Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Selebriti kaya ilmuMANIS sungguh kelihatan juara Ratu Cantik Dunia Malaysia 2008/2009 berusia 27 tahun ini menggayakan tiga persalinan baju kurung khusus untuk sesi fotografi bersama Kosmo!. Ini merupakan kali pertama buat dirinya menyarung baju kurung untuk sesi fotografi dengan media. Itu mungkin impak daripada perubahan yang dialaminya dalam kerjaya seninya. Jika sebelum ini namanya hanya dikenali dalam kelompok tertentu sahaja dan dirinya boleh dikatakan tidak sepopular mana. Walau bagaimanapun, setelah melibatkan diri dalam program MasterChef Selebriti baru-baru ini, nama Soo Wincci terus dikenali dari kanak-kanak hingga golongan berusia tanpa mengira kaum. Gelagatnya dalam program itu yang bersahaja dan sering kali kelihatan tertekan apabila perlu memasak kari, banyak kali terlepas dalam episod penyingkiran sehinggalah tewas kepada juara dan naib juara program itu iaitu Datuk Fazli Yaakob dan Angah Raja Lawak. Menceritakan tentang kebolehannya dalam dunia masakan, Soo Wincci yang lebih mesra dengan panggilan Wincci berkata, sejak kecil dia suka membaca buku masakan kerana gemar melihat gambar masakan yang cantik. "Apabila selalu lihat gambar dalam buku resipi itu cantik-cantik belaka, saya mula mahu belajar cara-cara hendak buat masakan tersebut," ujarnya. Tambah duta kosmetik Avon itu, kebolehan memasaknya terus diasah apabila melanjutkan pelajaran di United Kingdom (UK) apabila tiada pilihan makanan di sana. "Ramai kawan-kawan cakap rindu masakan di Malaysia, jadi sayalah tukang masaknya, saya belajar macam mana nak masak makanan tradisional, rasanya dari situ saya belajar," ujar anak sulung perempuan tunggal daripada tiga beradik itu. Menceritakan pengalaman dalam program MasterChef Selebriti, ujar Wincci, dia sebenarnya fobia apabila dikehendaki memasak kari, baginya masakan itu adalah yang paling sukar dilakukan. "Setiap kali masuk pusingan penyingkiran, saya mesti kena masak kari, sampai buat karipap untuk juri jemputan Datuk Siti Nurhaliza pun saya masak inti karipap kari campur tauchu, nasib baik dapat komen yang baik," ujarnya mengimbas kembali kenangan dalam program berkenaan.
Wincci membuktikan dirinya seorang yang serba boleh kerana dia juga kini menceburi bidang muzik apabila dia sudah merakamkan single terbaharunya, Terus Teranglah yang turut menampilkan Joe Flizzow, selain sedang menanti kelahiran album Melayu pertamanya tidak lama lagi. Walaupun sudah merakamkan tiga album berbahasa Cina sebelum ini, dia mahu lebih dikenali apabila merakamkan lagu hasil tunjuk ajar komposer terkenal, Ajai. Bakat Wincci tidak hanya sebagai penyanyi dalam album itu tetapi turut menjadi komposer bersama Ajai untuk lagu Musim Asmara. Bagi Wincci, kemunculan dirinya dalam persada seni ini tidak semudah yang disangka walaupun telah memegang gelaran ratu cantik, sebaliknya pelbagai pengalaman pernah dilaluinya dan kini misinya mahu terus dikenali terutama dalam pasaran seni tanah air. Ijazah doktor falsafah Siapa sangka Wincci sebenarnya masih belajar dan menyambung ijazah doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pentadbiran dan menerima biasiswa Universiti Terbuka Kuala Lumpur. Dijangka menamatkan pelajaran pada 2014, Wincci merasakan istilah belajar buat dirinya tidak pernah berkesudahan. "Saya suka belajar, bagi saya belajar umpama pergi bersenam di gimnasium, kalau saya penat buat kerja lain saya akan belajar, itulah diri saya sejak dulu lagi," ujarnya. Dia juga sebelum ini merupakan graduan ijazah sarjana dalam jurusan pentadbiran di Universiti Sunshine Coast, Australia dan diploma di Akademi Filem Media London dalam jurusan Lakonan dan Pengacaraan. Bagi Wincci, dia mahu menjadi selebriti yang kaya dengan ilmu dan boleh bercakap dalam serba serbi kepada umum kerana ilmu yang diperolehi sebelum ini. "Bagi saya belajar itu tidak berkesudahan, selepas dapat PhD nanti, mungkin saya akan belajar perkara lain pula. Bercerita impiannya kelak, Wincci bercita-cita untuk mengasah bakat hingga ke Hollywood, walaupun ia kelihatan terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan berliku, baginya ia perlukan kesungguhan. "Itu cita-cita saya, saya percaya jika kita bersungguh-sungguh, ia satu yang tidak mustahil tercapai," ungkapnya yang turut membintangi drama Lemang Sebatang yang akan disiarkan pada 21 Ogos nanti di saluran Astro Prima. Pernah gemuk, kena buli Walaupun berat badannya kini hanya 50 kilogram (kg), Wincci mendedahkan, dia sebenarnya merupakan kanak-kanak dan remaja yang gemuk pada awalnya. Ketika berusia 10 tahun, berat badannya pernah mencecah 50kg dan ketika belajar di UK beratnya mencecah 68kg hingga 70kg dan terpaksa bersungguh-sungguh menurunkan berat ketika ingin menyertai pertandingan ratu cantik sebelum dinobatkan sebagai juara. "Di sekolah, saya sering kena buli sebab gemuk, jadi sebab ingin lupakan masalah itu, saya belajar bersungguh-sungguh. Dengan belajar, saya dapat lupakan hal pernah dibuli," ujarnya.
Malah pertandingan tersebut juga telah mengubah kehidupannya. Wincci kini terlalu menjaga soal pemakanan dan mengehadkan pengambilan daging. "Saya takut gemuk balik macam dulu, jadi saya kurang ambil makanan berdaging. Puasa sebulan Bagi merasai nikmat bulan Ramadan, Wincci bertekad untuk berpuasa penuh pada bulan Ramadan ini. Menurut Wincci, ini merupakan kali pertama dia belajar berpuasa dan telah mencubanya sehari sebelum umat Islam mula berpuasa pada 21 Julai lalu. "Ramai kawan Cina saya tidak tahu macam mana rasa berpuasa, jadi saya hendak cuba pengalaman ini. Hari pertama mula berpuasa, saya telah berpuasa penuh, jadi saya bertekad untuk berpuasa sehingga sebulan," ujarnya. Jelas Wincci, dia berpuasa bagi menghargai orang Melayu yang telah banyak membantunya sehingga dikenali dalam persada seni ini. Beritahunya lagi, bakatnya digilap untuk pasaran seni Melayu oleh bekas Pengurus Besar Beyond Event Sdn. Bhd., arwah Amin Hussein. "Jika dia tidak memberi tunjuk ajar kepada saya mungkin saya tidak sampai ke tahap sekarang. Saya bersyukur kerana mengenali arwah dan semua ini saya buat bagi membalas jasanya," katanya. | ||
Konsert Big Bang berharga RM4 juta Posted: Konsert Big Bang berharga RM4 jutaBIG BANG akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 27 Oktober ini. SELEPAS berjaya menjual tiket konsert secara dalam talian dalam masa 30 saat di Indonesia, kumpulan sensasi dari Korea Selatan, Big Bang yang dianggotai oleh G-Dragon, Taeyang, TOP, Seungri dan Daesung bakal mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 27 Oktober ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sempena dengan konsert jelajah Big Bang Alive Galaxy Tour 2012. Pastinya kedatangan mereka ke Malaysia dinanti-nantikan peminat apabila dikhabarkan kos produksi untuk konsert mereka di Kuala Lumpur menelan belanja sehingga RM4 juta. Sebanyak RM3 juta dilaburkan hanya kepada pentas semata-mata. Benar atau tidak, hanya penganjur yang membawa mereka iaitu Running Into The Sun yang mengetahuinya. Bagi memastikan kualiti konsert jelajah kali ini, konsert Big Bang Alive Galaxy Tour 2012 telah bekerjasama dengan tenaga produksi yang pernah bekerja untuk penghibur antarabangsa seperti pengarah kreatif, Laurieann Gibson yang bekerja untuk konsert Lady Gaga, Beyonce, Janet Jackson dan Katy Perry. Bukan itu sahaja, pereka cahaya lampu, Leroy Bennett yang pernah bekerjasama dengan Madonna, Paul McCartney, dan Eagles serta jurutera bunyi, Ken Van Druten yang mendapat kepercayaan Eminem, Jay-Z dan Linkin Park turut terlibat dalam konsert Big Bang di Malaysia. Menurut pihak penganjur, peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert harus bersedia apabila kaunter penjualan tiket dibuka pada 28 Julai ini di pusat beli-belah Fahrenheit88, Kuala Lumpur bermula pukul 10.30 sehingga 6 petang. "Sebanyak 12,000 tiket akan dijual pada 28 Julai ini. Peminat Big Bang, pastikan anda mendapatkan tiket kerana persembahan mereka berbaloi untuk ditonton," kata wakil penganjur. Selain membeli tiket secara manual yang mula dijual pada harga RM98 sehingga RM688, peminat boleh dapatkan tiket secara dalam talian bermula pukul 12 tengah hari dengan melayari laman web www.ticketcharge.com.my. Jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut anda boleh layari laman web pihak penganjur, www.runningintothesun.com. Kumpulan Big Bang yang ditubuhkan pada tahun 2006 telah melahirkan lima buah album dan kini popular dengan lagu Blue serta Fantastic Baby . | ||
Posted: Kemarahan BunkfaceOleh KHAIRUL AMRI HASSAN BUNKFACE kini muncul dengan album terbaharu mereka yang berjudul, Bunk Not Dead. DUA setengah tahun selepas album berjudul Phobia Phoney dilancarkan, Bunk Not Dead pula menyusul tahun ini. Bunkface yang ditemui ketika pelancaran album terbaharu mereka itu di Wheel Love, Subang Jaya baru-baru ini menegaskan ia menceritakan perjalanan kumpulan berasaskan muzik punk rock itu. Ujar vokalis band itu, Sam: "Album ini mencatatkan perjalanan karier Bunkface, kejatuhan dan perkara yang ingin dibuat dalam muzik yang tidak terlalu berat." Bunk Not Dead yang merupakan album ketiga Bunkface memuatkan sebanyak 13 buah lagu dengan lima lagu berbahasa Malaysia dan lapan lagu bahasa Inggeris. Tempoh lebih dua tahun diambil Bunkface untuk menyiapkan album itu kerana berdepan terlalu banyak pendapat dan percubaan. Bunk Not Dead memuatkan single Panik yang telah dirakamkan di Jakarta, Indonesia dan menelan belanja sebanyak RM16,000. Menariknya, album itu merupakan album pertama di dunia yang menggunakan teknik Augmented Reality sepenuhnya yang mengandungi kod tersembunyi di sebalik gambar sehingga membolehkan grafik di dalam album itu bergerak-gerak jika dilihat melalui telefon Android dan Apple. Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar menegaskan, aliran muzik Bunkface tidak semata-mata berpandukan muzik underground luar negara. Sebaliknya, mereka turut memartabatkan bahasa ibunda iaitu bahasa Malaysia dalam kebanyakan lagu.
"Bunkface tidak melupakan bahasa Malaysia dan banyak lagu ditulis dalam bahasa percakapan kita sehari-hari. Lagu-lagu Bunkface mempunyai mesej tersembunyi untuk disampaikan kepada peminat," katanya yang kini diterima peminat sekitar Indonesia, Thailand, Filipina dan Jepun. Ditanya tentang kelainan album ketiga itu, jawabnya penilaian itu terletak pada telinga pendengar. "Bunkface tidak mahu dan tidak akan berubah. Cara muzik yang kami bawa akan kekal kerana ini identiti Bunkface. Kami tidak takut kerana kami percaya kepada peminat kami dan band lain pun melakukan perkara yang sama," ujar Sam. Namun, menerusi album itu mereka berhasrat untuk menjadikan industri seni tempatan lebih sihat dan positif. Katanya Bunkface menyampaikan mesej tentang keadaan global yang sedang berlaku sekarang. "Beberapa lagu contohnya Agenda Jahilliah, More, Kita Perang Kita Menang dan In Another Life menceritakan situasi yang sedang berlaku sekeliling kita sekarang. "Album ini bersifat marah sebenarnya! Bunkface enggan menuding kepada sesiapa atau mana-mana pihak sebaliknya fahamilah lirik-lirik itu sebaiknya," tambah Youk dan Paan. Antara lagu lain yang dimuatkan dalam album itu adalah Bunk Not Dead!, Hollywood Just Died!, Jatuh, Supernova, Wont Let You Go dan The Insider. Bunkface sedang merancang untuk membuat gig dalam saiz yang minimum dan melibatkan beberapa universiti tempatan seluruh negara selepas Aidilfitri. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |