Adsense

Isnin, 16 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Makin pantas berevolusi

Posted:

Makin pantas berevolusi

PENGENALAN Hujan bermula sekitar tahun 2006 berbekalkan genre muzik alternatif. Mengorak langkah bermula dengan single Pagi Yang Gelap seterusnya Bila Aku Sudah Tiada, perjalanan kumpulan yang dianggotai Noh, Dimas, AG Coco dan Azham pada awalnya bertambah rancak.

Hujan kerap mendapat inspirasi daripada kumpulan The Strokes, Butterfingers dan Pot Amir Radiostaq (ROSIN) dalam menyampaikan lagu bermesejkan cinta, ketuhanan, kekeluargaan dan isu semasa.

Akhirnya, lewat tahun 2008, album sulung mereka yang diberi judul Hujan berjaya dilahirkan di bawah label Noh Phrofile Enterprise.

Kemudian, pada tahun 2009, album tujuh lagu, Mencari Konklusi berbekalkan genre rock alternatif pula muncul di bawah label yang serupa.

Album ketiga Hujan diberi nama Lonely Soldier Boy terbit tahun ketiga berturut-turut selepas album sulung mereka dan mempertaruhkan 14 buah lagu dalam genre yang sama.

Memperlahankan rentak, menarik nafas panjang, album keempat akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun ini dengan judul Sang Enemy.

Mengulas perkembangan kumpulan Hujan, selaku pengurus kumpulan itu, Dimas Santoso, dia mengakui Hujan pernah ditolak suatu ketika dulu akibat wacana muzik yang dibawa yang berbeza daripada kebiasaan.

"Kami sentiasa berhadapan risiko dibenci dan muzik kami disisihkan ke tepi sama ada dari peminat atau pihak-pihak tertentu.

"Namun, kekuatan itu diperoleh dengan cara menggali muzik dan mencuba pendekatan berbeza. Syukur sekarang Hujan sudah berada di dalam aliran muzik semasa dan lebih diterima selain disokong kuat oleh kelab peminat kami, Raingers," katanya yang ditemani Noh, AG Coco, Izzat dan Azham.

Vokalis Hujan, Noh Salleh kemudian melanjutkan cerita tentang evolusi muzik mereka yang kini sudah melewati usia lima tahun. Kemunculan album Sang Enemy katanya, mentafsirkan makna sebenar kuasa dan penangan kumpulan indie itu.

Bukan bermakna mencipta sebuah perubahan, tapi mereka menjelaskan corak muzik yang sedikit berlainan daripada pengenalan Hujan yang sebagai sebuah kumpulan rock balada seperti mana album sebelumnya, Lonely Soldier Boy.

Selari dengan perkembang muzik mereka, Hujan turut tampil dengan imej mengikut aliran muzik yang dibawa.


Kali ini, Sang Enemy memaparkan sisi gelap Hujan yang memfokuskan muzik berentak heavy metal dan lebih underground.

"Unsur album ini berat dari segi muzik, aura dan penyampaian, tapi mesej yang ditampilkan ringkas saja iaitu patriotik dan menyebarkan konsep menjaga keamanan negara," cerita Noh.

Menegaskan mereka bukan kumpulan syok sendiri ekoran membuka langkah mencuba muzik yang berlainan daripada aliran biasa Hujan, kata Noh, mereka masih menjaga nilai seni yang dipertaruhkan selama ini.

"Kami main muzik sendiri, tapi tidak kucar-kacirkan elemen seni yang dimahukan. Melalui album ini, kami mahu memaparkan persinggahan jenis muzik yang mempengaruhi Hujan pada suatu ketika dulu," jelasnya yang berhasrat untuk mempertahankan 'muzik keras' yang turut memberi makna positif.

Tambahnya, langkah itu juga merupakan usaha untuk mengangkat taraf muzik heavy metal dan band-band indie yang sering diberi konotasi negatif.

Jika ditanya mengenai risiko mempertaruhkan genre yang sedemikian, ujar Noh, eksplorasi dan pengalaman muzik harus dibikin untuk mengetahui tahap mereka.

"Kami suka meneroka dan mencabar diri dengan sesuatu yang berbeza, risiko terpaksa diambil kerana kami adalah pemuzik.

"Hujan bukan artis yang perlu ada garis panduan sebab kami berkarya kerana minat dan suka menghiburkan orang ramai. Kami perlu puaskan diri dulu sebelum hidangkan sesuatu kepada peminat," tambahnya yang ditemui ketika sidang akhbar parti pra dengar album Sang Enemy di Publika Dutamas Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yuna & Jerry Kamit

Album keempat ini dikatakan sangat unik, selain aliran muzik yang berlainan Hujan juga membuka ruang untuk kolaborasi dengan beberapa artis tempatan dan luar ne gara.

Terbukti menerusi beberapa buah lagu daripada tujuh lagu dalam album itu Hujan berhasil berpadu suara dengan Yuna contohnya menerusi lagu Janji Kita.


HUJAN dari arah putaran jam: Dimas, Am, AG Coco, Izatt dan Noh.


Malah, lagu yang dianggap istimewa bagi kumpulan itu memperkenalkan keseluruhan album Sang Enemy dan identiti Noh menerusi petikan alat muzik sape daripada Jerry Kamit.

Masih mengekalkan akar umbi tanah kelahirannya di Sarawak, lagu Janji Kita menyampaikan mesej perpaduan selain suara Yuna yang ditafsirkan menyuntik keindahan dalam kekerasan.

"Album Sang Enemy dirancang sejak bulan Ogos tahun lalu dan melibatkan banyak proses selain perlu menunggu untuk mendapatkan kata putus daripada salah seorang anggota kumpulan Incubus untuk berkolaborasi dalam lagu Ke Selatan.

"Oleh kerana terlalu lama mereka sukar memberikan kerjasama, kami memutuskan untuk memilih DJ Souljah dan DJ 1 2 sebagai pemuzik undangan serta Wise dan Tarantula sebagai penyanyi undangan dari Jepun," katanya yang mengakui proses penghasilan album Sang Enemy paling lama berbanding tiga album sebelumnya.

Burung kenyalang

IMEJ terkini Hujan tampil lebih kemas dan matang sesuai usia pembabitan mereka.


Hal yang perlu diakui, susunan lagu dari satu trek ke trek berikutnya mencirikan kesinambungan album Sang Enemy. Bermula dengan Janji Kita, DBS, Rumah Kita, Ke Selatan, Mana Mungkin, Kembara, Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur dan sebuah lagu tersembunyi, album ini berbaloi untuk dimiliki sebenarnya.

Menceritakan mengenai konsep album ini, judul Sang Enemy dipilih mewakili golongan yang tertindas dan bangkit menentang untuk hak hakiki.

Ujar Noh: "Hujan pernah dikritik sebelum ini dan album ini ditujukan kepada pihak yang anti kepada kumpulan Hujan. Kami memang musuh anda!"

Kulit album yang hanya bermain dengan warna hitam dan kelabu itu memaparkan logo burung kenyalang yang kata Noh melambangkan kekuatan dan simbol masyarakat Ma laysia.

Selain itu terdapat dua bilah keris terhunus di bawah nama Hujan mewakili nilai estetika bumiputera dan menampilkan sisi seni berbeza dalam kehidupan.

Lambang anak kunci pula ditafsirkan sebagai elemen perpaduan yang memegang erat masyarakat Malaysia.

Tatum bangga wajah kacak

Posted:

Tatum bangga wajah kacak

CHANNING TATUM


AKTOR Channing Tatum mengakui dia seperti sudah menang 'loteri genetik' apabila dikurniakan wajah yang kacak. Pelakon yang baru muncul dengan filem tentang penari bogel lelaki, Magic Mike itu mengakui dia gembira dirinya dilabelkan sebagai lelaki kacak. Ini kerana, dia percaya hal tersebut sangat membantu dalam menaikkan karier lakonannya, biarpun dia mengakui tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada aset wajahnya itu.

Katanya kepada majalah T2: "Saya akui ibu dan bapa saya dari golongan yang rupawan dan saya mewarisi genetik mereka. Ia seperti menang loteri genetik. Memiliki wajah yang kacak memang membantu saya meraih tawaran lakonan yang banyak."

Tambahnya: "Tapi saya sedar, kita tidak boleh bergantung kepada wajah yang kacak sahaja kerana apa yang paling penting adalah bakat lakonan."

Tatum, 32, yang merupakan bekas penari bogel dan model menegaskan dia telah berusaha keras untuk memperbaiki skil lakonannya.

"Ketika membesar saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi pelakon. Namun, wajah kacak saya yang membawa saya masuk ke dalam industri filem dan saya mengambil masa lapan tahun untuk memantapkan skil lakonan," ujarnya.

Saya masih laku - Zarina Anjoulie

Posted:

Saya masih laku - Zarina Anjoulie

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL



NAMANYA mula dikenali menerusi sebuah drama yang berjudul Anak Pontianak, namun setelah itu nama pelakon muda, Zarina Anjoulie Lavocah atau lebih mesra disapa Anjou hilang begitu sahaja.

Tiba-tiba namanya terus naik mendadak kerana kontroversi gambar separa bogelnya yang berlegar di laman internet.

Kontroversi demi kontroversi yang dikaitkan dengan nama Anjou, namun, ia sedikit pun tidak gentar buat wanita ini, malah dia sangat lantang menyuarakan pendapat diri.

Baru-baru ini pula, wujud isu dia telah memulakan 'perang' bersama bekas peserta Akademi Fantasia 6 (AF6), Lufya yang mengatakan dia diraba kerana wajahnya yang menyerupai Anjou.

Walaupun telah meminta maaf, namun isu ini dilihat masih berlarutan. Inginkan kepastian, Kosmo! menemuramah Anjou yang berada di majlis memperkenalkan pakaian rekaan Ariff Shukor bersama Rafflesia yang bertempat di butik Rafflesia, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Kosmo!: Perkembangan baharu dan terkini Anjou?

ZARINA: Baru habis penggambaran bersama Mamat Khalid. Kini sudah tiga filem saya buat. Dua bersama Mamat Khalid iaitu Amukan Buas Frankenstein Tempatan dan Amir dan Lokman Ke Laut serta bersama KRU berjudul Ular.

Kini saya sedang sibuk mempromosi produk baharu saya, iaitu wangian salap bibir yang boleh dijadikan pengilat bibir dan wangian serta deodoran yang bernama Ched Solid Perfume.

Mengapa terfikir mahu terlibat dalam bidang bisnes?

Saya memang suka berniaga. Saya juga akan buat bisnes kasut dan pakaian. Banyak bisnes mahu dijalankan tahun ini, jadi saya agak sibuk.

Buat bisnes kerana minat atau tidak laku berlakon?

Siapa kata saya tidak laku? Saya tidak perlu keluarkan apa-apa, malah dibayar untuk berlakon. Jika laku atau sebaliknya, saya tetap akan jalankan bisnes kerana jika ada peluang untuk dapatkan duit lebih, apa salahnya.

Bagaimana perjalanan tahun 2012 bagi anda?

Tahun ini saya rasa tahun yang sangat sibuk serta padat dan memuaskan. Saya sibuk terbabit dengan filem dan buat bisnes, jadi tahun hadapan saya akan bertambah sibuk.

Masih lagi suka dilabelkan sebagai ratu kontroversi atau bagaimana?

Mana ada saya suka, orang yang labelkan. Saya terpaksa terima sahaja. Saya tak peduli pandangan orang. Ini kerana saya hanya lakukan apa yang saya rasa ingin buat. Mereka mahu cakap saya kontroversi atau tidak, saya masih lagi mampu 'buat wang' untuk diri saya. Sekurang-kurangnya, saya tidak harapkan duit sesiapa untuk membiayai saya. Saya tidak kacau dan hutang orang, walaupun saya kontroversi. Saya juga tidak perlu cari teman lelaki kaya dan Datuk untuk bantu saya. Saya boleh cari duit sendiri.

Bercakap tentang kontroversi bersama Lufya. Adakah ia semakin baik atau sebaliknya?

Kami pernah berkawan sebelum ini dan selepas itu, dia buat perkara ini jadi besar. Dia juga menambah kenyataan dengan mengatakan diraba kerana muka menyerupai saya. Mengapa tuan punya badan tidak pernah kena raba, dia pula yang kena? Tidak wajar dia berjalan seorang diri, dan secara tiba-tiba perkara itu terjadi. Dan jika benar sekalipun perkara ini terjadi, mengapa laporkan kepada wartawan, dan tidak kepada polis? Apa motifnya di situ bukan?

Adakah anda sudah bermaafan atau belum?

Sebenarnya saya sudah diam, tapi dia keluarkan single baharu, yang kelihatan kononnya ditujukan kepada saya. Dia ada minta maaf namun selepas itu, dia masih provokasi perkara ini. Jadi apa motifnya?

Kes ini sudah berakhir, namun hubungan masih tidak baik?

Saya tidak mahu ada hubungan dengannya pun. Saya rasa tidak perlu. Tahun ini saya sibuk mahu cari duit, jika mahu bergaduh atau sebagainya, minta cari orang lain. Saya sudah malas. Saya mahu belajar buat kek untuk buat bisnes sempena mahu raya.