Harian Metro: Rap |
Syamsul teruja, Hanis berdebar Posted: 17 Jul 2012 06:01 AM PDT BUKAN mudah untuk keluar daripada bayangan bapa sendiri yang memang sudah diakui kehebatannya dalam arena seni, namun Syamsul Yusof membuktikan bahawa dia mampu berdiri atas namanya. Tidak seperti di awal pembabitannya dulu, Syamsul kini membawa jenamanya sendiri dan melakar kejayaan sendiri menerusi filem arahannya. Menyusul dalam profil anak seni berusia 28 tahun ini, dia bakal 'turun takhta' menjayakan sebuah filem hasil kerjasama Skop Productions dan Excellent Pictures berlakon sebagai watak utama. Digandingkan pertama kali bersama pelakon kacak, Kamal Adli, turut dipertaruhkan dalam filem ini, seorang pendatang baru, blogger terkenal, Hanis Zalikha, 22. Berbeza dengan Syamsul yang sudah jauh mencipta nama, Hanis sebaliknya pertama kali membintangi filem dan disebabkan populariti mendadak diraihnya, Ahmad Idham selaku pengarah yakin gadis ini mampu mencipta fenomena. Timbul pula persoalan, kenapa Syamsul perlu menerima tawaran berkenaan dan adakah dia sedia berkerja di bawah pengarah lain sedangkan selama ini dia sudah cukup selesa di kerusi itu. Tidak ada masalah besar mengenai hal itu, Syamsul malah merasa teruja dengan projek berkenaan dan tidak sabar melihat hasil akhir filem itu.
Pada saat ini, nama Syamsul pastinya juga sedang meniti di bibir penonton terutama yang mengikuti drama bersiri Ameera di TV3. Akui Syamsul, dia juga merasai impak selepas membintangi drama berkenaan dan selesa berlakon di bawah pengarahan Murali Abdullah. "Disebabkan lakonan dalam Ameera juga, saya mula dihujani pelbagai tawaran daripada produser luar dan ia sesuatu yang amat menggembirakan. Dalam banyak tawaran itu, memang ada yang benar-benar menarik perhatian saya apatah lagi ia datang daripada pengarah tersohor. Bagaimanapun, saya masih memilih tawaran yang benar-benar sesuai untuk saya. "Biarpun banyak tawaran luar, ayah tiada halangan malah menggalakkan lagi supaya saya boleh belajar benda-benda baru daripada produksi luar. Sesekali berubah angin, saya pun ingin merasai bekerja dengan orang-orang baru dan produser lain," katanya. Mengakui sudah ada perancangan untuk menghasilkan filem baru, Syamsul yang berjaya mencipta kutipan pecah panggung menerusi filem seram, Khurafat, tidak teragak-agak memilih genre sama bagi projek seterusnya. "Saya sudah bersedia untuk tampil dengan produk baru dan penggambarannya dijadualkan akan dijalankan selepas hari raya nanti. Sekali lagi, saya memilih genre seram untuk diketengahkan walaupun pada saat ini genre terbabit mungkin bukan pilihan utama penonton. Tetapi, saya anggap ia sebagai risiko kerana pada penghujungnya, penonton yang lebih bijak menentukan cerita apa mereka inginkan. "Semakin lama terbabit dan mendalami bidang ini, apa yang ketara dengan penonton kita adalah mereka dahagakan kelainan pada jalan cerita terutamanya. Oleh kerana itu, saya mengambil pendekatan untuk tidak memikirkan sangat trend bermusim di mana penonton hanya tertumpu kepada sesuatu genre dalam satu tempoh. "Bagi saya, kekuatan sebuah filem itu akan tercipta secara automatik apabila seseorang produser itu berjaya memilih pelakon, masa dan jalan cerita yang betul," ujarnya. Hanis berjaya dipujuk Ahmad Idham LAIN pula kisahnya gadis kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Baru saja menamatkan pengajiannya dalam bidang perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Johor, pelajar kelulusan diploma ini tidak menyangka akan terbabit membintangi filem pula. Walaupun sudah membintangi sebuah drama yang disiarkan di TV3, Memberku Hawa sebagai watak pembantu, dia tidak terfikir untuk berlakon kembali. "Kalau bukan kerana Ahmad Idham, saya tidak mungkin akan menerima tawaran berlakon dalam Gangster Celop. Dia berjaya meyakinkan dan memujuk saya bahawa watak terbabit memang sesuai kepada watak saya. Asalnya, memang saya tidak berani dan belum bersedia sehingga terpaksa mengambil masa untuk memberi kata setuju. "Tambahan pula, mak juga memberi sokongan dan menyuruh saya cuba benda baru pula. Namun, biarpun sudah menerimanya, saya tetap rasa takut kerana bukan calang-calang peranan yang diberi, watak utama pula. Saya tidak tahulah bagaimana hasilnya nanti tetapi saya akan cuba menjadi diri sendiri dan melakukan terbaik. "Lagipun, watak yang diberikan ada sedikit persamaan dengan diri saya dan yakin akan mampu melaksanakannya dengan bimbingan pengarah juga," katanya. Jarang terdedah dengan dunia glamor sebelum ini, ditanya sekiranya Hanis sudah bersedia untuk menjadi popular dan dikenali ramai, baginya dia cukup sedia. "Dalam dunia hiburan mahupun realiti sekalipun, apa yang penting kita kena jadi diri sendiri. Tidak perlu bermuka-muka dan cuba menjadi orang lain. Maka apapun yang menimpa saya selepas ini, saya akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan tidak perlu menyorok," jawabnya. Masih lagi belum puas menikmati zaman belajar, hos rancangan Mad Market di TV9 ini bercadang untuk menyambung pengajiannya dalam bidang perniagaan bila tiba masa nanti. Baginya, perniagaan itu sudah sebati dalam dirinya kerana ibu bapanya juga memang terbabit menguruskan perniagaan masing-masing. "Saya tidak menetapkan untuk berada berapa lama dalam industri hiburan ini kerana perancangan masa depan nanti, saya masih menyimpan cita-cita menjadi ahli perniagaan," kata pemilik blog www.inibelogsaya.blogspot.com ini. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17 |
INTERAKSI: Peluang terbaik Mizz Nina Posted: 17 Jul 2012 05:38 AM PDT TIDAK pernah mengenal erti putus asa, Shazrina Azman atau popular dengan nama komersial, Mizz Nina, 32, berusaha untuk menakluk dunia dengan muziknya. Sebaik lagu duet bersama Colby O'Donis, What You Waiting For mula ke udara di gelombang radio pada Julai 2010, sinarnya semakin terserlah dan sebelah kakinya ibarat sudah mencapai cita-cita itu. Bermula dari situ, satu persatu langkah diatur dan dia keluar pula dengan single yang berjaya meledakkan namanya, Take Over pada Mei 2012. Dia bukan saja berjaya mengikat kolaborasi dengan penyanyi tersohor dunia, Flo Rida, malah di Youtube, muzik video lagu berkenaan yang dibuat penggambarannya di Miami, ditonton kira-kira 1.5 juta orang. Sudah cukup dikenali di Malaysia, Mizz Nina mengorak langkahnya pula ke merata dunia dan antaranya Los Angeles untuk rangka mempromosikan lagu berkenaan di persada antarabangsa. Umpama tiada sempadan, bekas anggota kumpulan Teh Tarik Crew ini menjelajah ke segenap dunia dan mengharumkan nama negara. Sabtu lalu, isteri kepada vokalis band Hujan, Noh ini sekali lagi membanggakan rakyat Malaysia apabila dibariskan dengan bintang antarabangsa, Justin Bieber serta bintang K-Pop, Jay Park dan KARA di MTV Worldstage 2012. Ternyata, Mizz Nina tidak mengecewakan penonton apabila memberi persembahan bertenaga pada konsert bertaraf antarabangsa itu.
RAP (R): Bagaimana boleh terbabit dalam MTV Worldstage 2012? MIZZ NINA (M): Pertama sekali, saya ingin memanjatkan kesyukuran atas peluang sekali seumur hidup itu. Sebenarnya, beberapa bulan sebelum konsert berkenaan berlangsung, saya dihubungi pihak MTV dan bertanya sekiranya saya berminat membuat persembahan. Apa lagi yang boleh saya katakan pada masa itu, saya terlalu gembira dan rasa tidak sia-sia perjuangan selama ini. Memanglah saya sudah menjelajah ke seluruh dunia pada masa ini, namun bukan calang-calang artis Malaysia yang boleh terpilih ke pentas konsert berkenaan. Sejak mendapat tawaran itu, saya sudah berjanji kepada diri, saya harus melakukan sesuatu yang boleh membanggakan rakyat Malaysia. R: Boleh kongsikan perasaan anda dapat beraksi di pentas itu? M: Syukur, syukur, syukur! Sesungguhnya peluang yang diberikan itu sangat membawa makna besar kepada karier saya. Ia akan menjadi sebahagian perkara penting dalam profil saya. Saya merasa saya insan yang bertuah kerana diberi kepercayaan bukan saja kerana muzik saya, tetapi kesungguhan saya juga. Entah bila lagi saya akan dapat membuat persembahan pentas dengan tiga artis lain berkenaan. Bertemu mereka, berbual dan berkongsi pengalaman memang sesuatu yang tidak akan saya lupakan. Melihat sambutan puluhan ribu penonton yang hadir, saya rasa terharu dan sangat teruja dengan sokongan hebat pada malam itu. R: Ceritakan persediaan menjelang konsert berkenaan. M: Saya tidak menunggu lama sebaik mendapat tawaran berkenaan. Lantas saya kumpulkan penari, koreografer dan mula melakar corak persembahan yang akan ditunjukkan. Sebaik bermulanya latihan, memang jadual sangat ketat sehinggakan banyak juga tawaran persembahan terpaksa diketepikan kerana kami berlatih siang dan malam. Semestinya, aspek vokal dan tarian menjadi keutamaan kerana pada malam itu, persembahan saya banyak kepada menari. Jadi, saya kena memantapkan stamina agar tidak tercungap-cungap kelak. Sebulan lebih juga masa yang diambil untuk menyempurnakan latihan. Memang penat, tetapi saya sangat puas. R: Berpuas hati dengan persembahan malam itu? M: Saya jenis yang tidak pernah berpuas hati namun untuk persembahan pada malam itu, saya rasa latihan selama sebulan lebih itu memang berbaloi. Yang penting saya dapat merasakan penonton terhibur dan teruja melihat mereka menari tatkala giliran saya berada di pentas. Ternyata, kedatangan mereka bukan hanya menyokong artis lain. Tiada apa yang membuatkan saya rasa kekurangan, malah sepanjang berada di atas pentas pun, saya benar-benar menikmatinya. R: Pasti ada agenda lain selepas ini. M: Sekarang ini, saya sedang merangka siri jelajah mempromosikan album saya, Take Over, ke seluruh negara pula. Sibuk sangat ke luar negara sehingga peminat tanah air pun hampir diketepikan. Inilah masanya untuk saya mendekati serta bertemu mesra dengan peminat di sini pula. Memang tidak sabar! Selain itu, saya juga akan ke Australia tidak lama lagi untuk melancarkan album berkenaan sebagai rangka menembusi pasaran di sana pula. Bukan setakat promosi saja, saya juga akan mengadakan showcase di sana. Sebuah single baru juga bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul 'Summer Burning' yang diterbitkan oleh DJ kepada kumpulan Black Eyed Peas, DJ Poet. Saya sungguh teruja dengan single berkenaan kerana ia ciptaan penerbit yang pernah memenangi anugerah di Grammy Awards sebanyak dua kali. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |