Harian Metro: Rap |
Saban tahun rai di rumah mentua Posted: 11 Nov 2012 08:52 AM PST SUDAH lama dia mengimpikan saat ini. Saat di mana, dia sendiri dapat menyarungkan sari mahupun kurta buat si kecil pada hari pertama perayaan Diwali (Pesta Cahaya). Dulu dia hanya bisa memerhati di samping tumpang gembira melihat keseronokan perayaan itu diraikan teman-temannya, berstatus ibu dan ayah. Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya juga aktor terkenal Bollywood, dilahirkan daripada kalangan keluarga paling berpengaruh di India iaitu Abhishek Bachchan, impian Aishwarya Rai atau mesra disapa, Aish, untuk bergelar ibu tercapai. Tanggal 16 November 2011, adalah detik paling manis dalam kalendar hidup wanita yang pernah terkenal dengan gelaran wanita tercantik di dunia itu apabila selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan sebagai Aaradhya Bachchan. Apa yang menarik, nama bayi itu hanya diberikan selepas empat bulan kelahirannya. Ini kerana menurut kepercayaan penganut agama Hindu, nama yang baik diberikan kepada anak mampu menentukan tuah bayi itu di masa hadapan.
Sehinggakan, bayi itu dilaporkan kanak-kanak paling popular di India ketika ini. Diwali pertama dengan Aaradhya, nyata ia saat begitu dinantikan Aish dan suami bahkan keluarganya juga Bachchan (mentua). "Kegembiraan saya tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata kerana sebelum kelahiran Aaradhya, sudah empat tahun saya dan Abhishek meraikan Diwali berdua saja. "Keistimewaan tetap saya rasakan apabila menyambutnya dengan suami tercinta, namun apabila mempunyai anak perasaan itu lebih istimewa dan berbeza. Diwali kali ini bukan saja istimewa buat saya dan suami, tetapi juga keluarga saya dan mentua. "Walaupun Aaradhya bukanlah cucu sulung dalam keluarga Bachchan misalnya, dia adalah cucu pertama perempuan manakala dua cucu lagi sebelum ini adalah lelaki. "Kadangkala saya seperti mahu ketawa melihat Abhishek dan mentua saya, Amitabh Bachchan, yang lebih 'excited' berbanding saya sendiri dalam menyediakan kelengkapan Diwali untuk Aaradhya," katanya gembira melalui pengalaman sebagai ibu. Aish juga berasa gembira kerana mentuanya itu cukup mengambil berat mengenai Aaradhya dan ia dinyatakan Amitabh secara terbuka kepada umum. Sejak mendapat cucu ketiganya itu, Amitabh dilihat cukup gembira bahkan status twitter mahupun blognya sering menyebut tumpuannya ketika ini tidak lagi ke set penggambaran filem, tetapi untuk berada di sisi cucu perempuan tunggalnya itu. Melanjutkan perbualannya, sejak berkahwin perayaan Diwali disambut dengan begitu meriah kerana rumah mentuanya sering dikunjungi insan-insan ternama di India. Kesibukan di rumah Bachchan selalunya bermula seawal pagi sehingga lewat malam. Sedikit informasi bagi mereka yang tidak mengetahui budaya di India, wanita yang sudah berkahwin akan berbakti sepenuhnya kepada keluarga suami dan kerana itu bekas Miss World 1994 itu menyebut setiap tahun dia berada di rumah mentua. "Kami jarang mempunyai kesempatan untuk mengunjungi kediaman saudara-mara kerana biasanya mereka yang akan datang ke rumah mentua. "Saya memang jarang sekali berpeluang menyediakan hidangan istimewa Diwali kerana mentua tidak mahu nanti kepenatan kerana dia tahu sepanjang hari saya akan keletihan melayani tetamu. "Bayangkan Diwali disambut saban tahun bersama keluarga suami ibarat sebuah pesta gilang-gemilang. Tahun ini tentunya lebih meriah kerana ramai yang tidak sabar-sabar bertemu Aaradhya," katanya. Melalui perkahwinan yang kini berusia lima tahun dengan Abhishek, ditempuhi dengan penuh rasa cinta dan kebahagiaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata oleh Aish. Dengan sepenuh hati, Aish mengakui lelaki yang menjadi tunangannya pada 14 Januari 2007 sebelum bersatu sebagai suami-isteri pada 20 April 2007 itu adalah seorang lelaki yang budiman, penyayang, menghormati dirinya sebagai wanita dan bertolak ansur. "Saya tidak pernah bertemu dengan lelaki yang mempunyai kesabaran cukup tinggi sepertinya. Abhishek juga seorang yang matang dan sering memberikan saya pendapat yang baik untuk saya contohi," ujarnya amat menyayangi suaminya itu. Mengakui tidak cukup dengan hanya seorang cahaya mata, Aish yang kelihatan semakin langsing kini nampaknya semakin rancak membuat 'comeback!'. Selepas menyatakan persetujuan membintangi filem projek antarabangsa, arahan Daniel Silva, yang menjalani penggambaran di Los Angeles pada 13 September lalu dan turut dibintangi Billy Zane, Sara Khan dan Lucky Ali, Aish mempunyai lebih 20 tawaran untuk dipertimbangkan. "Ada beberapa watak yang menarik dan belum pernah saya bawakan sebelum ini namun semuanya masih dalam pertimbangan kerana saya kini sedang sibuk di set penggambaran arahan Daniel Silva. "Dengan status saya sekarang sebagai ibu membuatkan saya perlu lebih selektif supaya setiap watak yang dipilih kelak tidak menjejaskan nama baik saya sebagai isteri dan ibu. "Saya juga harus mempertimbangkan tempoh penggambaran yang diambil kerana tidak sanggup untuk berjauhan dengan anak. Sebolehnya saya tidak mahu meninggal Aaradhya," katanya tidak mendapat halangan daripada suami untuk kembali aktif. Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12 |
Posted: 11 Nov 2012 08:43 AM PST SEIRING dengan perkembangan semasa, Anugerah Planet Muzik (APM) yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya turut mengalami perubahan. Paling ketara, beberapa kategori baru diperkenalkan iaitu Anugerah Hits Radio, Anugerah Ikon Media Baru dan Anugerah Nova Media Baru. Manakala, kategori Album Terbaik pula dimansuhkan. Bagaimanapun, ia dirasakan tidak menjejaskan APM2012 yang akan berlangsung di MAX Pavilion, Singapore Expo pada 15 Disember nanti.
Kekal dengan matlamat memberi pengiktirafan kepada artis dan penggiat muzik Melayu serantau iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia, APM2012 anjuran MediaCorp Singapura menerusi Ria 89.7 FM dan Warna 94.2 FM tetap menjanjikan suatu kelainan buat peminat. Penolong Naib Presidennya, Hassan Salleh berkata, kelainan ini boleh dinilai dari segi penganugerahan hinggalah kepada aspek nilai dan mutu semasa pementasan itu.
Begitu juga barisan juri yang membabitkan ketiga-tiga negara ini. Ciri-ciri unik ini dikekalkan kerana sudah jadi tanda aras APM. "APM memainkan peranan besar dalam menggabungkan persembahan artis tiga negara. Bahkan kolaborasi ini turut diteruskan di kalangan pemuzik yang terbabit," katanya pada sidang media di kelab Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Khamis lalu. Tahun ini menyaksikan APM menerima keseluruhan 362 pencalonan yang membabitkan karya muzik Melayu yang dihasilkan pada 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2011. Graf pencalonan menyaksikan Malaysia mencalonkan 130 artis berbanding Indonesia (122) dan Singapura (110) sekali gus membuktikan industri muzik negara masih bertahan biarpun dikatakan mengalami kemelesetan. Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu Persembahan Vokal Terbaik dalam Lagu (Artis Lelaki Baru), Persembahan Vokal Terbaik dalam Lagu (Artis Wanita Baru), Persembahan Terbaik (Duo/ Kumpulan Baru), Kolaborasi Terbaik, Artis Lelaki Terbaik, Artis Wanita Terbaik, Duo/ Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik Singapura, Lagu Terbaik, Artis Singapura Paling Popular, Lagu Singapura Paling Popular, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular, Anugerah Nova Media Baru, Anugerah Ikon Media Baru, Anugerah Hits Radio dan Anugerah Khas Planet Muzik. Pencalonan menyaksikan Alyah tersenarai sebagai wakil negara yang berjaya mendominasi lima pencalonan diikuti artis Singapura, Audionauts dan Sleeq yang turut memperoleh pencalonan serupa. Alyah tersenarai dalam kategori Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular dan Ikon Media Paling Popular. Bagaimanapun laluannya bukan mudah kerana saingannya dalam kategori Artis Wanita Terbaik ialah Agnes Monica, Astrid, Yuna dan Shila Amzah. Yuna dan Hafiz berjaya meraih empat kategori pencalonan bersama Aliff Aziz, Awi Rafael dan Hady Mirza. Awi Rafael yang turut hadir pada sidang media ini mengakui gembira dengan kejayaan yang diraihnya. Baginya APM menjadi landasan terbaik buatnya membuktikan bakatnya kepada peminat. "Saya pernah bertanding dalam APM 2000 bersama kumpulan Bhumiband dan berjaya menang kategori Album Terbaik. Pencalonan kali ini mungkin jadi bukti bakat yang ada pada saya. "Ketika bersama Bhumiband, usia saya 16 tahun dan sekarang 26 tahun. Ini menunjukkan kerja keras saya diterima oleh peminat. Memang saya sangat berterima kasih kepada peminat di Malaysia kerana bagi peluang saya berkarya di sini. "Respon peminat Singapura terhadap saya pun bagus. Harapan saya agar muzik saya diterima oleh semua. Menang atau kalah bukan ukuran kerana semua yang bertanding adalah kawan-kawan saya juga," katanya yang tampil dengan single terbaru berjudul Asalkan Aku Ok. APM2012 akan menampilkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara yang akan digandingkan dengan pengacara dari Singapura dan Indonesia yang akan diumumkan selepas ini. Persembahan pula akan menampilkan nama-nama besar yang bertanding seperti Alyah, Shila Amzah, Judika, Anji, Awi Rafael, Aliff Aziz, Sleeq serta artis lain seperti Najwa Latif dan Mojo. Sesi jelajah APM 2012 bertemu peminat di beberapa lokasi turut dirancang. Pengundian untuk kategori-kategori anugerah popular telah bermula pada 5 November 2012 dan akan berakhir pada 6 Disember 2012. APM2012 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria. Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, mereka memberikan sokongan terbaik terhadap APM2012 seperti tahun sebelumnya. "Astro berbesar hati diamanahkan sebagai penyiar rasmi dan ini adalah tanggungjawab besar yang sangat kami hargai. Kami akan sentiasa menyokong acara anugerah muzik serantau tahunan berprestij seperti ini kerana APM telah berkembang dengan pesatnya untuk memartabatkan industri muzik Melayu serta berjaya mengetengahkan ramai bakat ke peringkat serantau dan antarabangsa," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |