Adsense

Rabu, 21 November 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bunkface susun strategi 2013

Posted: 20 Nov 2012 05:22 AM PST

SUDAH lumrah dunia hiburan, tahap populariti turun naiknya perlu ditempuhi setiap artis sama ada suka atau tidak. Itulah juga risiko yang sedia diterima Bunkface saat memijakkan kaki ke industri hiburan tanah air.

Tidak dinafikan, ramai yang bernasib baik kerana kemunculan mereka berjaya meniti kemuncak indah dengan pantas, namun ada pula terpaksa merangkak perlahan-lahan dalam membina nama serta memancing hati peminat.

Namun, trio utama Bunkface boleh dianggap masih beruntung kerana mereka bukan saja berjaya mencipta dimensi baru dalam industri muzik tempatan bersama karya unik mereka, malah semakin dilimpahi pengiktirafan demi pengiktirafan.

Meledak selepas lagu Situasi menjadi lagu paling hit sekitar 2008, memang tidak sia-sia perjuangan mereka sejak band itu ditubuhkan tiga tahun sebelumnya.


Memperjuangkan muzik Pop Punk, Punk Rock dan Rock Alternatif, band 'stailo' ini istimewa kerana apa yang mereka persembahkan adalah karya segar serta nampak kelainan berbanding band lain di rantau ini.


Bukan Situasi saja tetapi lagu-lagu lain termasuk Revolusi, Through My Window, Ekstravaganza, Soldier, Dunia dan Panik turut menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, mereka tidak leka dan mula mengatur strategi untuk terus bertahan, apatah lagi kedatangan 2013 tidak lama lagi.

Anggota band itu, Sam (Shamsul Anuar), Youk (Farouk Jaafar) dan Paan (Ahmad Farhan) dilihat mampu menarik nafas lega.

"Kami bertuah kerana sebaik saja menempa nama pada awal dulu, kami berjaya mencipta fenomena dan sempat merasai bagaimana kegilaan peminat terhadap muzik yang kami bawakan. Memang ketika itu sambutan yang kami terima sangat hebat dan sepanjang tempoh masa itu juga tidak henti-henti membuat persembahan di mana-mana.

"Kemudian, selepas itu kami mengambil keputusan untuk berehat setahun selepas menempuh beberapa tahun yang sangat memenatkan sebelum kembali menulis beberapa lagu baru. Mungkin disebabkan itulah juga ada sumber mengatakan, masa yang diambil terlalu lama dan kami lambat memberikan lagu baru kepada peminat.

"Namun, saya tidak percaya perkara itu yang menjadi penyebab kami jadi 'sendu' kerana kami tahu kami ada ramai peminat setia. Malah, sepanjang tempoh itu, kami banyak dapat maklum balas daripada mereka bertanyakan bila lagi lagu baru akan keluar sehingga pelancaran album terbaru kami, Bunk Not Dead, tempoh hari.

"Kalau ikut sambutan, kami rasa kecewa, namun kami faham masalah ini bukan saja dialami Bunkface, malah juga artis tempatan lain mahupun di luar negara.
Kebanyakan peminat sudah tidak lagi membeli album fizikal. Zaman sudah berubah dan sekarang ini terlalu mudah untuk mereka mendapatkan lagu secara mudah dengan hanya muat turun melalui Internet atau beli secara digital.

"Setakat ini tiada sistem yang boleh menghalang permasalahan besar ini dan kami perlu akur dengan keadaan ini," katanya.

Sewaktu tampil membuat persembahan pada Anugerah Blockbuster 2012, baru-baru ini, ramai memuji versi nyanyian lagu Falling In Love yang mereka susun atur semula melodinya masuk dalam elemen mereka. Impak daripada itu, menurut Paan, ramai peminat menyuruh mereka merakamkan semula lagu berkenaan.

Menjadi antara strategi terbaru buat mereka kembali meneruskan momentum dalam industri, mereka juga bakal bergandingan dengan legenda rock Malaysia, Amy Search menerusi sebuah 'single' yang 'hot'.

"Dalam kesibukan mempromosikan album terbaru, kami mengambil keputusan untuk merakamkan beberapa 'single'. Kami akan bergabung pula dengan Abang Amy menerusi lagu berjudul Musuh. Lagu terbabit ciptaan sepenuhnya Bunkface dan memang rasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan Abang Amy yang sudah lama kami impikan untuk berduet.

"Konsepnya masih lagi rock dan antara sebab lain kami mencipta lagu ini serta mengajak Abang Amy untuk memartabatkan lagi konsep rock 'N' roll yang ada di Malaysia menerusi gabungan pemuzik daripada generasi berbeza," katanya.

Selain projek berkenaan, dalam diam Bunkface juga berjaya meraih perhatian sebuah syarikat antarabangsa yang menawarkan album mereka dipasarkan menerusi satu aplikasi dipanggil 'Augmented Reality', sekali gus menjadikan mereka artis pertama Malaysia mendapat peluang itu.

"Ia adalah satu daripada teknologi baru di mana dengan hanya menggunakan proses imbasan, peminat boleh mendapatkan butiran mengenai album kami dan membelinya secara 'online'. Ternyata ini satu peluang yang tidak harus kami
lepaskan kerana jelas ia akan membantu dalam penjualan album kami," celah Youk pula.

Mengisi profil karier mereka untuk tahun ini, buat kali ketiga penganjuran Shout! Awards yang akan berlangsung 23 November ini, Bunkface tersenarai lagi sebagai calon kategori Rockstar Award di samping calon lain termasuklah Estranged, Faizal Tahir, Love Me Butch, Hujan dan Monoloque.

Pada edisi pertama anugerah berkenaan pada 2009, Bunkface mencipta rekod cemerlang apabila bukan saja memenangi kategori Rockstar Award, Break Out Award, malah dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Ultimate Shout! Award.
Kejayaan itu diteruskan lagi apabila tahun seterusnya, mereka membawa pulang trofi Rockstar Award sekali lagi.

Tidak mahu menaruh harapan besar untuk pulang sekali lagi dengan trofi berkenaan tahun ini, Sam berkata, kini semuanya terletak pada tangan juri yang menentukan pemenang.

"Semua yang dicalonkan pun rakan kami dan siapa juga pemenangnya nanti, kami tentu gembira. Mengenai persaingan, saya tidak anggap mereka sebagai saingan dan nak kata takut tidak menang, tidak wujud langsung," katanya.

Sementara itu, menurut Sam lagi, mereka sudah merancang untuk mengadakan
siri jelajah pada tahun hadapan yang akan diadakan di sekitar Borneo, selain banyak ke luar negara membuat persembahan termasuklah di Paris serta Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Black, RJ serasi

Posted: 20 Nov 2012 04:59 AM PST

BERHUBUNGAN atas dasar profesional, kemudian bertukar menjadi persahabatan yang akrab, kini mereka berdua berkongsi pentas yang sama membawa perjuangan dan mandat si pencipta menerusi lagu Teman Pengganti yang mara ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 27.

Begitulah uniknya hubungan antara dua sahabat ini, Hanifah Md Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black dan Helmy Hamdan yang namanya mula meniti di bibir pendengar.

Digelar RJ atau Rapper 'Jambang', gelaran itu diberikan sendiri oleh Black berdasarkan penampilan Helmy yang berjambang selain pemuda itu merasakan 'RJ' lebih sesuai sebagai nama pentas berbanding menggunakan nama sebenar.

Ahad ini, mereka berdua akan berjuang menerusi peringkat separuh akhir Muzik Muzik 27 dengan mempertaruhkan karya hasil ciptaan rapper terkenal, Malique yang cukup popular iaitu Teman Pengganti.


"Ramai yang tahu lagu ini saya rakamkan bersama Malique. Tetapi, sejak awal pertemuan dengan Malique, dia menyatakan persetujuan untuk menghasilkan sebuah lagu untuk saya, sekali gus muncul sebagai penampilan khas (featuring) untuk lagu ini, namun dengan syarat dia tidak akan muncul di khalayak atau melakukan temubual dengan pihak media termasuk mengambil bahagian dalam pertandingan sebelum ini.


"Keputusan yang dilakukan Malique itu sama saja dengan pendiriannya sewaktu bekerjasama dengan Datuk M Nasir dan Jamal Abdillah, justeru saya amat menghormati keputusannya.

"Apa yang lebih penting bagi saya adalah dapat menimba pengalaman bekerjasama dengan Malique kerana saya amat mengagumi karyanya dan tidak malu untuk mengatakan yang saya adalah peminatnya," kata Black.

Berbalik pada Teman Pengganti, tanpa disangka Black, lagu itu tiba-tiba menjadi siulan ramai walaupun pada mulanya dia bimbang peminat tidak boleh menerima perubahan yang cuba dilakukannya.

"Disebabkan syarat ditetapkan Malique tidak mahu muncul di khalayak, saya perlu mencari pengganti tempatnya setiap kali membuat persembahan memandangkan lagu berkenaan mendapat permintaan yang sangat tinggi sehingga hari ini.

"Kebetulan Helmy adalah pegawai perhubungan awam Monkey Bone, syarikat saya bernaung. Kami memang rapat termasuk seorang lagi, Pasha dan saya memang tahu yang Helmy mempunyai kebolehan untuk 'rapping'. Hal ini turut diakui Malique yang bersetuju Helmy menggantikan tempatnya walaupun pada mulanya dia turut terkejut.

"Jadi, daripada susah-susah cari 'rapper' lain lebih baik saya beri peluang kepada Helmy lagipun hampir semua persembahan saya penuhi, dia selalu bersama saya. Nak dijadikan cerita dalam sebuah 'road show', saya memanggil Helmy untuk naik ke atas pentas untuk melakukan 'rapping' memandangkan dia pun memang dah hafal bahagian rapping lagu ini.

"Sejak itu saya terfikir, untuk berikan nama pentas untuknya dan memandangkan
imejnya yang berjambang, RJ atau maksudnya Rapper Jambang sangat bersesuaian.
Nampaknya, RJ melekat sampai sekarang," katanya disusuli tawa.

Akui Black, Teman Pengganti sebuah lagu yang cukup istimewa dan memerlukan pemahaman dan penghayatan maksimum daripadanya. Tanpa berselindung, anak jati Kuala Lumpur itu, mengakui dia meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu ini.

"Saya ambil masa untuk memahami setiap ungkapan Malique. Ia sangat puitis dan harus difahami untuk mendapat 'feel' yang sesuai. Tentunya, saya mengharapkan lagu ini mampu mara ke final Anugerah Juara Lagu ke-27," katanya.

Sementara itu, RJ ketika ditemui berkata, dia berasa gementar untuk beraksi di separuh akhir Muzik Muzik 27 yang berlangsung Ahad ini, kerana bimbang dia tidak mampu memberikan persembahan sebaik Malique.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik. Bagaimanapun, saya mohon agar tidak
disamakan dengan rapper terkenal itu kerana Malique adalah 'guru' kepada penggemar muzik hip hop. Saya akan membuat persembahan dengan cara saya yang tersendiri.

Selain lagu Black, sebanyak 29 lagu lain turut bersaing dalam separuh akhir Muzik Muzik 27. Dilangsungkan tiga kali iaitu 11 November, 18 November dan 25 November, separuh akhir Muzik Muzik 27 akan bersiaran secara langsung di TV3 jam 9 malam dan 10 malam untuk minggu ketiga pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20