Harian Metro: Rap |
‘Saya memang suka menyanyi’ Posted: 21 Oct 2012 01:04 PM PDT DEK kerana kekangan bajet untuk mengambil khidmat Pengurus Perhubungan Awam (PR) bagi memperkenalkan dua lagu baru ciptaan Ajai kepada peminat, segala apa yang diharapkan Sharifah Zarina Wan Hasan tidak menjadi kenyataan. Untuk mendapatkan lagu daripada komposer terkenal itu, Zarina terpaksa membeli dua lagu daripadanya sekali gus yang menelan belanja agak tinggi. Bagaimanapun, kerana keterujaan untuk menyanyikan lagu ciptaan Ajai, Zarina yang menggerakkan kerja seninya atas perbelanjaan sendiri terpaksa menjimatkan kos untuk mempromosikan lagu itu di mana dia sendiri berusaha membawa lagu itu kepada stesen radio agar ia diputarkan. "Saya tiada bajet untuk mengambil khidmat PR ataupun pengurus kerana sudah banyak duit dilaburkan kepada lagu itu dengan harapan ia dapat meletakkan nama saya kembali di persada nyanyian tanah air. Saya ingat boleh melakukannya sendiri tetapi gagal kerana selepas saya menghantar lagu itu ke stesen radio, saya tidak 'follow-up' semula dan akhirnya lagu itu terbiar begitu saja, jarang sekali atau tidak langsung diputarkan di radio. "Dua lagu Ajai yang menjadi taruhan saya, satu lagu perlahan yang berjudul Suratan Yang Menyakitkan dan satu lagi lagu rancak, Dalam Dakapan. Kedua-dua lagu itu bagus dan tiada cacat celanya cuma kerana kekurangan promosi, tiada siapa yang tahu kemunculan kedua-dua lagu itu.
"Semua itu adalah pengalaman dan sekarang saya tahu apa yang patut saya lakukan. Oleh kerana saya masih menggunakan bajet sendiri, saya tidak mahu lagi membeli dua atau tiga lagu sekali gus kerana ia merenjatkan perancangan saya yang lain. "Saya tak mampu membuat perkara seperti itu lagi kerana penghasilan lagu bukannya terus selesai selepas kita membeli lagu tetapi saya perlu fikirkan juga soal rakaman dan proses lain selepas lagu itu siap terutama aspek promosi dan pemasaran," katanya. Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu mahu terus menyanyi sementelah lagi suaminya, Buswani Abdullah sangat mendorong minatnya itu dan sanggup mengeluarkan duitnya sendiri bagai merealisasikan impian si isteri. Menurut Zarina, lagu Suratan Yang Menyakitkan pernah diangkat menjadi lagu tema drama Si Juntai yang disiarkan di TV3. "Orang dengar juga lagu itu kerana apabila saya lihat jualan nada dering pada setiap hujung bulan, ada permintaan terhadap lagu itu. Kalau lagu itu diputarkan di radio, saya yakin pendengar akan menyukainya. Kekuatan sesuatu lagu itu adalah apabila ia sering dimainkan di radio. "Percubaan saya untuk menyanyikan lagu rancak, Dalam Dakapan, memang tidak menjadi kerana lagu genre begitu bukan jiwa saya. Apabila saya mendengarnya berulang kali, saya teringatkan perbualan saya dengan Anuar Zain. Katanya pada saya, kalau saya adalah penyanyi lagu balada, buat saja balada dan jangan cuba melakukan transformasi. "Kata-kata Anuar itu kini menjadi kenyataan, namun saya tidak menyesal kerana kalau saya tidak cuba menyanyikan lagu rancak, saya tak tahu sama ada pendapat Anuar itu betul atau salah. Selepas tahu 'jawapan' kepada percubaan itu, lain kali tak perlu lagi saya nak melakukan eksperimen terhadap diri sendiri," katanya. Rasa cinta yang tidak pernah padam terhadap dunia nyanyian, terbaru sekali lagi ibu kepada tiga cahaya mata berusia 3 hingga 9 tahun itu hadir dengan lagu terbarunya, Memandang Awan ciptaan Acap dan lirik oleh Roy. "Kali ini saya keluarkan satu lagu saja kerana tak mahu pisang berbuah dua kali. Alhamdulillah, lagu itu sering dimainkan di radio dan pendengar sudah tahu itu lagu terbaru saya. Dengan bajet yang ada, saya juga mampu mengambil PR untuk membantu saya mempromosikan lagu itu dan juga membawa saya bertemu media. "Lega rasanya kerana usaha kali ini membuahkan hasil. Sebenarnya walaupun menggunakan bajet sendiri, setiap tahun saya merakamkan lagu baru. Ada lagu yang mampu 'meletupkan' nama saya dan ada juga yang suam-suam kuku, itu semua terpulang pada rezeki tetapi dengan populariti lagu Memandang Awan ini, ia menggembirakan saya," katanya. Sebelum rakaman Memandang Awan, Zarina terlebih dulu merakamkan lagu duet dengan Zamani Slam, Tidak Keruan dan lagu itu juga mendapat sambutan yang sangat baik. Populariti lagu Memandang Awan 'membuka mata' pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) terhadapnya apabila dia diminta menyanyikan lagu tema agensi itu bersama Datuk M Nasir. "Mara ada lagu tema mereka sendiri di mana lagu tema terakhir dibuat 30 tahun lalu dan tahun ini mereka buat lagu baru. Selepas bekerjasama dengan mereka, dalam kebanyakan majlis anjuran agensi itu, mereka menjemput saya untuk menyanyikan lagu tema berkenaan di samping mempersembahkan lagu saya sendiri. "Saya masih dibayangi lagu yang pernah mengangkat saya ke puncak kejayaan iaitu Langit Ketujuh. Lagu apapun yang saya nyanyikan, akhirnya penonton mesti minta saya menyanyikan lagu itu. "Beradanya saya dalam industri ini bukan mahu bersaing dengan sesiapa kerana manalah saya mampu menyaingi kehebatan dan populariti penyanyi muda. Saya suka menyanyi dan apabila saya tidak merakamkan lagu, saya akan rasa bosan sepanjang hari duduk di rumah. Apabila saya menyanyi, ada juga kerja saya nak buat. "Tak mahulah jadi suri rumah tangga yang terperap di rumah. Apabila menyanyi, saya terdedah juga kepada dunia luar dan tahu juga perkembangan semasa. Show pun biasa-biasa saja tanpa meletakkan harga yang tinggi. "Anak-anak semakin membesar dan saya ada 'team' yang bagus iaitu suami saya yang sangat memahami diri saya dan pembantu rumah yang menjaga anak saya dengan baik. Buswani sangat baik dan tiada istilah cemburu dalam dirinya. Kami sudah berkahwin 10 tahun dan sebelum berkahwin, kami sudah berkenalan selama beberapa tahun. "Saya tidak pernah berubah, baik ketika zaman gadis, selepas menjadi isteri dan ibu kepada tiga anaknya serta bergelar penyanyi, 'itulah' saya. Sama ada nama saya di puncak dan kini biasa-biasa saja, saya adalah isterinya yang tidak pernah berubah hati dan laku. Dia percayakan saya dan dia tahu saya orang yang macam mana. Buswani boleh baca gerak hati saya. "Oleh itu dia sentiasa memberi sokongan kerana dia tahu saya sangat suka menyanyi," katanya. Dalam bidang lakonan, Zarina pernah berlakon dalam drama 6 Sharifah untuk siaran radio. Waktu itu dia sedang hamil anak ketiga dan usia kandungan baru dua tiga bulan. "Saya beritahu kepada produksi yang saya tak boleh berlakon tetapi kerana mahukan pelakon yang berketurunan Sharifah, maka mereka ambil juga saya berlakon. Lakonan saya kaku dan saya tahulah sama ada saya akan berlakon lagi. Menceritakan diarinya sebagai isteri dan ibu kepada anak yang masih kecil, dia memerlukan kekuatan mental dan fizikal. "Nak berlatih menyanyi, anak pula menangis dan meraung. Kena tidurkan dia dulu. Pernah sekali tiada pembantu rumah, saya tetap curi masa menyanyi. "Jiran tetangga pun dah tahu jadual kerja saya. Selalunya saya akan berlatih menyanyi sebelah petang kerana ketika itu semua kerja rumah sudah beres. Anak kecil pun dah bangun tidur. Kalau jiran terdengar lagu di rumah saya, mereka tahu yang saya sedang berlatih menyanyi untuk show keesokan harinya. "Saya hafal lagu sebelah malam apabila anak-anak sudah tidur. Kalau saya terpaksa 'out station' sehari dua, Buswani boleh masak sendiri," katanya yang sudah lapan tahun menyanyi. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22 |
Posted: 21 Oct 2012 09:43 AM PDT MELIHAT penampilan yang sering ditonjolkan tidak kira ketika beraksi di pentas atau di khalayak, pastinya semua tahu penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Hati, Alyah ini seorang yang berani melakukan perubahan terhadap rambutnya. Sering tampil dengan gaya pelbagai yang kadang kala pendek, beralun, kerinting dan lurus Alyah bijak menyesuaikan gaya rambutnya mengikut majlis yang dihadiri Malah ada waktunya, Alyah tampil berani mewarnakan rambutnya dengan warna yang begitu menyerlah seperti coklat, merah dan perang. Terbaru Alyah pernah tampil dengan warna ungu dan merah jambu. Tidak bimbang dengan kritikan, bagi Alyah apa yang ditampilkan adalah dirinya sendiri yang sukakan kelainan serta gaya yang unik.
Difahamkan, selepas ini Alyah akan kembali dengan gaya rambut panjang tapi diserlahkan dengan konsep terkini yang nyata akan membuat sesiapa saja memandang lebih daripada dua kali. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |