Adsense

Rabu, 18 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bukan hipokrit

Posted: 17 Jul 2012 03:29 PM PDT

Salamiah tak kisah kata nista terhadap cara penampilan

GAYA dan penampilan penyanyi bersuara lantang ini sering menjadi bahan bualan ramai di internet. Hanya kerana statusnya sebagai seorang selebriti, ditambah usianya yang kini sudah mencecah angka 61 tahun, membuatkan segala gerak-geri serta apa yang tersarung di tubuhnya terus dipertikaikan. Malah ada juga yang jahat mulut menggelarkan penyanyi ini sebagai tidak sedar diri kerana sering bergaya seksi ketika usia melewati lebih setengah abad. Walaupun amat menyakitkan telinga, namun bagi si empunya diri, sedikitpun kata-kata itu tidak menjadi kudis.

Rasanya saya tidak seseksi yang dikatakan. Inilah penampilan saya sejak dulu. Kalau bertudung pun tapi tak ikhlas, tak guna juga" Salamiah Hassan, Pelakon

Ditemui pada majlis meraikan pemenang program realiti MasterChef Selebriti di ibu kota malam kelmarin, Salamiah Hassan atau lebih selesa menggelarkan dirinya sebagai Mama berkata, dia tidak pernah menghiraukan segala kata nista yang dilemparkan kepadanya.

"Bukan tiada yang menegur cara saya berpakaian dan mengatakan penampilan saya tak sesuai dengan usia. Mereka ini hanya pandai mengata dan menilai orang dari sudut luaran, tapi tahukah mereka apa yang saya lalui sepanjang kehidupan ini? Lantaklah apa yang mereka nak kata. Saya hanya menjadi diri saya sendiri," tegas Salamiah menyatakan pendirian.

Mungkin apa yang diperkatakan penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Menghitung Hari ini kedengaran cukup keras, namun kata ibu kepada penyanyi Atilia ini, dia berpendirian sedemikian kerana tidak mahu dituduh hipokrit.

"Rasanya saya tak adalah seseksi yang dikatakan. Inilah penampilan saya sejak dulu. Kalau bertudung pun tapi tak ikhlas, tak guna juga," katanya yang sudah lali dengan segala tohmahan dilemparkan ke atasnya.
Pada majlis itu, penyanyi lagu Gelombang ini tampil mengenakan gaun kembang tanpa lengan rona hitam paras lutut, dengan rambut diikat ekor kuda serta berkasut tumit tinggi sekali gus memancing perhatian kebanyakan tetamu yang hadir.

Sesekali bertemu Salamiah, banyak juga cerita peribadi dikongsikan olehnya bersama Hip, termasuk mengapa dia lebih senang bersendirian sehingga kini.

"Selama 25 tahun bersendirian tanpa suami, saya rasa sudah betah hidup sebegini. Saya nak pergi mana-mana pun tiada siapa yang halang. Jika terasa nak pergi mana-mana, kemaskan pakaian dalam beg dan terus pergi, tanpa perlu meminta izin.

"Mungkin sebab saya terlalu lama hidup solo membuatkan saya lebih selesa tidak ditemani lelaki. Bukan tak ada yang cuba mendekati, tapi pengalaman lalu membuatkan saya lebih berhati-hati," tuturnya.

Usia emas wanita ini ternyata tidak terpancar pada dirinya. Berbanding mereka yang sebaya dengannya, kecantikan fizikal dan tahap kesihatan Salamiah masih ampuh seperti orang muda.

"Saya bersyukur dengan kesihatan yang dikurniakan Allah. Sejak kecil lagi saya memang mengamalkan memakan vitamin. Kebetulan arwah bapa saya berkerja di hospital, jadi mudahlah saya mendapat bekalan vitamin. Selain itu, saya juga mengamalkan senaman dengan berjalan di persekitaran kawasan perumahan," dedahnya.

INFO: Album Salamiah:
− Surat Terakhir (1973)
− Hari Jadi (1973)
− Kaseh Tanpa Balas (1973)
− Selamat Tinggal (1973)
− Salamiah Hassan (1974)
− Jangan Turutkan Hati (1974)
− Aidil Fitri (1974)
− Aku Menangis Siapa Tahu (1975)
− Jiwa Remaja (1976)
− Masa Berlalu (1976)
− Cinta & Lagu (1976)
− Tiada Esok Bagimu (1978)
− Suatu Penantian (1982)
− Kembali (1984)
− Menghitung Hari (1987)
− Tirai Terakhir (2005)