada satu tahap kami turut membuat penggambaran di dalam tandas untuk beberapa babak," ujar Emi Suffian yang ditemui ketika sesi ramah mesra drama Cinta Itu Milikku di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Cinta Itu Milikku mengisahkan Rania (Emma Maembong) iaitu anak kedua daripada tiga beradik yang bercinta dengan Zafril (Fazreen Rafi) namun, hubungan itu tidak direstui oleh belas tunang Zafril iaitu Dini (Ana Dahlia) kerana beranggapan Rania telah merampas haknya. Dini mula menyimpan dendam sehingga sanggup berkahwin dengan Ridzuan (Karl Shafek) iaitu adik kepada Zafril semata-mata untuk mendekati keluarga itu. Malang tidak diduga apabila Zafril terkorban dalam nahas kapal terbang dan hal itu menyebabkan Rania berkahwin dengan doktor peribadi keluarganya, Doktor Shafiq (Erry Putra). Jalan cerita menjadi lebih kompleks apabila Zafril sebenarnya masih hidup. Berkongsi pengalaman berlakon bersama beberapa nama besar industri antaranya Datuk Aziz Singah, Liza Abdullah, Mustapha Kamal dan Ridzuan Hashim, pelakon muda Emma Maembong meletakkan harapan tinggi terhadap drama pertama yang menampilkan dirinya untuk watak utama itu. "Takut, gemuruh dan teruja semua bercampur-baur sekarang. Saya menantikan reaksi penonton menerusi lakonan saya sebagai watak utama iaitu Rania. "Saya masih mencuba untuk melakukan yang terbaik dan pastinya penonton akan meletakkan harapan tinggi terhadap slot Akasia ini," ujarnya. Bagaimanapun, Emma yang baru-baru ini dilanda beberapa kontroversi antaranya masalah disiplin dan gambar-gambar sosial bersama teman lelakinya menjelaskan dia enggan dilabelkan sebagai seorang pelakon bermasalah apatah lagi mencipta perhatian menerusi kontroversi murahan. "Saya tidak mahu naik disebabkan kontroversi yang memalukan atau boleh menjatuhkan maruah saya dan keluarga. Saya akui terdapat khilaf dalam hidup saya sebelum bergelar pelakon tapi biarlah perkara itu tidak dibincangkan lagi sampai sekarang. "Namun, saya anggap itu semua cabaran untuk menjadi survival dalam industri ini. Masing-masing akan cuba melepaskan diri sendiri dan saya mengambil itu semua sebagai pengalaman baharu," katanya yang berjanji untuk menjaga diri, sikap dan tutur kata sebagai artis baharu. Emma dalam perkembangan lain akan memulakan penggambaran sebuah filem arahan Ahmad Idham yang masih belum dimaklumkan judulnya tidak lama lagi. Cinta Itu Milikku yang diterbitkan oleh Orangetree Production itu kini ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3. | ||
Saya tidak suntik, bedah hidung - Lydiawati Posted: Saya tidak suntik, bedah hidung - LydiawatiOleh HARYATI KARIM
PELAKON Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon, cukup popular sekitar tahun 1990-an. Kini, pada usia 46 tahun, figura yang pernah membintangi filem Suami, Isteri dan ... itu masih kekal cantik meskipun memiliki jadual kerja yang padat. Mungkin kerana kecantikan aslinya, ibu tunggal kepada dua orang anak itu telah dilantik menjadi duta produk Zmasha selama setahun. Kata Lydiawati yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini, meskipun sudah berusia, kecantikan amat penting baginya. Tambahan, kerjayanya sebagai pelakon menuntut dirinya untuk kelihatan cantik sepanjang masa. Bagaimanapun, tegas Lydiawati dia rimas apabila ada pihak mendakwa dia melakukan pembedahan hidung dan melakukan suntikan untuk kekal cantik. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Lidiawati bagi mengupas persoalan tersebut. Kosmo!: Apakah rahsia kecantikan Lydiawati sehingga hari ini? LYDIAWATI: Saya mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil multivitamin untuk mengekalkan tahap kesihatan. Begitu juga dengan kecantikan, saya percaya kecantikan bermula daripada dalam sebab itu saya suka mengambil ulam-ulaman dan jamu. Tidak pernah mencuba sebarang alternatif lain seperti suntikan kecantikan? Mungkin orang tidak percaya, tetapi saya tidak pernah langsung suntik wajah saya dengan botox atau sebarang vitamin kecantikan. Kalau suntik botox, kesannya memang cepat secara luaran tetapi tidak elok untuk kesihatan dalaman. Rasanya suntik botox bukannya lagi cantik. Maknanya anda menolak seratus peratus secara cepat untuk cantik? Ya. Bagi saya untuk kekal cantik tidak ada jalan yang singkat sebaliknya mengambil masa yang lama. Saya lebih percaya kepada penggunaan produk tradisional seperti jamu dan vitamin yang boleh dimakan. Dahulu, saya sendiri pernah mengambil berpuluh-puluh pil kesihatan sehari tetapi sekarang jumlah itu sudah berkurangan. Bahagian mana pada wajah anda selalu menarik perhatian orang? Rasanya hidung saya. Sebab ramai yang menyangka saya melakukan pembedahan untuk memancungkan hidung. Ada yang bertanya, di mana saya membuat pembedahan hidung? Sebenarnya, ini hidung saya yang asli. Mungkin kerana bentuk tulangnya yang sedikit tinggi sekali tengok seperti hidung yang dibuat, tetapi apabila mereka sentuh, memang mereka akui hidung saya asli. Bagaimanakah perasaan anda apabila dikatakan melakukan pembedahan hidung? Kelakar pun ada sebab saya memang takut nak suntik wajah, inikan pula bedah hidung. Saya bersyukur dengan wajah yang dikurniakan Allah dan menjaganya sebaik mungkin. Tidak perlu untuk saya ubahnya menjadi lebih cantik. Selepas tiga tahun bergelar janda dan dua kali gagal dalam perkahwinan, adakah anda ingin berkahwin lagi? Siapa yang tidak mahu kahwin. Saya tidak serik untuk berkahwin. Ada juga lelaki yang ingin rapat, tetapi saya memilih untuk menjalani kehidupan dengan dua orang anak saya. Lebih selesa apabila saya tidak terikat dengan sesiapa. Jadual harian saya sangat sibuk, jika berkahwin saya bimbang tidak boleh memberi komitmen kepada rumah tangga. Sejak kebelakangan ini begitu ramai pelakon baharu yang muncul, adakah kemunculan mereka menjejaskan tawaran lakonan anda? Tidak sama sekali. Alhamdulillah, jadual kerja saya sudah penuh sampai bulan April tahun hadapan dengan penggambaran drama. Pelakon yang boleh membawa watak ibu dan wanita pertengahan usia tidak ramai di Malaysia, jadi saya tidak terjejas. Ada kalanya saya terpaksa menolak tawaran kerana saya hanya berlakon satu drama dalam satu masa supaya tidak menyusahkan orang lain dan diri saya sendiri. Terbaharu, saya bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Rindu Bertamu di Abu Dhabi untuk TV3. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |