Adsense

Isnin, 12 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kisah dua juara

Posted: 11 Nov 2012 02:40 PM PST

Abu Bakar Omar, Shaheizy Sam kongsi cerita di sebalik trofi ASK 2012

Mungkin orang menyangka, jadi anak wayang hidup penuh glamor. Namun, realitinya tidak ramai tahu cabaran yang harus dilalui anak seni.

Ramai pelakon veteran mengeluh apabila mencapai umur senja, mereka terpaksa berhempas pulas bekerja demi sesuap nasi. Bagi anak seni generasi baru pula, mereka tidak terlepas cabaran sama.
Walaupun sudah memenangi banyak anugerah, saya tidak 'demand'. Saya tidak minta harga tinggi, cuma saya akan minta harga yang setimpal dengan pengalaman dan kerja yang dilakukan," - Abu Bakar Omar, Pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik kategori drama

Walaupun dihujani pelbagai tawaran ketika nama dijulang, namun kesilapan memilih watak juga boleh menjejaskan periuk nasi mereka.

Demikian luah dua pelakon dari generasi berbeza - Abu Bakar Omar yang memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik kategori drama dan Shaheizy Sam yang menggondol anugerah sama tetapi bagi kategori filem pada Anugerah Skrin (ASK) ke-14, malam Jumaat lalu.

Ikuti kisah mereka seperti yang diceritakan kepada HIP.

Pelakon terbaik dibayar murah
Trofi pelakon terbaik yang dimenangi untuk kali ketujuh besar ertinya buat bintang veteran ini. Lakonan berkesannya sebagai bapa berperwatakan lembut dalam telefilem Gincu Ayah cukup memikat hati juri. Namun ada sesuatu yang cukup dikesali pelakon veteran ini.

Luah Abu Bakar, realiti yang terpaksa ditelan di Malaysia adalah pelakon yang diiktiraf terbaik, menerima bayaran murah atau tidak setimpal dengan keringat diperah. Sebaliknya, kata pelakon veteran ini, golongan paling beruntung sudah tentu pelakon popular.

Ini kerana katanya, produser menawarkan bayaran tinggi kepada pelakon popular. Anugerah yang dimenangi seolah-olah tidak bererti kerana dia tidak boleh menuntut bayaran tinggi.

"Saya tidak kecewa cuma sedih dengan apa yang berlaku. Dalam ramai-ramai artis veteran, yang hidup selesa sehingga ke akhir hayat mereka hanyalah Allahyarham Datuk Ismail Hudson saja.

"Manakala yang lain-lain menjadi menyumbang kepada peratus kemiskinan negara. Sepatutnya pada usia begini, kami menjadi tangan yang memberi. Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaiknya kerana kami pula yang menadah tangan menanti bantuan," katanya.

Tegas soal bayaran

Abu Bakar memberi contoh berapa ramai pelakon veteran mendiami rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Ada sesetengah pelakon veteran terpaksa menerima apa saja tawaran walaupun bayarannya sedikit asalkan dapat membayar bil api, air dan bil lain termasuk ansuran kereta," katanya yang bersimpati dengan nasib rakan seperjuangannya.

Namun Abu Bakar berkata, beliau beruntung tidak perlu bergantung kepada lakonan semata-mata kerana mengusahakan perniagaan bekalan ikan. Malah beliau juga agak tegas dalam menentukan bayaran lakonan.

"Walaupun sudah memenangi banyak anugerah, saya tidak 'demand'. Saya tidak minta harga tinggi, cuma saya akan minta harga yang setimpal dengan pengalaman dan kerja yang dilakukan.

"Saya sangat menjaga mutu kerja. Saya mahu semua orang yang bekerja dengan saya puas hati dengan kerja yang saya lakukan," katanya yang bersetuju membawa watak lelaki lembut dalam telefilem Gincu Ayah kerana menganggap watak itu mencabar.

Abu Bakar berkata, untuk menghidupkan watak itu, dia tidak melakukan kajian mendalam sebaliknya hanya memerhati jurusolek di set yang rata-ratanya berperwatakan lembut.

Popular tapi cepat malap

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam bukan pertama kali menjulang trofi ASK.

Dia pernah memenangi anugerah khas Anugerah Yasmin Ahmad pada 2010 kerana kebangkitan semula dalam dunia lakonan yang cukup cemerlang.

Namun sejak kebelakangan ini, kerjaya Sam yang bergemerlapan seakan semakin pudar. Ini diakui sendiri pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik kerana lakonan mantapnya dalam filem Songlap.

Sam berpendapat, cuti panjang hampir sembilan bulan mungkin menjadi salah satu faktor menyebabkan dirinya kian dilupai.

Namun selepas berhempas pulas bekerja, anak bongsu dalam keluarga ini terpaksa membuat keputusan untuk bercuti bagi merehatkan fizikal dan mentalnya.

Sangka trofi milik Faizal

Namun, sesetengah pihak berpendapat, sikap Sam yang menerima setiap tawaran yang datang menjerat dirinya sendiri apabila dia kehilangan nilai eksklusifnya sebagai pelakon hebat dan disegani.

Pelakon makin hari makin ramai, hendak tak hendak, saya kena terima saja tawaran yang ada. Ini kerana saya berkerja untuk mendapatkan duit bagi menyara hidup. Mungkin satu hari nanti, bila sudah mampu menyara diri, saya boleh bersikap memilih.

"Sebelum ini, saya pernah cuba hendak memilih tetapi keputusan saya silap. Ada ketika apabila saya fikir skripnya bagus, ia tidak menjadi seperti yang saya harapkan. Begitulah sebaliknya, sejak itu saya tidak mahu lagi memilih.

"Bagaimanapun kualiti sesebuah skrip tidak terletak di tangan pelakon, pengarahan yang bagus juga akan menjadikan sesebuah filem itu bagus. Selagi saya masih diberi peluang untuk berlakon, saya tidak akan menolak kerana saya masih belum mampu untuk memilih," katanya yang tidak menyangka membolot trofi itu kerana melihat Faizal Hussein berikutan lakonan mantapnya dalam filem Bunohan.

Bakat, karya relevan dengan Gen Y

Posted: 11 Nov 2012 02:30 PM PST

Ketika artikel ini ditulis, klip video Cinta Muka Buku oleh penyanyi remaja, Najwa Latif, sudah pun ditonton kira-kira 6.7 juta kali. Saat gadis berusia 17 tahun ini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melupakan sementara dunia muziknya, ramai peminat pasti menggunakan laman YouTube untuk menghilangkan kerinduan kepadanya.

Najwa, sensasi internet Malaysia boleh berbangga apabila dia muncul artis muda negara paling popular, kalau bukan penyanyi paling diminati, di dunia maya. Dengan hampir tujuh juta tontonan, dia dengan mudah mengetepikan penyanyi lain untuk menduduki tangga pertama klip video paling banyak ditonton. Lalu, apa pula rahsianya hingga Najwa yang turut menghasilkan sendiri lagunya mampu meraih sebegitu ramai pengikut?

Jika dilihat kepada komposisi lagunya, ia bukanlah karya besar seperti ciptaan komposer ternama Datuk M Nasir, Ajai, Adnan Abu Hassan, Manan Ngah dan beberapa nama berkaliber lain. Apatah lagi untuk disamakan dengan bakat milik Tan Sri P Ramlee. Namun Najwa punya kebolehan yang mampu mendekatkan dirinya kalangan peminat sebaya dengannya, ataupun mereka yang lebih kecil.

Kesederhanaan dalam ciptaan, tetapi relevan dengan masa dan kelompok peminatnya, membuatkan karya penyanyi serta pemuzik muda ini berupaya melekat di hati mereka yang menyokong kerjaya seninya. Tidak terkecuali mereka yang menghargai bakat istimewa dimiliki Najwa.

Dia bercerita mengenai kehidupan anak muda yang sebaya dengannya, tanpa perlu berpura-pura menjadi orang lain. Luahan hatinya sama ada menerusi lagu Cinta Muku Buku, Kosong, Carta Hati dan AdaMu tampak mudah, disampaikan dalam irama yang ringkas juga. Namun, dalam kesederhanaan itulah terselit rahsia keajaiban Najwa hingga mampu memikat banyak hati. Malah, duetnya bersama Sleeq, Untuk Dia, juga begitu menjadi sehingga klip terbabit sudah ditonton sebanyak hampir 9 juta kali… Pencapaian yang mungkin sukar untuk digugat pemuzik lain ketika ini.

Bahkan, rasanya semua klip video lagu asal Najwa di YouTube mencatat jumlah tontonan lebih sejuta kali. Bagi gadis semuda dirinya, ia tentulah sesuatu yang membanggakan sekali. Najwa bukanlah Justin Bieber, bukan juga Psy, penyanyi Korea yang menjadi fenomena ketika ini. Bagaimanapun jejaknya di tanah air sendiri cukup sukar untuk dipadamkan, dengan jumlah sokongan yang begitu baik di internet, saat ini. Lebih-lebih lagi internet ialah teman rapat kepada generasi muda hari ini, generasi Najwa sendiri, suatu hakikat yang sukar untuk dinafikan lagi.

Mungkin karya Najwa akan bertambah matang seiring peningkatan usianya. Namun, dia masih punya beberapa tahun untuk terus memikat golongan peminat muda atau sebaya dengannya andai penyanyi ini terus menghasilkan lagu serta lirik yang dekat dengan jiwa kelompok muda. Tidak perlulah dia memikirkan lagu yang mampu memenangi anugerah, asalkan ia irama yang mewakili usia mudanya, dengan lirik menyentuh kehidupan orang seusia dengannya, Najwa akan terus diminati. Itulah keaslian dan formula yang membuatkannya artis muda paling sensasi ketika ini.
Kemunculan Najwa di persada seni juga pada dasarnya memberikan semangat buat artis muda lain mengetengahkan bakat masing-masing. Malah, dia boleh dianggap pelopor artis remaja bertudung di negara ini. Sudah tentulah Yuna sebelum itu sudah pun mencipta kejayaan hebatnya sendiri, sehingga mampu memikat syarikat rakaman antarabangsa. Namun Yuna bermula lebih lambat daripada Najwa dan memilih untuk menulis lagu terutama dalam bahasa Inggeris, yang memberikannya platform lebih besar untuk meneroka alam muzik luar negara. Karya Yuna juga lebih dewasa berbanding gadis dari Johor ini.

Kini, peminat mula memberikan perhatian kepada seorang lagi bakat bertudung, bernama Ainan Tasneem. Klip video Aku Suka Dia oleh Ainan sudah pun mencatat jumlah tontonan sebanyak 2.8 juta kali. Tidak mustahil, lebih ramai bakat muda wanita bertudung yang mampu menghasilkan lagu dan lirik sendiri akan tampil ke depan dalam masa terdekat ini. Jika itulah kehendak penggemar muzik semasa ketika ini, yang sukakan irama sederhana dengan lirik yang dirasa dekat dengan diri mereka, maka mengapa tidak industri muzik mengalu-alukan bakat seperti ini serta menggalakkan lebih ramai penyanyi/pemuzik seperti mereka mengetengahkan karya masing-masing.