Kosmo Online - Hiburan |
Glamor, anugerah bukan prioriti Posted: Glamor, anugerah bukan prioritiPERJALANAN karier seni Beto Kusyairy secara serius hampir genap 10 tahun. Karier awalnya cuma sebagai kru di belakang tabir beberapa produksi ketika sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Namun, iltizam untuk cuba meningkatkan rasa yakin diri daripada sifat semula jadi pemalu membuat Beto mengorak langkah mencuba bidang lakonan. Kata Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, bidang lakonan membantu dirinya menjalani transformasi lebih yakin dan mengikis rasa kurang senang apabila bersua dengan orang ramai. "Saya akui, sebenarnya saya seorang yang pemalu. Apabila ditawarkan peluang berlakon saya menerimanya sebagai satu bentuk terapi sekali gus menghilangkan rasa malu. "Pada masa yang sama keghairahan dan minat berlakon menyuntik semangat ekstra untuk memperbaiki kelemahan percakapan umum saya menjadi lebih baik. Tambahan apabila diberi watak berkarakter, terus rasa malu itu hilang," petah dia berkongsi cerita. Falsafah hidupnya sebagai anak seni dihurai dengan lebih mendalam, menjurus ke arah populariti yang sepatutnya diperoleh setanding dengan kualiti lakonannya. Tidak dinafikan walau apa watak diberikan kepada Beto, pengolahan dan jiwa yang disuntik ke dalam karakter menjadikan bintang dramatis itu lebih berkilau. Namun, hal yang sendiri diakuinya, populariti tidak datang seiring dengan kualiti yang dipersembahkan. Katanya berseloroh: "Barang kali muka saya terlalu Melayu, orang kurang perhati."
Nilai komersial Memecah derai tawa, tambah Beto, 32, faktor seseorang pelakon menjadi lebih glamor bukan hanya tertumpu kepada paras rupa, malah juga publisiti yang diberikan. "Oleh kerana sifat saya yang pemalu, mungkin saya juga kurang publisiti. Lantas peminat pun kurang kenal saya berbanding aktor lain. Mungkin juga saya tidak mendapat naskhah lakonan yang baik dan watak yang betul-betul sesuai dengan saya. Sejujurnya, saya masih menantikan tawaran yang betul-betul mencabar saya. "Saya tidak boleh menolak bahawa dunia lakonan satu bisnes, rupa paras penting untuk menambah nilai komersial sesuatu karya," katanya yang ditemui ketika penggambaran filem Balun di Taiping, Perak baru-baru ini. Lulusan Diploma Perhotelan UiTM Shah Alam itu juga mengakui dia kurang berinteraksi dengan peminat di laman sosial Facebook dan Twitter kerana enggan dilihat berat sebelah. "Jadi, biasanya kalau saya balas komen di Facebook atau Twitter saya balas sekali harung untuk semua peminat. Lebih baik daripada balas satu persatu nanti ada pula yang terasa hati," tambah bintang drama rantaian Juvana itu. Tegasnya juga, tidak dinafikan setiap anak seni memerlukan populariti, tapi bukan itu yang dia pegang. Ini kerana menurutnya, dia tidak terfikir dan tidak mahu fikir untuk menjadi popular.
"Sebaliknya, saya selesa dengan kehidupan saya sekarang dan masih rasa seperti orang biasa," ujarnya. Skala puas Ditanya mengenai skala kepuasannya berlakon dalam industri tempatan pada ketika ini, jawab Beto dia menyifatkan dirinya seorang yang tidak pernah puas! "Apabila tiba satu tahap, saya mahu menjadi yang lebih baik dan setiap kali diberikan naskhah baharu, saya mendaki satu anak tangga untuk memberi yang lebih baik daripada sebelumnya. "Semestinya setiap watak akan ada Beto yang berlainan kerana sebagai pelakon pelajaran paling bernilai adalah pengalaman dan karakter yang diberi. Tiada istilah puas dalam hidup saya," tegasnya. Sering diberikan watak dalam genre romantik dan aksi, ujar Beto dia tidak memandang tanggungjawab itu sebagai halangan untuk berkembang. "Saya seorang pemain watak dan perlu biasakan diri dengan pelbagai watak yang ada. Saya tak akan ke mana kalau meletakkan had memilih genre tertentu saja. Seboleh-bolehnya dunia lakonan ini peluang untuk saya meneroka dan berkembang," jelasnya. | |||
Posted: Psy perlu berhati-hati
BARU-BARU ini, majalah Forbes telah memuatkan satu artikel yang menarik mengenai penyanyi fenomena masa kini, Psy tentang adakah dia mampu bertahan lama dengan populariti single Gangnam Style miliknya. Penulisnya, Dorothy Pomerantz yang juga menulis senarai List 100 Celebrity versi Forbes, tidak menolak bahawa YouTube mampu membuat banyak keajaiban. Justeru, untuk kes seperti Psy yang mendadak popular di YouTube melalui Gangnam Stylenya, dia harus berhati-hati agar tidak mengikuti jejak Rebecca Black, penyanyi yang memperoleh 30 juta penonton di YouTube. "Video Friday milik Rebecca mendapat lebih 30 juta tontonan di YouTube dalam waktu singkat, dan sewaktu popularitinya memuncak, dia begitu sibuk. Namun kini, selepas fenomena Friday berakhir, dia kini kembali menjalani kehidupan sebagai seorang remaja normal," ujar Pomerantz. Dia juga menambah bahawa demam klip video tidak selari dengan populariti menjadi bintang pop. "Jauh sekali mampu untuk mengutip pendapatan yang lumayan," ujarnya. Pomerantz seterusnya berharap, Psy mampu mengekalkan populariti dengan menghasilkan karya yang lebih bagus selepas ini. "Jika Scooter Braun mampu membantunya untuk menghasilkan lebih banyak lagu pop yang hit, dan jika dia menunjukkan lebih banyak tarian yang cool serta klip video yang bagus, mungkin Psy akan sukses," ujarnya lagi. | |||
Saya bukan kaki propa! - Emma Maembong Posted: Saya bukan kaki propa! - Emma MaembongOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
CERITA artis tidak datang sesi fotografi atau membatalkan temu janji pada saat-saat akhir sudah biasa terjadi dan senario itu lumrah dalam industri hiburan. Perkara yang melibatkan kerjasama antara golongan selebriti dan rakan media, terutamanya wartawan adakalanya merenggangkan hubungan kedua-dua belah pihak yang saling memerlukan satu sama lain. Terkini, kes melibatkan bintang drama Kau Yang Terindah, Emma Maembong yang baru-baru ini dikatakan gagal muncul dalam satu sesi fotografi bersama sebuah akhbar mingguan sehingga menjadi buah mulut. Emma yang dijadualkan hadir untuk sesi tersebut pada pukul 11 pagi hari Rabu (26 September) lalu bagaimanapun gagal berbuat demikian setelah hampir dua jam wartawan dan jurusolek menanti tanpa sebarang khabar biarpun khidmat pesanan ringkas (SMS). Menjawab tuduhan kaki propa (suka menipu) yang dilabelkan kepadanya, Emma yang kini sedang mengikuti penggambaran drama bersiri Rindu Rania meluahkan perasaan kecewa kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini. Kosmo!: Boleh Emma jelaskan perkara sebenar yang terjadi pada hari tersebut? EMMA: Saya demam teruk sehari sebelum sesi fotografi tapi enggan membatalkan temu janji tersebut sehinggalah saya terlewat bangun 30 minit daripada waktu sepatutnya saya berada di sana. Tapi saya terus menghubungi wartawan (akhbar) tersebut untuk menjelaskan perkara sebenar dan ketika dalam perjalanan saya diberitahu tidak perlu lagi hadir ke sesi fotografi itu kerana semua kru sudah pulang. Tindakan anda selepas kejadian itu? Adakah anda ada menghubungi individu terbabit untuk memohon maaf? Ya, saya tidak putus-putus menghantar SMS, BBM (Black Berry Messenger) dan menelefon kerana rasa sangat bersalah sehingga menyebabkan mereka mencari pengganti tempat saya. Saya mohon pihaknya menukarkan sesi fotografi ke tarikh lain.
Apabila keluar artikel yang menuduh anda kaki propa, apa komen anda dan tindakan selepas membaca artikel tersebut? Saya tidak marah, cuma sangat terkejut dan sedikit kecewa kerana dakwaan itu menjejaskan reputasi dan prestasi saya sebagai artis baharu. Sampai ada pihak yang pada mulanya mahu menawarkan saya berlakon menghubungi saya dan meragui akan disiplin saya. Saya ada menghubungi wartawan tersebut dan dia sendiri tidak menyangka perkara itu menjadi besar. Kami tiada sebarang masalah. Malah, kami membuat temu janji untuk mengadakan kembali sesi fotografi pada 4 Oktober ini. Apabila timbul isu berkaitan masalah disiplin artis baharu, pastinya imej akan mudah tercalar. Janji anda kepada pihak yang akan memanggil Emma untuk sesi fotografi atau menawarkan anda berlakon selepas ini? Sebelum ini pun saya tidak pernah datang lambat kalau ada fotografi dan kalau terlambat pun pasti saya akan memaklumkan terlebih dahulu. Saya minta maaf sekiranya tindakan saya menyebabkan banyak pihak yang marah dan tidak percaya akan kredibiliti saya. Memandangkan perkara sebegini menjatuhkan reputasi anda sebagai bakat baharu yang sedang mendapat perhatian semasa, ada syarat untuk pihak tersebut atau pihak-pihak lain sebelum mengatur sebarang jadual dengan anda? Sudah pasti tiada. Saya mohon agar menghormati kerjaya saya dan tidak mengeluarkan cerita-cerita buruk mengenai saya. Saya harap agar perkara tersebut diperbetulkan kerana ramai yang sudah salah faham. Saya juga bukan seorang pendendam dengan sesiapa. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |