Adsense

Jumaat, 16 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bukan lari, tapi sibuk

Posted: 15 Nov 2012 02:02 PM PST

Entah mengapa sejak kebelakangan ini dia sering mengelakkan diri daripada media. Bukan menuduh sembarangan, tetapi setiap kali menghadiri apa juga acara, Hafiz akan pulang awal sebelum sempat wartawan menemubualnya.

Bukan saja tidak mahu bertemu media, malah Hafiz juga sukar menjawab panggilan telefon ataupun membalas SMS dikirimkan kepadanya.

Adakah masalah peribadi yang bertimpa-timpa membuatkan penyanyi dari Sarawak ini keberatan bertemu wartawan? Apakah dia bimbang dihujani soalan yang mungkin dia sendiri tiada jawapan.

Saat diajukan pertanyaan itu kepada pemilik nama Mohd Hafiz Mohd Suip ini, dia hanya tergelak besar. Tegas Hafiz, tiada sebab untuk melarikan diri seperti didakwa.

Cuma, jadual harian yang sangat ketat tidak mengizinkan dia berada lama pada sesebuah acara.

"Mana ada saya nak larikan diri daripada wartawan? Saya balik awal kerana saya ada perkara lain yang harus dilakukan. Jadual saya memang cukup ketat. Sejak Julai hingga Disember, semuanya sudah penuh. Ada ketika, dalam satu hari ada tiga acara perlu saya hadiri.

Memang saya sangat sibuk kebelakangan ini.
"Sebagai selebriti, berdepan dan menjawab soalan media ialah perkara biasa. Percayalah, saya tiada niat untuk mengelak daripada anda semua," jelas Hafiz ketika ditemui selepas pertandingan separuh akhir pertama Muzik-Muzik di Shah Alam.

Terlanjur berada di depan mata, peluang mendapatkan penjelasannya berhubung beberapa cerita seperti kisah cinta barunya dan perkembangan kes saman membabitkannya tidak disia-siakan.

Menepati janji, Hafiz cukup terbuka untuk memperkatakannya. Cuma ada yang harus dibiarkan tanpa jawapan.

"Memang saya sedang berkawan dengan seseorang seperti yang tersebar di internet ketika ini, Tapi biarlah saya seorang saja yang tahu mengenainya. Belum masanya untuk berkongsi dengan sesiapa dan mendedahkan identiti gadis terbabit kerana itulah permintaannya.

"Nak kata serik apabila terlalu terbuka mengenai kisah cinta, mungkin ada juga kebenarannya.

Susah juga bila kita baru nak mula berkawan, tetapi cerita disebarkan seolah-olah kami memang bercinta.

Jadi buat masa ini, saya lebih suka tidak berkongsi mengenainya dengan peminat," ujar jejaka berusia 22 tahun ini.

Ditanya perkembangan kes saman membabitkannya dengan seorang bekas pengurus pentas, Hafiz berkata, dia tidak boleh mengulas lebih lanjut perkara itu kerana ia sudah diserahkan kepada peguam.

"Buat masa ini peguam saya sedang meneliti kes itu. Saya enggan mengulas apa-apa kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kes. Cuma bagi saya, kalau boleh biarlah kes itu diselesaikan di luar mahkamah. Tak perlu dipanjangkan," pinta penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Awan Nano ini.

Kongsi pentas dengan Adira Muncul dengan rambut potongan terbaru pada pertandingan itu, lagu nyanyian Hafiz berjudul Watak hasil ciptaan Aidit Alfian dan AD Samad turut tersenarai antara enam lagu layak ke peringkat seterusnya, sebelum bertanding pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu.

Pemenang vokal terbaik AJL dua kali berturut-turut ini bakal menyanyikan lagu Ombak Rindu bersama bekas kekasihnya, Adira, dalam peringkat saringan kedua, Ahad ini.

"Buat masa ini kami belum berlatih lagi. Tapi latihan amat perlu untuk mendapatkan feel lagu itu. Untuk itu kami kenalah profesional," kata Hafiz.

Wahlberg bintangi Transformers 4

Posted: 15 Nov 2012 01:58 PM PST

Selepas bekerjasama dalam filem Pain and Gain, sutradara Michael Bay sekali lagi mengundang pelakon, Mark Wahlberg, untuk membintangi filem yang ditunggu-tunggu peminat, Transformers 4. Filem aksi ini akan menemui penonton pada 27 Jun 2014.

"Mark pelakon yang hebat. Kami seronok bekerjasama dalam Pain and Gain dan saya bersemangat untuk sekali lagi bekerja dengannya. Aktor yang berkaliber sepertinya ialah pilihan sempurna untuk menghangatkan kembali francais berkenaan dan meneruskan legasi Transformers," kata Bay.

Dia akan mengarahkan filem seterusnya dalam siri Transformers yang akan memulakan penggambaran pada musim bunga nanti. Dihasilkan Paramount Pictures, dengan kerjasama Hasbro, filem itu akan diterbitkan oleh Don Murphy & Tom DeSanto, Lorenzo di Bonaventura dan Ian Bryce, manakala Steven Spielberg, Bay, Brian Goldner dan Mark Vahradian bergelar penerbit eksekutif.

Filem pertama Transformers mencipta pungutan box office pada 2007, dengan pungutan kira-kira RM2.146 bilion di seluruh dunia. Filem kedua, Transformers: Revenge of the Fallen, pula mencatat pungutan lebih RM2.5 bilion. Pada tahun lalu, Transformers: Dark of the Moon mencatat kejayaan lebih besar di seluruh dunia. Dengan kedudukan sebagai filem kelima paling berjaya dari segi pungutan, ia memungut lebih RM3 bilion.

Sehingga kini, francais berkenaan memperoleh hampir RM8 bilion di seluruh dunia.