TERSISA kecewa di hatinya saat terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada menyertai pertandingan peringkat separuh akhir pusingan pertama Muzik-Muzik (MM) ke-27 pada 11 November lalu.
Namun, pada pandangan penerbit album dan komposer terkenal, Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai, itu adalah keputusan paling tepat dan terbaik dalam mengembalikan maruah semua pihak termasuk meredakan kontroversi yang tercetus apabila dua pelakon, Shaheizy Sam dan Yana Shamsudin yang menarik diri daripada menyanyikan lagu ciptaannya, Begini Caranya.
Sebagaimana diketahui umum, Begini Caranya adalah lagu runut bunyi daripada filem Kau Ada Aku Ada terbitan Pensil Pictures Sdn Bhd yang menampilkan Sam dan Yana sebagai penyanyi asalnya. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai yang juga bertindak selaku penulis lirik, mara ke pusingan separuh akhir berdasarkan hasil undian penonton program berkenaan.
Penarikan Sam dan pasangan heroinnya Yana daripada menyertai pertandingan itu menimbulkan pelbagai spekulasi, antaranya pihak Metrowealth (MIG) yang khabarnya tidak memberikan kerjasama terhadap TV3 dengan memberikan pelepasan kepada dua pelakon yang menaungi MIG Talent, syarikat pengurusan artis juga anak syarikat MIG.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan dinafikan produser Mejar David Teo, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi MIG. David menerusi kenyataannya turut menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kekangan sebaliknya keputusan menarik diri dilakukan Sam dan Yana tanpa paksaan.
Apabila isu mengenai penarikan Sam dan Yana diperbesarkan sehingga membabitkan beberapa pihak, Ajai yang pada mulanya terfikir untuk berduet dengan Marsha bagi menggantikan posisi Sam dan Yana, akhirnya membatalkan niat.
"Saya menarik diri, sebab lagu itu menjadi kontroversi dan kualitinya seolah dibayangi kontroversi yang tercetus. Kualiti lagu itu sepatutnya dilihat berdasarkan konsep 'custom made' iaitu pembuatan lagu itu dicipta khas kepada Sam dan Yana.
"Apabila saya menghasilkan sesebuah lagu, saya biasanya akan mengkaji terlebih dulu karektor suara seseorang penyanyi kemudian baru saya lakukan proses pembikinan muzik mengikut 'range' yang betul.
"Pada saya kontroversi yang berlaku, saya tidak salahkan TV3 kerana pihak berkenaan hanya bertindak sebagai penganjur dan anugerah yang mereka anjurkan ini adalah sebuah anugerah berprestij.
"Pada saya dengan ketiadaan penyanyi asal lebih baik saja lagu ini tidak dipertandingkan. Saya tidak salahkan Sam dan Yana kerana faham untuk mendapatkan komitmen mereka, ia harus melalui satu persetujuan dengan pihak MIG Talent," katanya.
Meneruskan perbualannya, Ajai mengakui, pada mulanya terfikir untuk mengundang Marsha sebagai rakan duet di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 27 pada 11 November lalu, sekali gus menggantikan Sam dan Yana yang menarik diri.
"Namun, selepas menilai beberapa perkara antaranya nyanyian saya dan Marsha akan membuatkan lagu itu kedengaran berbeza kerana seperti saya maklumkan tadi ia dibuat khas untuk kedua-dua artis tadi.
"Pada masa sama, timbul pula kontroversi pihak pengurusan Sam dan Yana tidak memberikan kerjasama kepada pihak TV3. Saya melihat kontroversi ini lebih diperkatakan sehingga menjadi besar daripada tujuan penganjuran anugerah itu sendiri.
"Justeru saya fikir lebih baik menarik diri untuk menyelamatkan maruah syarikat rakaman saya, Wake The Baby dan Pensil Pictures Sdn Bhd selaku penerbit lagu ini, TV3 sebagai penganjur, Yana dan Sam termasuk MIG.
"Dengan menarik diri, tiada jawapan menang atau kalah. Lebih baik ia tidak dipertandingkan dan kekal menjadi siulan ramai kerana lagu ini menjadi hit kerana pendengar menyukai persembahan vokal Sam dan Yana," jelasnya dengan panjang lebar.
Pada temu bual yang sama, meminta Ajai mengulas kenyataan David Teo yang menafikan dirinya menghalang pembabitan dua pelakon itu dalam acara Separuh Akhir Muzik Muzik 27.
Kenyataan David itu diperkukuhkan lagi dengan keterangan Sam dalam satu temu bual yang berasingan di mana dia mengakui keputusannya dan Yana tidak dibayangi atau berlakunya desakan oleh pihak pengurusan.
Sam mengakui dirinya tidak begitu selesa untuk bertanding kerana dia bukanlah penyanyi profesional sebaliknya pelakon. Sam turut memaklumkan peluang bertanding itu seharusnya diberikan kepada mereka yang lebih layak.
"Saya ada berjumpa dengan Sam beberapa kali dan sering memujuknya untuk beraksi di Separuh Akhir Muzik Muzik. Sam selalunya memberikan jawapan 'nanti... saya fikir dulu'. Mungkin dia tak selesa kerana merasakan dirinya bukan seorang penyanyi profesional," kata Ajai.
Pun begitu, Ajai ada pandangan sendiri. Jika mereka berdua (Sam dan Yana) tidak boleh menyanyi, sudah tentu daripada awal lagi dia tidak akan bersetuju dengan cadangan pihak produksi Pensil Pictures (penerbit filem Kau Ada Aku Ada) yang meminta Ajai menghasilkan sebuah lagu untuk dinyanyikan Sam dan Yana untuk filem berkenaan.
"Oleh kerana saya nampak kedua-duanya boleh menyanyi dan ada kemampuan menghadapi rakaman suara, maka itulah saya bersetuju dengan cadangan Pensil Pictures. Peringkat awal ia dimainkan di radio, orang tidak tahu pun yang lagu ini adalah duet daripada Sam dan Yana, tapi pendengar menyukainya kerana karektor suara mereka.
"Saya tak nafikan sewaktu rakaman saya sendiri terkejut dengan kemampuan keduanya, tetapi dalam masa sama saya tidak pelik kerana mereka pelakon, mereka faham dengan apa yang ingin disampaikan. Menyanyi macam berlakon juga cuma emosi itu dilontarkan dalam bentuk alunan lagu.
"Lagipun bukan sesuatu yang pelik apabila pelakon bertukar karier menjadi penyanyi kerana ramai saja penyanyi di negara kita menceburi bidang lakonan.
"Yang menilai kemampuan mereka sewaktu rakaman bukannya orang luar, tetapi orang yang menggerakkan industri iaitu saya sendiri. Jadi tak mungkin saya silap menilai bakat mereka. Sebenarnya mereka perlu yakin dengan kelebihan mereka sendiri" katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15