Adsense

Jumaat, 16 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kemenangan satu bonus

Posted:

Kemenangan satu bonus

Kemenangan satu bonus

ADA sebab Kosmo! menggabungkan tiga figura bersuara hebat iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Hazama. Ketiga-tiga mereka merupakan antara calon 'panas' majlis Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) yang bakal berlangsung pada Sabtu, 24 November ini.

Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 34, telah berjaya menerima lima pencalonan, malah Jaclyn juga mewakili dua daripada tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Lagu Pop Etnik Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.

Sebaliknya bagi Hazama dan Shila Amzah pencalonan mereka dalam AIM kali ini adalah buat julung-julung kalinya. Hazama pertama kali dicalonkan dalam Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) manakala Shila pula buat pertama kalinya lagu ciptaannya iaitu Patah Seribu dicalonkan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Pop Terbaik.

Jaclyn harap pada vokal

Ini bukan pertama kali Jaclyn atau Jac menerima pencalonan yang banyak dalam AIM.

Menerusi album pertamanya Gemilang, Jac pernah menerima tujuh pencalonan dalam AIM ke-13. Begitupun, Jac mengakui masih berasa terkejut dengan lima pencalonan yang diterimanya dalam AIM19.

"Saya sebenarnya terkejut dengan lima pencalonan yang diterima sebabnya masa pengumuman pencalonan tersebut saya tidak dapat hadir kerana terikat dengan rakaman lagu. Saya hanya tahu selepas beberapa rakan menghubungi dan mengucap tahniah," ujarnya yang bersyukur dengan pencalonan tersebut.

Tidak meletakkan harapan untuk menang, walau bagaimanapun, jelas Jac, sebagai seorang penyanyi yang bukan mencipta lagu sendiri dia berharap dapat memenangi untuk kategori vokal.

Jika tidak menang sekalipun, akui Jac, dia tetap berasa bersyukur kerana tercalon dalam AIM. Lontarnya, bukan mudah untuk memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) kerana calon-calon yang ada semuanya hebat.

Tidak mahu memilih siapa gerangan saingannya yang terdekat, tutur Jac, jika menang itu satu bonus buat dirinya.

Ditebak soalan bagaimana jika dia berdepan dengan situasi Yuna yang terpaksa menyerahkan trofi Lagu Terbaik kepada Anuar Zain jika dia menang AIM19.

Ujar Jac, bukan pada dirinya sahaja, dia juga berharap perkara itu tidak berlaku kepada setiap pencalon yang bakal menang pada malam AIM19 nanti.

Ditanya bagaimana pelantun lagu Jagalah Diri itu terus bertahan dalam industri muzik, ungkap Jac, selama lapan tahun dalam industri apa yang penting adalah fokus.

"Apa yang penting adalah kita kena fokus dalam apa jua yang dilakukan. Walaupun album saya tidak keluar setiap tahun, saya akan pastikan ada projek yang akan dilakukan sama ada filem, muzikal atau kolaborasi bersama artis," ujarnya yang pernah membintangi filem Talentime.

Berkongsi pengalaman pahit dan manis sepanjang bergelar anak seni, cerita Jac, pengalaman paling manis pernah dikecapi olehnya adalah ketika dia memenangi pertandingan Malaysian Idol musim pertama pada tahun 2004.

Jac juga menganggap penerimaan peminat terhadap dirinya sebagai seorang penyanyi sehingga kini adalah satu pengalaman manis dalam hidupnya.

"Selama lapan tahun saya berada dalam industri, ada peminat yang sentiasa bersama saya. Mereka bukan sekadar minat tetapi mengambil berat mengenai saya dan mereka juga sudah jadi seperti sahabat," jelasnya.

Hazama ingin jadi seperti M.Nasir

Buat pertama kali Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 27, tercalon untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dalam AIM.

Tidak hanya pada vokal, pelantun lagu Simetri itu juga tercalon untuk kategori Lagu Rock Terbaik dalam AIM19.

Tercalon untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) bersama Azlan & The Typewriter, Faizal Tahir, Jamal Abdillah dan Stephen Rahman Hughes, Hazama mengakui segan dan menganggap pencalonannya bersama empat nama besar itu sudah menjadi satu kemenangan buat dirinya.

"Tidak menangpun tak apa. Tercalon dengan penyanyi-penyanyi yang hebat itu sudah menjadi satu kemenangan buat saya. Tetapi, kalau ditakdirkan saya menang itu satu bonus," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Ceritanya, selama enam tahun berada dalam industri baharu kali ini dirinya berasa dihargai.

Dedahnya lagi, sikap sentiasa sabar dan mengutamakan keluarga mungkin menjadi kunci laluan kerjayanya dalam bidang nyanyian semakin sukses.

"Sabar dan keluarga adalah penguat saya untuk terus survival dalam industri. Saya juga tidak menolak pintu rezeki saya terbuka selepas memenangi Akademi Fantasia ke-9," luahnya.

Tidak pernah mensia-siakan peluang yang diberi kepadanya, ujar Hazama, biarpun peluang yang diberi itu (persembahan nyanyian) tidak seberapa, dia tetap akan menerimanya.

Selain faktor peluang, sabar dan keluarga, jelas Hazama, dia juga sentiasa menepati masa dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam persembahan dan melalui pendiriannya itu menjadi kunci survivalnya dalam bidang seni suara.

Ditanya mengenai sasarannya dalam bidang seni, tutur Hazama, dia mahu menjadi seperti Datuk M. Nasir.

"Saya harap satu hari nanti saya jadi legenda. Orang sentiasa hargai dan tidak melupakan saya. Saya harap jadi seperti M. Nasir," ujarnya lagi.

Shila rasa bertuah

Menerima dua pencalonan iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Patah Seribu, ungkap Shila, kalah atau menang bukan perkara utama kerana baginya tercalon dalam lima finalis akhir bersama dengan nama-nama besar dalam AIM19 merupakan satu pengikhtirafan dan bertuah kepadanya.

"Setiap kali tercalon dalam mana-mana anugerah, saya tidak pernah meletakkan harapan untuk menang. Bagi saya menang atau kalah adalah perkara kedua. Kalau menang, saya anggap ia sebagai bonus.

"Semua calon Top 5 hebat-hebat belaka, malah saya akui, pernah mengasah vokal menyanyikan lagu-lagu Datuk Siti Nurhaliza dan Nora. Saya tidak kisah kalau tidak menangpun," jelasnya.

Ditebak soalan, adakah kemenangannya di pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China, bakal menjadi laluan mudah untuk dia menang dalam AIM19, luah Shila, dia tidak dapat menjangkakan perkara itu kerana calon-calon semuanya hebat dan ada kelebihan untuk menang.

Ditanya bagaimana dia bertahan dalam industri, ujar Shila, dia percaya pada takdir dan tidak pernah berputus asa.

"Saya percaya pada takdir. Dia lebih tahu. Rezeki tidak berpihak pada saya pada waktu awal," jelasnya.

APM2012 jadi platform bakat baharu

Posted:

APM2012 jadi platform bakat baharu

APM2012 jadi platform bakat baharu

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


SEBAHAGIAN daripada artis yang tercalon dalam Anugerah Planet Muzik 2012.


SEJAK 10 tahun yang lalu, Anugerah Planet Muzik (APM) sememangnya menjadi medan pertembungan bakat muzik antara tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia. Sebagaimana majlis anugerah yang lain, tujuan APM juga adalah untuk memberi pengiktirafan kepada para penggiat muzik.

Kini, APM bakal menggegarkan semula arena muzik tiga negara ini di mana penonton dapat menyaksikan persembahan dan penyampaian secara langsung yang akan disiarkan secara eksklusif oleh stesen televisyen satelit Malaysia di saluran Astro Ria (saluran 104).

"Sebagai penyiar rasmi APM2012, kami telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan aspirasi, visi dan sasaran pihak penganjur mempromosi acara berprestij ini ke tahap yang lebih tinggi melalui wadah Astro.

"Ini untuk memastikan acara yang dinanti-nantikan ini mendapat tontonan yang meluas. Astro juga sangat berbesar hati kerana diamanahkan menjadi penyiar rasmi dan kami hargai tanggungjawab yang diberikan kepada kami ini," ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani pada sidang akhbar APM2012 yang bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur.

APM kali ini dianjurkan oleh stesen radio Melayu MediaCorp Singapura iaitu Ria 89.7FM dan Warna 94.2FM dan bakal diadakan di MAX Pavilion, Singapore Expo pada hari Sabtu, 15 Disember ini pukul 8.30 malam.

Setelah 10 tahun mempertandingkan kategori yang sama, buat julung-julung kalinya, APM 2012 bakal memperkenalkan beberapa kategori baharu seperti Anugerah Hits Radio, Anugerah Ikon Media Baru serta Anugerah Nova Media Baru.

Antara yang menarik perhatian ialah Anugerah Nova Media Baru. Ini kerana calon yang dipilih bukan bergelar penyanyi profesional dan antara syaratnya ialah mereka tidak boleh terikat di bawah mana-mana label produksi mahupun syarikat muzik.

"Dengan kemudahan muat naik video secara online, kita tidak dapat menjangka siapakah bintang baharu yang akan bersinar dan oleh kerana itu, kami memperkenalkan Anugerah Nova Media Baru yang mengiktiraf kemunculan bakat baharu paling popular menerusi online.

"Bagi Anugerah Ikon Media Baru pula, pengiktirafan diberi kepada artis yang mempunyai ramai pengikut di dunia siber," tutur Naib Presiden Ehwal Rancangan Melayu, India & Ekspatriat, Radio, MediaCorp Pte. Ltd., Zakiah Halim.

Bagi kategori Nova Media Baru, antara 12 calon yang bertanding, empat daripadanya dari Malaysia iaitu Abdul Hamim Suleiman, Abdul Muttaleeb, Mohd Fairuz Selamat serta Muhammad Samsudian.

Bagi Hamim, Muttaleeb dan Fairuz, keterujaan jelas terserlah pada wajah mereka ketika melihat nama tercalon dalam kategori yang pertama kali dipertandingkan itu.

"Tidak sangka video saya terpilih dan setelah mengetahuinya, saya berasa sangat teruja dan gembira. Saya mula memuatnaik video nyanyian saya sejak tahun 2007 lagi. Ini kerana APM merupakan sebuah anugerah yang berprestij serta ia terbuka kepada tiga negara.

"Menjadi salah seorang daripada calon pun telah membuatkan saya bersyukur. Namun, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang atau sebagainya. Jika menang, itu mungkin rezeki saya. Ini kerana nyanyian memang merupakan minat saya dan banyak juga ujibakat yang saya pernah sertai antaranya ialah Mentor dan Akademi Fantasia 7 (AF7)," tutur Hamim yang memuatnaik lagu Ombak Rindu nyanyiannya untuk ke APM2012.

Jika ingin sebarang butiran lanjut mengenai APM2012, sila layari www.xinmsn.com/warna942 atau www.xinmsn.com/ria897.