Gosip Artis Malaysia |
- Muzik-Muzik 27 - Yana terpaksa ikut kehendak Sam
- Azhar Sulaiman Bijak Simpan Rahsia Rumah Tangga
- Milea Aimilia Sedia Bermadu
- Ribut Sandy - Liyana Jasmay, ibu terpaksa berkurung dalam rumah
- Chef Riz Akui Rumah Tangganya Sedang Bergolak
Muzik-Muzik 27 - Yana terpaksa ikut kehendak Sam Posted: 31 Oct 2012 06:53 PM PDT LAGU duet dua pelakon terkenal, Shaheizy Sam dan Yana Samsuddin, yang berjudul Begini Caranya, bukan sahaja popular menerusi radio. Malah lagu itu juga meraih undi untuk layak bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-27 yang akan diadakan pada 11 November ini. Bagaimanapun, timbul isu pada sidang akhbar semasa mengumumkan senarai lagu yang berjaya masuk ke peringkat separuh akhir program tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pihak TV3 selaku penerbitnya telah mengumumkan bahawaBegini Caranya tidak akan dinyanyikan oleh Sam dan Yana. Sebaliknya, di atas pentas separuh akhir program itu nanti, lagu tersebut akan didendangkan oleh Ajai dan Marsha Milan Londoh. Menurut kenyataan TV3, Sam dan Yana tidak dapat menyampaikan lagu tersebut kerana gagal mendapat pelepasan daripada syarikat produksi lakonan mereka iaitu Metrowealth Movies Production (Metrowealth). Bagi mendapatkan kepastian tentang perkara itu, Kosmo! telah menghubungi Sam baru-baru ini. GAM: Benarkah Metrowealth tidak memberikan pelepasan kepada Sam dan Yana untuk mendendangkan lagu, Begini Caranya pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-27? SAM: Tidak sama sekali. Saya sebenarnya seorang pelakon dan bukan penyanyi. Jadi, saya merasakan tidak sesuai untuk membuat persembahan pada acara tersebut. Lebih afdal jika kami berikan peluang itu kepada penyanyi yang lebih layak atau mempunyai lebih pengalaman. Peminat pasti kecewa kerana sebelum ini mereka mengundi Sam dan Yana. Boleh komen? Ya, betul. Pada hakikatnya memang agak berat bagi saya untuk membuat keputusan ini. Namun, setelah berfikir panjang, saya terpaksa menarik diri kerana ia memerlukan banyak latihan. Dengan jadual lakonan yang sibuk, saya rasa saya tidak dapat berikan komitmen terhadap latihan nyanyian. Jadi, ini memang keputusan Sam dan Yana sendiri? Ini memang keputusan kami berdua. GAM : ke sebab suara tu dalam lagu hanya kesan effek je? :) - --- | ||
Azhar Sulaiman Bijak Simpan Rahsia Rumah Tangga Posted: 31 Oct 2012 05:44 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Azhar Sulaiman lebih senang tidak berkongsi mengenai kisah rumah tangganya sama ada yang baik atau pun buruk sebagai cara menjaga keharmonian perkahwinan yang dibina dengan Chempaka Emalin Pahamin sejak 16 tahun lalu. Azhar, 41, berkata, sebagai seorang selebriti dia perlu bijak menyimpan hal-hal peribadi mengenai rumah tangganya supaya ia tidak menjadi permainan di media massa. "Rumah tangga siapa yang tiada masalah dan begitu juga saya tetapi sebagai seorang selebriti kita harus bijak menyimpan cerita terutama yang buruk daripada diketahui umum. "Apa juga perihal di rumah jangan dibawa keluar dan bercerita kepada orang lain kerana ia akan mengundang masalah lain," ujarnya. Hasil perkahwinan Azhar dan Chempaka mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, 13, serta si kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona yang masing-masing berusia 10 tahun. Dalam pada itu, Azhar berkata, ada segelintir artis yang gemar bercerita mengenai perihal rumah tangga kepada krew produksi atau pun jurusolek yang sebenarnya mengundang padah kepada mereka sendiri. Kata Azhar, walaupun mereka tidak mahu kisah peribadi diketahui umum tetapi secara dasarnya mereka sendiri telah menyebarkan perkara tersebut kepada pihak ketiga. "Saya pernah jumpa segelintir artis yang kononnya tidak mahu pihak media menghidu kisah rumah tangga mereka yang bermasalah tetapi dia bercerita dengan orang sekeliling semasa di set penggambaran. "Daripada situ cerita ini akan tersebar sehingga ia dapat dihidu oleh pihak media. Bagi saya mereka tidak boleh menyalahkan wartawan yang mahu menulis cerita tersebut kerana golongan berkenaan hanya menjalankan tugas," ujarnya. Sementara itu, Azhar bersyukur apabila khidmatnya sebagai seorang pelakon masih diperlukan dan memberitahu akan terus berlakon walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang seni bina. Malah kata Azhar, rezekinya dalam bidang lakonan pada tahun ini sangat memberangsangkan dengan pelbagai tawaran diterima. "Tahun ini sangat baik untuk saya dan berharap 2013 akan menjanjikan perkara-perkara yang lebih teruja," katanya. Azhar bakal muncul dengan drama bersiri terbaru berjudul Persona Sukma arahan Hazali Ramli di samping pelakon seperti Ruzana Ibrahim, Julia Zigler, Erry Putra dan Amanda Misbun. Drama bersiri 26 episod itu terbitan Bright Networks Sdn. Bhd. Ia akan disiarkan bermula Sabtu dan Ahad ini pada setiap pukul 7 malam di TV1. - --- | ||
Posted: 31 Oct 2012 05:41 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Milea Aimilia mengakui tertarik dengan lelaki tua dan tidak menjadi halangan baginya jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan individu berusia 10 atau 20 tahun lebih tua daripadanya. Milea atau nama sebenarnya Noor Melia Aimiellia Zaidi, 19, berkata, dia juga tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang sudah berumah tangga dan bersedia untuk hidup berpoligami. "Entah kenapa saya memang cukup tertarik dengan lelaki yang lebih berusia. Bagi saya mereka sangat maskulin, seksi dan matang. Antara contoh terdekat ialah tokoh politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar. "Malah saya sedia hidup bermadu seandainya takdir ditulis begitu. Mungkin ramai yang berasa pelik dengan kenyataan ini tetapi bagi saya, daripada lelaki itu curang di belakang, lebih baik saya hidup berpoligami. "Lagipun seronok rasanya hidup bermadu dan tinggal sebumbung. Saya percaya bahawa lelaki mempunyai perasaan cinta terhadap lebih daripada seorang wanita dan asalkan mereka adil dan masing-masing mempunyai persefahaman, tidak ada masalah," katanya. Milea ditemui pada sesi fotografi bagi rancangan 'game show' terbaru saluran ntv7 Panik, di Sri Pentas Bandar Utama, dekat sini, Rabu. Bagaimanapun tambah pelakon itu, walaupun tidak kisah dengan cara hidup berpoligami, namun dia sering menasihati dirinya supaya tidak mengganggu lelaki yang sudah berumah tangga. "Ibu saya selalu berpesan, walaupun dia tidak kisah dengan siapa jodoh saya nanti tidak kiralah lelaki bujang, duda atau isteri orang, tetapi dia memberi amaran supaya tidak menggatal dengan orang. "Malah, saya sendiri cuba elak daripada menggoda lelaki yang dah berkahwin, walaupun terdapat empat hingga lima lelaki yang berstatus Datuk cuba memikat saya," tuturnya. Sementara itu, pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini mengakui sejak namanya menjadi perhatian gara-gara kontroversi video bogel, dia agak sukar untuk menerima tawaran berlakon daripada pihak produksi namun bersyukur apabila diterima oleh Primeworks Sdn Bhd. "Sebenarnya, saya bersyukur kerana Primeworks tidak pernah memandang rendah saya kerana kontroversi yang tercetus. Mereka mengambil saya berlakon untuk beberapa episod sitkom dan drama Senario serta yang terbaru, Panik," katanya. Dalam rancangan Panik, Melia bergabung tenaga dengan Ika Nabila, Juffri Rayyan William dan Ezany Nizariff dalam satu kumpulan untuk menentang kumpulan saingan yang dibarisi pelakon Danny (X-Factor), Marlon (V.I.P), Anis Al-Idrus dan Shakila Khoriri. Rancangan yang diterbitkan sebanyak enam episod ini akan ditayangkan setiap Rabu bermula 5 Disember depan ini, 8.30 malam di ntv7. - --- | ||
Ribut Sandy - Liyana Jasmay, ibu terpaksa berkurung dalam rumah Posted: 31 Oct 2012 05:36 PM PDT
NEW YORK - Pelakon terkenal, Liyana Jasmay terpaksa berkurung di dalam rumah sewanya di New York tanpa bekalan elektrik gara-gara dilanda taufan Sandy. Liyana, 24, yang ditemani ibunya, Habsah Simpon kini mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang pengarahan dan lakonan di Akademi Filem New York. Usaha untuk menghubungi pelakon itu bagaimanapun gagal. Rumah sewanya itu terputus bekalan elektrik sejak Isnin lalu. Berita mengenai Liyana itu disampaikan oleh kakaknya, Adriana Jasmay, 28, menerusi akaun Twitter. "Mereka (Liyana dan ibunya) duduk di rumah. Tidak pergi mana-mana. Kali terakhir bercakap dengan mama ialah 12 jam yang lalu. Sekarang, tidak tahu bagaimana keadaan mereka," ujar Adriana dalam akaun Twitternya pada pukul 11 malam kelmarin. - --- | ||
Chef Riz Akui Rumah Tangganya Sedang Bergolak Posted: 30 Oct 2012 10:04 PM PDT PETALING JAYA: Chef selebriti, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum mencapai usia setahun kini sedang bergolak. Chef Riz dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo! pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas tentang dakwaan kononnya mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini. "Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami. "Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa. Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan. Sebelum ini rumah tangga mereka dikatakan bergolak apabila Ana dikatakan telah berbaik dengan bekas teman lelakinya pada pertengahan Oktober lalu. Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Ana yang menganggap ia sebagai kontroversi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan. Chef Riz, bernikah dengan Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, pada 11 Disember 2011. Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |