Adsense

Rabu, 31 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Detik indah Irma

Posted: 30 Oct 2012 02:56 PM PDT

Hamil beri pengalaman baru walaupun aktiviti seni berkurangan

SEJAK statusnya berubah menjadi isteri orang, kerjaya seni Irma Hasmie Ibrahim, 30, bergerak sedikit perlahan. Ini diakui sendiri wanita yang sedang hamil empat bulan itu.

Selepas bergelar isteri kepada Redza Syah Azmeer, 31, mereka terus dikurniakan rezeki yang menjadi idaman setiap pasangan berkahwin. Pada awal trimester pertama, seperti wanita lain, Irma mengalami alahan terutama pada waktu pagi.

Adik ipar tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini, malah menawarkan diri untuk menjaga bayi saya nanti," - Irma Hasmie Ibrahim, Pelakon


Justeru, Irma terpaksa memperlahankan sedikit aktiviti seni dengan hanya memberi tumpuan kepada tugas sebagai pengacara program Assalamualaikum di saluran TV Alhijrah selain menjadi duta sebuah produk hijab.

"Jujur Aku Dayus adalah drama terakhir yang saya terima sebelum berkahwin. Selepas itu, saya mula sibuk membuat persiapan untuk majlis pertunangan diikuti pernikahan kerana jarak waktu antaranya singkat.

"Ini menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon. Selepas berkahwin, rezeki menimang cahaya mata dipermudahkan. Apabila berbadan dua pula, saya tidak larat hendak berlakon walaupun ada watak sesuai ditawarkan.

"Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, saya mudah mengah," katanya yang cukup gembira dengan kehidupan baru sebagai isteri Redza Syah.
Berat badan meningkat 10 kilogram

Dedah wanita kelahiran Kuala Lumpur ini, dia sedang meniti fasa hidup yang membahagiakan. Hidupnya hampir sempurna kerana dikurniakan suami penyayang serta bakal bergelar ibu, tidak lama lagi.

"Kehidupan ini benar-benar baru buat saya, tidak pernah saya bayangkan seindah ini kebahagiaan yang Allah berikan. Saya benar-benar bersyukur dengan kehidupan yang hampir sempurna ini.

"Saya tidak boleh katakan hidup saya sudah cukup sempurna kerana tiada insan yang sempurna di dunia ini. Alhamdulillah, saya juga amat bersyukur dikurniakan keluarga mentua yang sudah seperti keluarga sendiri," katanya ketika ditemui di Majlis Qurban Perdana Islamic Relief Malaysia (IRM) di Bandar Baru Ampang, Sabtu lalu.

Irma berkata, keluarga mentua melayannya cukup baik.

"Adik ipar tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini, malah menawarkan diri untuk menjaga bayi saya nanti," katanya.

Ditemani ibu mentua dan adik ipar, pelakon yang makin berisi akibat penambahan berat badan hampir 10 kilogram sejak mengandung, masih belum mempunyai sebarang perancangan mengenai kerjaya seni selepas melahirkan anak.

Irma yang pernah membintangi drama Kasih Alia ini berkata, dia juga masih belum memutuskan siapa bakal menjaga bayinya. Malah, tidak pasti sama ada mahu mengambil pembantu rumah bagi meringankan tugas harian.

"Setakat ini, saya belum memikirkan siapa bakal menjaga anak kami. Saya juga belum terfikir mengambil pembantu rumah. Lagipun mendengar pelbagai masalah membabitkan pembantu rumah membuatkan hati saya jadi risau.

"Keluarga kami berdekatan, jadi rasanya tiada masalah jika saya mahupun suami sibuk dengan kerja. Suami pula bekerja sendiri, jadi dia tidak terikat dengan waktu pejabat," katanya.

KARYAWAN sokong FINAS anjur FFM25

Posted: 30 Oct 2012 02:54 PM PDT

Kelmarin, pejabat Cik Normah menerima kenyataan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengenai penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25, yang dijadualkan berlangsung 30 Disember depan. Persatuan itu menyokong tindakan FINAS mengambil alih penganjurannya.

Dalam kenyataan itu, Pengerusi Kehormatnya, Datuk Sarimah Ahmad, menyatakan FINAS ialah badan paling tepat untuk menganjurkan festival berkenaan berikutan merekalah pihak bertanggungjawab memberikan peruntukan untuk FFM.

"Kami sokong langkah ini. Selain itu kami rasa amat wajar sekali ia dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penerbit Filem (PFM), pihak yang mengambil risiko tinggi untuk melaburkan sejumlah wang yang begitu banyak untuk menghasilkan filem dan menjana pembangunan industri perfileman tanah air," kata Sarimah.

Dia turut berharap FINAS akan tegas dengan keputusan mereka sebagai langkah mengelakkan berulangnya masalah pada FFM tahun lalu.

Cik Normah sekadar bertindak sebagai pemerhati kepada drama yang berlaku sejak beberapa hari lalu. Siapalah Cik Normah hendak masuk campur kan? Cik Normah juga tidak kisah siapa pun yang menganjurkan FFM, asalkan ia dapat diadakan dengan sebaik-baiknya, dengan keputusan yang seadil-adilnya, menerusi penjurian yang setelus-telusnya.

Bukan apa, tak seronoklah nanti kalau keputusannya ala-ala untuk memuaskan hati sesetengah pihak yang bertanding saja. Kalau filem itu dirasakan tidak layak menang, tak payahlah bagi trofi.

Oh ya, kalau dilihat kembali kepada tarikh malam kemuncaknya, iaitu pada 30 Disember, Cik Normah rasa waktu itu tumpuan orang ramai adalah kepada aktiviti bercuti. Jadi, kala FFM diadakan pada tarikh berkenaan, tidak ke nanti FINAS bimbang kalau tiada siapa pun yang peduli? Lagi satu, dengarnya pihak stesen TV pun sudah penuh dengan program khas masing-masing pada tarikh terbabit. Jadi, macam mana hendak disiarkan FFM25 secara langsung?