Adsense

Isnin, 16 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ziana bahagia

Posted: 15 Jul 2012 03:29 PM PDT

Akui tak mudah pikul tanggungjawab jadi isteri, pesan ibu jadi azimat

KISAH rakan artis bercerai-berai cukup merisaukan penyanyi pop, Ziana Zain, 44, yang sudah 14 tahun mengharungi kehidupan berumah tangga bersama suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin. "Bagi saya, gaduh dan bermasam muka adalah asam garam rumah tangga. Jika tidak bergaduh pun, tidak manis pula hubungan itu.

"Empat belas tahun jadi isteri, ia bukan perkara mudah untuk dilalui. Banyak dugaan yang perlu dihadapi suami isteri" Ziana Zain, Penyanyi/pelakon

"Ini kerana selepas bergaduh, kita akan rasa lebih menyayangi dan memahami pasangan," katanya yang dikurniakan empat cahaya mata termasuk sepasang kembar hasil perkongsian hidupnya dengan suami.

Luah Ziana kepada HIP, sepanjang menempuh hidup sebagai isteri dan ibu, tawakal serta reda sentiasa tersemat dalam doanya.

"Selain meminta rezeki dan dipanjangkan umur, saya sentiasa sematkan dalam hati dan panjatkan doa untuk belajar reda dengan keadaan," katanya berterus terang.

Pesan ibu kunci bahagia
ZIANA akui, dia sentiasa ingat pesan ibu tersayang, Robiah Abdul bahawa kunci kebahagiaan terletak kepada diri sendiri, bukan orang lain.

"Sampai sekarang, saya sentiasa ingat pesan emak. Kata emak, kita yang kayuh sampan, kita yang kemudi sampan, jika silap mendayung, padah akibatnya. Semua yang manis dan pahit terletak kepada diri sendiri untuk memilihnya.

"Itu yang saya pegang sampai hari ini dalam mengekalkan kebahagiaan berumah tangga. Lagi pun, kita yang memilih pasangan hidup kita. Jadi harungilah semuanya dengan sabar dan tabah," katanya.

Ziana berkata, Armin Zaharin adalah lelaki pilihannya sendiri, bukan diatur keluarga.

"Jadi sikap tolak ansur, kesefahaman dan komunikasi adalah perkara yang perlu ada dalam hubungan suami dan isteri," katanya.

Ziana berkata, dia sentiasa belajar untuk menjadi isteri dan ibu yang baik.

"Kepercayaan itu penting. Kita perlu selalu bertanya kepada pasangan apa yang dia tidak puas hati terhadap kita. Jangan sesekali segan dan silu untuk meluahkan kekurangan pasangan.

"Bagi saya, artis atau tidak, semuanya sama saja. Seperti saya, ketika membuat keputusan untuk berkahwin, saya sentiasa berdoa dan tekad memilih lelaki yang sederhana dan sepadan dengan saya.

"Kehidupan saya adalah sederhana dan bukan kaya, jadi saya rasa lebih selamat memilih lelaki yang mempunyai ciri-ciri sederhana dari segala bentuk," katanya.

Rakan minta nasihat

TIDAK menafikan dunia artis bagai diancam isu perkahwinan tidak kekal, Ziana mengakui ada seorang dua rakan artis yang meminta dia memberi panduan hidup bahagia.

"Ada juga yang meminta nasihat dan apa yang boleh saya bantu, saya akan cuba kongsi. Namun, perkara ini berbalik kepada soal jodoh pertemuan. Jika bukan artis pun, jika sudah ditakdirkan bercerai, ia akan terjadi juga," katanya.

PROFIL: Ziana Zain
Nama : Siti Roziana Zain
Tarikh Lahir: 2 Mei 1968
Asal : Kampung Simpang Merlimau, Melaka
Anak : Muhammad Airil, Siti NurQaseh, Muhammad Aiman dan Muhammad Amar.

TRIVIA: Ziana Zain

  • Artis wanita pertama memenangi anugerah di pertandingan antarabangsa diiktiraf Malaysia Book of Records.
  • Artis Pertama Malaysia memiliki minyak wangi diberi nama Truly keluaran Nutrimetics.
  • Trademark angkat kening ketika menyanyi menjadi ikutan penyanyi lain.
  • Diberi gelaran Jennifer Lopez (JLo) Malaysia kerana rupa yang dikatakan seiras
  • Vokal dikatakan menyamai mendiang Whitney Houston mampu mencecah F sharp
  • Jenis suara: Mezzo-soprano.