Berita Harian: Hip |
Posted: 03 Oct 2012 02:47 PM PDT M Nasir jangka berlaku ledakan untuk semarakkan lagi industri muzik tempatan Kesuraman industri hiburan tempatan sejak beberapa tahun lalu tidak dianggap ancaman oleh penyanyi dan komposer bergelar sifu, Datuk M Nasir. Melihat graf industri muzik sekarang berada pada fasa paling senyap, M Nasir menjangka ledakan akan berlaku suatu masa kelak. Namun, ketika ditanya bila, seniman kelahiran Kota Singa itu tidak ada jawapannya.Sebaliknya, kata M Nasir, ramalan itu datang dari gerak hatinya. Dia yakin sesuatu yang besar akan berlaku seterusnya menyemarakkan industri muzik di Malaysia. "Kehidupan kita umpama roda yang tidak akan kekal pada kedudukannya. Apabila putarannya sudah lengkap, ia akan kembali ke asal. Dalam keadaan industri yang kurang bermaya, saya lihat akan ada ledakan yang positif," katanya. M Nasir berkata, ledakan dirasakan berlaku selepas industri menjadi senyap akibat penjualan album dan lagu yang merosot. Penyanyi perlu bersedia "Bezanya muzik pada zaman ini tidak meninggalkan kesan besar kepada penonton. Kalau orang tanya ini era apa, sukar untuk kita jawab kerana kita tidak ada lagu yang betul-betul kuat. "Melainkan orang itu pengikut setia dunia muzik. Tidak seperti zaman 1960-an hingga 1990-an, zaman itu kita tahu apa aliran muziknya. Ada pop yeh yeh, dangdut, dan rock kapak," katanya yang berpendapat kemodenan teknologi mempengaruhi selera muzik pendengar. Kemajuan teknologi kata M Nasir menyebabkan apresiasi peminat terhadap muzik mula berubah. Dia mula perasan industri muzik semakin perlahan apabila muncul klip video. Penghasilan klip video katanya menyebabkan pendengar tidak menghargai keindahan lagu sebaliknya mereka lebih tegar memuja visual. Harap karya Najwa berkembang M Nasir juga melihat trend turut memberi kesan pada industri muzik. Contohnya, sensasi penyanyi wanita bermain gitar dan bertudung seperti Najwa Latiff dan Yuna yang dilihat sebagai aliran bermusim. "Jika penyanyi mengikut trend pada ketika itu, peminat mudah untuk terima seseorang penyanyi. Tetapi tidak semua orang yang cuba mencipta nama di Youtube menjadi. Najwa antara yang berjaya, tetapi bukan mudah untuk melahirkan seorang lagi penyanyi seperti dia. "Dia mungkin popular kerana takdir, entah siapa yang menonton di Youtube membuatkan dia tiba-tiba popular. Apatah lagi lagu dia berunsur 'catchy' jadi orang mudah layan lagu dia. "Cuma saya berharap muzik dia akan berkembang, saya tidak anggap karya dia tidak bagus. Bagi saya yang penting adalah kejujurannya," katanya. Sebagai orang lama, M Nasir melihat muzik pada sesuatu era boleh dilihat berpandukan kepada stesen radio. Katanya, radio yang akan menentukan populariti sesebuah lagu. Namun, dia melihat pola pendengar setia radio adalah orang muda. Peringkat umur itu katanya adalah golongan yang belum tahu menghargai muzik. Berikutan itu, muzik 'catchy' menjadi buruan anak muda. |
Posted: 03 Oct 2012 02:45 PM PDT ISU Sami Yusuf membatalkan konsertnya di Malaysia pada saat akhir Julai lalu mungkin masih meninggalkan tanda tanya kepada peminat. Tidak mahu isu itu terus dikaitkan dengan syarikatnya, Pengarah Urusan Arteffects Sdn Bhd, Hafiz Hamidun yang bertanggungjawab mengedar album Sami di Malaysia akan membawa semula penyanyi berasal dari Iran itu ke Kuala Lumpur, bulan depan. Merasakan Sami masih terikat dengan perjanjian, Hafiz akan membawa penyanyi yang terkenal dengan lagu Asma Allah dan Hasbi Rabbee pada majlis pelancaran album dan showcase eksklusif pada 3 November ini."Sami masih terikat dengan Arteffects dalam soal jualan album di negara ini dan menjadi tanggungjawab dia untuk berkunjung ke Malaysia. Lagi pun, penyanyi seperti Sami sedar Malaysia adalah 'lubuk' mereka kerana punya ramai peminat di sini. "Selain persembahan dan pelancaran album, kita akan memperuntukkan masa sejam untuk Sami menjawab pertanyaan media mengenai tindakannya membatalkan konsert tiga bulan lalu," katanya. Bukan menyebelahi Sami atau melindungi tindakannya itu, Hafiz yang ditemui pada majlis sidang media Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun di Kuala Lumpur semalam menganggap wajar untuk penyanyi itu tampil dan menjelaskan tindakannya membatalkan konsert pada 14 Julai lalu. "Kalau Sami fikir tindakannya itu betul, dia harus jelaskan kenapa dia buat macam itu? Dia sudah bersetuju untuk datang dan ia atas persetujuan bersama dengan syarikat pengurusannya, ETM International. "Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbang kepada Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Wirda," katanya. Ajak peminat berzikir dalam konsert Berbicara mengenai konsert sulung pada 14 November ini, bekas vokalis kumpulan UNIC itu membayangkan kelainan berbanding konsert hiburan lain. Hafiz akan menampilkan alunan muzik dan zikir dalam bentuk tiga dimensi (3D). Sistem pencahayaan dan permainan warna akan dipersembahkan pada konsertnya itu yang akan dihadiri 2,000 peminat menerusi 12 zikir yang terkandung dalam albumnya. Konsert itu diadakan bagi menghargai peminat atas penjualan albumnya berjudul Zikir Terapi Diri. Album itu terjual lebih 60,000 unit sejak dilancarkan 10 bulan lalu malah berada di tangga teratas carta jualan album di iTunes. "Ini bukan konsert nasyid, tetapi lebih kepada muhasabah dan mengenal diri dengan iringan bunyian muzik orkestra yang saya susun. Bukan saja mendengar dan melihat, malah penonton dapat merasa zikir itu. Kita juga cuba menampilkan bauan aroma sepanjang konsert itu berlangsung. "Konsert ini akan meruntun perasaan nurani penonton. Saya juga akan tampilkan bekas vokalis kumpulan Mirwana, Izzat Mahadi pada pembukaan konsert serta seorang Sheikh dari Yaman," katanya yang pernah membuat persembahan di United Kingdom (UK), China dan India. Selepas konsert di Kuala Lumpur, Hafiz akan berangkat ke Vietnam pula. Konsert selama 90 minit sempena malam tahun baru hijrah itu akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu penyesalan dan penghayatan selain menampilkan Imam Muda Asyraf sebagai personaliti undangan. Mahu kekasih habis pengajian Menyentuh soal peribadinya, penyanyi berusia 28 tahun itu mengaku menyulam cinta dengan seorang gadis Bandung, Indonesia yang baru enam bulan dikenalinya ketika menunaikan umrah. Gadis berusia 20 tahun bernama Nabila itu dipertemukan selepas dia berdoa di depan Kaabah. Walaupun sudah mengenali antara satu sama lain, Hafiz belum terfikir untuk menyunting gadis idamannya dalam masa terdekat. "Dia belajar di sebuah universiti di Makkah dalam jurusan undang-undang Syariah. Saya pernah membawa keluarga bertemu dengan familinya di Bandung. Walaupun berjauhan ia tidak menjadi halangan kerana kami sering berhubung melalui Twitter dan Facebook. "Insya-Allah pada Februari atau Mac depan saya akan menunaikan umrah dan mengambil kesempatan untuk bertemu dengannya. "Buat masa sekarang belum terfikir lagi untuk berkahwin kerana dia masih belajar, Insya-Allah kalau ada jodoh selepas dia habis belajar mungkin kami akan memikirkannya," katanya yang menganggap Nabila seorang yang tegas dan garang. Info: Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |