Adsense

Ahad, 22 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Awie selamba daki Tembok Besar China

Posted: 21 Jul 2012 06:10 PM PDT

Pelakon dan penyanyi rock ini teruja, kagum kehebatan tamadun China

TIDAK lengkap pengembaraan ke kota Beijing jika tidak memanjat Tembok Besar China. Pelakon dan penyanyi rock terkenal, Awie berjaya mendaki beratus-ratus anak tangga dengan berlari hingga sampai ke puncak dan menerima `Hero Card'. Hanya mereka yang berjaya mendaki ke puncak saja diberikan kad penghargaan yang dikenakan harga RM20.
Walaupun cuaca sehangat 40 darjah celcius begitu menggigit kulit, ia bukan halangan besar, malah Awie berjaya sampai ke puncak dalam tempoh tidak sampai 30 minit. Bukan berjalan tapi berlari! Itulah Awie, tenaganya masih kuat walaupun kini berusia 43 tahun.

Awie bersama lebih 30 peminat dan wartawan mengembara dalam Eks'pdc 1Malaysia Beijing-Mongolia anjuran Arlief Event & Management pada 9 hingga 14 Julai lalu. Dan mendaki Tembok Besar China yang juga antara tujuh keajaiban dunia menjadi kenangan yang tidak mampu dilupakan.

"Saya mahu ke Tembok Besar lagi, tapi saya mahu mendaki lebih jauh lagi. Tembok Besar menjadi tumpuan pelancong dibina pada Zaman Dinasti Ming, lebih 700 tahun lalu, tetapi masih dipelihara dengan baik. Tembok sepanjang 6,000 kilometer kelihatan kukuh hingga ke saat ini.

Walaupun jalannya berliku dan tangga terlalu curam dan berbahaya, saya menyimpan impian mahu mendaki lebih jauh pada masa akan datang," kata Awie yang kelihatan bermandi peluh sebaik tiba di kaki puncak.
Hebatnya binaan ini sehingga angkasawan terkemuka, Neil Amstrong yang menjelajah angkasa lepas mendedahkan Tembok Besar adalah satu daripada dua binaan di muka bumi yang dapat dilihat dengan jelas dari angkasa.

Selepas hampir tiga dekad bergelar penyanyi dan pelakon, pengembaraan Awie kali ini menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya.

Biarpun menempuh sedikit dugaan sepanjang ekspedisi percutian merentasi laluan sutera itu, Awie dan peminatnya masih teruja, malah tidak melepaskan peluang mengikuti setiap acara lawatan sepanjang lima hari.

Awie dan peminat dibawa ke lokasi bersejarah iaitu Kota Larangan (The Forbidden City) juga dikenali Muzium Istana (Palace Museum), bangunan yang digunakan pada zaman Dinasti Ming (1368-1644 Masihi) dan Dinasti Qing (1644-1999 Masihi). Istana yang siap dibina pada tahun 1420 Masihi itu mempunyai 9,999 bilik di kawasan seluas 72 hektar. Biarpun berjalan kaki hampir dua kilometer dan mengambil masa berjam-jam dalam cuaca panas terik, ia bagaikan tidak terasa apabila pemandangannya indah dan dikelilingi enam istana lama dan unik.

Bersebelahan dengan kota itu, terletaknya Dataran Tiananmen, iaitu lokasi yang pernah mencatat sejarah hitam dalam politik moden China apabila berlakunya rusuhan pelajar universiti pada 1989 hingga mengorbankan ribuan nyawa.

Sudah menjadi kewajiban, rombongan juga dibawa melawat kedai sutera, urutan kaki, teh, pengeluaran krim, pusat barangan kristal dan jade serta Hard Rock Cafe. Tidak ketinggalan, satu lagi destinasi wajib dikunjungi iaitu Stadium Bird Nest kerana bentuknya seperti sarang burung. Beijing adalah tuan rumah Sukan Olimpik 2008.

Pengembaraan diteruskan ke Hot Hot, ibu negeri Mongolia Dalam. Ia mengambil masa enam jam perjalanan dari Beijing. Bagaimanapun kekangan masa, hanya separuh hari diberikan melawat Mongolia Dalam menyebabkan banyak tempat menarik tidak dapat dilawati.

Ketika tiba di Hot Hot, hari sudah subuh. Keesokannya, selepas dibawa berjalan mengelilingi `daerah muslim' selama setengah jam dan makan tengah hari, rombongan terus dibawa ke Grassland di Xilamuren yang mengambil masa dua jam dari Hot Hot.

Grassland, kawasan pertanian dan gurun rumput yang luas mata memandang menjadi tumpuan pelancong pada Julai, Ogos dan September kerana ketika itu musim panas. Selebihnya, kawasan berkenaan bercuaca dingin dan paras beku sepanjang tahun.

Tarikannya ialah binaan hotel atau rumah tradisional Mongolia berbentuk bulat. Dan pelancong boleh menikmati pemandangan gurun rumput yang luas itu dengan menaiki kuda dan motosikal beroda tiga.

Bagaimanapun, penulis menempuh pengalaman cemas apabila dilarikan kuda yang dinaiki di tengah-tengah gurun berkenaan. Penulis hampir jatuh kerana kuda berkenaan terlalu laju sedangkan penulis pertama kali menunggang kuda. Bahaya kerana mereka hanya membiarkan penunggang bersama kuda tanpa memikirkan keselamatan. Itulah orang Mongolia, mereka beranggapan semua pelancong pandai menunggang kuda!

Perjalanan pulang ke Beijing mengambil masa 15 jam kerana rombongan tiba di lebuh raya agak lewat.
Undang-undang kerajaan mereka, kenderaan berat sama ada lori atau bas yang membawa pelancong tidak dibenarkan menggunakan lebuh raya dari jam 8 malam hingga 5 pagi bagi mengelak kesesakan. Perjalanan menggunakan jalan biasa, bukanlah jalan raya tetapi jalan berbatu kelikir yang sempit dan sesak dengan lori.

"Inilah dinamakan ekspedisi sebenar. Selalunya, kita menerima kemudahan selesa, tapi berbeza kali ini. Saya seronok menempuh pelbagai pengalaman baru dan mencabar ketika pengembaraan ke Beijing dan Mongolia. Dan, saya bersyukur menjadi anak Malaysia kerana negara kita mempunyai kemudahan selesa dan lengkap. Di sini, tandas pun terlalu kotor.

"Paling seronok ketika berada di Mongolia. Siang terlalu panjang, jam 9 malam pun masih terang benderang dan cuacanya sejuk. Malam pula singkat, jam 4.30 pagi sudah terang. Insya-Allah, saya akan ke Mongolia lagi, tapi kali ini, saya mahu bermalam di hotel mereka yang unik dan kelihatan seperti rumah tradisional. Saya mahu mengembara ke gurun dan padang rumput yang kita tidak tahu di mana penghujungnya.

"Saya akui seorang yang suka pada tempat bersejarah dan pengembaraan. Sebelum ini, saya pernah mengembara ke Indonesia, Perancis, Hong Kong dan Thailand untuk mengetahui sejarah negara mereka. Saya teringin ke Palestin pula," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran filem Mafia pada Ramadan ini.

Selain Awie, pengembaraannya juga diikuti teman artis lain seperti Oney (May), Keff (Melissa) dan penyampai radio KLFM, Hezri. Turut serta, Pengarah Urusan Arlief Event & Managemenat, Muhammad Alif Haziq.

Apa sudah jadi dengan KLIFF3?

Posted: 21 Jul 2012 06:07 PM PDT

KAK PORA tertanya-tanya kenapa anugerah atau festival yang dikendalikan oleh agensi kerajaan sering terkandas, tak lancar berbanding acara yang diatur oleh pihak swasta.

Kalau soal kewangan dijadikan alasan, masalah itu turut dihadapi oleh penganjur daripada syarikat atau organisasi swasta. Kerana kita tahu bukan senang nak dapatkan penajaan dan sokongan syarikat korporat dalam menganjurkan sesuatu festival. Sebab itulah, ketika membelek laman web hiburan, Kak Pora terbaca mengenai penganjuran Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-3 (KLIFF3). Dalam laman web menyatakan KLIFF3 sepatutnya diadakan pada 8 hingga 12 Jun 2011, tetapi ia ditunda.
Berapa lama ditunda pun, Kak Pora tak tahu. Tergantung begitu saja. Ditunda selama enam bulan ke? Atau 12 bulan? Tapi sehingga saat ini, bermakna sudah ditunda selama 12 bulan.

Ditunda bukan bermakna dibatalkan. Dalam bahasa Inggeris pun jelas iaitu Postponed bukan Cancelled. Kedua-duanya mempunyai perbezaan makna yang jelas. Ditunda bermakna KLIFF3 akan dianjurkan pada hari lain.

KLIFF3 dianjurkan bersama oleh Kuala Lumpur International Film Festival Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Ini bermakna KLIFF3 secara tak langsung turut mengheret nama negara. Perkataan Kuala Lumpur dan antarabangsa itu sendiri membawa makna cukup besar.
Sebab itulah, Kak Pora tertanya-tanya penundaan KLIFF3 itu sampai bila? Sehingga hari ini, sebab dan alasan festival filem bertaraf antarabangsa ditunda, masih tidak dijelaskan. Ada juga beberapa kawan setugas Kak Pora menghubungi orang kuat KLIFF3, Wafa Abdul Kadir untuk mendapatkan penjelasan, tapi setakat ini senyap saja.

Adakah penundaan itu disebabkan oleh masalah kewangan atau bajet? Ada yang kata peruntukkan menganjurkan KLIFF3 memang ada. Kalau ada, kenapa ditunda, bukan sekejap tapi setahun.

Takkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan pegawai kanannya tidak menyedari perkara ini. Maklumlah, berdasarkan laman web KLIFF3 ada juga menyebut nama FINAS.
Jadi sedikit sebanyak, tempiasnya sudah tentulah membabitkan nama baik kerajaan.

Perkara inilah menyebabkan Kak Pora terfikir kenapa penganjuran bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa dan ada sokongan kerajaan, selalu sangat tidak lancar.

Ini juga berlaku kepada Festival Filem Malaysia (FFM). Entah bila hendak diadakan, belum tahu lagi.
Kalau hendak diadakan selepas Aidilfitri bermakna pada September atau Oktober. Silap-silap hujung tahun. Kalau selepas Aidilfitri ini rasanya tempoh publisiti dan promosi sangat singkat. Walaupun FFM kali ini dikatakan dianjurkan oleh Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), pembabitan FINAS juga masih diperlukan.

Tapi entahlah... Kak Pora dan kawan-kawan tunggu sajalah walaupun bosan dan akhirnya tidak berasa teruja untuk menghangatkan FFM mahupun KLIFF. Itupun kalau hendak diadakan...

KAK PORA: Rasa nak gelak apabila ada artis tunda kahwin konon sibuk sangat dengan penggambaran drama atau filem. Betul ke?