Adsense

Rabu, 31 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sharifah Sakinah versi serius

Posted:

Sharifah Sakinah versi serius

TIDAK dinafikan wataknya sebagai Kinah menerusi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang telah memberi impak yang tersendiri buat pelakon Sharifah Nurul Sakinah Al-Khaired Syed Abu Bakar.

Berlakon di samping Elfira Loy dan Randy Pangalila dalam telefilem tersebut, karakter Sakinah yang membawakan watak anak orang kaya yang kebodohan ternyata berhasil mencuit hati penonton.

Biarpun namanya semakin dikenali ramai selepas itu, ternyata Sakinah tidak mampu lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi yang melanda dirinya.

Pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan, Sakinah pernah berselisih faham dengan pelakon Julia Ziegler dan Gambit Saifullah.

Kemudian pelakon berusia 23 tahun itu juga pernah dilabel sebagai seorang artis sombong gara-gara kerap menolak permintaan pihak media yang ingin mengadakan sesi fotografi dengannya.

Berkesempatan menemuinya semasa siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini, pelakon berkenaan menafikan dia seorang yang suka mencipta kontroversi.

"Seboleh-bolehnya saya mahu menjadi seorang individu yang lebih matang dan tidak mahu mengingati lagi semua kontroversi yang pernah melanda diri saya dahulu.

"Sekarang ini saya enggan menoleh ke belakang lagi dan ingin dikenali sebagai seorang pelakon yang berbakat, bukannya pelakon yang sarat dengan kontroversi," jelasnya.

Menurut Sakinah, memandangkan minat yang begitu mendalam dalam bidang seni, dia pernah berhadapan dengan dilema sama ada memilih untuk bergelar pelakon atau memberikan fokus kepada pelajarannya.

Sebelum ini dia pernah menuntut di Kolej Universiti HELP di Damansara, Selangor dalam bidang pengajian undang-undang, tetapi hanya belajar separuh jalan dan kemudian mengambil keputusan untuk berhenti.

"Pada mulanya saya memang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang peguam, namun akhirnya saya sedar bidang tersebut tidak sesuai dengan diri saya. Ternyata, jiwa saya lebih kepada bidang lakonan," ujarnya.

Berkenaan dengan gelaran artis sombong yang pernah dilabelkan pihak media sebelum ini terhadap dirinya, Sakinah memberitahu dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang masalah atau enggan memberikan kerjasama.


FIGURA ini berusaha sendiri untuk meraih peluang dalam bidang lakonan.


Ujarnya, dia bukan sengaja menolak tawaran untuk mengadakan sesi fotografi yang diaturkan media, tetapi dia sebenarnya seorang individu yang kurang gemar bersolek.

"Dulu saya tidak serius untuk bergelar pelakon. Saya terbabit dalam dunia lakonan pun sekadar suka-suka sahaja dan tidak terlampau mengejar populariti sangat serta tidak kisah kalau cerita mengenai diri saya kurang didedahkan dalam media.

"Bagaimanapun, lakonan sudah menjadi keutamaan saya sekarang dan sedar populariti itu memang penting jika hendak pergi lebih jauh. Kini, saya bersedia memberikan kerjasama terutamanya untuk mengadakan sesi fotografi dengan mana-mana media," ujarnya.

Rakan baik

Sejak namanya menjadi sebutan ramai selepas membintangi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, ternyata Sakinah dilihat banyak terbabit dengan drama dan telefilem arahan Michael Ang dan syarikat penerbitan Cube Film sehinggakan dia dilabel sebagai anak emas pengarah popular tersebut.

Mengakui pengarah itu merupakan antara individu yang memainkan peranan menaikkan namanya dalam bidang lakonan, namun dia menafikan dirinya merupakan pelakon kegemaran Michael.

"Saya tidak pernah melihat diri saya ini merupakan anak emas atau pelakon kegemaran Michael. Lagipun, banyak lagi pelakon-pelakon lain yang selalu berlakon di bawah arahannya seperti Elfira Loy, Didie Alias dan Marsha Milan Londoh.

"Mengenai hubungan dengan Michael saya bukan sekadar menganggapnya sebagai pengarah, malah dia merupakan rakan baik yang banyak membantu sehingga nama saya dikenali ramai seperti sekarang," jelasnya.

Sakinah turut memberitahu, dia langsung tidak pernah terikat untuk berlakon di bawah syarikat Cube Film sahaja dan turut diberi kebebasan berlakon dengan produksi atau pengarah lain.

"Mungkin ramai tidak sedar yang saya juga sudah banyak terbabit dengan produksi lain, misalnya seperti Zeel Production yang memang banyak memberikan tawaran lakonan kepada saya.

"Terbaharu, saya juga berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah tersohor iaitu Erma Fatima menerusi drama bersiri 13 episod berjudul Aku Bukan Untukmu," ujarnya sambil mengakui tidak terlalu selektif dalam memilih setiap tawaran berlakon yang diterimanya.

Berdikari

Pastinya ramai yang sudah tahu tentang status Sakinah yang merupakan adik kepada Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahirah, dua orang pelakon yang terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia lakonan.

Walaupun kedua-dua orang kakaknya itu sudah lama bergelar pelakon, Sakinah menyatakan dia tidak mengambil kesempatan menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tawaran berlakon.


SAKINAH menolak tanggapan bahawa dia merupakan anak emas pengarah, Michael Ang.


"Memang tidak dinafikan, mereka merupakan sumber inspirasi yang membuatkan saya menjadi minat dan jatuh cinta kepada lakonan, malah mereka juga banyak memberikan galakan kepada saya untuk serius dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya akan mengambil kesempatan dengan menjaja status saya sebagai adik kepada Norhaslinda dan Shahirah, sebaliknya saya lebih gemar berdikari dan mencari sendiri peluang lakonan tanpa mengharapkan bantuan mereka," tegasnya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia berlakon bersama-sama kakaknya, terutama Shahirah yang masih lagi aktif berlakon, Sakinah menyatakan dia menerima seadanya tentang hal tersebut.

Ini memandangkan memang ramai peminat yang ingin melihat gandingan mereka berdua sama ada dalam drama atau telefilem.

Lisa turun berat badan

Posted:

Lisa turun berat badan

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


LANGSING. Berat badan Lisa pernah mencecah 58 kilogram sebelum mengamalkan diet pemakanan.


PELAKON wanita yang bakal menggalas watak isteri mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika muda dalam teater Tun Siti Hasmah tidak lama lagi ini telah susut berat badannya.

Bukan disebabkan tertekan dengan latihan teater berkenaan atau kerana sudah berbadan dua, Lisa sebaliknya ingin menurunkan berat badannya yang dikatakan agak berisi selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pengarah dan penyanyi Yusry Abdul Halim.

Lisa yang kini kelihatan sangat langsing baru sahaja dilantik menjadi duta tempatan pertama untuk kanta lekap FreshLook, keluaran syarikat Alcon yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sebelum ini antara selebriti luar negara yang pernah menjadi duta kanta lekap jenama tersebut ialah penyanyi Taiwan, Rainie Yang dan anggota kumpulan Girls Generation dari Korea Selatan, Im Yoona.

Lisa dan Yusri khabarnya bersepakat mahu menurunkan berat badan masing-masing dan untuk itu, mereka saling menyokong antara satu sama lain untuk mengurangkan makan nasi dan hanya makan makanan berkhasiat.

Ternyata, usaha tersebut memberikan impak terhadap Lisa. Ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta FreshLook di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin, Lisa mendedahkan rahsia dan petua yang diamalkan untuk menurunkan berat badannya.

Kosmo!: Lisa kelihatan langsing dan kurus berbanding sebelum ini, apakah rahsianya?

LISA SURIHANI: Rahsia berat badan saya sudah turun empat kilogram sebab banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kenapa Lisa ambil keputusan untuk menurunkan berat badan?

Selepas penggambaran filem Istanbul Aku Datang memang saya tidak boleh kawal makan. Saya nampak lebih berisi selepas kahwin, jadi sebelum kena penyakit baik saya diet.

Berapa berat badan Lisa sebelum ini?

Berat badan saya 54 kilogram (kg), dan ia naik empat kg selepas itu. Ia (turunkan berat badan) atas kesedaran sendiri bukan sebab kritikan pihak media kata saya sudah berisi.

Apa lagi yang Lisa lakukan dalam tempoh berdiet itu?

Saya jarang bersenam tetapi kurangkan makan nasi. Bukan tidak makan langsung, cuma makan sedikit. Kalau langsung tidak makan nasi, nanti perut akan terkejut sebab sudah makan nasi sejak kecil lagi. Selain itu saya banyak makan salad, minum yogurt dan air jus buah-buahan segar.

Lisa mahu turunkan berat badan sampai berapa kilogram?

Saya tidak mahu kurus sangat, janji saya nampak sihat itu sudah cukup.

Selepas pementasan teater Tun Siti Hasmah, apakah projek terbaharu Lisa?

Saya akan muncul dalam sebuah rancangan televisyen tetapi tidak boleh didedahkan di sini (buat masa ini). Saya juga terbabit dengan sebuah lagi program untuk siaran di internet iaitu Maskara.

Elizabeth Taylor selebriti mati terkaya

Posted:

Elizabeth Taylor selebriti mati terkaya

MENDIANG Elizabeth Taylor dan Michael Jackson merupakan dua selebriti yang telah meninggal dunia tetapi masih meraih pendapatan tahunan mencecah ratusan juta ringgit.


BINTANG legenda Hollywood, Elizabeth Taylor telah mengalahkan sahabat baiknya, Michael Jackson dalam senarai selebriti mati terkaya di dunia.

Menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh majalah Forbes, untuk tempoh dari Oktober tahun lepas hingga Oktober tahun ini, mendiang Taylor telah mengumpul pendapatan tertinggi berjumlah AS$210 juta (RM672 juta) dengan sebahagian besarnya iaitu RM592 juta adalah hasil daripada lelongan barangan peninggalannya yang termasuklah permata, kostum dan lukisan.

Antara harta peninggalan Taylor yang terjual dengan harga paling mahal termasuklah lukisan karya pelukis legenda, Van Gogh pada tahun 1889 - mencecah RM51 juta di samping pulangan bisnes pewanginya, White Diamonds sepanjang tahun lepas yang terkumpul mencecah RM240 juta.

Menurut laporan majalah bisnes itu lagi, pendapatan Taylor untuk tahun lepas juga disumbangkan daripada hasil jualan produksi filem lakonannya yang ditayangkan pada tahun 1963, Cleopatra.

Ini kerana Taylor yang meninggal dunia pada Mac tahun lepas pada usia 79 tahun sebenarnya, berkongsi 10 peratus hasil pendapatan daripada tayangan setiap filem-filem lakonannya.

Michael Jackson yang meninggal dunia pada tahun 2009 pula jatuh di tempat kedua dalam senarai tersebut dengan mengumpul pendapatan mencecah RM464 juta, manakala mendiang Elvie Presley di tempat ketiga selepas berjaya mengumpul RM176 juta - jumlah sama yang dikumpul pada tahun sebelumnya.

Kartunis selebriti, Charles Schulz, pencipta karya kartun popular Peanuts pula di tempat keempat dengan mengumpul sejumlah RM118 juta.

Antara selebriti yang masuk dalam senarai baharu Top 10 Selebriti Mati Terkaya itu termasuklah dua bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe dan Steve McQueen.