Harian Metro: Rap |
Posted: 30 Oct 2012 07:11 AM PDT KALAU sebelum ini filem aksi seperti KL Gangster, Jiwa Taiko, Kongsi dan Pe3 mengisi pawagam, akan muncul pula kisah mengenai budak-budak nakal menerusi Budak Pailang. Budak Pailang atau dalam bahasa Hokkien bermaksud budak nakal dilakonkan barisan pelakon muda seperti Aeril Zafrel, Niezam Zaidi dan Wawa Zainal. Ia arahan Hashim Rejab yang sebelum ini pernah mengarah filem Halim Munan dan Sekali Lagi. Bagi Aeril, filem yang akan memulakan tayangan pada 1 November ini menonjolkan sisi berbeza kerana sebelum ini dia lebih lebih sinonim dengan watak romantik. Secara peribadi, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 24, akui tertarik dengan watak Badrul kerana ia ada kelainan daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini. "Badrul berasal daripada keluarga miskin. Akibat tidak tahan hidup dalam kemiskinan, dia mula membabitkan diri dalam dunia kongsi gelap. Kehidupannya berubah menjadi mewah kerana kerja haram sehinggalah Badrul ditangkap dan dimasukkan ke sekolah Juvana sekali gus insaf atas perbuatannya itu. "Apa yang mencabar, 60 peratus daripada filem ini membabitkan aksi pergaduhan yang memerlukan kekuatan dari segi fizikal. Saya tidak ada masalah menjayakan babak pergaduhan kerana kebanyakan lelaki memang ada asas 'street fighting'. "Selain itu, saya juga ada belajar seni mempertahankan diri Muay Thai tidak lama dulu serta bimbingan daripada pengarah aksi di lokasi penggambaran," katanya. Ditanya gandingannya dengan Wawa, kata Aeril dia tiada masalah mendapatkan keserasian. "Kami pernah digandingkan dalam drama Klik untuk saluran Astro Ceria sebelum ini. Penonton juga akan dapat melihat Wawa bawa watak antagonis yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini. Ia menampilkan sesuatu yang baru dalam lakonannya," katanya. Mengenai kerjasamanya dengan Hashim pula, kata Aeril, dia pernah bekerja dengan pengarah itu dalam drama Klik 1 dan Klik 2. "Saya tidak ada masalah bekerja dengan Hashim kerana sudah tahu cara dan rentak dia bekerja. Satu kelebihan Hashim ialah dia sentiasa memberi semangat kepada pelakon untuk melakonkan babak diserahkan dengan baik. "Bagi saya, tekanan yang diberikan pengarah pada seseorang pelakon itu akan membuatkan pelakon itu lebih bersedia. Sedikit sebanyak, memang kita berasa tertekan untuk melakonkan babak seperti dikehendaki pengarah itu tetapi kita akan berasa puas apabila melihat hasilnya," katanya. Sementara itu Aeril akui jiwanya lebih tenang dan damai sejak mendalami ilmu agama dan perubatan alternatif Islam, hampir setahun lalu. Sudah lapan bulan, aktor muda meningkat naik, Aeril Zafrel ini menyepi dan tidak berlakon drama atau filem sedangkan namanya di puncak populariti ketika ini. Terus terang, anak kelahiran Rengit, Batu Pahat, Johor ini belum terfikir untuk bersara daripada bidang lakonan mahupun membataskan watak pada filem bercorak Islamik semata-mata seperti tanggapan masyarakat. "Cuma buat masa ini, saya belum bersedia untuk berlakon dalam mana-mana projek drama atau filem baru dalam tempoh terdekat ini kerana ingin memberi fokus kepada ilmu agama dan perubatan Islam yang baru dipelajari ini. "Saya berminat menceburi perubatan Islam ini pun selepas terkena penyakit misteri, sebelum ini. Alhamdulillah, penyakit misteri itu sudah pun pulih. Pada masa sama, saya putuskan untuk berehat seketika dari bidang seni bagi mengkaji kelemahan dalam aspek lakonan kerana saya sangat pentingkan kualiti dihasilkan," katanya. Bagaimanapun, pelakon yang dikenali dalam filem seperti Tujuh Petala Cinta, Cinta Kura-Kura, HACKS (Hanya Aku Cinta kau Seorang) dan Aku Tak Bodoh ini sempat beraksi dalam filem genre aksi, Budak Pailang (budak nakal) terbitan Metrowealth (MIG) yang menjalani penggambaran pada tahun lalu. Selain Budak Pailang, dia turut berlakon dalam filem 99 Kali Rindu. Berbanding Aeril, pendatang baru di persada hiburan tanah air, Niezam Zaidi pula bermula dari bawah sebelum diberi kepercayaan bawa watak pembantu dalam drama dan filem. Pemilik nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 20, dari Ipoh, Perak ini pernah berlakon dalam filem 99 Kali Rindu, Pada Suatu Cinta Dahulu, Khalimah dan Adnan Sempit 3. Manakala, drama lakonannya pula ialah Takdir Qismah, Bini-Bini Perkasa dan Diari Platun dan telefilem Cikgu Kamala. Pemegang sijil Bengkel Lakonan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (2011) ini juga julung kalinya di beri kepercayaan memegang watak penting iaitu sebagai budak jahat bernama Rodi dalam filem Budak Pailang. "Jiwa saya memang pada watak antagonis dan watak budak jahat seperti Rudy memang sesuai dengan diri saya. Sebelum penggambaran, kami perlu menghadiri kelas lakonan selama empat hari untuk menjiwai karakter diserahkan. "Apapun, saya tidak serik atau takut walaupun badan saya lebam-lebam kerana disepak terajang serta mengalami kecederaan di bawah mata ketika menjiwai aksi pergaduhan dalam cerita ini. Bayangkan, saya juga pengsan sekejap ketika ada benda tiba-tiba terjatuh atas kepala. Mujur, kecederaan tidak serius," katanya. Sebagai orang baru, Niezam mengakui perlu menyesuaikan diri dengan pengarah dan barisan pelakon dalam filem itu. "Setakat ini, semua berjalan lancar. Pada pandangan saya, Hashim seorang pengarah yang tegas dan sebagai pelakon, saya perlu berasa hormat padanya. "Pelakon yang sudah ada nama seperti Ariel dan Wawa juga memberikan kerjasama yang baik pada saya ketika di lokasi," katanya. Filem yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 1 November ini turut dibantu barisan pelakon lain seperti Zul Handy Black, Zalif Sidek, Epy Raja Lawak, Man Rahman, Arien Yunus dan ramai lagi. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30 |
Usah buat lawak tikam belakang Posted: 30 Oct 2012 06:20 AM PDT SELEPAS kumpulan Osbon diangkat sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2011 (MLM), musim kedua program realiti yang mencetuskan fenomena tersendiri tahun lalu ini dijangka lebih sengit dengan menyaksikan 10 barisan pelawak dan pelakon komedi tersohor membabitkan penyertaan dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia bakal berentap di gelanggang MLM 2012 bermula 16 November ini di saluran Astro Warna. 10 kumpulan yang bakal berentap pada musim ini ialah Boboi (Afdlin/Harun/Nabil, Pimai (Imuda/Mat Over), Jozan (Johan/Zizan Raja Lawak), Sabon (Abon/Sathia), Jambu (Taukeh/Yus), R2 (Rahim/Wan Lopez), Shiro (Shahrol/Ajak), Mamu (Abu/Ajo). Dua lagi kumpulan dari Indonesia iaitu The Bandung Jokers (Dodon/Amin Bawel/Aman) dan Saywho (Eko/Bocil/Vicha) turut berentap. Tidak ketinggalan, penyertaan dari Singapura iaitu 2IN1 (Bobo/Arif Sudin) yang bergabung dengan artis veteran AR Badul. Manakala, tiga lagi kumpulan iaitu Balas, Kecik dan Mamu pula bakal bersaing dalam Kerusi Panas MLM kerana hanya satu saja kumpulan yang akan terpilih untuk bersaing dalam MLM 2012.
RAP: Misi utama kumpulan Boboi berentap dalam MLM 2012? AFDLIN: Kami cuba untuk mengukuhkan lagi jenama Boboi, produk, komik, animasi, Opera Sabun Boboi dan sebagainya lagi. Apa yang penting, kami jayakan program ini sebab nak buat orang gembira dan terhibur. RAP: Kenapa Boboi tidak kekal berdua saja untuk MLM 2012? Adakah kehadiran Nabil untuk memantapkan lagi kumpulan ini? AFDLIN: Kami ingin tampilkan tiga kombinasi generasi Boboi dalam MLM 2012. RAP: Boleh berkongsi perancangan dan strategi Boboi untuk berentap dalam gelanggang MLM 2012? AFDLIN: Saya akui memang kami bertiga 'pecah kepala' dibuatnya untuk tampil dengan idea yang lebih menarik musim ini. Maklumlah, budaya kerja kumpulan Boboi memang sentiasa beri yang terbaik pada setiap persembahan, sejak dulu. RAP: Ada pihak yang mempertikaikan kenapa kumpulan yang sama bersaing pada musim kedua ini? AFDLIN: Kami menyertai persaingan musim kedua program realiti MLM kerana diundang sekali lagi oleh pihak Astro Warna untuk sama-sama menghangatkan lagi pertandingan ini. Terus terang, Boboi melihat MLM 2012 bukan sebagai satu pertandingan sebaliknya ruang untuk kami bertemu semula kawan-kawan dan pada masa sama menghiburkan orang. RAP: Kumpulan yang beri saingan paling sengit pada Boboi? AFDLIN: Kumpulan Boboi sendiri. Kami masuk bukan untuk menang tapi yang penting adalah buat yang terbaik. Boboi hanya buat yang terbaik yang kita boleh buat. Kita melihat persaingan dari sudut yang sihat dan positif. Kalau orang lain buat bagus pun kami tetap akan sokong. RAP: Tidak bimbang jika ada pihak yang cuba melaga-lagakan Boboi dengan kumpulan lain? AFDLIN: Kami tidak akan masuk dalam pertandingan ini jika kami tahu ada orang melanggar etika kerja atau suka menikam dari belakang atau menjatuhkan orang lain. Setiap lawak yang kita buat juga kita pastikan tidak menjejaskan sensitiviti orang lain. Kita juga menjaga bahasa yang digunakan supaya tidak menyinggung perasaan atau mempersendakan orang lain. Banyak benda di sekeliling yang kita boleh buat bahan sketsa lawak. RAP: Pandangan Boboi pada 13 kumpulan termasuk dalam senarai kerusi panas yang layak berentap untuk musim kedua ini? AFDLIN: Saya hormati semua pelawak baru dan lama yang dapat masuk dalam pertandingan ini. Saya lihat mereka juga 'struggle' untuk masuk dalam musim baru ini. Menempa nama ke peringkat awal pun mereka sudah bagus. Saya bangga dapat duduk dengan pelawak yang bagus. RAP: Apakah Boboi menaruh harapan tinggi untuk bergelar juara MLM 2012? AFDLIN: Terus terang, kami masuk MLM 2012 bukan untuk menang. Bagi kami, soal kalah atau menang, jatuh nombor dua. Kalau nak menang atau untuk popular tidak perlulah kami masuk program ini kerana kami sudah menang pun sebelum ini. RAP: Adakah Boboi berasa teruja dengan hadiah wang tunai setengah juta ringgit yang ditawarkan untuk juara musim kedua ini? AFDLIN: Kalau hadiah RM500,000 sekalipun tapi kalau isi lawak yang ditampilkan kosong pun tak ada gunanya. Jangan masuk program ini sebab untuk dapat hadiah. Apa yang penting buat yang terbaik kerana itu budaya kerja Boboi, sejak dulu. Kami pernah berdepan dengan tekanan yang lebih tinggi bila buat pementasan Lawak Ke Der? yang dipentaskan di pentas Istana Budaya, sebelum ini. RAP: Jika Boboi muncul juara MLM 2012, apa anda akan buat dengan wang kemenangan itu? AFDLIN: Maaflah, buat masa ini, kami tidak terfikir pun soal untuk menang wang tunai yang ditawarkan dalam MLM 2012. Seperti pepatah, 'Don't count the chicken before it hatches'. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |