Harian Metro: Rap |
AIM19 iktiraf artis baru & ʻotaiʼ Posted: 18 Nov 2012 09:20 AM PST MALAM gemilang buat Shila Amzah berterusan ibarat suatu 'domino' apabila lagu Patah Seribu muncul Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Malaysia 19 (AIM19), Sabtu lalu. Majlis gemilang ini turut menyaksikan kumpulan Salammusik yang tampil dengan album Salammusik mengungguli kategori Album Terbaik. Kumpulan Mojo dengan gaya tersendiri, membuat kejutan meraih kategori Artis Baru Terbaik. Lagu bertajuk Counting Days nyanyian Jaclyn Victor pula mengungguli Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita). Raja Pop hadir dengan sut serba putih, Jamal Abdillah, meraih Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi lagu Bahagia Sementara dan Lagu Hip-Hop Terbaik bergandingan bersama Malique untuk lagu Aku Maafkan Kamu.
"Saya bersyukur kerana ini anugerah pertama diterima selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri muzik. Ini menjadi tanggungjawab berat kerana lagu Patah Seribu adalah lagu ciptaan dan lirik yang ditulis sendiri oleh saya. "Saya tak pernah meletak harapan untuk menang apatah lagi meraih dua kejayaan serentak pada AIM19. Lagipun, tujuan saya datang hanya untuk membuat persembahan menerusi lagu itu. "Menerusi Patah Seribu, saya tidak pernah terfikir untuk menang sebarang anugerah. Ini adalah anugerah paling indah dalam hidup sepanjang menyanyi di Malaysia. kejayaan ini menjadi dorongan untuk bekerja lebih keras," katanya selepas menerima trofi yang disampaikan Datuk Hattan. Jaclyn Victor dalam nada ceria menyatakan kejayaan beliau berkata: "Apa saya harapkan kali ini menjadi kenyataan. Saya berasa sangat dirahmati selepas bergelar juara Malaysian Idol lapan tahun lalu. Kejayaan itu menjadi bonus kerana bagi saya berada dalam senarai Top 5 pun sudah cukup bagus." Kata Jac lagi, dia terkejut kerana lagu Counting Days satu-satunya lagu vokal dalam album instrumental jazz Aubrey Suwito bertajuk Home. "Lagu ini belum pernah didengar sesiapa dan tidak sangka ia membawa kemenangan dan tunggu pula album terbaru saya hadir pada hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya. Norman merangkap Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, penjurian dan pemilihan artis dalam membuat persembahan tidak membabitkan dirinya. "Saya berharap tidak ada mana-mana pihak menimbulkan isu penyertaan beberapa artis KRU seperti, Jac, Mojo dan Forteen terhadap kemenangan mereka pada AIM19," jelasnya. Pengerusi AIM19, Rosmin Hashim pula berkata, persembahan AIM19 ditonjolkan merangkumi pelbagai genre dan merentasi pelbagai jenis muzik daripada pop, rock, balada, hip-hop dan vokal harmoni. "Saya harap tidak wujud kontroversi kerana kami mahu menjadikan AIM medan terbaik untuk menggembirakan pelbagai pihak," katanya. Kumpulan Alleycats hebat kerana dipilih sebagai penerima anugerah Sri Wirama sebagai kumpulan paling lama bertahan selama 43 tahun sementara anugerah Kembara menjadi milik Mizz Nina. SENARAI PEMENANG AIM19 Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18 |
Posted: 18 Nov 2012 05:11 AM PST ABU Ahmed merenung bumbung bangunan di Gaza yang terbiar kosong seolah-olah seperti laut kelabu, tetapi apabila dia menoleh ke belakang, ke arah kebun sayurnya yang subur menghijau, dia tersenyum senang. Sayur di atas bumbung ba–ngunan pangsapurinya ditanam dalam besen dan batang paip besar yang ditebuk. Dia adalah antara peserta dalam projek kendalian agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memperkenalkan sektor pertanian kepada penduduk Gaza - antara kota paling padat di dunia dan mengajar rakyat Palestin untuk bertani tanpa tanah di kawasan terhad.
Salah satu bumbung ba–ngunan dijadikan tapak untuk sistem akuaponik dengan bekas menanam sayur yang berisi batu kelikir disambungkan ke tangki ikan tilapia. Dalam sistem bersepadu ini, air dari tangki ikan akan mengalir masuk ke dalam batas sayur tempat Abu Ahmed menanam pokok salad, cili, brokoli, saderi dan beraneka jenis herba yang secara tidak langsung mendapat baja daripada bahan buangan ikan tilapia.
"Tujuannya untuk membantu penduduk miskin di Gaza supaya mereka boleh menanam sendiri sayur-sayuran, mendapat makanan yang lebih menyihatkan dan lebih penting ia ditanam tanpa menggunakan racun serangga," kata penolong pengurus projek berkenaan, Mohammed El Shatali. Bagi Abu Ahmed, projek itu satu kejayaan besar. Dia bukan saja menggunakan sistem akuaponik, malah dia juga menghasilkan sistem hidroponik tambahan untuk menanam lebih banyak sayur di dalam beg plastik yang disiram dengan air daripada tangki ikan tilapia. "Saya ada sedikit pengalaman dalam pertanian, tetapi tidak sama seperti ini," katanya sambil memeriksa daun saderi. Hasil daripada projek itu, lelaki berusia 51 tahun itu kini sudah boleh menyediakan sayur-sayuran segar dan ikan kepada 13 ahli keluarganya sepanjang musim panas. "Ikan yang diternak sendiri ini rasanya juga sedap, walaupun saya cuba untuk tidak makan terlalu banyak kerana saya dalam usaha membiakkannya supaya tidak perlu mengeluarkan belanja membeli anak ikan," sambungnya. Manfaat daripada projek akuaponik ini tidak terhenti di situ saja. Ia juga secara tidak langsung mendinginkan pangsapuri di situ kerana ia memberi teduhan. "Malah, ia juga sangat bagus untuk kanak-kanak. Kanak-kanak sekarang tidak pernah lihat ladang, malah untuk melihat pokok pun susah. Jadi dengan adanya projek ini, ia boleh menarik minat mereka untuk bertani dan menanam pokok," terangnya. Penduduk Gaza yang seramai 1.6 juta orang tinggal bersesak di atas tanah seluas 360 kilometer persegi, tetapi banyak kawasan yang tidak boleh dihuni kerana Israel menetapkan had 300 meter jaraknya dari pagar sempadan sebagai zon larangan. Di bandar dan pekan utama Gaza, tanah lapang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan pangsapuri berbelas tingkat yang menyebabkan penduduk ketiadaan kawasan bercucuk tanam. Cabaran yang dihadapi Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah untuk mencari kaedah baru memaksimumkan penghasilan sayur-sayuran di kawasan yang amat terhad dan kecil. Di kawasan perumahan Zeitun di tengah bandar Gaza, Eman Nofal, 34, sibuk menguruskan kebun sayurnya di halaman kecil berhampiran pangsapurinya. Tahun ini tanamannya yang paling menjadi ialah lada. Lada manis dan pedas berwarna merah menambah seri pada kebun kecilnya. Suami Nofal terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan Fatah dan Hamas pada 2006 menyebabkan dia terpaksa menjadi ketua keluarga kepada empat anak yang masih kecil. Apabila dia mendengar mengenai projek berkenaan, dia teruja dan terfikir ia mungkin boleh mengurangkan perbelanjaan makanan keluarganya. "Projek ini memang bagus dan sangat mudah. Anak-anak saya seronok membantu menjaga kebun sayur kami," katanya sambil mengakui pada awalnya dia menganggap konsep yang diperkenalkan itu agak pelik. "Sepanjang hidup kami, apa yang kami tahu ialah apabila disebut pertanian, ia mestilah membabitkan tanah. Jadi memang pelik apabila mendengar sayur boleh ditanam dalam medium batu kerikil dan air. Namun, saya suka idea ini," katanya. Nafal juga memberitahu projek berkenaan turut memberi kegembiraan kepadanya. "Seronok rasanya dapat melihat pokok ini. Kadang-kala saya datang ke sini semata-mata untuk menikmati kehijauan dan melihat ikan bermain sesama sendiri.
Pun begitu projek ini juga ada kelemahannya, termasuk cabaran berhadapan dengan masalah catuan tenaga elektrik selama 12 jam sehari, membuatkan pam yang memindahkan air dari tangki ikan ke batas sayur terhenti. "Cabaran paling sukar diatasi ialah ketiadaan bekalan elektrik," kata Chris Somerville, perunding pertanian bandar yang bekerja dengan FAO. "Pada suhu 30 darjah Celsius, keupayaan air menampung oksigen berkurangan dan pada musim panas ramai mengadu ikan mereka mati," tambahnya. Peserta baru akan menerima pam dengan kuasa bateri untuk membolehkan ia terus berfungsi ketika bekalan elektrik diputuskan. Kini FAO menjalankan uji kaji mencari serat yang boleh digunakan dalam sistem hidroponik supaya kelembapan dapat dikekalkan sepanjang 12 jam ketiadaan bekalan elektrik (dan aliran air juga terhenti). Pada peringkat awal dulu, projek berkenaan terpaksa berhadapan dengan tanggapan negatif penduduk, kata Somerville. "Bukan mudah untuk meyakinkan penduduk di sini bahawa mereka boleh menanam sayur tanpa menggunakan tanah," jelasnya sambil ketawa. Namun begitu, projek yang diperkenalkan itu boleh disifatkan sangat berjaya kerana untuk kitaran seterusnya, jumlah peserta bertambah daripada 15 orang kepada 80 orang dengan 80 peserta lagi menjalankan pertanian menggunakan sistem hidroponik. Inilah kali pertama FAO melaksanakan sistem akuaponik pada skala besar dan agensi berkenaan kini mencari jalan memperkenalkan projek yang sama di tempat lain di seluruh dunia. "Kalau kita dapat jadikan projek di Gaza sebagai model dan membawanya ke negara lain, bagi kami ia adalah pencapaian yang sangat besar," katanya. - AFP Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |