Adsense

Isnin, 22 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Elly simpan rahsia

Posted:

Elly simpan rahsia

MAJLIS pertunangan aktres Elly Mazlein dan pengarah filem Azmi Hatta yang lengkap dengan kereta kuda di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur pada 29 Mei tahun lalu belum luput daripada ingatan.

Mengikut perancangan, mereka akan disatukan sebagai suami isteri pada Februari lalu, namun disebabkan kesibukan jadual kerja, tarikh itu ditunda sehingga Disember depan.

Bagaimanapun, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi yang ditemui pada majlis pelancaran trailer Awan Dania The Movie di Kafe Barbara, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor baru-baru ini nampaknya bermain teka-teki dengan pihak media berhubung status hubungan terkini dengan tunangnya itu.

Cincin pertunangan tidak kelihatan di jari manisnya. Apabila disoal sebab kenapa dia tidak menyarungkan cincin pertunangannya itu, alasan yang diberi Elly: "Saya tidak sempat pakai sebab mahu keluar rumah cepat."

Ditebak mungkinkah hubungannya dengan tunang yang berstatus duda anak dua itu telah terputus di tengah jalan, dia tidak mengesahkan mahupun menafikan, tetapi kata Elly, dia tidak akan menyembunyikan kebenaran di sebalik hubungannya selepas mendapat jawapan yang pasti.

"Saya tidak mahu beri sebarang komen, lebih selesa berdiam diri. Saya harap semua faham kerana hal ini berkaitan dengan kehidupan peribadi saya.

"Bagi saya sesuatu yang normal tidak semestinya orang yang bertunang mengakhiri hubungan mereka dengan perkahwinan, ada yang berkahwin pun bercerai juga," katanya dalam nada berkias.

Meskipun tarikh pernikahan tersasar jauh daripada perancangan awal, tegas Elly yang kini berusia 32 tahun, keluarganya tidak memaksanya segera bernikah.

"Memang saya sangat bersyukur kerana keluarga amat memahami saya. Mereka tidak pernah paksa saya untuk lakukan sesuatu perkara, sama juga halnya dengan perkahwinan.

"Faktor usia tidak membuatkan saya mahu segera berkahwin. Buat apa saya ikut kata orang dan puaskan hati pihak lain sedangkan diri sendiri yang merana. Saya jenis orang yang ikut kata hati," balasnya.

Luah Elly lagi, meskipun belum berkahwin, kehidupannya kini cukup bahagia terutamanya dengan lambakan kerja yang tidak pernah putus.

Kembali menyanyi

Elly pernah bergelar seorang penyanyi popular pada awal kemunculannya, namun, disebabkan tawaran lakonan yang lebih banyak diterima, Elly lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi.

Selepas meninggalkan pentas nyanyian selama tujuh tahun, kata Elly yang bernaung di bawah EM Entertainment, kini dia bersedia bersaing kembali di pentas seni suara dan bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Sabarlah Hati.

"Buat masa ini fokus saya hanya pada lagu single yang dicipta oleh Manusia Putih dan akan berada di corong radio pada November depan.

"Kiranya lagu ini sebagai satu tanda kemunculan semula saya dalam seni suara. Lagu terbaharu ini sangat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini walaupun masih berada dalam genre balada," katanya mengenai lagu yang menjalani proses mastering di Australia itu.

Walaupun sudah lama tidak muncul dengan sebarang album, kali terakhir pada tahun 2005, Elly yang pernah terlibat dalam puluhan drama seperti Bella, Spa Q dan Gerak Khas yakin kemunculannya masih dinantikan oleh peminat.

Bahkan peminat yang memberi dorongan untuknya muncul dengan lagu terbaharu.

"Sebenarnya saya cukup rindu untuk menyanyi semula. Apabila lihat rakan penyanyi yang sezaman dengan saya masih aktif menyanyi, timbul rasa cemburu, bilakah saya mahu berada di atas pentas seperti mereka.

"Kalau ikutkan desakan peminatlah yang membuatkan saya muncul dengan lagu baharu. Jika mengikut jadual yang padat memang sampai bila pun saya tidak masuk studio untuk rakam lagu tetapi kali ini saya nekad," tuturnya yang merakam lagu Sabarlah Hati pada Ramadan lalu.

Sungguhpun bakal aktif semula sebagai penyanyi, beritahu penyanyi Bungaku Bakawali itu, dunia lakonan tidak akan ditinggalkan sama sekali kerana permintaan untuknya terus berlakon masih ada.


ELLY MAZLEIN bakal kembali aktif dalam bidang nyanyian, khususnya dengan kemunculan single terbaharunya, Sabarlah Hati.


"Apabila sudah kembali menyanyi, dunia lakonan tidak akan saya tinggalkan. Saya akan lakukan kedua-dua bidang serentak.

"Cuma mungkin saya akan kurangkan kerjaya lakonan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada kerjaya nyanyian. Saya tidak boleh tamak kerana saya juga yang susah apabila jadual bertindih antara satu sama lain," jawabnya.

Gedik

Elly yang bakal muncul dengan filem Awan Dania The Movie pada hujung tahun ini bersama Scha Al-Yahya, Rusdi Ramli dan Jehan Miskin tidak sabar untuk menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam filem tersebut.

Dalam filem yang diangkat daripada drama bersiri Awan Dania itu, Elly memegang watak Tania, seorang pramugari yang sangat gedik dan sering bertelingkah dengan karakter Dania yang dibawakan Scha.

"Ini merupakan kali kedua saya bekerja dengan Scha selepas drama Bella pada tahun 2008. Watak saya sangat berbeza dengan diri saya yang sebenar.

"Tania seorang yang sangat over dalam segala hal baik pakaian mahupun perangainya. Sebelum ini saya selalu bawa watak baik, jadi apabila diberi watak sebegini saya sungguh seronok," ujarnya.

Tidak bimbang peminatnya akan lari disebabkan watak yang dibawakan, kata Elly, peminat filem sekarang lebih bijak, malah, disebabkan wataknya itu mungkin dia akan mendapat peminat yang baharu.

"Peminat tidak akan lari kerana watak jahat saya, saya yakin peminat sekarang lebih bijak. Watak Tania memberi satu pembaharuan kepada kerjaya lakonan saya.

"Selain itu, saya juga tidak bimbang ditenggelami watak yang lain dalam filem ini kerana watak Tania merupakan watak baharu yang hanya diwujudkan dalam filem," luahnya.

Doakan hubungan saya dan Nabila - Johan As'ari

Posted:

Doakan hubungan saya dan Nabila - Johan As'ari

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA
hiburan@kosmo.com.my


NABILA dan Johan masih sempat membuat pose ceria dan humor biarpun beberapa jam sebelum itu mereka terbabit dalam kemalangan kecil.


KEBANYAKAN artis yang sedang hangat bercinta sering berselindung di sebalik kenyataan selamat dan klise iaitu 'kami hanya berkawan' dalam percubaan mereka untuk mengelak daripada menjadi bahan gosip media hiburan.

Begitu juga dengan pasangan pelakon, Johan As'ari dan Nabila Huda yang digosipkan sedang bercinta.

Sering menidakkan dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan Nabila setiap kali ditanya media, namun dia dan Nabila sering pula dilihat keluar bersama khususnya pada majlis-majlis rasmi.

Khabar angin yang mengatakan mereka berdua sedang asyik dilamun cinta bertiup kencang sejak beberapa bulan yang lalu apabila Johan menghantar status berbentuk romantik di laman Twitter miliknya kepada Nabila.

Walaupun terkejut dengan tindakan Johan itu, Nabila mengakui yang dia amat menyayangi Johan tetapi hanyalah sebagai seorang sahabat.

Baru-baru ini, ketika berlangsungnya sidang akhbar Majlis Anugerah Skrin 2012, suasana menjadi kecoh gara-gara Johan dan Nabila tiba di sana agak lewat.

Difahamkan, mereka berdua terlibat dalam satu kemalangan kecil ketika sedang menuju ke Hotel Royale Bintang, Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis tersebut.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Kalau tidak bercinta kenapa pula Johan dan Nabila datang berdua-duaan ke majlis tersebut? Ikuti temu bual Kosmo! bersama aktor itu yang dihubungi menerusi telefon baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah komen Johan apabila orang ramai mula membuat spekulasi tentang hubungan rapat Johan dengan Nabila?

JOHAN: Seperti semua sedia maklum, saya dan Nabila hanyalah berkawan rapat. Tidak lebih daripada itu. Kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

Kenyataan 'kami berkawan rapat' sangat klise. Apa pendapat Johan mengenai perkara ini?

Memang agak klise, tetapi itulah realitinya. Bagaimanapun, jika peminat senang dengan hubungan saya dan Nabila, saya harap mereka dapat mendoakan yang terbaik untuk kami berdua.

Jadi, kamu berdua memang mempunyai hubungan istimewa?

Saya akui, setakat ini kami hanyalah berkawan rapat dan hubungan kami begitu akrab. Jika ada jodoh, apa salahnya? Tidak mustahil untuk sepasang kawan baik mendirikan rumah tangga. Jadi saya serahkan selebihnya kepada takdir dan jodoh.

Bagaimana dengan keadaan Johan selepas kemalangan tempoh hari?

Alhamdulillah, saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Cuma kereta saya remuk di bahagian depan.

Boleh ceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku?

Saya dan Nabila sedang dalam perjalanan ke Hartamas untuk mengambil kostum selepas habis sesi fotografi di Shah Alam. Selepas melalui Terowong Penchala di Lebuh Raya Sprint kereta kami hilang kawalan disebabkan hujan lebat sehingga berpusing 360 darjah.

Saya dapat mengelak kereta sebelah kiri tetapi terlanggar kereta sebelah kanan dan menyebabkan bahagian hadapan kereta saya remuk. Kebetulan salah seorang wakil (syarikat filem) Grand Brilliance Sdn. Bhd. ada berdekatan untuk membantu kami.

Johan dan Nabila dilihat datang berdua. Adakah anda berdua merancang untuk pergi ke majlis tersebut bersama?

Pada hari kejadian, kebetulan saya dan Nabila baru selesai menjayakan sesi fotografi untuk sebuah majalah di Shah Alam. Jadi, tidak salah rasanya kami berdua pergi bersama ke majlis itu.

Johan ada tercalon dalam Anugerah Skrin tahun ini. Apakah harapan Johan dan siapa pesaing terdekat anda?

Saya tidak berani untuk meletakkan harapan kerana saingan untuk tahun ini sungguh sengit. Bagi saya, tiada istilah persaingan kerana saya amat mengagumi bakat-bakat yang ada dalam industri lakonan tanah air.

Perkembangan terbaharu Johan?

Saya akan muncul dengan Juvana The Movie pada tahun hadapan serta tiga buah lagi filem iaitu Tokan, Pencinta dan Paku.

Drake lulus sekolah menengah

Posted:

Drake lulus sekolah menengah

PADA usia yang sudah mencecah 25 tahun, penyanyi rap terkenal Aubrey Drake Graham atau lebih popular dengan panggilan Drake mengumumkan bahawa dia baru sahaja menamatkan pengajian sekolah menengahnya.

Perkara tersebut sememangnya tidak menghairankan kerana semasa berusia 15 tahun, dia pernah meninggalkan alam persekolahan semata-mata mahu mengejar impian menjadi seorang penyanyi.

"Akhirnya aku telah lulus peperiksaan akhir dan ini merupakan salah satu pencapaian yang terbaik dalam hidupku," ujarnya menerusi laman sosial Twitter miliknya minggu lalu.

Pada masa yang sama, penyanyi itu juga sempat memberikan ucapan terima kasih kepada gurunya, Kim Janzen yang telah banyak membantunya sehingga dia mampu lulus dengan cemerlang.

Penyanyi yang pernah digosipkan bercinta dengan Rihanna itu pernah mendapat pendidikan di Institut Forest Hill Collegiate.

Bagaimanapun, pada tahun 2001 dia lebih tertarik untuk bergelar artis dan meninggalkan alam persekolahan.