Adsense

Ahad, 22 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Jangan harap dunia berubah - Yasin

Posted:

Jangan harap dunia berubah - Yasin

BERBUAL dengan Yasin Sulaiman sangat menyegarkan minda. Penyanyi yang terkenal dengan lagu berirama padang pasir seperti Salsabila dan Mimpi Laila itu berkata, seni dan kehidupannya mengalir setenang air di kali.

Lelaki berusia 37 tahun itu kini tampil dengan dua single. Dua kolaborasi dengan teman dan idola yang sudah lama diimpikannya. Sinar Ini menyaksikan paduan suara bersama Maya Karin manakala Takdir Cinta adalah kerjasama dengan legenda rock bernama Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search.

"Bekerjasama dengan Amy memang senang. Dia seorang yang santai dan mudah bekerjasama. Bayangkan saya meminatinya sejak sekolah dan hari ini saya dapat bekerjasama dengan legenda rock itu. Maya merupakan rakan lama saya, kami memang serasi seni. Lagu Sinar Ini awalnya ditulis dalam bahasa Inggeris kemudian ditukar ke bahasa Melayu oleh saya. Video klip juga sudah selesai dibuat untuk kedua-dua buah lagu ini," ujar Yasin yang kini terlibat dengan program Cahaya Lirik sebagai pengemudi rancangan yang akan bersiaran di Astro Oasis.

Menyentuh soal kolaborasi dalam karier seninya, penulis bertanya mengapa dia memilih untuk keluar secara duet sedangkan kerjaya solonya dahulu cukup membanggakan.

"Sudah lama saya tidak keluar dengan produk sendiri, orang kata menghilang. Jujurnya saya tidak pasti sama ada peminat dapat menerima saya kembali jika saya keluar secara solo. Jadi saya beduet dengan artis yang popular, bak kata orang 'test market' lah," tawanya yang kini sedang mengerjakan lagu Asma Ul Husna untuk Amy dan dua buah lagu lagi untuk Maya.

Dakwah dalam lagu

Tegas Yasin, dia tidak melabelkan dirinya sebagai seorang penyanyi nasyid. Dia mahu dilihat dalam skala yang lebih luas agar tidak tersekat daya kreatif oleh kerana satu label.

Meminta pandangan tentang dunia nasyid yang kini seperti hanya rancak berjalan di bawah tanah, Yasin menjawab jujur:

"Musim bunga untuk nasyid sudah berlalu. Sekarang ini nasyid perlu berkembang dan mengikut keadaan semasa. Saya tidak labelkan diri saya penasyid kerana takut dengan masa. Sekarang sudah banyak lahir lagu-lagu yang berbentuk positif. Itu juga di bawah payung nasyid. Apa yang penting ialah inti pati. Bukan soal susunan atau genre lagu tetapi pengisian."

Bercerita tentang lirik kerohanian, menurut Yasin, lirik dengan tema kerohanian didapati diraikan dengan meriah.

"Dalam kalangan orang seni, seolah-olah ramai yang mencari cahaya masing-masing. Cahaya yang dimaksudkan ialah sebuah metafora terhadap sifat tabah, ketenangan dan pengertian. Saya rasa setiap orang melalui perkara-perkara tersendiri dalam hidup dan faktor yang diperlukan untuk mendapat cahaya adalah masa."


PERNAH bekerjasama dengan Maya, kali ini pasangan ini tampil dengan sebuah lagu bertajuk Sinar Ini.


"Tetapi apabila kita pilih untuk berubah, janganlah kita berharap satu dunia akan berubah dengan kita waktu itu. Semuanya memerlukan masa," senyumnya menjurus kepada pengertian sebuah hidayah.

Beralih perbualan kepada isi dakwah dalam lagu, mengambil nafas seketika dan kemudian Yasin menyambung: "Cara dakwah paling baik adalah melalui lagu kerana bila dilagukan kita tidak akan bertengkar, tidak undang kemarahan. Seolah-olah bicara dari hati ke hati. Itu cara alternatif."

"Tidak seronok jika mahu berdakwah dengan emosi dan saling saling menjatuhkan. Ada pula yang kutuk-mengutuk dan saling mengecilkan. Apa yang penting berdakwah dan berubah adalah untuk diri sendiri dulu kemudian keluarga dan rakan-rakan. Bila sudah ada ilmu, barulah pergi kepada masyarakat," ujarnya yang tidak menidakkan keputusan sesetengah selebriti berdakwah atas nama politik tetapi itu bukanlah platform kemestian jika mahu meluaskan dakwah.

Kerjasama kehidupan

Umum pernah dikejutkan dengan berita ketidakstabilan emosi Yasin. Lupakan kisah itu seketika kerana dia telah melaluinya dengan jelas. Cuma untuk renungan bersama, dia berkongsi sedikit peralihan kehidupan yang dilalui. Persahabatannya dengan suatu yang dinamakan kehidupan.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah dengan apa yang saya lalui. Bersyukur dengan kedudukan dan status saya sekarang. Jika Allah ingin menetapkan jalan hidup saya di tahap ini sahaja, saya okey," jelasnya yang merasa fasa terkini adalah yang paling tenang dilaluinya sekarang.

Kata Yasin, saat paling menjunam emosi adalah pada tahun 2009 dan 2010.

"Masih ada rasa susahnya tetapi menjelang pertengahan 2010 saya merasakan sebuah perubahan. Hidup jadi lebih bagus dan fikiran lebih positif. Hijrah ini berlaku kerana pembacaan, pengalaman, praktis, teknikal dan pemakanan, semua dalam satu aspek," senyumnya mengingat tahun yang digelarnya sebagai 'rock bottom'.

"Selama 10 tahun saya hidup dalam era gelap. Kemudian perlahan-lahan saya paksa diri untuk berubah kerana hidup perlu diteruskan. Jujurnya, saya pernah berdoa di depan Kaabah untuk soal duniawi. Saya 'hilang' dalam soal harga diri dan rasa takut dengan kehidupan. Namun saya anggap ini sebagai teguran Allah kepada saya, mungkin dengan cara ini saya akan sedar," ceritanya lagi tanpa selindung.

"Sekarang, sudah banyak yang saya temui dan ia makan masa. Saya kini merasai yang dugaan-dugaan yang saya hadapi dahulu semakin pudar dan berlalu pergi," senyumnya yang akan memulakan penggambaran drama bersiri Wasiat Rindu di Tanah Suci Mekah pada 15 Ogos ini.

AMY SEARCH (kiri) dan Yasin berkolaborasi untuk lagu Takdir Cinta.


"Saya akan ke kota Mekah pada 15 hingga 25 Ogos untuk penggambaran drama tersebut bersama Wafa, Fathia dan beberapa pelakon lagi. Ini kali pertama saya beraya tanpa keluarga dan berjauhan," katanya yang berasa teruja untuk menyambut 10 Ramadan terakhir dan Syawal di Mekah.

Selain itu Yasin juga turut menyiapkan single terbaharu Alyahbertajuk Lena Sahara dan Native Deen dari Britain yang masih dalam proses rakaman.

Melihat ayahanda kepada Samir, 8, dan Malaika, 4, ini dalam keadaan segar seakan melenyapkan terus ingatan kepada seorang lelaki yang pernah dihinggapi 'gelap' suasana. Dia senyum dan mensyukuri perubahan itu.

Hujung katanya ringkas tetapi padat, "Kita kena undang kebahagiaan."

Sistem baharu basuh aib AIM19

Posted:

Sistem baharu basuh aib AIM19

ROSMIN (kanan) menyerahkan trofi Lagu Terbaik AIM18 kepada Anuar Zain dan Edry Abdul Halim. Trofi berkenaan sebelum itu dijulang oleh Yuna.


ISU penarikan semula trofi kemenangan Yuna pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 pada tahun lalu benar-benar melondehkan kredibiliti Industri Rakaman Malaysia (RIM) sehingga badan itu terpaksa mengambil langkah drastik.

Akibat insiden itu, RIM menjadi bahan jenaka. Bagi membetulkan keadaan itu, RIM mengubah format siri terbaharu AIM19 yang dijadualkan pada November ini.

Insaf dengan kritikan, RIM buat pertama kali akan memperkenalkan peraturan dan cara penghakiman baharu. Perkara itu dijelas oleh Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim dalam satu sidang media, Rabu lalu.

"Hanya individu terpilih dan pengamal industri muzik sahaja akan diberi tanggungjawab untuk menghakimi AIM," katanya.

Rosmin turut memberi jaminan bahawa barisan para juri yang terlibat dalam penghakiman AIM 19 kali ini adalah daripada kalangan pengamal muzik yang sememangnya berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi termasuklah jurutera bunyi.

"Penjurian dalam kalangan pihak media atau ahli akademik dalam bidang muzik juga masih relevan bagi mendapatkan pandangan yang lebih bervariasi dalam mengadili sesebuah karya dan lagu yang dipertandingkan," katanya sambil mengungkapkan apa yang berlaku pada edisi AIM18 bukanlah sesuatu yang akan menghalang tradisi AIM akan datang.

Tambah Rosmin, penjurian AIM19 akan berbeza berbanding proses sebelum ini. Mengakui penganjuran terdahulu membariskan jemaah juri terdiri daripada panel yang dilihat tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang muzik seperti wakil media, wakil stesen radio dan televisyen serta individu daripada syarikat-syarikat rakaman.

Jelasnya, perubahan itu terpaksa dilakukan selepas AIM mendapat banyak rungutan daripada pelbagai pihak khususnya para artis dalam sesi dialog yang diadakan sebelum ini.

"Kami menghormati pandangan semua pihak dan mengambil keputusan untuk membuat perubahan terhadap sistem penghakiman pada tahun ini yang terdiri daripada pengamal dalam industri rakaman sahaja," katanya yang menetapkan syarat pelantikan ketua juri haruslah dipilih daripada individu yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam industri.

Bagi memastikan keputusan AIM19 tidak dilihat berat sebelah kerana konflik kepentingan peribadi, Rosmin berkata, pihaknya akan memastikan karya-karya yang diterima tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan juri yang dilantik.

"Apabila keputusan Top 5 sudah diumumkan, pihak kami akan memaklumkan senarai hakim. Tindakan itu bagi membentuk suasana telus," tegas Rosmin lagi.

Satu lagi perkembangan terbaharu, pencalonan AIM19 pada tahun ini turut mengalu-alukan karya daripada lagu-lagu daerah yang menggunakan loghat-loghat tertentu dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik.

"Kami berharap kalau ada lagu-lagu Kelantan, Sabah atau Sarawak, mereka boleh menghantar penyertaan mereka untuk diadili," katanya.

Penganjuran AIM19 membuka penyertaan kepada lagu atau album dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang dikeluarkan di negara ini bermula 1 Julai 2011 hingga 30 Jun lalu. Pencalonan hendaklah sebelum 15 Ogos depan.

Edisi ke-19 AIM turut mengekalkan 19 kategori anugerah seperti tahun lalu selain memutuskan untuk mengadakan dua anugerah AIM berasingan bagi mengiktiraf pencapaian muzik dalam bahasa Cina dan India yang dijadualkan pertengahan tahun hadapan.

Kemuncak AIM19 akan diadakan pada 17 November 2012 di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

Finas nafi tayangan Tanda Putera disabotaj

Posted:

Finas nafi tayangan Tanda Putera disabotaj


SHUHAIMI BABA kecewa filemnya ditunda ke tarikh yang belum pasti.


MULANYA tayangan filem Tanda Putera ditetapkan pada 13 September, namun keterujaan pengarah wanita ulung negara, Datin Paduka Shuhaimi Baba berganti rasa kecewa apabila karya terbaharunya itu terpaksa ditunda. Berita penangguhan itu disampaikan sebaik sahaja filem berkenaan ditayangkan kepada media.

Shuhaimi yang lebih mesra disapa dengan panggilan Shumi bagaimanapun menyangkal dakwaan penangguhan tayangan filem kesembilannya itu berpunca daripada bahang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sedikit terkilan namun Shumi tiada bantahan dan akur dengan berita penundaan itu kerana yakin karya tersebut mampu diterima ramai tanpa bergantung kepada waktu ia tayangan. Jika melihat kepada konsep naskhah berkenaan, Tanda Putera memang rasional ditayangkan pada tarikh lama. Ia berkisar politik negara tentang Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr. Ismail Abdul Rahman memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa perbalahan kaum pada 13 Mei 1969.

"Saya tiada bantahan dengan penundaan filem berkenaan. Sejak ia dibikin, sasaran saya memang nak tayangkan pada bulan September. Saya akui kecewa bila dapat tahu ia ditangguhkan kerana segala tarikh promosi yang dirancang sudah ditetapkan. Hal ini sedikit sebanyak mengganggu kerja-kerja lain.

"Tapi saya percaya Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) mempunyai strategi dan perancangan tersendiri bagi menarik perhatian semua masyarakat untuk menyaksikan filem ini," katanya selepas tayangan media Tanda Putera di Cineleisure @ Curve, Rabu lalu.

Dakwaan ramai bahawa penundaan Tanda Putera berpunca daripada kempen pilihan raya turut dinafikan oleh Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak yang turut hadir pada tayangan media filem berkenaan.

Katanya, penundaan tayangan filem sejarah bertujuan untuk memberi lebih ruang promosi kepada filem besar yang bakal menjadi khazanah negara sampai bila-bila itu.

"Penundaan tiada kena mengena dengan pilihan raya sebab saya pun tak tahu bila pilihan raya akan diadakan.

"Ia sebuah karya filem yang bagus, takkan kita nak sia-siakannya. Jadi pelbagai acara dan aktiviti bakal diadakan sempena bulan kemerdekaan pada Ogos depan selain sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan mengganggu promosi filem tersebut. Sebab itu kita tidak mahu tergesa-gesa untuk menayangkannya," jelas Naguib.

Menelan kos RM4.8 juta, Tanda Putera dibarisi pelakon hebat Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi.

Filem ini keluaran Pesona Pictures Sdn. Bhd. dan Finas itu turut mendapat kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).