Adsense

Isnin, 16 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bieber miliki persona

Posted: 15 Jul 2012 08:26 AM PDT

"SAYA bertuah kerana mempunyai peminat yang begitu menyokong kerjaya seni dan tidak sekali berundur untuk memberikan jeritan setiap kali saya muncul. Itulah rahsia saya kekal bersemangat dan terus bertenaga untuk memberikan yang terbaik.

"Inilah pengalaman paling indah terutamanya kembali ke Malaysia untuk bertemu peminat di sini yang sememangnya penuh tenaga. Saya sayang peminat di Malaysia," kata bintang muda terkenal, Justin Bieber ketika bertemu Harian Metro secara eksklusif petang Sabtu lalu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Baby dan Boyfriend itu hadir ke Malaysia selama dua hari bagi memeriahkan lagi sambutan MTV World Stage 2012 di Sunway Surf Beach.

Kali kedua berada di Kuala Lumpur, fenomena Justin Bieber masih sama malah makin luar biasa apabila lebih lima belas ribu peminat berhimpun menyaksikan persembahannya.


Tidak hanya itu, kehadirannya kali ini lebih mengundang fanatik dikalangan peminat apabila bintang terkenal berusia 18 tahun itu berada di ibu kota sehari lebih awal memberi lebih masa buatnya bersiar-siar dan berhibur di sekitar Kuala Lumpur.


Meskipun masih membawa teman wanitanya juga penyanyi jelita, Salena Gomez, peminat bagai histeria sebaik mengetahui Bieber sudah tiba di Malaysia.

Menerusi twitter milik Bieber juga penganjur, MTV Malaysia, peminat tidak henti bertanya di mana lokasi bintang kegemaran mereka itu.

Menurut bintang kacak ini lagi, peminat di Malaysia jauh berbeza berbanding dari yang lain kerana mereka lebih gemar menjerit tanpa henti.

"Saya memang akan melayan peminat di twitter jika ada kelapangan sentiasa berkongsi apa-apa saja bersama mereka kerana itu adalah medium terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat. Pesanan yang saya terima dari mereka di twitter cukup membina dan memberi motivasi serta inspirasi.

"Malaysia umpamanya antara negara yang banyak menyokong kerjaya saya. Lantas saya sudah mengaturkan beberapa aktiviti yang akan membolehkan mereka untuk mendekati saya. Antaranya sesi bertemu peminat yang saya lakukan di majlis sidang media dan menghiburkan mereka dalam sebuah persembahan akustik yang istimewa.

"Kelakarnya mengenai peminat di sini, mereka akan menjerit walaupun ketika saya menyanyi. Tapi itulah kemeriahan yang ada dan saya sebagai penyanyi sentiasa menghargainya," katanya yang diiktiraf sebagai artis yang paling bijak menggunakan medium laman sosial di Anugerah Billboard 2012 baru-baru ini.

Bieber sempat melayan peminat setianya di majlis sidang media pada petang Sabtu lalu dan berpeluang mendendangkan enam lagu secara akustik.

Malah, lebih menariknya, Bieber membuka ruang kepada peminat untuk bertanyakan soalan.

MTV World Stage 2012 pula, Bieber diletakkan sebagai pembuka tirai. Mula menggegarkan pentas seawal jam 6.35 petang dengan lagu yang memperkenalkan namanya, Baby dan kemudiannya Around The World, Bieber jelas mengubat kerinduan peminat.

Single baru dari album Believe berjudul As Long As You Love Me dinyanyikan sebelum konsep persembahannya ditukar kepada akustik. Hanya diiringi petikan gitar, Bieber menonjolkan permainan vokal menerusi lagu Die In My Arm, Be Alright dan One Time.

Bieber yang lincah menari dan begitu bertenaga sempat menyanyikan lagu Never Say Never sebelum mengakhiri persembahannya dengan lagu terbarunya, Boyfriend.

Hakikatnya, bintang muda terkenal ini tidak hanya bersandar pada wajah dan populariti sebaliknya dia punya kekuatan vokal yang mampu dibanggakan selain pesona yang cukup besar sebagai seorang anak seni.

Fenomena Bieber

Usop masih di Hot FM

Posted: 15 Jul 2012 08:05 AM PDT

SPEKULASI hangat sedang menerjah Hot FM ketika ini, dengan ketiadaan Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha, salah seorang penyampai stesen popular itu.

Berlegar khabar angin kononnya Usop disingkirkan sebagai penyampai kerana gagal menyerlah di stesen itu, tidak seperti lakonan hebatnya menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Pengurus Besar Rangkaian Program Radio Media Prima Berhad, Anida Mohd Tahrim bagaimanapun menyangkal dakwaan itu malah menegaskan, Usop masih lagi bersama Hot FM sehingga kini.

"Ketiadaannya buat masa ini kerana komitmen untuk menjayakan penggambaran beberapa drama. Atas sebab itu Usop tidak dapat memberi komitmen ke atas tugas di konti bersama rakan penyampai Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG bagi segmen Hot FM AM Krew.


"Perkara ini sudahpun dimaklumkan kepada pihak pengurusan Hot FM lebih awal lagi dan Hot FM menyokong penuh hasrat Usop itu.


"Bagaimanapun, peminat Usop jangan bimbang kerana anda masih dapat mendengar suaranya melalui parodi Lagu Hangit yang dimainkan setiap pagi serta klip video lagu itu di laman web rasmi Hot FM dan YouTube Hot FM. Usop juga akan terus berperanan sebagai karakter bagi pengisian 'signatur' Hot FM," katanya.

Ketiadaan Usop bagaimanapun tidak berkait dengan rombakan barisan penyampai yang dijalankan awal bulan ini.

Tidak lagi bersandarkan kepada tagline yang sinonim dengan stesen pilihan ramai iaitu Lebih Hangat Daripada Biasa, Hot FM kini tampil sebagai stesen Muzik Paling Hangat dan tetap tampil relevan kepada cita rasa pendengar.

Selain memainkan muzik paling hangat masa kini, Hot FM terus menyediakan platform kepada artis serta lagu baru. Seiring kejayaan yang baru dicapai Hot FM sebagai stesen radio pertama di Malaysia yang mempunyai 1 juta 'LIKE' di laman sosial facebook, stesen itu yakin dengan strategi memainkan lebih muzik untuk pendengar!

Barisan penyampai yang menerajui setiap segmen turut dirombak dengan enam segmen dan dijangka dapat memberi kesegaran dalam transformasi pengisian Hot FM. Dalam memantapkan pengisian, Panggilan Hangit diberi fokus khas memandangkan ia adalah pengisian 'signatur' Hot FM.

Tiga panggilan hangit akan diperdengarkan setiap pagi dan diulang semula sepanjang hari. Pendengar boleh mengundi di facebook Hot FM dan dua penyampai dengan undian terendah pada setiap bulan akan didenda.

Hot FM AM Krew yang dihoskan Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG akan menumpukan kepada pengisian seperti topik harian serta Senduk Fifi yang semakin hari mendapat perhatian ramai selain penekanan terhadap Panggilan Hangit mereka.

Hot FM AM Krew bersiaran ke seluruh negara setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi. Mereka juga turut mempersembahkan kisah pendek setiap pagi, parodi Lagu Hangit yang turut disertakan dengan klip video. Klip video ini boleh ditonton melalu laman YouTube Hot FM serta facebook Hot FM.

Satu keunikan yang diwujudkan Hot FM kali ini adalah Hot FM Cerita Cinta. Dalam segmen ini, Chad akan meminta pendengar berkongsi cerita cinta mereka. Buat pertama kalinya, Chad akan menyertai seniornya untuk ke udara di seluruh frekuensi negara setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 11 malam hingga 1 pagi.

Deen pula meneruskan legasi 'zon pelajar' melalui segmen Hot FM Carta Ulat Buku. Carta ini membolehkan pendengar mengundi lagu dan menjadikan lagu kegemaran mereka sebagai juara carta setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 hingga 11 malam.

Hot FM Jam bakal dikendalikan Kieran dan Ikhwan. Hot FM Jam juga bakal menerima panggilan daripada karakter popular program infotainmen TV9, Galaksi iaitu Kiah Propa untuk bergosip mengenai senario terkini industri seni tanah air. Segmen ini ke udara pada Isnin hingga Selasa dari jam 4 petang hingga 8 malam.

Dalam segmen Hot FM Muzik Paling Hangat, di samping memainkan lagu terkini, tiga lagu 90-an boleh diundi melalui laman sosial rasmi facebook Hot FM bagi menentukan lagu mana yang bakal dimainkan pada penghujung setiap jam.

Suraya akan bersiaran pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari manakala Leya pula akan memperdengarkan sebuah lagu baru setiap hari melalui Hot FM Carta 21 dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang.

Selain pembaharuan yang disuntik itu, Hot FM tetap memainkan lagu baru sebagai usaha menyokong muzik tempatan melalui Hot FM Kita Punya, satu lagi pengisian signatur stesen itu dihoskan Deen pada setiap Sabtu.

Terbaharu pada hujung minggu, Hot FM Rock kendalian Leya. Program itu menjemput selebriti untuk berkongsi lagu rock kegemaran mereka. Sebanyak 10 lagu akan dipilih selebriti jemputan dan mereka akan berkongsi kisah lagu rock pilihan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/15