Adsense

Rabu, 18 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Lisa enggan dibayangi Katy Perry

Posted:

Lisa enggan dibayangi Katy Perry

SEMPENA Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, saluran hiburan, HBO Asia bersama pihak Astro memberi hadiah istimewa buat peminat animasi apabila mereka menampilkan filem The Smurfs dalam versi bahasa Melayu menggunakan suara artis popular tempatan.

Aktres popular tanah air, Lisa Surihani antara artis yang dipilih untuk menjayakan filem The Smurfs versi bahasa Melayu. Lisa yang diberi tanggungjawab meminjamkan suaranya untuk satu-satunya watak Smurf wanita iaitu Smurfette enggan dirinya dibayangi oleh penyanyi terkenal Katy Perry yang turut memegang watak Smurfette untuk filem asal The Smurfs.

"Memang saya minat dengan filem dan kartun The Smurfs tetapi saya tidak mahu merujuk filem asal The Smurfs kerana bimbang terikut-ikut dengan gaya lontaran suara pelakon-pelakon asal. Watak asal Smurfette menggunakan suara Katy Pery dan apabila saya dipilih untuk versi bahasa Melayu, saya mengambil tawaran yang diberikan tanpa berfikir panjang.

"Jika boleh, saya enggan dibayangi oleh Katy Perry kerana versi bahasa Melayu agak berbeza daripada bahasa Inggeris. Katy mempunyai gaya dan lontaran suaranya yang tersendiri dan saya mempunyai gaya yang berbeza, tambahan saya menyelitkan elemen kemelayuan untuk versi bahasa Melayu supaya penonton rasa dekat dengan jiwa mereka apabila menontonnya pada hari raya nanti," ujarnya.

Lisa yang ditemui pada majlis sidang akhbar The Smurfs di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu dia jatuh cinta dengan watak Smurfette yang disifatkan sebagai seorang yang berani dan comel.

"Saya akui memang suka sangat dengan watak Smurfette. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan impian untuk terlibat dalam bidang alih bahasa seperti ini, tetapi tidak ada peluang. Ini pengalaman saya yang pertama dan saya cukup seronok kerana dapat terlibat dalam The Smurfs versi bahasa Melayu.

"Walaupun hanya meminjamkan suara tetapi ia turut mempunyai cabaran yang tersendiri. Sama seperti berlakon, saya harus menjiwai watak Smurfette sepenuhnya supaya intonasi suara benar-benar sesuai meskipun hanya filem animasi. Setiap kali melontarkan dialog, segala mimik muka sama seperti saya berlakon di set penggambaran.

"Jika berlakon, penonton boleh melihat mimik muka saya, tetapi apabila alih suara, segala emosi dan mutu lakonan saya terletak hanya pada suara. Jika penonton boleh rasai watak Smurfette itu bermakna saya telah melakukannya dengan baik tetapi terpulang kepada penonton untuk membuat penilaian," kata Lisa yang bakal muncul dengan filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) tidak lama lagi.

Tambah Lisa, andai diberi peluang yang sama, dia tidak akan menolak kerana padanya, menyumbangkan suara untuk sebuah filem animasi amat besar tanggungjawab dan keseronokannya kerana penontonnya terdiri daripada kanak-kanak.

"Orang dewasa juga menonton filem animasi, tetapi penonton terbesarnya adalah kanak-kanak. Saya pernah jadi kanak-kanak, saya tahu bagaimana perasaannya apabila menonton kartun atau filem animasi yang diminati. Saya seronok apabila melihat penonton terutamanya kanak-kanak terhibur dengan suara saya dalam The Smurfs.



"Satu kepuasan yang tidak boleh saya gambarkan. Jika diberi peluang sekali lagi dan saya mempunyai masa, saya tidak akan menolak untuk mengalih bahasa mana-mana filem animasi sebab saya seronok melakukannya. Saya akui masih wujud jiwa kanak-kanak walaupun telah berkahwin," luah Lisa sambil disambut dengan hilai tawa.

Yusry tidak kekok

Pengarah, pelakon dan penyanyi popular yang juga suami kepada aktres Lisa Surihani, Yusry Abdul Halim turut meminjamkan suaranya untuk filem The Smurfs versi bahasa Melayu sebagai Brainy Smurf. Sudah terbiasa memberi arahan kepada pelakon, Yusry tidak kekok apabila menerima arahan pihak produksi HBO ketika proses alih suara filem tersebut.

"Saya tidak ada sebarang masalah untuk mendengar dan menerima arahan daripada orang lain walaupun saya seorang pengarah. Apabila saya diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk mengalih suara watak Brainy Smurf, saya harus bersikap profesional dan melaksanakan tugas yang diberi sebaik mungkin.

"Pada mulanya saya menghadapi kesukaran untuk memastikan dialog yang saya lontarkan sesuai dengan gerak bibir di skrin kerana dialog bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sangat berbeza. Apabila pihak produksi tidak puas hati dengan hasil kerja saya, saya bersikap terbuka untuk memperbaiki diri," balasnya.

Jelas Yusry lagi, meskipun dia sudah biasa berlakon dan memberi arahan kepada orang lain tetapi, untuk mengalih suara watak Brainy Smurf, Yusry menghadapi cabaran yang berbeza daripada hasil kerjanya sebelum ini.

"Dalam filem animasi ini, saya tidak boleh melontarkan suara saya seperti biasa kerana watak animasi berbeza dengan dunia realiti. Saya harus menyuntik elemen berbeza untuk penonton dapat merasai sepenuhnya watak tersebut, jadi hasilnya saya harus bercakap dengan cara kepit suara untuk membuatkan suara saya kedengaran halus dan nyaring.

"Disebabkan proses alih suara memakan masa beberapa hari, kadangkala saya terlupa intonasi suara yang harus saya lakukan. Seksa juga berdialog sambil kepit suara sepanjang masa, tetapi ini pengalaman baharu yang cukup seronok bukan bagi saya seorang tetapi semua yang terlibat dalam proses alih suara filem The Smurfs," tutur Yusry.

Aznil raja alih suara

Aznil Nawawi, pengacara, pelakon dan penyampai radio popular sering kali menjadi pilihan produksi tempatan apabila terdapat filem animasi yang memerlukan alih suara bahasa Melayu. Sebelum ini, Aznil pernah terlibat dengan filem animasi Bola Kampung, Robots dan Teenage Mutant Ninja Turtle.

Sering kali dipilih memegang watak antagonis dalam filem animasi, dalam filem The Smurfs, Aznil juga memegang watak antagonis sebagai ahli sihir yang jahat bernama Gargamel.

Katanya, mungkin kerana jiwanya begitu dekat kanak-kanak serta kesesuaian watak menyebabkan dia terpilih.

"Ini bukan pengalaman pertama saya, tetapi saya pelik setiap kali dapat tawaran alih suara saya tidak pernah dapat watak baik, semuanya watak jahat seperti Doktor Klon dalam filem Cicak Man (ketawa).

BARISAN karyawan yang terbabit menyumbang suara untuk pelbagai karakter dalam filem The Smurf versi bahasa Melayu.


"Sebenarnya bawa watak jahat lebih mencabar. Hanya menggunakan suara saya harus membuat penonton benar-benar percaya yang watak Gargamel itu jahat tetapi dalam masa yang saya harus kedengaran comel kerana penontonnya adalah kanak-kanak.

"Bagi membezakan watak Gargamel dengan watak-watak jahat yang pernah saya pegang sebelum ini, watak Gargamel itu saya beri warna, maknanya terdapat keaslian dalam watak itu. Saya tidak boleh meniru butlat-bulat gaya suara pelakon asal kerana bahasa Melayu dan Inggeris sangat berbeza cara pertuturannya," ujar Aznil.

Kata Aznil, sepanjang tiga kali sesi proses alih suara dilakukan, dia terpaksa meneran suara untuk memberi elemen yang berbeza. Selain itu, dia juga harus benar-benar menghayati watak itu untuk memberikan lontaran suara yang sesuai,

"Saya harus cakap meneran untuk tonjolkan elemen berbeza dan kelihatan jahat. Kadangkala terlupa, saya bertukar menjadi Doktor Klon pula. Saya juga harus samakan gerak bibir animasi dengan gerak bibir saya, jadi saya harus pandai-pandai tukar skrip sebab gerak bibir bahasa Inggeris langsung tidak sama dengan bahasa Melayu.

"Cara saya hayati watak Gargamel sebagai contoh, babak yang memerlukan suara saya kelihatan penat, saya akan berlari beberapa pusingan di dalam studio sehingga suara saya kedengaran penat dan semput. Sebaik sahaja dapat kepenatan itu, saya terus rakam suara, bayangkan penat berlari kemudian terus hayati watak, jika saya tidak buat begitu, suara saya kedengaran terlalu berpura-pura," cerita Aznil lagi.

Syamsul rela diarah adik sendiri

Posted:

Syamsul rela diarah adik sendiri

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

SYAMSUL mengakui sejak terbabit dengan drama rantaian Ameera, dia banyak mendapat tawaran berlakon.


FILEM-FILEM arahan pengarah muda Syamsul Yusuf sememangnya tidak pernah mengecewakan dan mendapat sambutan hangat penonton. Filem KL Gangster sebagai contohnya, sehingga kini masih lagi mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia.

Biarpun berhasil meletakkan namanya sebagai antara pengarah hebat tanah air, anak kepada Datuk Yusuf Haslam itu mengakui tidak keberatan untuk berlakon di bawah pengarah lain dan tetap menerima tawaran daripada syarikat produksi luar.

Ketika ditemui pada majlis bacaan doa selamat dan pelancaran filem Gangster Celop di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini, Syamsul menyatakan dia ada sebab tersendiri berbuat demikian dan turut mendapat sokongan daripada bapanya.

KOSMO!: Sebagai seorang pengarah yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam dunia perfileman tempatan, kenapa Syamsul masih lagi terima berlakon dengan produksi luar?

SYAMSUL: Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu mencari pengalaman yang lebih luas dan inilah peluang saya untuk belajar dan menimba ilmu dengan pengarah yang lebih berpengalaman.

Misalnya, pembabitan saya dalam drama bersiri Ameera yang kini sedang ditayangkan di TV3, banyak perkara yang saya pelajari daripada pengarah Murali Abdullah.

Adakah anda akan lebih banyak berlakon dengan syarikat produksi luar selepas ini?

Buat masa ini Skop Production masih lagi menjadi keutamaan, namun ayah tetap memberi galakan kepada saya untuk bekerja dengan syarikat lain. Tidak dinafikan sejak muncul dalam drama Ameera, banyak tawaran berlakon yang saya terima.

Ramai yang sudah tahu anda merupakan antara pengarah yang hebat dan pernah merangkul anugerah sebelum ini. Adakah sukar buat anda untuk berlakon di bawah arahan pengarah lain?

Sebenarnya saya tiada masalah langsung untuk berlakon dengan mana-mana pengarah. Sebagai pelakon, saya akan menurut apa sahaja arahan daripada pengarah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-sebaiknya. Malah, saya juga tidak keberatan untuk berlakon di bawah arahan adik saya sendiri iaitu Syafiq menerusi drama bersiri KL Drift yang akan ditayangkan di saluran RTM.

Antara berlakon dan mengarah, apakah yang menjadi keutamaan anda sekarang ini?

Kalau mengikut perancangan saya akan kurangkan mengarah filem dan mahu memberi lebih fokus kepada bidang lakonan. Lagipun, saya ada adik yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan. Jadi, inilah masanya untuk saya menerima lebih banyak tawaran berlakon dan sedia mempertimbangkan sekiranya menerima sebarang tawaran yang menarik dan sesuai.

Apakah projek terbaharu anda pada masa akan datang?

Selepas berlakon dalam filem Gangster Celop yang diarahkan oleh Ahmad Idham, saya sudah merancang untuk menghasilkan sebuah filem seram setelah kali terakhir melakukannya menerusi filem Khurafat yang ditayangkan pada tahun lalu.

Selain itu, saya juga turut mendapat tawaran berlakon filem yang diarahkan oleh seorang pengarah yang sangat saya kagumi. Namun, saya tidak boleh beritahu nama pengarah tersebut kerana tawaran ini masih dalam peringkat perbincangan.

The Vella menaruh harapan

Posted:

The Vella menaruh harapan

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

MISI tersendiri. The Vella terdiri (dari kiri) Fitri, Heri dan Ezry.


WALAUPUN pada awalnya tiga adik-beradik yang terdiri Hery, Ezri dan PT masing-masing mempunyai kumpulan nyanyian alternatif mereka sendiri, akhirnya bergabung dengan menubuhkan The Vella.

The Vella lahir hasil idea mereka sendiri yang memikirkan sudah masanya kumpulan muzik ciptaan mereka pergi jauh dan bersaing dengan kumpulan yang sudah ada nama di negara ini.

Ezri atau nama sebenarnya Nurezri Abd Rahman, 32, yang merupakan abang kepada Hery dan PT menganggap kemunculan kumpulan mereka dapat memeriahkan seni muzik tanah air.

"Dahulu kami ada kumpulan muzik sendiri, tetapi apabila fikir-fikir balik, kenapa tidak tubuhkan satu kumpulan dari keluarga sendiri memandangkan kami semua boleh bermain alat muzik," jelasnya ketika sesi pradengar album sulung kumpulan mereka di bawah naungan Suria Records Company (SRC).

Jelas Ezri yang petah berbanding Hery dan PT, album sulung mereka itu bergenre alternatif pop dan rock dan menariknya kesemua enam lagu dalam album berkenaan adalah hasil ciptaan mereka sendiri.

"Lirik lagu dalam album ini kebanyakan adalah cetusan hati kami sendiri serta berdasarkan pengalaman yang berlaku dalam hidup kami," jelasnya yang memegang posisi sebagai gitaris dan suara latar dalam The Vella.

Bagi Hery, 24, atau nama sebenarnya Nurhairy yang juga vokalis dan juga gitaris dalam kumpulan itu menambah, album ini telah dapat dihasilkan selepas enam bulan berkurung dalam studio dan mereka cukup berpuas hati kerana 100 peratus merupakan hasil kerja keras mereka.

"Susunan muzik adalah idea kami sendiri, SRC mencabar kami untuk siapkan sendiri tanpa campur tangan pihak luar, alhamdulilah kami berjaya hasilkan," ujar anak bongsu daripada empat beradik ini.

Dengan mempertaruhkan single pertamanya, Menjemput Mu Pulang dan bakal diikuti single kedua, Mengejar Mimpi, Nurfitri atau PT pula yang juga pemain dram The Vella konsep lagu yang dibawa oleh mereka dapat diterima oleh peminat muzik.

TIGA adik-beradik yang dikenali sebagai The Vella ini kini muncul dengan single sulung mereka yang berjudul, Menjemput Mu Pulang.


"Pada zahirnya album ini banyak membawa elemen kesedihan dan berkisar tentang kehampaan serta kekecewaan kami yang tidak pernah lari daripada masalah tetapi dalam situasi yang berbeza-beza," ujarnya merupakan anak ketiga dalam keluarga The Vella.

Namun begitu, jelas PT, itu tidak bermakna dengan kelahiran album mereka, The Vella mahu peminat mereka bersedih sebaliknya menginsafi dan mengambil pengajaran dalam setiap apa yang berlaku.

Pada sesi pradengar itu, wakil media diberi peluang untuk menyampaikan pendapat dan memberi komen mengenai enam lagu yang dimuatkan dalam album sulung mereka yang diberi judul, The Vella.

Lagu-lagu berkenaan termasuklah Mengejar Mimpi, Menjemput Mu Pulang, Generasi Frustrasi, Benarkah Aku Yang Berdosa, Jangan Kembali dan Hingga Ke Akhir Waktunya.

"Walaupun album ini kena buat pembetulan sampai empat kali, The Vella terima secara profesional bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti untuk tatapan peminat nanti," ujar Ezri.

Dia memberitahu, The Vella diwujudkan hasil keikhlasan dan mereka mahu jujur dalam muzik dan mempertahuhkan hasil usaha mereka sendiri.

"Ibu bapa kami ada darah muzik, mungkin disebabkan sering melihat mereka bermain alat muzik dan menyanyi, kami secara semulajadi jadi berminat ke arah ini," jelasnya yang berasal dari Negeri Sembilan.

The Vella telah mengikat kontrak selama lima tahun bersama SRC dan single mereka akan berada di pasaran pada bulan ini.