Adsense

Isnin, 12 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Anugerah selepas 24 tahun

Posted:

Anugerah selepas 24 tahun

Anugerah selepas 24 tahun

DINOBATKAN sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama selepas 24 tahun menjadi dramatis, Sherry Merlis mengaku ia satu bonus untuk dia bekerja lebih keras.


AKTRES Sherry Merlis akhirnya dikurniakan anugerah selepas 24 tahun bergelar anak seni di Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Kemenangan pertama kali dalam hidupnya itu diperolehi menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama. Anugerah tersebut merupakan hasil lakonan berkesannya menerusi drama Di Telapak Kaki Bonda arahan Kabir Bhatia yang turut memenangi kategori Drama Terbaik.

Bertemu dengan Sherry yang kini berusia 42 tahun usai majlis anugerah berlangsung, dia langsung tidak menjangkakan pulang dengan anugerah pada tahun ini.

"Memang tidak sangka langsung akan menang, apabila nama saya disebut saya hanya terpaku dan sangat terkejut. Jujurnya, saya datang hari ini hanya untuk memeriahkan majlis sahaja," ujar isteri kepada penyanyi Ash.

Apabila anugerah tersebut sudah berada dalam genggamannya, Sherry mengakui dia cukup puas dan tidak kecewa meskipun anugerah itu diperolehi selepas 24 tahun bergelar pelakon.

"Ini anugerah pertama dalam hidup saya selepas 24 tahun bekerja sebagai pelakon. Saya tidak pernah idam diberi anugerah kerana saya menganggap lakonan merupakan satu kerjaya.

"Diiktiraf sebegini merupakan satu bonus. Tidak wujud rasa kecewa kerana lambat dapat anugerah. Rasanya di Malaysia ramai pelakon hebat, tetapi bukan semua berpeluang menerima anugerah, mungkin tahun ini sudah rezeki saya. Kalau ikutkan semua calon yang bertanding, semuanya yang terbaik," katanya yang menewaskan pelakon Rosnah Mat Aris, Maimon Talib, Fadilah Mansor dan Norish Karman dalam kategori tersebut.

Sherry yang baru sahaja melahirkan anak ketiganya yang juga pertama dalam perkahwinan keduanya bersama Tengku Shafiz-rullah Tengku Mohd. Shahid atau Ash, 29, Tengku Kaseh Anaqah yang kini berusia empat bulan menyifatkan anugerah yang diterima merupakan rezeki buat anak perempuan pertamanya itu.

"Boleh kata juga anugerah ini sebenarnya rezeki untuk anak perempuan pertama saya. Selepas melahirkan anak, rezeki saya semakin banyak.

"Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berehat selepas bersalin. Apabila anak berusia dua bulan, saya sudah kembali bekerja seperti biasa," jawabnya.

Mengimbas kembali watak yang dibawakan dalam drama Di Telapak Kaki Bonda, beritahu Sherry, dia memegang watak orang tua.

"Sebenarnya ini merupakan drama kelima saya dengan Kabir Bhatia. Sebaik sahaja dapat skrip drama Di Telapak Kaki Bonda, saya cukup suka kerana skripnya sangat menarik.


Rezeki anak. Sherry Merlis bersama suaminya, Ash dan anak perempuan sulung mereka, Tengku Kaseh Anaqah.


"Kabir menawarkan saya menjadi orang tua, jadi 24 jam sepanjang penggambaran berlangsung saya harus beringat yang saya orang tua. Cara bertutur, cara berjalan dan cara meluahkan perasaan semuanya harus dikawal supaya saya tidak menjadi diri saya sendiri.

"Memang mencabar dan agak meletihkan, tetapi apabila melihat hasilnya di skrin televisyen, saya cukup berpuas hati. Kemenangan ini menambahkan lagi semangat saya untuk bekerja dengan lebih baik pada masa akan datang," luahnya yang mula berlakon pada tahun 1989 menerusi filem Part-Time ketika berusia 19 tahun.

Pilihan terbaik ASK 2012

Sementara itu, bercakap mengenai ASK 2012, boleh dikatakan tahun ini anugerah tersebut mampunyai pencalonan yang mantap serta pemenang yang memang layak menerima pengiktirafan.

Selain Sherry dan Namron yang membawa pulang untuk kategori Pelakon Pembantu Drama Terbaik, tahun ini cukup mengejutkan apabila Ruminah Sidek dan Abu Bakar Omar dinobatkan sebagai Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik Drama.

Mak Mah yang menang menerusi drama Parit Jawa telah menewaskan barisan aktres yang lebih muda seperti Aida Aris, Lisdawati, Nabila Huda dan Umie Aida.

Aktor Abu Bakar Omar yang dinobatkan sebagai pelakon lelaki terbaik telah menewaskan barisan pelakon seperti Ridzuan Hashim, Zaidi Omar, Eman Manan dan Ku Haris Ku Mohamed.

"Ini merupakan anugerah ketujuh dalam hidup saya. Karakter saya dalam drama Gincu Ayah sebagai lelaki lembut telah membuatkan saya menang.

"Sebagai pelakon saya bekerja seikhlas hati dan minat bukan kerana di penghujung saya mahukan anugerah," tuturnya yang berniaga menjual ikan sebagai kerja tetapnya.

Aktres Maya Karin yang memegang watak Izzah menerusi filem pecah panggung Ombak Rindu sudah dijangka membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem.

Meskipun sebelum ini pernah menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM-21), namun hanya di ASK 2012 Maya dapat menikmati saat kemenangannya itu.

"Sebelum ini ketika menang di FFM-21 saya tidak ada di Malaysia, jadi boleh dikatakan anugerah ASK 2012 merupakan anugerah pertama yang saya dapat nikmati sepenuhnya.


Gandingan Rosyam Noor sebagai Kapten Hook dan Erra Fazira sebagai Snow White menjadi tarikan majlis.


"Saya tidak jangka untuk menang sebab bagi saya filem Songlap juga sebuah filem yang sangat menarik dan merupakan saingan terdekat saya.

"Walaupun telah menang anugerah, Maya tetap akan menjadi Maya yang sama sejak lapan tahun yang dahulu," katanya yang bakal menjalani penggambaran sebuah filem romantik komedi pada Disember ini.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem, anugerah itu dimenangi oleh aktor Shaheizy Sam menerusi filem Songlap. Bertambah manis, aktor Syafie Naswip yang berlakon sebagai adiknya dalam filem tersebut turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem.

"Ini merupakan rezeki Allah untuk semua orang yang terlibat dalam filem Songlap. Saya pilih Faizal Hussein untuk menang kategori ini sebab lakonan hebatnya dalam filem Bunohan," katanya yang susut sedikit berat badannya kerana berdiet.

Pengarah Kabir Bhatia yang memenangi kategori Pengarah Terbaik Drama dan drama arahannya Di Telapak Kaki Bonda dinobat sebagai Drama Terbaik tidak menjangkakan menang.

"Memang tidak sangka. Sebenarnya saya ada masalah untuk memahami bahasa Melayu, tetapi dengan bantuan penulis skrip saya dapat memahami sesebuah babak.

"Sebab itu saya hanya bekerja dengan pelakon yang saya sudah percayai sahaja," beritahunya.

Pengarah filem Bunohan, Dain Said memenangi kategori Lakon Layar Terbaik Filem dan filem tersebut dipilih sebagai Filem Terbaik di ASK 2012 menewaskan filem lain seperti Songlap, Ombak Rindu, Libas dan 7 Petala Cinta.

"Filem Bunohan dihargai di luar termasuk telah tersenarai dalam anugerah Oskar ke-85. Bagaimanapun dihargai di negara sendiri lebih bermakna buat saya dan semua yang terlibat dalam filem Bunohan," tuturnya.

Wilma sudah kahwin

Posted:

Wilma sudah kahwin

Wilma sudah kahwin

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


WILMA mahu kembali menjadi pelakon jika diberi peluang, asalkan watak yang diberi bersesuaian dengan usia, imej dan statusnya kini.


AJAL dan maut serta jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Mungkin itu ungkapan paling sesuai diberikan kepada pelakon yang terkenal dengan imej seksi suatu ketika dahulu, Wilma Muhammad.

Setelah mendirikan rumah tangga bersama seorang juruterbang, Mahir Effendi pada tahun 2000, pelakon tersebut terpaksa menerima hakikat kehilangan suami tercinta yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, status ibu tunggal pelakon yang pernah membintangi filem Ghazal Untuk Rabiah dan Pasrah itu ternyata tidak lama apabila kini kembali bergelar isteri setelah mendirikan rumah tangga pada 16 Jun lalu.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Ratu By Ezuwan Ismail yang menyaksikan Wilma menjadi duta butik muslimah tersebut sekali gus model di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas pelakon berusia 39 tahun itu mengakui dia sudah berkahwin semula.

Kosmo!: Sudah lebih setahun Wilma memegang status ibu tunggal, tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti arwah suami?

WILMA: Baiklah, saya ingin menyatakan sekarang yang saya sudah pun berkahwin semula dan kembali bergelar isteri sudah lima bulan. Saya akui memang ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini.

Kenapakah anda tidak menghebahkan atau memberitahu cerita mengenainya atau mengundang rakan-rakan wartawan ke majlis perkahwinan tersebut?

Sebenarnya saya langsung tidak berniat untuk menyorokkan cerita mengenai perkahwinan kedua ini memandangkan tiada yang bertanya. Jadi, seperti pada majlis ini, apabila wartawan bertanya, saya berterus terang yang saya kini sudah pun mendirikan rumah tangga semula.

Mengenai undangan sewaktu majlis perkahwinan pula kami hanya membuat secara kecil-kecilan sahaja dalam satu majlis yang cukup ringkas. Lagipun keluarga suami saya juga ada meminta supaya tidak menghebahkannya kepada umum.

Jadi, siapakah lelaki yang bergelar suami anda kini?

Buat masa sekarang saya tidak dapat mendedahkan mengenai identitinya kerana itu merupakan permintaan suami. Namun dia tidak menghalang kalau saya memberitahu kepada umum yang saya sekarang sudah kembali bergelar isteri. Saya cuma boleh cakap yang suami saya itu berusia lewat 40-an dan bujang. Dia menjalankan perniagaan sendiri dan hanya orang biasa yang tidak mempunyai sebarang gelaran sama ada Datuk atau Tan Sri.

Bagaimana anda boleh berkenalan dengan suami?

Saya berkenalan dengan suami sewaktu saya bekerja di sebuah syarikat perniagaan emas sebagai Eksekutif Pemasaran. Kami telah diperkenalkan oleh seorang rakan dan setelah beberapa bulan berkawan, akhirnya kami membuat keputusan untuk berkahwin.

Sepanjang tempoh bergelar ibu tunggal dan sebelum mendirikan rumah tangga dengan suami sekarang, adakah anda ada berkawan dengan mana-mana lelaki?

Tidak dinafikan sepanjang tempoh tersebut memang ada beberapa orang lelaki yang cuba mendekati saya, tetapi kebanyakannya merupakan suami orang dan saya belum bersedia mendirikan rumah tangga semula pada waktu itu. Pintu hati saya terbuka untuk kembali berkahwin setelah berkenalan dengan suami dan melihat keikhlasannya untuk memperisterikan saya. Lagipun bekas ibu mentua saya turut berpesan supaya mencari pengganti sekiranya bertemu dengan lelaki yang sesuai.

Setelah lima bulan mendirikan rumah tangga, adakah anda dan suami merancang untuk memperoleh anak lagi?

Perkara ini memang telah dibincangkan dan kami sepakat untuk tidak menambah cahaya mata memandangkan saya sendiri sudah pun memiliki lima orang anak. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada rezeki dan kalau ditakdirkan saya mengandung, kami akan terima dengan hati terbuka.

Bagaimana pula hubungan anda dengan keluarga bekas mentua?

Sehingga sekarang hubungan kami masih lagi erat, malah suami saya juga sangat baik dengan keluarga bekas mentua. Sehingga mereka anggap suami saya sebagai anak sendiri memandangkan bekas suami saya dahulu merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?

Buat masa ini saya telah pun dilantik sebagai duta kepada butik Ratu dan akan memperagakan produk-produk yang dijual di butik tersebut. Selain itu saya juga pernah membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan menerusi filem 1945, tetapi filem tersebut tidak jadi dihasilkan. Kalau diikutkan saya masih lagi minat untuk berlakon dan suami juga memberi sokongan sekiranya saya ingin berkecimpung dalam lakonan. Cuma sekarang ini saya banyak menjadi model untuk memperaga busana muslimah.

Soo Wincci sasar tawan Taiwan

Posted:

Soo Wincci sasar tawan Taiwan

Soo Wincci sasar tawan Taiwan

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA
hiburan@kosmo.com.my

SOO WINCCI kini sedang merakamkan sebuah album yang memuatkan beberapa lagu lama dan rakaman baharu untuk pasaran Taiwan.


BERBEKALKAN rupa paras yang cantik, berketerampilan anggun dan lemah-lembut, serta berbakat besar dalam bidang kulinari, Soo Wincci kini lebih dikenali sebagai seorang selebriti serba boleh yang mudah didekati oleh semua lapisan masyarakat.

Gadis tinggi lampai kelahiran Selangor ini bercita-cita untuk menakluki pasaran muzik antarabangsa. Dia yang memilih persada muzik Taiwan sebagai tapak mengembangkan karier nyanyiannya gigih berulang alik ke sana bagi menyiapkan album sulung bahasa Cina pertamanya.

"Perjalanan karier saya di Taiwan baru sahaja bermula. Saya sedang dalam proses menyiapkan album pertama yang bakal memuatkan sepuluh buah lagu hasil kerjasama pihak pengurusan saya dengan sebuah label di Taiwan.

"Pihak pengurusan di sana yang bakal menentukan arah perjalanan karier saya, termasuklah imej yang bakal ditampilkan ketika membuat persembahan serta jenis-jenis lagu yang bakal dimuatkan di dalam album itu nanti," katanya ceria ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video bagi single terbaharunya, Terus Teranglah di RedBox The Gardens, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dia juga menambah, album itu nanti bakal memuatkan dua buah lagu hasil ciptaan komposer dari Taiwan, manakala lapan buah lagu lagi adalah lagu bahasa Cina yang telah dirakamkan untuk album pertamanya.

"Peminat muzik di Taiwan belum mengenali siapa itu Soo Wincci. Jadi, dengan adanya lagu-lagu lama saya, mereka pasti akan lebih mengenali jenis muzik yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Tidak salah rasanya berkongsi sesuatu kepada peminat-peminat baharu," ujarnya.

Penyanyi berbakat besar yang pernah bergelar Miss World Malaysia 2008 ini turut berkongsi, dia juga bakal melahirkan sebuah EP (extended play) bagi pasaran tempatan yang akan memuatkan lima buah lagu baharu berbahasa Melayu termasuklah single Terus Teranglah ciptaan Ajai, yang menampilkan penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow.

"Saya sungguh berbesar hati kerana Ajai sudi mencipta lagu untuk saya. Sebagai komposer yang banyak pengalaman serta berbakat besar, dia tahu lenggok serta keupayaan suara saya. Jadi tiada sebarang masalah atau perkara rumit yang saya hadapi ketika merakamkan lagu ini," ujarnya.

Penyanyi yang pernah menyertai program masakan terkenal, Selebriti MasterChef Malaysia ini memberitahu, semasa proses rakaman suara berlangsung, dia tidak berpeluang untuk bersua muka dengan Joe Flizzow. Jadi, apabila bertemu dengannya buat pertama kali, perasaan teruja bertukar menjadi gerun!

"Pada awalnya, saya kekok kerana takut dengan Joe. Mungkin kerana penampilannya yang agak 'ganas' menyebabkan saya berfikir sebegitu.

"Namun semuanya berubah setelah saya mengenalinya dengan lebih dekat. Dia bukanlah seperti apa yang saya sangkakan," kata Wincci ketika menerangkan peranan Joe Flizzow sebagai seorang mekanik di dalam klip video Terus Teranglah.

Apabila ditanya mengenai kejayaan penyanyi Shila Hamzah menjuarai pertandingan nyanyian Asian Wave 2012 di Shanghai, China baru-baru ini, Wincci menyambut berita itu dengan perasaan terbuka.

"Sebagai seorang penyanyi yang berasal dari Malaysia, saya berasa sungguh bangga dengan pencapaian Shila.

"Ini membolehkan ramai lagi pemuzik-pemuzik tempatan melebarkan sayap ke luar negara kerana nama kita sudah mula dikenali di sana," katanya.

Wincci juga menambah, kejayaan Shila membuktikan muzik tempatan juga mempunyai potensi untuk diterima oleh masyarakat di luar negara.