Harian Metro: Rap |
Posted: 26 Aug 2012 06:17 AM PDT JADUAL penggambaran bagi pelakon memang tidak mengenal masa. Biarpun berada pada bulan Ramadan, mereka juga tidak terlepas daripada sebarang projek. Semestinya cabaran melaksanakan tanggungjawab itu lebih besar, apatah lagi penggambaran tidak mengenal panas terik dan diadakan dalam jangka masa yang panjang. Bagi dua pelakon berbakat yang pernah bergandingan dalam siri hit, Friday I'm In Love di TV9, Ryzal Jaafar, 30, dan Bella Dally, 21, memilih untuk tidak menerima tawaran sepanjang bulan puasa tahun ini. Bertemu dua sahabat baik ini dalam satu sesi fotografi sempena lebaran, baru-baru ini, ternyata kedua-duanya gembira dengan keputusan yang diambil. Bagi mereka, bulan puasa adalah masa terbaik untuk berehat daripada bebanan kerja di samping membuat persiapan sebelum menyambut lebaran.
"Namun tidak bermaksud saya cuma goyang kaki saja di rumah kerana hampir setiap hari ada saja undangan untuk berbuka puasa terutama membabitkan anak yatim. Asal saja masa mengizinkan, saya tidak teragak-agak untuk memenuhi jemputan itu kerana saya terfikir bila lagi hendak meluangkan masa bersama mereka. "Saya sedar, sudah tiba masanya untuk saya menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan dengan cara ini saya temui kepuasan. Tidak sangka, bertemu dan menyelami hati insan kurang bertuah ini menjadi satu pengalaman yang cukup membuatkan saya lebih sedar mengenai kehidupan mereka," katanya. Merancang untuk kembali ke set penggambaran seminggu selepas raya, Ryzal bakal menggalas satu lagi watak yang pastinya tidak kurang mencabar untuk sebuah telemovie nanti. "Bagaimanapun, saya belum lagi mendapat butiran mengenai pelakon lain yang bakal bergandingan dengan saya dalam telemovie berkenaan. Judulnya pun masih lagi dalam perbincangan, tetapi saya akui agak mencabar juga watak diberikan itu. "Walaupun sebelum ini saya pernah memegang watak sebagai seorang suami, tetapi kali ini karakternya berbeza kerana saya perlu menjadi lelaki psiko. Gementar rasanya kerana untuk mencipta karakter itu bukan senang, apatah lagi saya perlu membuatkan penonton merasai sendiri tahap 'psiko' saya nanti," kata pemegang watak Adam dalam siri Naziha di TV3 itu. Ryzal juga menyambut raya bersama keluarganya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah. "Bercerita mengenai raya tahun ini, tiada apa yang berbeza, namun sudah pastilah rasa teruja itu tetap meluap-luap maklumlah inilah masanya berjumpa sanak saudara. Sebagai anak sulung, saya juga kena mempersiapkan banyak perkara dengan dibantu ibu. "Saya memang jenis yang mengutamakan keluarga dalam banyak hal dan untuk raya saja, sampai barang untuk diri sendiri terlupa beli kerana sibuk membelikan pakaian baru buat adik serta peralatan rumah," katanya. Tidak ketinggalan sempena lebaran kali ini, beberapa telemovie raya lakonannya ditayangkan termasuklah Hantu Susu 2 di Astro, Sejadah Dari Makkah (TV3) dan Meriahnya Raya (RTM). Bagi pelakon jelita ini pula, dia bertindak menukar nama komersialnya daripada Nabilah kepada Bella Dally awal tahun ini sebagai penjenamaan semula dirinya. Semakin popular dengan siri drama terbarunya, Miss Octopus di TV3 yang mendapat sambutan baik penonton, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu kini mengorak langkah demi memperkukuhkan lagi namanya di persada lakonan. "Saya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus hingga saya terpaksa berehat seketika dalam bidang lakonan pada Ramadan lalu. "Tetapi selepas berakhirnya raya, saya terus ke lokasi kerana ada penggambaran yang sudah sedia menanti," katanya. Sudah berada dalam industri selama tiga tahun sejak menyertai program realiti Pilih Kasih (PK) musim pertama, Bella mengakui, memang sukar untuk mengukir nama dalam bidang ini, apatah lagi dia bermula sebagai seorang yang langsung tidak ada asas dalam lakonan. Namun, kesukaran itulah yang membuatkannya terus percaya walau dalam bidang apapun, usaha mesti didahulukan. Biarlah apa orang cakap mengenai kekurangan dirinya, itu baginya lumrah. "Keputusan untuk menyertai program PK dulu pun hanyalah sekadar mencuba nasib. "Bagi saya, apa yang penting, kita kenalah mengikut rentak dan perkembangan industri di samping sentiasa memperbaiki segala kelemahan. Dari situ, barulah sedikit sebanyak orang akan mula menyedari kebolehan serta kesungguhan kita untuk berada terus dalam industri ini," katanya. Tidak terkecuali mengimpikan untuk berlakon filem pula, Bella yang sudah membuat kemunculan dalam filem Seru dan Gila-Gila Remaja 2 berharap akan ditawarkan watak utama suatu hari nanti. Ditanya sama ada dia sudah yakin untuk melakonkan watak utama dalam filem, dia berfikir sejenak sebelum mengangguk. "Tiada apa yang mustahil sekiranya seorang pelakon itu sentiasa percaya pada "Saya seorang yang sentiasa optimis dan berfikiran positif. Jadi untuk diberikan watak yang lebih berat dalam filem, saya tidak gentar untuk menggalas apa jua peranan," katanya. Mengamalkan sikap bersederhana setiap kali berhari raya, Bella belum ada perancangan untuk mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran pada tahun ini. "Selalunya, sambutan hari raya kami di Sabah biasa saja. Tiada apa yang istimewa dan persediaan pun tidaklah besar-besaran. Kami sekeluarga memang sudah terbiasa dengan cara sebegini. "Apa yang penting, bertemu saudara-mara. Saya paling suka apabila ramai yang datang bertandang terutama sekali rakan lama. Memang meriah seisi rumah pada waktu itu dan saya juga tidak ketinggalan untuk bertandang ke rumah yang lain pula," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012 |
Posted: 26 Aug 2012 06:06 AM PDT DIA pernah hadir dengan album pertama menampilkan lagu Erti Cinta ciptaan Ajai yang berjaya menambat hati peminat. Bagaimanapun, impian Maya Karin untuk terus mengorak langkah dalam bidang nyanyian tidak kesampaian apabila album keduanya berjudul Bukan Qalamaya terkandas di tengah jalan. Justeru, ada sebab untuknya bergembira kerana selepas lapan tahun, komposer Yassin Sulaiman mengajaknya berduet menerusi lagu Sinar Ini yang kini rancak disiarkan di pelbagai stesen radio tempatan. "Saya rasa teruja dan bersyukur. Dulu orang lupa saya sebagai penyanyi. "Apabila Yassin beri peluang ini, saya anggap ia bagai impian yang lama terpendam kini menjadi kenyataan. Lagu yang dihasilkan sememangnya kena dengan cita rasa dan suara saya. "Yang menariknya, Yassin bukan saja bagi peluang untuk saya menyanyi, tapi dia nak saya terbabit dalam penghasilan melodi dan lirik serta proses rakaman di studio. Kiranya nisbah pembabitan kami ialah 50:50. "Kalau dulu saya rasa kekok ketika masuk studio kali pertama, kali ini saya bertambah yakin. Apatah lagi dengan kepercayaan yang diberi menambahkan lagi keyakinan untuk saya buat yang terbaik. "Saya tak terkilan dengan kegagalan terdahulu. Yassin juga terbabit dengan pembikinan album itu. Mungkin bagi menebus kekecewaan lampau, dia hadir dengan projek single ini. "Saya akui dalam aspek tertentu berasa gementar juga untuk merakamkan lagu ini. Bagaimanapun, dulu lagu Erti Cinta boleh diterima peminat dengan baik membuatkan saya berasa bersemangat. "Sekarang Yassin ajak saya berduet dengannya. Apabila dia hubungi saya untuk cakap mengenai projek ini, saya rasa terkejut. Tak sangka juga apabila lagu ini mula dimainkan di radio, ramai peminat yang suka. "Konsep lagunya yang pelbagai tapi ringkas sangat kena dengan suara saya. "Sekarang dalam proses berbincang dengan beberapa syarikat rakaman yang berminat nak ambil saya sebagai artis. Persetujuan akan diberi kemudian kerana yang penting sekarang ialah penerimaan peminat terhadap single ini terlebih dulu. "Diharap ramai yang sukakan gandingan kami. Saya tak nak fikirkan populariti sangat kerana tujuan saya ikhlas nak menyanyi. Ramai yang suka saya, tapi tak dinafikan ada juga yang mengutuk. Saya faham bukan semua orang sukakan kita," katanya pada majlis berbuka puasa bersama media, baru-baru ini. Aktres cantik berusia 33 tahun yang mencipta nama menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan terbaru Ombak Rindu itu kini menantikan tayangan filem terbarunya, Lagenda Budak Setan 2. Dia juga baru selesai penggambaran filem Jwanita yang dikatakan menuntut komitmen sepenuhnya. Tanpa berselindung, Maya mengakui begitu tertekan menjayakan watak Jwanita sehingga mengambil keputusan untuk bercuti sebaik penggambarannya selesai. "Jwanita seorang insan yang jiwanya kacau dan tak boleh menghadapi dugaan dengan tenang. Apabila tertekan, dia akan jadi agresif. Saya kena buat karakter ini nampak seperti betul-betul hidup. "Selain itu, saya juga kena buat perkara yang fizikal. Ia sangat memenatkan dan membuatkan saya perlu berehat sepenuhnya sebelum kembali bekerja untuk projek lain. "Selepas sambut Aidilfitri, saya akan terus sambung bercuti ke luar negara mungkin ke pulau peranginan. Di sana saya boleh lupakan tekanan kerja dan lupakan mengenai Maya Karin yang glamor dan jadi orang biasa. "Itu yang bestnya bercuti kerana kalau di tanah air kadangkala saya bekerja sehingga 24 jam. Saya seorang yang ringkas dan suka berada di tempat yang orang tak kenal saya," katanya yang sudah ditawarkan berlakon tiga filem selepas ini dan salah satunya mungkin memulakan penggambaran pada November ini. Yassin yang turut hadir mengakui gandingannya dengan Maya ibarat menebus kehampaan dulu. Impian yang tidak kesampaian menyebabkan dia sentiasa mencari jalan untuk meneruskan impian Maya. "Rasanya segala perancangan terbantut dan seakan-akan tak puas curahkan tenaga untuk album kedua ini. Itulah sebabnya saya rasa terpanggil untuk buat lagu yang dirasakan bagus untuk diketengahkan. "Suara Maya pun semakin bertambah baik dan ada dinamik tersendiri. Mungkin dia sudah banyak pengalaman sehingga berjaya menunjukkan kemajuan dalam nyanyian. "Lagu yang dihasilkan perlu kena dengan suaranya. Bukan saja untuk Maya, malah artis lain juga begitu. Saya ada banyak perancangan untuk Maya tapi biarlah ia berjalan satu demi satu," katanya yang menunggu respons peminat terhadap Sinar Ini. Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |