Harian Metro: Rap |
Posted: 26 Jul 2012 07:48 AM PDT MENYEPI dan tanpa publisiti tidak bermakna Qalisya Ray, 21, tiada lagi dalam industri, tetapi dia sedang merancang untuk menghasilkan single terbaru di bawah syarikatnya sendiri, The Rays Management yang baru saja ditubuhkan awal tahun ini. Gadis jelita itu mula dikenali ramai menerusi lagu Satu Januari ciptaan Ajai.
Pada usia yang masih muda, Qalisya berasakan yang dia belum terlambat untuk menggapai impiannya itu apatah lagi dengan sokongan keluarga, harapannya pasti akan terlaksana jua, cuma bergantung pada keadaan, rezeki dan tuah. "Ramai yang bertanya kenapa saya senyap saja, apakah saya tidak mahu menyanyi lagi? Kepada peminat di luar sana, saya bukanlah mendiamkan diri begitu saja sebaliknya sedang merancang untuk menghasilkan single lagu Inggeris atau pun Melayu. Selagi tiada sebarang aktiviti yang perlu saya uar-uarkan, lebih baik saya senyap dulu kerana tiada bahan mahu diceritakan kepada media. "Selepas terlepas ikatan daripada Wake The Baby, saya senang bergerak sendiri di bawah pengurusan keluarga terutama kakak saya yang banyak membantu saya dalam urusan kerja. Dia bukanlah pengurus sepenuh masa, tetapi buat masa ini dialah yang banyak menyelaraskan kerja seni saya. "Insya-Allah, kalau saya jadi buat lagu single dalam Inggeris, saya akan merakamkannya di studio di luar negara, tetapi jika saya hasilkan single dalam bahasa Melayu, saya akan berduet dengan artis Indonesia. Tengoklah, yang mana boleh memberi impak kepada kerjaya seni saya. "Artis Indonesia itu sudah ada namun kami masih lagi berbincang dan andai kata ia menjadi kenyataan bolehlah saya mencuba pasaran di Indonesia pula. Demi memenuhi harapan yang tinggi ini, saya berhati-hati memilih lagu kerana saya mahu terhasilnya lagu itu nanti dapat menggegarkan persada muzik tanah air. "Saya serius menyertai bidang seni dan saya akan berusaha yang terbaik. Memang ada keinginan untuk menghasilkan album penuh, tetapi suasana sekarang tidak membenarkan. Kalau kita hasilkan 10 lagu, bukan semua lagu itu akan menjadi hits dan diminati ramai. Keadaan itu hanya merugikan wang yang dikeluarkan untuk pembikinan album itu. "Lebih saya tumpukan pada satu lagu dulu dan sekiranya permintaannya bagus, saya akan hasilkan single seterusnya. Lagu yang dimuatkan dalam album mini terdahulu bukanlah tidak bagus, tetapi belum mampu meninggalkan kesan yang mendalam di hati peminat," katanya. Ketika mula menyertai dunia seni, jelas Qalisya dia masih mentah dan tidak tahu 'permainan' dunia, maka segala keputusan diserahkan kepada Ajai. "Lebih setahun dalam industri, saya belajar dan memerhatikan keadaan sekeliling. Dari situ saya nekad untuk menubuhkan syarikat sendiri dan cari sendiri lagu. Saya cuba mencontohi penyanyi yang sudah berjaya di mana saya lihat macam mana mereka bekerja dan akhirnya memperoleh apa yang mereka idamkan. "Ada sesetengah perkara kita tak boleh bergantung kepada pendapat dan cita rasa orang lain. Kita perlu ada cita rasa sendiri dan saya tidak pernah putus asa," katanya. Ujar Qalisya yang wajahnya mirip artis Bollywood itu dengan rambut panjang melepasi bahu, barangkali ramai yang tidak tahu genap seminggu pelancaran mini albumnya, dia terus mendapat undangan dari Istana Negara untuk mengadakan persembahan pada majlis mesyuarat diraja dan sejak itu dia banyak mendapat jemputan daripada VIP serta acara tertutup yang lain. "Saya tidak dapat publisiti kerana acara tertutup seperti itu tiada media yang hadir dan untuk merakamkan gambar pun agak sukar. Dek kerana banyak undangan daripada golongan VIP dan korporat, saya jarang berpeluang untuk membuat persembahan di pentas terbuka seperti di Jomheboh dan sebagainya," katanya. Bercerita mengenai Ramadan, Qalisya lebih banyak menghabiskan masanya di rumah bersama keluarga. "Ramadan datang setahun sekali dan rugi kalau bulan yang mulia itu dibiarkan berlalu begitu tanpa pengisian daripada kita sendiri. Saya dan keluarga juga akan balik beraya awal di Pasir Mas, Kelantan kerana selain berhari raya di sana, kami juga akan membuat persiapan majlis resepsi perkahwinan ibu saudara saya yang akan diadakan selepas hari raya," katanya. Berbicara dengan Qalisya, tutur katanya lebih matang dari usia dan itu semua adalah hasil didikan ibunya yang juga seorang ahli perniagaan. "Semua adik-beradik saya seramai empat orang adalah perempuan dan ibu sangat menjaga semua anak perempuannya. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada kakak, saya dan adik untuk menghadapi cabaran hidup hari ini. "Ibulah idola saya dan saya sangat berterima kasih kepada ibu serta ayah kerana menjadikan kami anak gadis yang kuat semangat dan tidak gentar untuk menghadapi kehidupan ini. Ibu mempersiapkan kami berempat menjadi orang yang boleh berdikari," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26 |
Posted: 26 Jul 2012 07:43 AM PDT PENGALAMAN menemu ramah tiga Perdana Menteri (PM) ketika melaksanakan tugasan sebagai wartawan penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) menjadi detik paling manis buat pengacara popular, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 36. Beliau yang juga pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) berkata, menjadi impiannya untuk bertentang empat mata dan bertanya soalan kepada pemimpin nombor satu negara, selain mendapat maklum balas daripada soalan diajukan. "Saya mempunyai kenangan berbeza dengan tiga pemimpin berkenaan, namun semuanya berlaku ketika melaksanakan tugasan sebagai wartawan lokasi berlainan. "Saya dapat menemu bual bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Najib Razak pula ditemu ramah selepas dua hari memegang jawatan nombor satu negara," katanya. Pemegang ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem, University of The Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat itu berkata, selain dua pemimpin terbabit, dia juga bertuah kerana berpeluang menemu ramah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. "Saya dapat bertentang mata dan bertanyakan soalan kepada Tun Mahathir ketika kempen memerangi keganasan Israel. Bila dapat duduk secara bertentang empat mata dengan pemimpin berkenaan menyebabkan peristiwa itu sentiasa segar dalam ingatan. "Saya rasa semua rakyat Malaysia ada cita-cita untuk bertemu pemimpin nombor satu negara, setidak-tidaknya untuk bersalaman. Jadi dengan kesempatan kerjaya sebegini, bila kita dapat peluang itu dan bertanya soalan dan mendapat maklum balas secara depan mata kita, itu pengalaman yang sangat berharga," katanya. Beliau yang memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran TV3 pada 1999 mengakui dirinya antara insan bertuah kerana dapat menjalankan tugas dalam pelbagai situasi sekali gus membolehkan dirinya melalui banyak pengalaman manis. "Meskipun pada mulanya bidang pengacaraan tiada dalam senarai kerjaya impian, tetapi apabila diberi peluang saya buat sebaik mungkin. Alhamdulillah, hasilnya tidak menghampakan dan kekal dalam bidang ini sehingga kini. "Rancangan pertama saya kendalikan ialah Kuiz Mana Popular dan Famili Ceria selama dua musim. Sebaik selesai Famili Ceria, saya ditugaskan mengacarakan rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan untuk dua musim," katanya. Sementara itu, sempena kempen #MYsyg (My Sayang) ini, orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa kebangsaan, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my. Lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori layak memenangi hadiah menarik. Bagi penyertaan kategori video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit, manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |