Adsense

Rabu, 21 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Faizal bantu Palestin

Posted: 20 Nov 2012 02:24 PM PST

Lelong trofi kumpul dana salur kepada mangsa kekejaman Israel

Ada yang menempelak, tidak kurang melabelnya sebagai tidak pandai menghargai pemberian orang, namun Faizal Tahir punya alasan tersendiri untuk melelong trofi dimenangi sepanjang enam tahun di arena seni seperti dikongsikan menerusi Twitter peribadinya, semalam.

Akui penyanyi Sampai Syurga itu, niat yang tersemat sebaik mengikuti berita kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza di bumi Palestin sejak Maal Hijrah lalu mendorongnya berbuat sesuatu demi meringankan beban saudara seagama dan antara caranya adalah menerusi pengumpulan dana.

Baginya, momento dimenangi menjadi koleksi sentimental yang tentu saja tidak boleh diukur dengan wang ringgit, namun andai ia mampu membantu insan lain, sekurang-kurangnya hasil penjualannya memberi nafas kepada mereka yang memerlukan.

"Berita Rejim Zionis membedil Gaza dan membunuh insan tidak berdosa termasuk kanak-kanak sangat merobek hati. Sebagai Muslim, saya tidak boleh berpeluk tubuh. Tetapi saya juga bukan jutawan. Saya berharap orang ramai memahami tujuan lelongan ini. Saya yakin pembelinya nanti punya niat sama, selain menjaganya sebaik mungkin.

Dipandang sinis

"Memang ada yang melayangkan pandangan sinis dan mempertikaikan mengapa perlu melelong trofi? Mereka kata, doakan saja dari jauh. Ya, selain berdoa kita perlu berbuat sesuatu. Saya percaya Tuhan memberikan saya rezeki (trofi) ini bersebab dan kini saya memanfaatkannya ke jalan yang baik, iaitu membantu saudara seagama.

"Tidak perlu mempertikaikan keputusan ini, malah saya berterima kasih kepada peminat serta semua penganjur anugerah yang menghadiahkan semua trofi. Saya amat menghargainya. Semoga niat baik saya tidak disalah erti serta dipermudahkan-Nya," kata bapa kepada empat anak ini.
Menerusi akaun Twitternya semalam, Faizal atau nama sebenar, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 34, meletakkan status: "Saya mahu menjual atau melelong semua trofi milik saya bagi mengumpul dana untuk GAZA. Semua trofi saya".

Niat disokong isteri, bapa

Mendapat sokongan isteri, Siti Raihanim Noran, katanya, bapanya sendiri, Dr Mohd Tahir, yang juga orang kuat badan bukan kerajaan (NGO) yang punya hubungan dengan pertubuhan di Palestin, Aqsa Syarif, turut terkejut sebaik mendengar niatnya ingin mengumpul dana menerusi lelongan trofi.

"Sebenarnya saya hanya menyatakan hasrat ini kepada isteri dan baru tadi menyampaikan hajat itu kepada ayah. Dia terkejut, tetapi pada masa sama menyokong usaha ini. Saya buat semua ini bukan untuk nama, sebaliknya rasa kemanusiaan selain beramal. Syukurlah kita hidup dalam kemakmuran.

"Bagi yang masih belum memahami mengapa saya berbuat demikian, cuba ikuti perkembangan Gaza yang setiap hari terus bermandi darah. Mendengar dan membaca berita kematian serta bom meledak di sana sini sudah membuat kita sedih, apatah lagi melihat visualnya.

"Inilah saja sumbangan mampu saya lakukan. Buat masa ini saya masih mendapatkan pandangan beberapa individu mengenai kaedah lelongan. Saya ingin merealisasikannya secepat mungkin. Apa pun, masih ramai memberi sokongan dan merestui nawaitu ini," katanya yang akan menyalurkan hasil jualan itu kepada Aqsa Syarif.

Info:

Antara trofi dimenangi Faizal adalah pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-15, (Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Album, Album Rock Terbaik, Album Terbaik), AIM17 (Album Rock Terbaik, Album Terbaik), Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-23 (Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik), AJL25 (Persembahan Terbaik), AJL26 (Tempat Ketiga) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 (Penyanyi Lelaki Popular) selain Shout! Awards 2010 (Vokal Hebat)

Demam ABPBH 2012 bermula

Posted: 20 Nov 2012 02:20 PM PST

Calon layak bertanding pada edisi ke-26 diumumkan hari ini

Masih terbayang-bayang saat pelakon Aaron Aziz diumumkan sebagai pemenang kategori Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011, April lalu. Malah masih jelas lagi kedengaran tepukan dan sorakan peminat yang mengiringi kemenangan aktor terbabit.

Itulah memori manis malam kemuncak ABPBH 2011 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands. Namun, belum reda situasi itu dalam ingatan, misi mencari siapakah artis yang bakal dinobatkan sebagai paling popular sepanjang 2012 kembali menjelma dan pengumuman mengenai acara tahunan berprestij itu akan diadakan di Holiday Villa Subang, petang ini.

Debaran siapakah yang akan berada dalam senarai pencalonan awal ABPBH 2012 akan berakhir pada majlis itu apabila pihak penganjur akan mendedahkan nama artis serta personaliti yang layak bertanding.

Seperti pencalonan bagi edisi jubli perak, pemilihan calon awal bagi edisi ke-26 ini turut melalui pelbagai peringkat saringan.

Bukan sekadar memiliki produk yang dihasilkan sepanjang tahun ini sebagai syarat kelayakan, malah artis terbabit juga perlu menepati istilah popular seperti yang dikehendaki penganjur. Ini bermakna proses pemilihan sangat ketat dan hanya yang menepati kriteria mampu membolosi senarai pencalonan.

Jadi, peminat jangan terkejut sekiranya artis kesayangan mereka tidak tersenarai sama. Seperti ditegaskan, hanya yang menepati syarat ditetapkan layak untuk dipertandingkan.
Bukan lagi angan-angan

Selain mengumumkan nama artis yang layak, sidang media pertama hari ini juga boleh diibaratkan seperti majlis perhimpunan semula mereka yang pernah menggenggam trofi keramat itu, serta mengimbau kembali kenangan pernah dilalui sebelum ini.

Bagi mereka yang baru dicalonkan pula, inilah masanya untuk merasai pengalaman yang selama ini tersimpan sebagai angan-angan.

Buat peminat yang sudah tidak sabar untuk mengundi pula, borang pencalonan akan mula dikeluarkan mulai Khamis ini, sehari selepas acara sidang media pertama diadakan. Ketika itu, bermulalah saat 'pilihan raya' untuk artis.

Borang undian awal akan disiarkan bagi tempoh lima minggu. Hanya selepas itu barulah senarai lima calon teratas diumumkan, sekali gus memberi peluang untuk peminat sekali lagi memilih artis serta personaliti kesayangan mereka yang layak untuk dinobatkan sebagai popular dalam kategori masing-masing.

Tahniah dicaupan kepada mereka yang berjaya membolosi benteng ABPBH 2012 dan untuk pembaca serta peminat, selamat mengundi artis kesayangan anda!